Menurut Kalam Hikmah ke 25 , Imam Ibnu
Athaillah Askandary berkata:
TIDAK SIA-SIA SESUATU MAKSUD APABILA DISANDARKAN KEPADA ALLAH S.W.T
DAN TIDAK MUDAH TERCAPAI TUJUAN JIKA DISANDARKAN KEPADA DIRI SENDIRI.
Hikmat
yang lalu menggambarkan keadaan hamba Allah s.w.t yang mempunyai maksud yang
baik iaitu mahu mengubah dunia supaya menjadi tempat kehidupan yang sentosa,
tetapi ternyata gagal melaksanakan maksudnya apabila dia bersandar kepada
kekuatan dirinya sendiri. Allah s.w.t menyifatkan dunia sebagai tempat
huru-hara dan kekeruhan. Sesiapa yang memasukinya pasti berjumpa dengan keadaan
tersebut. Kekuatan huru-hara dan kekeruhan yang ada pada dunia sangatlah kuat
kerana Allah s.w.t yang meletakkan hukum kekuatan itu padanya. Percubaan untuk
mengubah apa yang Allah s.w.t tentukan akan menjadi sia-sia. Allah s.w.t yang
menetapkan sesuatu perkara, hanya Dia sahaja yang dapat mengubahnya. Segala
kekuatan, baik dan buruk, semuanya datang daripada-Nya. Oleh yang demikian jika
mahu menghadapi sesuatu kekuatan yang datang dari-Nya mestilah juga dengan
kekuatan-Nya. Kekuatan yang paling kuat bagi menghadapi kekuatan yang dipunyai
oleh dunia ialah kekuatan berserah diri kepada Allah s.w.t. Kembalikan semua
urusan kepada-Nya. Rasulullah s.a.w telah memberi pengajaran dalam menghadapi
bencana dengan ucapan dan penghayatan:
Kami
datang dari Allah. Dan kepada Allah kami kembali.
Semua
perkara datangnya dari Allah s.w.t dan akan kembali kepada Allah s.w.t juga.
Misalnya, api yang dinyalakan, dari mana datangnya jika tidak dari Allah s.w.t
dan ke mana perginya bila dipadamkan jika tidak kepada Allah s.w.t.
Apabila
sesuatu maksud disandarkan kepada Allah s.w.t maka menjadi hak Allah s.w.t
untuk melaksanakannya. Nabi Adam a.s mempunyai maksud yang baik iaitu mahu
menyebarkan agama Allah s.w.t di atas muka bumi ini dan menyandarkan maksud
yang baik itu kepada Allah s.w.t dan Allah s.w.t menerima maksud tersebut.
Setelah Nabi Adam a.s wafat, maksud dan tujuan beliau a.s diteruskan. Allah
s.w.t memerintahkan maksud tersebut dipikul oleh nabi-nabi yang lain sehingga
kepada nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Setelah Nabi Muhammad s.a.w
wafat ia dipikul pula oleh para ulama yang menjadi pewaris nabi-nabi. Ia tidak
akan berhenti selama ada orang yang menyeru kepada jalan Allah s.w.t. Jika
dipandang dari segi perjalanan pahala maka boleh dikatakan pahala yang diterima
oleh Nabi Adam a.s kerana maksud baiknya berjalan terus selama agama Allah
s.w.t berkembang dan selagi ada orang yang mewarisi dan meneruskan
perjuangannya ini.
Maksud menyerah diri kepada Allah s.w.t,
bersandar kepada-Nya dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya mesti difahami
dengan mendalam. Kita hendaklah memasang niat yang baik, dan beramal
bersesuaian dengan makam kita. Allah s.w.t yang menggerakkan niat itu dan
melaksanakan amal yang berkenaan. Cara pelaksanaannya adalah hak mutlak Allah
s.w.t. Kemungkinan kita tidak sempat melihat asas yang kita bina siap menjadi
bangunan namun, kita yakin bangunan itu akan siap kerana Allah s.w.t mengambil
hak pelaksanaannya. Maksud dan tujuan kita tetap akan menjadi kenyataan
walaupun kita sudah memasuki liang lahad. Pada masa kita masih hidup kita hanya
sempat meletakkan batu asas, namun pada ketika itu mata hati kita sudah dapat
melihat bangunan yang akan siap. Rasulullah s.a.w sudah dapat melihat perkara
yang akan berlaku sesudah baginda s.a.w wafat, diantaranya ialah kejatuhan
kerajaan Rum dan Parsi ke tangan orang Islam semasa pemerintahan khalifah
ar-rasyidin. Sekalian nabi-nabi mursalin yang dibangkitan sebelum Nabi Muhammad
s.a.w sudah dapat melihat kedatangan baginda s.a.w sebagai penutup dan
pelengkap kenabian. Begitulah tajamnya pandangan mata hati mereka yang
bersandar kepada Allah s.w.t dan menyerahkan kepada-Nya tugas mengurus.
Tidak
ada jalan bagi seseorang hamba kecuali berserah diri kepada Tuannya. Semua
Hikmat dari yang pertama hinggalah kepada yang ke 33 ini, sekiranya
disambungkan akan membentuk satu landasan yang menuju satu arah iaitu berserah
diri kepada Allah s.w.t. Hikmat-hikmat yang telah dipaparkan membicarakan soal
pokok yang sama, disuluh dari berbagai-bagai sudut dan aspek supaya lebih jelas
dan nyata bahawa hubungan sebenar seorang hamba dengan Tuhan ialah berserah
diri, reda dengan lakuan-Nya. Rasulullah s.a.w telah mewasiatkan kepada Ibnu
Abbas r.a:
Apabila
kamu bermohon, maka bermohonlah kepada Allah s.w.t. Apabila kamu meminta, maka
mintalah kepada Allah s.w.t. Dan, ketahuilah bahawa sekiranya sekalian makhluk
saling bantu membantu kamu untuk memperolehi sesuatu yang tidak ditulis Allah
s.w.t untuk kamu, pasti mereka tidak akan sanggup mengadakannya. Dan, sekiranya
sekalian makhluk mahu memudaratkan kamu dengan sesuatu yang tidak ditulis Allah
s.w.t buat kamu, nescaya mereka tidak sanggup berbuat demikian. Segala buku
telah terlipat dan segala pena telah kering.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan