HASAN al-Basri
atau nama lengkapnya Abbu Said al-Hasan ibnu Abi al-Hasan Yassar al-Basri.
Beliau telah dilahirkan pada tahun 21 H (642 M) di Madinah. Ayahnya bernama
Yassar, Maula Zaid bin Tsabit, iaitu seorang jurutulis wahyu, manakala ibunya
pula bernama Khairah Maulat Ummul Mukminin Ummu Salmah.
Beliau memiliki sifat-sifat terpuji serta ilmu pengetahuan yang luas dengan memperdalami ilmu agama Islam daripada ulama-ulama terkemuka, dan pada masa yang sama juga beliau telah membuat perjumpaan dengan 70 orang anggota perang Badar dan 300 orang sahabat Rasulullah s.a.w. Pernah pada suatu ketika beliau ditanya oleh Ali bin Abi Talib yang datang kepada beliau semasa beliau sedang mengikuti pengajian. Ali berkata: “Hassan, aku ingin bertanya kepadamu mengenai dua perkara. Apabila engkau berjaya menjawab kedua-dua perkara itu, engkau akan dapat meneruskan pengajianmu, dan jika sebaliknya, akan kukeluarkan kamu daripada pengajian ini”. Hasan mendiamkan diri, kemudian dan berkata: “Tanyalah, wahai Amirul Mukminin.” Lalu Ali melanjutkan perbicaraan itu dengan berkata: “Ceritakanlah kepadaku tentang kebaikan agama dan yang dapat merosak agama.”. Hassan menjawab: “Kebaikan agama adalah hidup yang warak dan yang merosak agama adalah hidup yang tamak.” Ali tersenyum dan memujinya serta berkata: “Engkau benar dan sekarang teruskanlah pengajianmu itu.” Beliau juga sering mendapat pujian terutama daripada Anas bin Malik, Abu Qatadah, dan lain-lain yang sezaman dengannya. Menurut Abu Naiml-Asfahani, Hasan adalah orang yang selalu takut dan berduka sepanjang hari, hidup zuhud dan warak, dan tidak tidur dalam keadaan senang kerana mengingati Allah s.w.t, dan tidak meminta-minta. Dalam perkara ini beliau pernah berkata: “Bagaimana kita tidak takut jika seluruh kehidupan ini akan dipertanggungjawabkan, sedangkan kehidupan itu sendiri amat pendek dan dibatasi oleh maut yang akan menjemput.” Manakala bagi orang yang beriman pula, menurutnya kehidupan dunia bukan untuk bersenang-lenang, tetapi persiapan dan peningkatan amal soleh dengan harapan akan diberi keampunan serta rahmat-Nya. Beliau berpendapat bahawa manusia perlu prihatin di dunia serta memperteguhkan amal soleh, memperkukuhkan zuhud dan menjauhi daripada kemurkaan Allah s.w.t. Semuanya itu akan tertanam di dalam sanubari manusia jika dapat memiliki iman dan ilmu. Iman dan ilmu merupakan suatu kemestian sebagai dasar bagi orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana yang ditegaskan-Nya dalam surah al-Faatir, ayat 28. Hasan al-Basri terkenal dengan keberanian memberi ingatan dan nasihat kepada penguasa / pemerintah termasuk Umar Hubairat yang diangkat menjadi Gabenor Iraq (722 M / 103 H), malah telah berjanji untuk senantiasa melaksanakan perintah Khalifah Yazid dengan memberi nasihat yang berbunyi: “Tanamkanlah perasaan gentar kepada Allah s.w.t, bukan kepada Yazid, sedang Yazid tidak akan mampu memisahkan kamua daripada Allah s.w.t. Bila-bila masa sahaja Allah akan menghantar malaikat-Nya untuk meragut kamu daripada pangkat yang kamu sandang, dan menarik kamu dari istana yang luas untuk dibawa ke ruang kubur yang sempit.” Ketika menjelang pengakhiran hidupnya, beliau telah didatangi beberapa sahabat, lalu salah seorang sahabat itu berkata : “Wahai Abu Said, bekalkanlah kami dengan beberapa kalimat yang bakal memberikan manfaat kepada kami.” Maka Hasaan pun membalas: “Aku memberi kalian dengan tiga kalimat iaitu: - “Apa pun urusan yang dilarang, hendaklah kalian sebagai orang yang paling jauh meninggalkannya.” - “Kebaikan apa pun yang diperintah kepada kalian, hendaklah kalian melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.” - “Dan ketahuilah, ada dua langkah pada kalian; satu langkah yang menguntungkan dan satu lagi langkah yang membawa kecelakaan. Jadi, kalian hendaklah memperhatikan ke manakah kalian akan melangkah pada waktu pagi.” Hasan al-Basri selalu memberi pesan agar manusia sentiasa berwaspada terhadap dunia dan berhati-hati akan segala tipu dayanya. Beliau meninggal dunia pada tahun 110 H (729 M) di Basra. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan