Al Hasan al Basri hidup selama 80 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau berjaya mengisi dunia ini dengan limpahan ilmunya, hikmahnya dan ilmu fikahnya. Warisan yang ditinggalkan untuk generasi seterusnya ialah kata-kata nasihatnya yang begitu menyentuh hati hingga ke hari ini.
Bimbingan nasihatnya masih segar dan sentiasa menggegarkan hati manusia sehingga menyebabkan mereka menitiskan air mata. Nasihat-nasihat ini juga membimbing mereka yang sesat ke jalan yang lurus. Mereka yang hanyut dan leka dengan hakikat dunia akan tersedar apabila mendengar bimbingan-bimbingan ini. Mereka akan disedarkan tentang sikap manusia sebenar terhadap dunia ini.
Antaranya nasihat yang diberikan kepada seorang yang bertanya mengenai dunia ini :
“Engkau bertanya tentang dunia dan akhirat. Dunia dan
akhirat ini ibarat timur dengan barat. Setiap kali engkau cuba menghampiri ke
satu arah, engkau akan menjauhi arah yang satu lagi.”
“Engkau meminta saya supaya memberikan gambaran
tentang dunia ini. Bagaimana mungkin saya dapat gambarkan tentang suatu dunia
yang bermula dengan kepayahan dan berakhir dengan kehancuran. Perkara yang
dihalalkan di sini akan dihitung jika kita mengerjakannya. Manakala perkara
yang diharamkan pula akan menyebabkan kita diazab. Orang yang tidak mencari
kesenangan akan diuji. Orang yang mencari kesenangannya pula akan menyesal.”
Dalam nasihat lain, ketika seorang bertanya tentang
dirinya dan manusia-manusia lain, jawabnya :
“Celakalah kita! Apakah yang telah kita lakukan dengan
diri kita sendiri. Kita telah kuruskan agama kita, sebaliknya kita gemukkan
dunia kita. Kita tidak pernah memperbaharui akhlak kita. Sebaliknya kita
sentiasa memperbaharui kain dan pakaian kita. Kita masih mampu tidur walaupun
kita makan dengan wang yang haram. Makanan yang kita makan, kita rampas
daripada orang lain. Layanan yang kita terima , kita minta secara paksa.
Makanan kita bertukar ganti daripada manis kepada masam, panas kepada sejuk,
kering kepada basah.
Apabila sendawa kekenyangan kita akan berkata: “Hai budak,
bawakan ke sini pencuci makanan mulut buat menghadam makanan.”
“Alangkah bodohnya, apa yang hadam sebenarnya ialah
agamamu. Di manakah jiranmu yang memerlukan bantuanmu? Di manakah anak yatim
yang sedang kelaparan? Di manakah orang miskin yang sentiasa memerhatikanmu? Di
manakah amanah ALLah padamu?”
“Mudah-mudahan engkau sedar bahawa engkau sekadar
menghitung hari. Setiap kali matahari terbenam bermakna satu hari telah hilang
daripada kiraanmu. Itu juga bermakna sebahagian hidupmu juga telah hilang.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan