Musuh-musuh tasawuf cuba sedaya upaya untuk
menyerang dan menfitnah tasawuf Islam dengan pelbagai pendustaan dan rekaan
cerita semata-mata. Mereka juga akan melontarkan berbagai-bagai tohmahan dan
penyelewengan mungkin disebabkan oleh perasaan hasad dengki mereka ataupun
mungkin juga disebabkan kejahilan diri mereka sendiri terhadap agama Islam.
Lebih menyedihkan lagi ada di antara musuh-musuh tasawuf ini terdiri dari
kalangan orang-orang Islam sendiri sedangkan mereka semua sudah sedia maklum
mengenai hakikat kebenaran tasawuf ini sepertimana yang terkandung di dalam
sebuah al-Hadis S.A.W. mengenai Ihsan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Bahawa kamu menyembah Allah seakan-akan kamu
melihatNya dan jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat kamu. (Riwayat
Muslim).
Berkata al-Muhaddith Syeikh Muhammad Siddiq
Al-Ghumari:
Sesungguhnya Ihsan sebagaimana dalam hadis tersebut
adalah ibarat dari tiga rukun yang disebutkan. Barangsiapa tidak menyempurnakan
rukun Ihsan yang mana ia merupakan tarikat (jalan) maka tanpa ragu-ragu lagi
bahawa agamanya tidak sempurna kerana dia meninggalkan satu rukun dari
rukun-rukunnya. Tujuan atau kemuncak matlamat yang diseru dan diisyaratkan oleh
tarikat ialah maqam Ihsan setelah memperbetukan Islam dan Iman.(Kitab: Intishar Li Thariqi as-Sufiyyah).
Berkata Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori:
Tasawuf ialah suatu ilmu yang diketahui dengannya keadaan
penyucian jiwa dan pembersihan akhlak serta mengimarahkan zahir dan batin
bertujuan untuk mencapai kebahagiaan yang abadi.(Kitab: Ala Hamisy Risalah al-Qusyairi).
Berkata Imam Junaid:
Tasawuf ialah menggunakan semua akhlak ketinggian
yang terpuji dan meninggalkan semua tingkahlaku yang rendah lagi di keji. (Kitab: Nusrah al-Nabawiyyah).
Berkata Syeikh Abdul Kadir Isa di dalam kitabnya
Haqaiq An al-Tasawuf mengenai musuf-musuf tasawuf sepertimana berikut (saya
hanya mengambil secara ringkas sahaja):
Di antara
musuh-musuh tasawuf terdiri dari kalangan orentalis lagi zindiq serta para
pengikutnya dan konco-konconya. Mereka telah disusun atur dan dilatih oleh
golongan kafir yang jahat bagi mencela Islam. Mereka cuba memusnahkan pokok
pangkal Islam dengan menimbulkan pelbagai keraguan serta menyebarkan
fahaman-fahaman untuk memecahkan umat Islam. Mereka mempelajari Islam secara
mendalam tetapi bertujuan untuk menyeleweng dan memusnahkan Islam. Mereka juga
sentiasa memiliki sifat talam dua muka. Mereka juga mendakwa tasawuf diambil
daripada Yahudi, Nasrani dan Buddha. Bermacam-macam tohmahan dilemparkan
terhadap tokoh-tokoh ulama tasawuf. Apa yang lebih mendukacitakan, terdapat
segelintir orang Islam menggunapakai pandangan dan pendapat dari musuh-musuh
Islam ini untuk mencela tasawuf secara total. Inikah yang dikatakan pejuang
Islam yang sebenarnya? Kadang-kadang mereka ini berselindung di sebalik sebagai
seorang pengkaji atau sarjana ilmuan Islam, akan tetapi merekalah di antara
para perosak agama Islam dari dalam.
Di antara musuh-musuh tasawuf juga ialah mereka yang
jahil dengan hakikat tasawuf Islam itu sendiri. Mereka tidak mempelajari
daripada tokoh-tokoh ulama sufi secara jujur dan amanah serta tidak juga
mengambil manfaat daripada ulama-ulama tasawuf yang ikhlas menyampaikan ilmu
pengetahuan. Mereka cuba mengkaji sendiri kitab-kitab tasawuf sedangkan mereka
tidak mempunyai asas dan tidak memahami maksud sebenar serta mereka juga tidak
mengetahui tentang penyelewengan terhadap kitab-kitab tersebut oleh musuh-musuh
tasawuf Islam. Maka akan timbullah pandangan negatif dan berburuk sangka
terhadap tasawuf ini. Kita boleh bahagikan mereka ini kepada beberapa golongan:
Golongan pertama:
Fikrah tentang tasawuf yang ada pada mereka diambil
melalui amalan suluk sesetengah golongan yang menyelinap masuk serta
menyeleweng yang terdiri daripada musuh-musuh tasawuf. Mereka tidak membezakan
di antara tasawuf yang hakiki lagi suci dengan sesetengah perkara jelek dan
keji yang datang menyelinap yang tiada hubungkait dengan Islam.
Golongan kedua:
Mereka merupakan golongan yang terpedaya dengan apa
yang mereka dapati daripada kitab-kitab tokoh-tokoh sufi yang terdiri daripada
pelbagai permasalahan yang diselinap masuk. Mereka mengambilnya sebagai suatu
hakikat sabit tanpa sebarang kepastian terlebih dahulu. Mungkin juga mereka
mengambil kata-kata sabit yang terdapat dalam kitab-kitab ahli sufi lalu
memahaminya tanpa mengikut apa yang dikehendaki oleh kitab tersebut. Mereka
mengikut fahaman cetek yang dimiliki, ilmu yang terhad serta keinginan yang
tersendiri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada ahli sufi yang jelas
kefahamannya tentang syariat dan akidah. Mereka mentakwilkan kalam-kalam para
ulama sufi mengikut hawa nafsu tanpa bertanya terlebih dahulu kepada ahlinya
yang lebih memahami. Mereka ini seumpama mengambil ayat-ayat al-Quran al-Karim
yang mempunyai kesamaran (mutasyabihat) lalu mentakwilkannya sesuka hati tanpa
melihat kepada ayat-ayat yang jelas (muhkamat) dan tidak juga bertanya terlebih
dahulu kepada para ulama yang lebih mengetahui sepertimana yang telah
dijelaskan oleh Allah Taala di dalam al-Quran al-Karim (Surah al-Imran: Ayat
7). Sedangkan ada sebilangan dari kalangan mereka yang begitu mengecam
pentakwilan (bukan menurut hawa nafsu) oleh para ulama muktabar bukan?
Golongan ketiga:
Mereka merupakan golongan yang tertipu. Mereka
mencedok ilmu pengetahuan daripada orientalis. Mereka hanya menggunapakai
pandangan dan sangkaan salah dari para orientalis semata-mata. Mereka tidak
dapat membezakan di antara tasawuf Islam yang sebenarnya dengan tasawuf yang
telah dicemari di sebabkan mereka tiada ilmu dan asas yang bertepatan.
Inilah di antara musuh-musuh tasawuf serta tarikat
yang bertindak menyerang tasawuf dari sebelah luar ataupun dari sebelah dalam
Islam. Mereka bersungguh-sungguh menabur fitnah selagimana mereka di berikan
nyawa yang sementara ini dari Allah Taala. Mungkin juga mereka lupa bahawa
mereka akan diperhitungkan oleh Allah Taala di akhirat kelak. Bersedialah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan