Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran
Menolak
atau Menerima Pemberian
Dizaman kita ini ada
beberapa orang dipandang menolak pemberian masyarakat (orang ramai). Sikap ini
sebenarnya muncul dari pemikiran yang lemah, ilmu yang cetek dan batin yang
buruk. Mereka berbuat demikian demi menjaga kehormatan dan demi memperolehi
pujian masyarakat awam. Mereka berpendapat bahawa pemberian itu akan membuat
mereka hina dan menolaknya akan membuat mereka mulia. Hawa telah membujuk dan
menyebabkan nafsu menyukai pada kemulian. Manusia mengira bahawa dengan menolak
pemberian tersebut ia telah bersikap zuhud, padahal tidaklah demikian. Dugaan
orang-orang ini menjadi semakin kuat setelah mereka mengetahui kaum awam
berpendapat bahawa menolak pemberian merupakan sikap mulia. Sikap demikian ini
salah! Orang yang berakal tidak sepatutnya mengamalkan urusan agamanya dengan
cara demikian. Ini adalah sikap orang-orang yang sangat bodoh kerana kebanyakan
kaum awam suka pada kebatilan (pekerjaan yang tidak diterima). Nabi saw
melarang Umar ra untuk menolak pemberian.
Rasulullah saw bersabda;
“Wahai Umar, jika Allah memberimu harta padahal kamu
tidak memintanya, maka terimalah. Jika kamu memerlukannya, gunakanlah. Tetapi
jika kamu tidak memerlukannya, berikanlah kepada orang lain”
Keterangan:
“Penjelasan bab tersebut diatas, kita dapati ada
beberapa kelompok orang-orang yang menolak pemberian orang ramai semata-mata
untuk menjaga kehormatan diri dan menginginkan pujian dari orang awam. Mereka
menyangka didalam jalan yang benar pada hal mereka ini termasuk didalam
beberapa golongan seperti berikut;
Golongan Pertama: Orang yang dipandang mulia
terdapat pada diri Alim Ulama, Guru Agama, Pendakwah Agama, Orang yang
bertarikat, Orang Abid (kuat ibadah), Orang-orang yang baru menceburkan diri
dalam Ilmu Tasawuf.
Golongan Kedua:
Orang Kaya yang dipandang mulia seperti yang bergelar Tun,
Tan Sri, Datuk, Yang Berhormat, begitu juga yang memiliki jawatan yang tinggi
disyarikat tak kira samada syarikat kepunyaan sendiri ataupun tidak.
Termasuklah orang biasa dan pekerja biasa juga mungkin tidak lepas dari ingin
dipandang mulia.
Golongan Ketiga: Orang Miskin dan Orang Susah yang menjaga kemulian mereka. Dibawah
ini adalah sifat-sifat mereka secara kasar; “
“Golongan
Pertama: Orang yang dipandang mulia
terdapat pada diri Alim Ulama, Guru Agama, Pendakwah Agama, Orang yang
bertarikat dan mereka yang baru menceburkan diri dalam Ilmu Tasawuf. Alim
ulama, guru agama dan pendakwah. Demi menjaga kehormatan diri, disebabkan
mereka adalah sebagai wadah (tempat) bagi masyarakat untuk merujuk
perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Pada pandangan mereka diatas tadi,
mereka menganggap bahawa apa yang mereka lakukan adalah untuk Allah Taala dan
mengharap akan imbalan daripadaNya. Kerana berpegang kuat hanya Dia sahaja yang
memberi rezeki. Mereka ini berpendapat menerima pemberian akan membuat mereka
dipandang hina dan menolak pemberian dipandang mulia. Sebagai tempat bagi
masyarakat merujuk, akan jatuhlah kedudukan mereka ini yang dekat dengan Tuhan
kerana menerima pemberian orang kerana masih bersandar pada harta dunia dan
bila mereka menolak pemberian, anggapan mereka dan orang ramai akan kenaikan
maqam dan ditambah gelaran sebagai ahli zuhud. Kasihan mereka ini bekerja keras
untuk Allah tetapi masih tidak dapat melihat akan penghuluran dariNya. Begitu
juga pada orang yang bertarikat dan mereka yang baru menceburkan diri dalam
Ilmu Tasawuf. Walaupun mereka bukan sebagai tempat merujuk yang sejati. Mereka
menjalani latihan demi latihan mendekatkan diri kepada Tuhan hingga menolak
pemberian orang ramai kerana beranggapan masih belum bersih (suci) belum sampai
lagi pada maqam zuhud dah . . . “
“Nak sampai macam manapun
saya tidak tahu! Pelik juga kan . . . Apa yang
mereka terapkan adalah membuang kenikmatan dunia sejauh-jauhnya. Sampai tidak nampak
apa yang dibuatnya adalah pemberian dariNya. Patutlah tak sampai-sampai. Pasal
buang jauh-jauh. Kesian juga ye . . . Berlatih keras untuk Allah tetapi masih
tidak dapat melihat akan penghuluran daripadaNya.
Golongan Kedua: Orang Kaya yang dipandang mulia seperti yang bergelar Tun, Tan Sri,
Datuk, Yang Berhormat, begitu juga yang memiliki jawatan yang tinggi disyarikat
tak kira samada syarikat kepunyaan sendiri ataupun tidak. Termasuklah orang
biasa dan pekerja biasa juga mungkin tidak lepas dari ingin dipandang mulia.
Ini pun satu pe’el (tabiat), dahlah jadi orang kaya
dan bergelaran pulak itu. Oleh kerana buta mata dan buta mata hati bagaimana
mereka boleh menjadi orang kaya? Siapa yang mengkayakan mereka? Diri mereka
sendiri ke? Kerana kerja kuat ke? Siapa yang bagi mereka kuat? Oleh kerana dah
kaya dan mulia pada mata masyarakat kena jagalah supaya sentiasa dipuji,
dicari-cari, disebut-sebut nama mereka. Kalau masyarakat tak cari, macam nak
mati aje. Kenapa begitu? Sebab tak ada orang yang tahu dia kaya dah! Mereka
lupa, masyarakat mencari mereka semata-mata hendakkan sesuatu dari orang-orang
kaya ini. Kalau masyarakat tidak perlukan sesuatu pada mereka, kejadah ape nak
cari orang kaya itu! “
“Golongan lagi satu punya pe’el yang dah kaya tapi berkhalwat dah . . .
(mungkin nak jadi ahli zuhud kot). Tidak mau orang ramai cari, tidak mau orang
puji dan tidak mau nama mereka disebut-sebut. Pasal ape? Tak mahu bersedekah
dah . . . Itulah zuhud bagi mereka. Golongan yang tidak sedar diri; Yang
memiliki jawatan yang tinggi disyarikat tak kira samada syarikat kepunyaan
sendiri ataupun tidak. Termasuklah orang biasa dan pekerja biasa juga mungkin
tidak lepas dari ingin dipandang mulia. Ini pun ada pe’el mereka tersendiri.
Lihatlah gelagat mereka yang bergelar ceo, managing director dan apa-apa aje .
. Mereka menjaga status mereka dengan kuat, sebab sebagai orang besar
disyarikat, mana boleh terima pemberian orang. Jatuhlah kat tangga! Bila
terima, menunjukkan pendapatan );bulanan mereka tak cukup sampai nak ambek dari
pemberian orang . . .
Golongan Ketiga: Orang Miskin dan Orang Susah
yang menjaga kemulian mereka. Allahu Akbar . . . apa dah jadi pada mereka ini?
Dahlah tau diri miskin, diri susah tapi masih nak jaga gelaran ‘orang miskin –
orang susah’. Ini disebabkan mereka berpegang teguh pada alQuran, hadits dan
sunnah rasul. Golongan ini salah faham dan tak faham akan makna hakikat pada
alQuran, hadits dan sunnah rasul! Yang menyuruh mereka bersabar atas segala
dugaan dan ujian Tuhan. Berpegang pada hadits, bahawa Nabi saw pun orang miskin
walaupun beliau seorang Nabi dan Rasul. Juga berpegang pada sunnah Nabi saw
yang bercampur gaul dengan orang-orang miskin. Sayang sekali, mereka ini
berpegang pada alQuran, hadits dan sunnah tetapi tidak dapat melihat bahawa mereka
juga meminta dan menerima dari masyarakat awam. Ketiga-tiga golongan tersebut
telah dipujuk oleh Hawa yang menyebabkan Nafsu mereka suka dan berpegang pada
‘KEMULIAN’“.
“Oleh kerana dugaan dari orang ramai yang berpegang pada menolak
pemberian adalah sikap mulia, maka lebih kuatlah mereka ini menjaga dan memupuk
gelaran mulia dan menerima pujian orang-ramai. Sikap-sikap yang telah
diterangkan diatas sangat salah! “
“Bagi mereka yang ada akal yang sihat dan sempurna sepatutnya tidak
mengamalkan urusan agama ataupun dunia dengan cara demikian kerana sikap itu
adalah sikap orang-orang yang bodoh kerana termakan oleh apa yang disukai oleh
kaum awam dengan kebatilan (pekerjaan atau perbuatan yang tidak diterima oleh
Tuhan) mereka. Sedangkan Nabi saw sendiri melarang Umar ra dari menolak
pemberian. Fikirkanlah, siapa Umar ra dan siapa diri kamu? Adakah kamu lebih
besar dari Umar ra ke?”
Menolak sesuatu yang dapat
memberikan manfaat (faedah) disisi Allah demi mempertahankan harga diri dan
mengharapkan pujian orang awam bukanlah sikap orang-orang mulia. Kaum ariffin
lebih mengutamakan keridhaan Allah swt, tak peduli perbuatanya itu akan
meninggikan atau merendahkan mereka dimata masyarakat. Sebab, dalam pandangan
mereka yang terpenting adalah menjaga pandangan Allah swt. Misalnya, jika
seorang sultan memberikan hadiah kepada seseorang dengan tujuan agar terkenal
dan namanya disebut-sebut masyarakat, maka orang tersebut lebih utama
mengambilnya. Ia dapat mengunakan harta itu untuk memenuhi keperluannya jika
memang memerlukan. Jika tidak memerlukan, ia dapat memberikannya kepada kaum
fakir miskin. Jika ada yang berkata, “Kadangkala seseorang menolak
hadiah kerana khawatir harta itu haram, sebab sebahagian besar harta sultan
haram”. Menurut pandanganku, harta sultan yang haram tidak dapat
diketahui (kerana telah bercampur dengan yang halal), dan tidak mungkin dapat
dikembalikan kepada pemiliknya, jadi wajib diberikan kepada orang-orang yang
benar-benar memerlukan, yaitu kaum fakir miskin. Dan tidak sepatutnya hadiah itu
hilang atau dibuang ke laut. Jadi tidak ada jalan lain kecuali menerimanya.
Keterangan:
“Bukanlah sikap orang-orang mulia dengan menolak
sesuatu yang boleh mendatangkan faedah (ada gunanya) disisi Allah kerana
semata-mata hendak mempertahankan harga diri dan mengharapkan pujian dari orang
awam. Bagi murid dan salik, janganlah kamu hendak mempertahankan diri kamu dan
mengharapkan pujian manusia. Itu bukan matlamat kamu sebenar dan jangan
rosakkannya! Harga diri kamu tak punya! Macam mana nak terima pujian manusia?
Sekiranya ada pemberian dari orang ambek aje. Kalau kamu tidak perlukan, bagi
pada sesiapa yang perlukannya. Kan perkara mudah! Dengan perbuatan itu kamu
sudah mengambil faedah dari menerima dari orang awam. Yang hakiki dari Allah! “
“Lihatlah amalan orang ariffin, mereka tidak peduli perbuatan mereka
samada ditinggikan atau direndahkan kedudukan mereka dimata masyarakat. Apa
yang mereka jaga adalah yang terpenting adalah pandangan Allah atas perbuatan
mereka. Itu yang mereka jaga! Lihatlah diri kamu dengan ikhlas dan berilah
jawapan sebenar pada diri kamu. Pandangan siapa yang kamu hadapkan dan
harapkan. Kalau pandangan Allah yang kamu harapkan, mengapa Dia berpaling?
Tidak lain tidak bukan, kamu masih pandang pada kedudukan kamu yang baru setahun
jagung. Kalau kamu benar-benar tidak memerlukan maka memberi kepada kaum fakir
miskin lebih afdal. Siapa kaum fakir miskin pada zaman ini? Fakir miskin
sekarang duit dibank, masyallah. Anak yatim? Dah senang dah . . . maklumlah
bawa tajaan kerajaan. Jadi siapa???”
“Jika ada yang bertanya, “bagaimana nak terima hadiah dari mereka yang
dikhawatir harta itu haram atau diyakini sumber dari haram” Senang aje . . .
ambek dan berikan pada orang yang memerlukan. Tak perlu nak berbahas, buang
masa aje. Sebab mereka tidak akan faham akan keindahan perbuatanNya. Bila tak
berbahas, tak datangkan dosa. Bawah pun tak kembang macam bunga ros. Kalau
mereka tak mahu bagi. Tinggalkan mereka. Mudahkan. Tak sakit kepala nak
menegakkan haq. Zaman dah berubah. Beramal lebih baik dari menunjuk jalan yang
benar”.
Hasan Al-Bashri rhm, adalah
seorang yang benar-benar bertakwa, alim dan memiliki kedudukan tinggi, meskipun
demikian beliau mahu menerima hadiah Hajjaj. Diriwayatkan juga bahawa Ibnu Umar
ra mahu menerima hadiah sultan. Beliau berkata, “Aku
tidak meminta sesuatu dari manusia, tetapi akau tidak akan menolak rezki yang
diberikan Allah”.
Keterangan:
“Fahamkan kata-kata Ibnu Umar ra itu. Maka kamu akan
dapat melihat si pemberi”. Siapa? Bagaimana? Bila?”
Jika ada seseorang yang
berkata’ “Kaum Sholihin pada masa awal tidak mahu
menerima hadiah yang diberikan sultan”. Maka menurutku, mereka
menolak kerana tempat dan keadaan mengharuskan berbuat demikian dan mereka mahu
menerimanya juga kerana tempat dan keadaan membuat mereka harus menerimanya.
Imam Syafi’I rhm pernah menolak hadiah Harun Ar-Rasyid, kerana hadiah tersebut
diberikan pada saat yang tidak tepat. Ketika itu Imam Syafi’I menasihati Harun
Ar-Rasyid hingga hatinya menjadi jinak dan lembut, lagi pula suasana majelis
sangat khusyu’ dan banyak membicarakan urusan akhirat. Tetapi diluar majlis,
Imam Syafi’I mahu menerima hadiah Harun Ar-Rasyid kerana tempatnya baik dan
keadaannya tepat. Peristiwa-peristiwa itu terjadi dalam keadaan yang berbeza.
Dahulu kaum sholihin menolak hadiah sultan kerana kehidupan zaman mudah dan
rezeki melimpah. Tetapi zaman kita ini, masyarakat mengalami kesempitan hidup;
rezeki sempit dan keuntungan sedikit. Zaman kita berbeza dengan zaman
orang-orang terdahulu. Sekiranya orang-orang terdahulu yang menolak menerima
pemberian itu dan membagikannya kepada kaum fakir miskin dan orang-orang yang
mengalami kesulitan hidup kerana keadaan dan waktu tidak berpihak kepada
mereka. Sesungguhnya tidak ada amalan yang lebih utama daripada usaha untuk
memperhatikan kaum fakir miskin dan membahagiakan anak-anak mereka.
Keterangan:
“Janganlah kamu salah faham kalau tidak mengerti
bila kamu dapati kebanyakan alim ulama tidak menerima pemberian adalah
semata-mata tempat dan keadaan tidak mengizinkan mereka berbuat demikian.
Tempat mereka akan menerima sekiranya tempat dan keadaan mengizinkan seperti
yang dilakukan oleh Imam Syafi’l. Ambillah contoh beliau didalam beramal.
Memang benar kaum sholihin menolak pemberian adalah kerana zaman mereka ketika
itu mudah dan rezeki yang diberikan Allah melimpah ruah. Tetapi dizaman kita
ini, orang ramai mengalami kesempitan hidup, rezeki sempit dan keuntungan hanya
sedikit. Sesungguhnya tidak ada amalan yang lebih utama, lebih baik daripada
usaha kamu untuk memperhatikan kaum fakir miskin dan membahagiakan anak-anak
mereka”.
Hati-hati, jangan sampai
kamu tertipu oleh syaitan sehingga kamu tidak dapat melihat kebenaran. Jangan
kamu menolak pemberian semata-mata mahu dipandang baik oleh masyarakat. Sebab,
menolak pemberian akan menyebabkan nafsu kamu merasa sombong dan mulia dan
perbuatan itu sama sekali tidak bermanfaat disisi Allah swt. Mana yang lebih
kamu suka, mendapat kedudukan yang mulia disisi Allah Yang Maha Agung atau
menjadi mulia dalam pandangan kaum awam? Manakah yang lebih utama bagi seorang
yang berakal dan berpandangan jernih, menolak atau menerima hadiah untuk
dibahagikan kepada fakir miskin? Hanya orang yang berakal tentu yakin, bahawa
menbahagikan pemberian tersebut kepada orang-orang yang memerlukan dan tidak
berharta adalah lebih utama.
Keterangan:
“Ingatlah para murid dan salik, perbuatan yang lebih
berbahaya bagi diri kamu adalah usahamu mencari pangkat dan bersikap sombong
dalam bersuluk (dalam perjalanan) dimuka bumi ini. Hati-hatilah. Sekiranya kamu
ridha terhadap kehinaan dan ridha terhadap kesedihan, maka kamu didalam
golongan ariffin pilihan. Sesiapa yang menjaga sifat kehambaan supaya tidak
sedikit pun bertentangan (berlawan) dengan sifat ketuhanan kerana mereka sangat
berhati-hati, sebab Allah swt telah berfirman kepada Musa as; “Aku tidak
menciptakan makhluk yang (untuk) menentang kekuasaanKu seperti nafsu, jika kamu
menginginkan keridhaanKu, maka tentanglah nafsu. Kaum ariffin hanya
menginginkan keridhaan Allah swt dan menyahut perintahNya untuk menentang (melawan)
hawa nafsu, maka hendak kamu mengikut mereka yang mengikut
perintah Allah Taala. Tempuhlah jalan orang-orang
yang ikhlas, yakni jalan kaum sholihin. Singkirkanlah rintangan-rintangan (apa
saja yang menghalang diri kamu) jalan kamu, jangan sampai kamu sanggup menjaga
harga diri tetapi kamu mengabaikan perkara-perkara yang bermanfaat bagimu
disisiNya. Perbuatan ini akan merosakkan keadaan kamu dan membahayakan sulukmu
(perjalanan makrifatmu)“.
“Jangan kamu lekas terpedaya dengan pemikiran, perbuatan, ajakan
sebahagian orang ramai yang tidak ada ilmu dan tidak mengamalkannya, yaitu
mereka yang dikuasai oleh hawanya. Kebanyakan kamu didalam perbuatan,
mengagungkan dan memuliakan jalan sebagian orang-orang yang zuhud seperti
mengantung gambar-gambar mereka, lukisan-lukisan mereka, membaca
nasihat-nasihat, mendengar wasiat mereka tetapi melakukan perbuatan yang tidak
diridhai (tidak disukai) oleh mereka yang kamu gantungkan gambar, lukisan,
nasihat dan wasiat mereka dan orang-orang yang berilmu serta kamu tidak
memberikan apa-apa sumbangan sedikit pun pada mereka dan juga pada agama
mereka. Mereka tidak berkehendakkan agama kamu. Sebab kamu tidak ada agama.
Kamu Cuma Pak Turut aje. Tak malu ke? Gantung sana, gantung sini, tunjuk sana,
tunjuk sini tetapi masih dalam KEGELAPAN DAN KEBODOHAN!”
“Janganlah kamu mengikuti orang awam yang cetek ilmunya yang perlu
dikasihani kerana mereka banyak meniru orang-orang yang berpenampilan, ucapan
dan perbuatanya yang sangat bertentangan dengan suruhan dan kebiasaan perbuatan
kaum sholihin. Jauhkan diri kamu dari orang awam kerana mereka juga sudah
terbiasa menjauhkan diri mereka dari orang-orang yang mengikuti sunnah Nabi
saw. Mereka lebih suka membantu orang-orang yang berkelakuan aneh, pandai
mengaku-ngaku dan pengikut mereka terdiri dari orang-orang bodoh.
Dimasa kita sekarang ini, terlalu banyak bid’ah dan
ahli bid’ah, maka kekuatan ahlil khair pun melemah. Apa yang dikatakan bid’ah?
Bid’ah adalah perkara-perkara yang tidak ada dalam agama. Apa itu ahli bid’ah?
Ialah mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak ada dalam agama.
Larilah kamu dari bid’ah dan daripada ahli bid’ah sekiranya kamu sayangkan
agamamu, sayangkan tuhanmu dan sayangkan nabimu. Kalau tak, duk aje. Allah
dan Rasul tak rugi . . . “
“Ahli khair menyedari
betapa besarnya kekuatan kebatilan kerana terlalu banyak
orang yang suka berbuat batil dan sedikit sekali yang membelanya. Semua itu
menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk lalu orang-orang yang bodoh diangkat
sebagai berkuasa. Fahamilah dan mohonlah kepada Allah supaya kita diselamatkan
dari fitnah zaman ini. Berhati-hatilah jangan sampai syaitan menipu kamu,
jangan sampai syaitan menampakkan kebatilan didalam bentuk kebenaran, sehingga
kamu menyangka kamu telah beramal kerana Allah, padahal kamu beramal kerana
nafsu kamu! Tetapi kamu tidak menyedarinya. Maka dikatakan bahawa syaitan
membukakan 99 pintu kebaikan pada seseorang, kemudian menolaknya dalam satu
pintu keburukan. Untuk mengatasi perkara ini pada hikmah saya ada 2 jalan
sahaja.
Pertama; sentiasa bermohon padaNya supaya ditunjukkan kita jalan yang benar
yang diridhai olehNya.
Kedua; sentiasa duduk bersama orang yang berilmu. Jangan pisahkan diri kamu
dengan mereka, kerana dengan kedekatan diri kamu kepada mereka akan mendapat
manfaat yang banyak kerana mereka memahami mana satu pintu kebaikan dan mana
satu pintu keburukan. Fahamilah perkara ini supaya kamu dapat menyempurnakan
semua amalanmu dengan niat-niat yang baik. Ikhlaskanlah segala amal-amal kamu
sehingga keadaan kamu menjadi baik dan jagalah hubungan dengan Allah. Jagalah
hubungan kamu dengan Allah. Jagalah hubungan kamu dengan Allah sebaik-baiknya.
Jika kamu menaruh kepercayaan kepada Allah Taala dan membantuNya, maka Allah
akan membantumu, menjaga dan melindungimu. Marilah kita sama-sama menguatkan
kepercayaan (keyakinan) kita bersama terhadap Allah Taala dan membantuNya,
membantu AgamaNya, membantu RasulNya, membantu para sholihanNya, membantu
hamba-hambaNya yang telah mendapat jalan benar. Maka Allah akan membantu kita
dan menunjukkan jalan yang benar lagi diridhaiNya. Amin Ya Rabbal
Alamin”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan