Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran
“Hendaklah kita ketahui bahawa tanpa kita sedari, Hati kita bermaksiat semasa Anggota Tubuh kita taat. Pada setiap masa salik / murid pandai bercakap-cakap tapi bodoh (gelap) hatinya. Bab ini insyallah akan menerangkan salah satu landasan amal yang sangat bermanfaat bagi sesiapa yang mahu merenungkan dan mengerjakan panduan dan nasihat oleh Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus”.
Ingatlah, maksiat yang
dilakukan oleh anggota tubuh lebih ringan dibandingkan daripada maksiat yang
dikerjakan oleh hati. Oleh itu para salik dan murid yang ingin mencapai
kebersihan dan kesucian hatinya didalam pendakian menuju kepada Allah Taala harus
mengambil berat untuk meneliti dan menyelidiki akan kedudukan hati (perbuatan
hati) dan anggota tubuhnya didalam melaksanakan ketaatan kepada Allah Taala.
“Perhatikan panduan dan kata kata hikmah dari mereka yang sudah
mengakhiri pendakian mereka supaya mendapat kejayaan dan keselamatan dunia dan
akhirat dengan mengikuti nasihat mereka diringi dengan diiringi pertolongan dan
keizinan dariNya, insyallah akan berhasil”.
1. Hanya dengan
melaksanakan ketaatan dapat mendekatkan diri salik / murid kepada Allah.
Keterangan:
“Ayat ini menyebutkan melaksanakan! Bererti para
salik / murid yang tidak mempunyai istiqamah, tidak mengambil berat, memandang
ada lain perkara yang lebih besar dari melaksanakan kewajiban-kewajiban didalam
pengabdian terhadap Allah Taala, mana mungkin dapat mendekatkan diri salik /
murid terhadap Allah Taala. Sangat-sangatlah mustahil. Tanpa disedari, kita
sudah meletakkan sesuatu yang lebih besar daripada Allah Taala. Dimana
pengucapan kita pada Allahu Akbar (Allah Maha Besar) adalah pengucapan yang
bohong yang dilontarkan (diberikan) dihadapan Allah setiap masa, khususnya
didalam Takbiratul Ihram. Astagfirullah. Ya Allah Ampunilah Dosa kami didalam
tidak kesedaran akan pengucapan kami terhadapMu”
2. Berkata kaum ariffin,
menjauhi maksiat lebih penting (baik) dibandingkan dengan memperbanyakkan
ketaatan tetapi masih bertolak-ansur pada perbuatan dosa.
Keterangan:
“Pandangan kaum ariffin didalam perkataan mereka
menunjukkan sebagai salik / murid bukan mudah untuk melaksanakan ketaatan di dalam
peribadahan terhadap Allah Taala tanpa kesedaran dan persiapan yang bersih dan
kosong hati selain Allah Taala semasa mengadap kepadaNya. Oleh kerana
kekurangan faham (tidak faham, tidak ada ilmu, tipis kefahaman, salah faham,
hati yang lebih banyak asyik dan harap dunia dan isinya, banyak was-was dan
sangsi dan lain lain) didalam kesedaran dan persiapan yang dimiliki oleh salik
dan murid dalam perkara Iman, Tauhid dan Hukum-hukum Syariat, itulah
penyebabnya semasa mengadap Allah Taala tanpa Ilmu sangat bahaya. Maka bagi
langkah awal bagi salik dan murid didalam pendakian mereka hendaklah menekankan
dalam menjauhi maksiat dan dosa. Itu lebih mudah dari melakukan ketaatan.
Ingat! Sekiranya menjauhi maksiat dan dosa tidak dapat juga dikerjakan lebih
baik engkau menghilangkan diri dari bumiNya. Mengapa begitu, sampai
menghilangkan diri dari bumiNya? Ketaatan sangat-sangat berat untuk salik dan
murid menjalaninya dengan kebersihan hati daripada maksiat dihadapan Allah
tanpa ada ingatan selain daripada Allah Taala. Maka perkara yang lebih ringan
daripada ketaatan dari sholat adalah menjauhi maksiat seberapa yang boleh.
Isyarat ini bukan menunjukkan supaya ditinggakanl ketaatan terhadap Allah Taala
lebih-lebih mendirikan dalam sholat. Jangan salah faham. Kewajipan tetap
kewajiban“.
3. Ibnu Abbas ra pernah
ditanya; “Bagaimana pendapatnya tentang 2 orang
berikut;
Pertama; Orang yang kebaikannya banyak dan
keburukannya juga banyak.
Kedua; Orang yang kebaikannya sedikit dan
keburukannya juga sedikit”.
Beliau menjawab, “Aku tidak akan membandingkan
keselamatan dengan apa pun”.
Ibadah memiliki 2 bahagian:
Pertama; Melaksanakan Perintah dan Menjauhi Larangan, adalah seperti orang yang
menderita penyakit. Siapa yang sakit? Para Salik dan Murid yang kononnya ingin
mengenal Allah Taala dan berkeinginan untuk menuju kepadaNya samada niat dan
tujuan mereka benar ataupun tidak. Kerana salik dan murid mengetahui benar
dengan ilmu bahawa untuk melaksanakan perintah-perintahNya harus dengan hati
yang bersih dari segala-galanya dan
disertai dengan keikhlasan hati. Untuk melaksanakan perintahNya dan mengadap
kepadaNya dengan keadaan demikian sangat-sangat sukar bagi salik dan murid
kerana mereka sentiasa mengadap kepada Allah Taala dengan Hati Yang Maksiat.
Cara pengubatan bagi salik dan
murid yang menderita penyakit boleh dilaksanakan dengan 2 cara:
Memakan Ubat dan Berpantang;
Apa itu Memakan Ubat dan apa itu Berpantang? Memakan Ubat: bermaksud
mengerjakan sepenuh ketaatan didalam perintahNya dengan kebersihan hati dan
ikhlas tanpa merasa keberatan untuk mengerjakannya (diserahkan kembali)
dihadapan Allah Taala didalam pengabdian. Juga mempunyai rasa tanggung-jawab
menjunjung tinggi diatas kepalanya akan perintah-perintah Allah Taala tanpa
alasan apapun juga.
Berpantang: bermaksud menjauhi segala larangan-laranganNya dengan keseluruhan.
Lari daripada apa yang dihukumkanNya akan larangan-larangan keatas HambaNya.
Maksud lagi satu pada
Memakan Obat dan Berpantang seperti berikut;
Memakan Obat: – Ilmu Pengetahuan Agama dengan belajar.
Berpantang: – Amal, mengamalkan apa yang didapati dari Ilmu Pengetahuan.
Sekiranya hanya salah-satu
yang boleh dilaksanakan salik dan murid, maka Berpantang lebih utama. Sebab
ubat tidak akan bermanfaat (tak ada gunanya) jika salik dan murid tidak
MENTAATI LARANGAN DOKTOR. Bahkan, kadang-kala hanya berpantang, tanpa memakan
Ubat, sipesakit (salik dan murid) boleh sembuh. Rasulullah saw bersabda: “Pokok Pangkal semua ubat adalah Berpantang”.
Keterangan:
“Bermaksud, Ilmu Pengetahuan tidak berguna tanpa
Mengamalkannya”. Apa gunanya menimba ilmu, kalau tidak mahu berjuang keras!
Hanya tebalkan buku catitan dan menghabiskan dakwat”.
Perhatikan:
Salik dan Murid disuruh menjunjung tinggi perintah-perintahNya diatas kepala.
Sedangkan Allah menjunjung tinggi larangan-laranganNya. Sesiapa yang dapat
menjauhi (jauh, jauh, jauh) larangan-larangan Allah, dialah hambaNya yang TAAT.
4. Seorang Arifbillah
berkata: “Orang yang melakukan ketaatan tidak menjadi
dekat kepada Allah Taala tetapi orang yang menjauhi laranganNya boleh menjadi
dekat kepadaNya”. Sebab, kebajikan dapat dikerjakan setiap orang:
baik atau jahat. Tetapi yang mampu menjauhi dosa hanyalah orang yang shidq
(benar) dan muqarrab (dekat dengan Allah).
Keterangan:
“Perhatikan kata arifbillah ini; ‘ketaatan tidak
boleh mendekatkan seseorang kepada Allah tetapi menjauhi (lari)
larangan-laranganNya boleh mendekatkan diri kepadaNya’. Kerana salik dan murid
mengadap kepadaNya dengan Hati Yang BerMaksiat, mana mungkin dapat mendekatkan
diri kepadaNya. Lain pula dengan salik dan murid yang dapat menjauhkan diri
dari laranganNya termasuk tidak bersyubhat walau sedikitpun boleh mendekatkan
diri mereka dimana mereka mendapat penghormatan sebagai orang yang shidq
(benar)ndan orang yang muqarrab”.
5. Oleh kerana sering
kalinya salik dan murid melakukan banyak amal kebajikan tetapi jiwa dan hati
mereka tetap kotor. Perkara begini disebabkan kerana mereka tidak meletakkan
AMALnya dengan TAKWA dan sesuka hati mereka melakukan perbuatan HARAM &
SYUBHAT sehingga tidak sedar hati mereka menjadi ROSAK.
Keterangan:
“Secara keseluhuran, kebanyakkan salik dan murid
mempunyai niat dan tujuan yang benar didalam mencari makrifah dan belajar
cara-cara mendekatkan diri dengan ketaatan kepada Allah Taala. Kebanyakkan
salik dan murid jatuh, gugur didalam tahap demi tahap dalam penyucian hati dan
jiwa menjalani pendakian mereka kerana merasa sangat berat untuk membuang
segala tabiat-tabiat buruk yang selama ini sudah melekat pada hati dan jiwa
mereka. Mereka merasa apa saja yang mereka ingin lakukan tidak diizinkan oleh
Syariat Allah Taala. Salik dan Murid ini berada didalam kerunsingan, disebelah
pihak menarik kepada ketaatan pada ketaatan dan larangan, disebelah pihak
menarik untuk melakukan larangan-larangan Allah Taala. Mereka sedar dan yakin
bahawa melanggar larangan Allah akan mengakibatkan dosa dan mereka akan behenti
dari pendakian mungkin lebih teruk, jatuh dari pendakian mereka. Apakah yang
membuat salik dan murid berada didalam kerunsingan, sedangkan mereka mengetahui
bahawa ketaatan adalah puncak pendakian mereka? Ini tidak lain adalah jiwa
mereka masih menginginkan untuk bercampur-gaul dengan para kenalan, famili,
kaum kerabat dan lain-lain walaupun pencampuran (pergaulan) mereka mengandungi
unsur fitnah, percakapan keji, mengandungi semua maksiat pada anggota badan dan
banyak lagi. Inilah sebabnya salik dan murid gugur, terjebak dalam permainan
syaitan. Keinginan tidak mahu berpisah dengan mereka kerana merasakan berat
menjalankan kewajipan yang disyariatkan dan mungkin juga timbul dalam diri
salik dan murid diperlukan. Bolehlah tunjuk pada orang lain dia ada ilmu. Atau
mungkin tidak boleh bersendirian seorang diri. Merasa gelisah semacam aje bila
tidak berjumpa kenalan. Rasa panas!!!”
6. Ka’bul Ahbar berkata: “Akan engkau jumpa seseorang yang banyak mengerjakan kebajikan tetapi
disisi Allah Taala nilainya tak lebih dari bangkai seekor keldai kerana ilmunya
sedikit; hati dan bashirahnya buta. (ulama lain ada mengatakan tak lebih dari
bangkai sebelah sayap lalai). Dan akan engkau jumpa seseorang yang tidak
mengunakan waktu malamnya untuk beribadah dan siang harinya untuk berpuasa
sunnah, tetapi disisi Allah Taala mereka termasuk dalam deretan Kaum Muqarrabin
kerana ketinggian Akalnya“.
Keterangan:
“Ayat diatas menunjukkan seseorang yang banyak mengerjakan
kebajikan mungkin tidak ada nilai disisi Allah tetapi seseorang yang tidak
mengunakan waktu malam untuk beribadah pada Allah dimasukkan kedalam kumpulan
Kaum Muqarrabin! Mana mungkin begitu? Sepatutnya sesiapa yang bekerja pada
Tuhan dapat masuk kedalam kumpulan itu, ini tidak! Yang tidak bekerja banyak
dimasukkan kekumpulan tersebut. Mana boleh. Tak aceeelah! Maka ketahuilah yang
banyak mengerjakan kebaikan hati mereka mengandungi maksiat dan mempunyai
maksud, pada Allah Taala, tetapi yang tidak mengunakan waktu malam untuk
beribadah dikumpulkan bersama Kaum Muqarrabin oleh kerana sebab Ketinggian
Akal. Ketinggian Akal bermaksud; Ketinggian Ilmu Mengenai Allah. Mengetahui
segala Hukum-Hukum Syariat dan Pelaksanaannya, Mempunyai Kebersihan Hati dan
Jiwanya menjalani Penghidupan yang sementara ini. Menyakini Umurnya pendek.
Mempersiapkan diri mereka menghadapi Maut dengan tidak melengahkan dan merasai
seolah-olah Maut Menanti dan akan menjemput bila-bila masa saja. Memandang
Akhirat dihadapan dan meletakkan Dunia dibelakang. Yang paling penting sekali
mereka ini dapat menjauhi diri mereka dari melakukan maksiat dan dosa. Apa saja
yang Haram dijauhinya, apa saja yang syubhat mereka lari daripadanya”
7. Amal mempunyai berbagai
rahsia yang tersembunyi dan cara-cara mereka yang mulia. Bukan semua orang yang
beramal dapat merasakan kesannya kerana setiap amal memerlukan adab-adab yang
baik dan asas-asas penting yang tersembunyi dalam batin. Jika salik dan murid
yang berhati bersih beramal dan mengetahui rahsia amalannya, maka tanda-tanda
pengabulan akan nampak dan cahaya wushul akan menyinarinya. Tetapi jika salik
dan murid beramal yang batinnya gelap dan jiwanya buruk, maka mereka akan
semakin buta dan tersesat jauh, jauh dari Allah Taala.
Keterangan:
“Salik dan Murid bila beramal, tidak mahu mengambil
rahsia-rahsia yang tersembunyi disebalik amalan-amalan mereka. Mereka hanya
memandang amal-amal mereka dengan tidak menerapkan dari mana amal-amal itu
datang, kepunyaan siapa, bagaimana amal itu dapat dikerjakannya dan seterusnya.
Dengan tidak ada adab-adab dalam beramal maka kemanisan (atau pucuk pangkal
amal) itu tidak akan memberikan kesan pada pelakunya (salik dan murid).
Ingatlah! Setiap amal ada adab-adab harus difahami dan dilaksanakan adab-adab
itu untuk membuahkan kesan dalam diri pelaku. Bila hati salik dan murid yang
beramal sudah bersih dari segala maksiat dan syirik yang tersembunyi dalam
batin, hilang, maka tanda-tanda pengabulan (pencapaian) akan kelihatan dan
cahaya wushul (sampai) akan meyelubungi si salik dan murid. Apa itu tanda
pengabulan (pencapaian) dan apa itu cahaya wushul (cahaya sampai)?
Pertama: Pengabulan? Pengabulan bermaksud; dapat
menjalani ibadah ketaatan kepada Allah Taala atas izinNya (dengan keridhaan
Allah Taala). Tanda pengabulan bermaksud; Hati dan Anggota Badan menangani
Ibadah Ketaatan dengan SENANG dan RINGAN tanpa merasa berat sedikit pun juga
dan tidak melengah-lengahkan dan menerima jemputan dari Allah Taala dengan
senang hati.. Itulah Pengabulan dan Pencapaian.
Kedua; Cahaya Wushul (cahaya yang menyampaikan
salik dan murid kepada Allah Taala) bermaksud; Cahaya Allah yang menarik salik
dan murid atas IradahNya (kehendaknya untuk menghadiri jemputanNya) dan Tanda
Cahaya Wushul itu adalah didalam pergerakkan dan perbuatan mereka yang
diselubungi dengan KETENANGAN. Duduk Diam Dalam Ketenangan. Berjalan Dalam
Ketenangan. Bercakap Dalam Ketenangan. Berfikir Dalam Ketenangan. Melihat Dalam
Ketenangan. Mendengar Dalam Ketenangan. Merenung Dalam Ketenangan. Pokoknya
KEHIDUPAN mereka diSELUBUNGI KETENANGAN. Bagi salik dan murid yang beramal yang
hatinya gelap dan perangai tabiatnya buruk, maka akan semakin buta. Oleh kerana
kebutaannya bertambah, disebabkan tidak mendapat cahaya wushul, hari demi hari
mereka sesat dan jauh dari pandangan, perlindungan, bantuan dan pertolongan
Allah Taala”
8. Saiyidina Ali berkata: “Orang yang beribadah tanpa ilmu seperti keldai yang menggiling tepung,
dia berjalan mengilingi penggilingan dan tidak berganjak dari tempatnya”
Keterangan:
“Sesiapa yang mengerjakan perintah dan larangan
Allah Taala dengan tidak disertai oleh ilmu pengetahuan, disamakan dengan
seekor keldai yang asyik berpusing ditempat pengilingan tepung. Mengapa?
disebabkan mata keledai itu dipakaikan penutup mata.
Bermaksud; Keledai itu tidak dapat melihat. Maka
keledai itu ingat dia dah berjalan sangat jauh tetapi masih ditempat yang sama.
Begitu juga dengan salik dan murid yang mengerjakan perintah dan larangan Allah
tanpa ilmu pengetahuan agama untuk menunjukkan jalan yang benar (terang) maka
butalah mata zahir dan mata hati si salik dan murid itu. Mereka ingat apa yang
mereka kerjakan diterima oleh Allah tetapi sia sia sahaja”
9. Janganlah beramal dengan
kebodohan kerana dengan kebodohan itu akan membuahkan bencana bagi pengamalnya
dan ilmu yang dimiliki hanya akan menyesatkannya.
Keterangan:
“Jangan mengamalkan perintah dan larangan Allah
Taala tanpa mengetahui hukum-hukumnya Sah, Batal, Wajib, Haram, Harus dan lain
lain. Tanpa mengetahui hukum-hukumNya bagaimana mungkin seseorang mengerjakan
perintah dan larangan Allah hanya semata-mata menjadi Pak Turut saja. Maka
segala amalnya ditolak oleh Allah Taala dan akan menyesatkannya kerana dia
anggap apa yang dikerjakan betul”.
10. Sesiapa yang ingin
hatinya bercahaya hendaknya meneliti (melihat) dirinya. JANGAN BERTOLAK ANSUR
pada perbuatan yang SYUBHAT DAN HARAM dan berusaha menjauhi segala DOSA dengan
segenap JIWA DAN RAGA. Barangsiapa dapat melaksanakannya akan mendapatkan
banyak manfaat, melapangkan dada dan menenangkan nafs.
Keterangan:
“Wahai para salik dan murid murid; Kamu semua
menginginkan hati yang bercahaya (hati yang dapat cahaya dari Allah) hati yang
dapat keridhaanNya atas setiap gerak dan perbuatan kamu. Untuk mendapatkannya
dengan cara mudah adalah melihat akan kesalahan diri, jangan melibatkan diri
dengan perbuatan yang mendatangkan kesalahan. Jangan melihat kesalahan orang
lain. Bahaya yang ada pada melihat kesalahan orang lain akan memadamkan mata
hati sendiri untuk melihat kesalahan diri! Jangan sekali-kali bertolak ansur
pada perbuatan perbuatan yang mengandungi syubhat dan haram. Larilah kamu
jauh-jauh. Tinggalkan mereka, jangan terjebak oleh permainan syaitan. Jangan
rasa sedih bila meninggalkan mereka (famili, kenalan, kaum kerabat) yang
terperangkap dalam perbuatan syubhat dan haram. Kalau tidak tahu apa perbuatan
yang mengandungi syubhat dan perbuatan haram maka HABISLAH JAWAPANNYA. Sesiapa
yang dapat melaksanakan panduan ini insyallah akan dapat banyak manfaat
(kebaikan-kebaikan), melapangkan dada (dadanya dipenuhi oleh ilmu) dan
menenangkan nafs (hati dan jiwanya) dapat ketenangan. Perhatikan baik-baik
masaalah ini kerana kamu akan dibalas sesuai dengan perbuatan kamu”
11. Perhatikan peringatan
dan jaminan dari Allah Taala dalam surah Taha 20:124; “Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanKU (sesiapa yang tidak
melaksanakan perintah dan larangan daripadaNya sesudah mengetahui HukumNya)
maka sesungguhnya penghidupan yang sempit (diberikan kehidupan didunia penuh
dengan bala bencana samada dengan sedar atau tanpa kesedaran) dan Kami akan
menghimpunkannya pada hari Qiamat dalam keadaan buta (dicabut nyawanya dengan
Suul Khatimah (pensudahan yang buruk) dikumpulkan pada mereka dalam kumpulan
orang-orang yang INGKAR”. Ulama mentafsirkan ayat ini dengan
mengatakan Allah akan memberikanya Rezeki Haram yang dapat menyebabkan
kehidupannya menjadi sempit. Kerana makanan dari sumber yang haram akan membuat
dada menjadi sempit (tidak boleh menerima nasihat, tidak boleh diajak kepada
kebaikan) dan mempunyai perangai yang sangat buruk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan