Catatan Popular

Rabu, 25 November 2020

RAHSIA ILMU KAUM MUQARRABIN : BAB 25 HUBUNGAN NALURI DAN AKAL

Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran

Hubungan Naluri Dengan Akal

Sehubungan dengan apa yang telah kujelaskan, sesungguhnya ada sekelompok manusia yang tercela. Tabiat mereka buruk dan suka menipu. Keadaan mereka menyerupai orang-orang berakal. Namun sebenarnya mereka bukan dari kelompok orang yang berakal sebagaimana yang akan kujelaskan. Kamu akan melihat orang yang berakhlak tercela ini memiliki akhlak syaitan dan otak yang cemerlang. Mereka menggunakan naluri (idrak) untuk memahami berbagai hal. Sumber naluri (idrak) adalah nafs. Aku menjelaskan erti akal dan penipuan agar tujuan penulisan buku ini tercapai.

Keterangan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur bagi Allah Taala dengan taufiq dan hidayahNya mengizinkan kita sampai kepada bab terakhir didalam kitab “Rahsia Ilmu Kaum Muqarabbin” yang diilhamkan oleh Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus. Semoga Allah Taala memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada Nabi Muhammad saw dan Ahlul Baitnya serta para Sahabat-sahabatnya. Amin. Sehubungan dengan tajuk diatas yang telah dijelaskan oleh Habib Muhammad, ada segolongan manusia yang tercela. Golongan ini berperangai buruk dan sangat suka menipu @ bertopeng. Mereka seolah-olah menyerupai orang-orang yang berakal dan suka bersama dengan mereka yang mempunyai akal. Tetapi hakikat sebenarnya mereka bukan terdiri dari golongan yang berakal yang mendapat taufiq dan hidayah dari Allah Taala. Golongan yang berperangai buruk ini memiliki akhlak (tata cara) syaitan dan yang anehnya, memiliki otak yang cemerlang. Mereka mengunakan gerak hati untuk memahami berbagai perkara dan sumber gerak hati mereka datangnya dari nafs. Oleh kerana golongan yang berperangai buruk ini memiliki otak yang cemerlang dan mendapat dorongan dari nafsnya supaya penipuan dan tujuan mereka tercapai”.

Sesungguhnya agama disusun berdasarkan akal. Telah disebutkan bahawa agama seseorang sesuai dengan kemampuan akalnya. Menipu adalah perilaku yang sangat buruk. Si penipu memiliki pemahaman mendalam tentang hal-hal yang tercela dan dapat dengan cepat memanfaatkannya. Kemampuannya ini ia peroleh dari kekuatan naluri (idrak), sama sekali tidak ada hubungan dengan akal. Kelompok ini sangat hina dalam pandangan orang-orang yang berakal. Hati mereka buta dan pandangan mereka buruk. Andaikata mereka memiliki pemikiran dan pendapat yang baik tentu keadaan mereka tidak akan kacau. Dan mereka tidak akan memilih kedudukan yang hina dengan melakukan perbuatan buruk, menyakiti hati orang lain dan merendahkan mereka.

Keterangan:
Ketahuilah, agama itu disusun berdasarkan akal. Dan setiap manusia menyakini agama yang dianuti mengikuti dengan kemampuan akalnya. Sifat suka menipu adalah perangai yang sangat buruk dan dilarang keras oleh agama Islam. Akhlak si penipu ini diberikan kefahaman yang mendalam tentang perkara-perkara yang buruk lagi hina dan dengan kecepatan dapat mengunakan kefahaman menipu dengan cepat dan tepat. Kemampuan menipu yang diperolehi datangnya dari kekuatan gerak hati dan sama sekali tidak ada kena mengena dengan akal. Golongan ini sangat-sangat hina dalam pandangan orang-orang yang berakal. Hati mereka buta dan pandangan mereka buruk. Ini dikeranakan hati mereka gelap dan pencarian mereka hanya tertumpu pada melakukan perkara keburukan dan tujuan mereka adalah menarik perhatian orang-orang berakal berpaling daripada Allah Taala. Sekiranya mereka ada pemikiran dan pendapat yang baik sudah tentu mereka tidak akan membuat kacau dimuka bumi ini. Dan sekali gus, mereka tidak akan memilih untuk duduk pada tempat yang hina dengan melakukan perbuatan buruk, suka menyakiti orang lain dan suka merendahkan mereka”.

Naluri (idrak) bukan merupakan suatu keutamaan dan pemiliknya tidak boleh digolongkan sebagai orang yang berakal. Sebab, banyak haiwan yang nalurinya (idrak) lebih kuat dari manusia. Bukan kah kamu melihat bagaimana burung dapat mengetahui pergantian musim dalam setahun dan perbezaan waktu yang bahkan tidak diketahui oleh orang-orang cerdas dan mulia sekali pun. Namun kemampuan burung tersebut bukanlah suatu keutamaan. Kemuliaan adalah bagi orang-orang yang berakal, yaitu orang-orang yang memiliki pemikiran baik dan akhlak terpuji, yang suka berbuat baik dan hatinya selamat.

Keterangan:
Mereka yang bersandarkan gerak hati bukan merupakan suatu keutamaan dan pemiliknya tidak digolongkan sebagai orang yang berakal. Banyak haiwan seperti burung yang mempunyai gerak hati yang lebih kuat dari manusia dimana mereka mengetahui pergantian musim dalam setahun dan juga perbezaan waktu, malah tidak diketahui oleh orang-orang yang cerdas dan mulia sekali pun. Ingat, kemampuan burung tersebut bukanlah satu keutamaan. Kemuliaan terletak pada orang-orang yang berakal, yaitu orang-orang yang mempunyai pemikiran baik dan akhlak mulia, suka berbuat baik dan hati yang selamat. Sekiranya seseorang memperagakan seperti seorang yang berakal maka lihatlah dimana dia menyalurkan akalnya! Hati yang selamat adalah hati yang mengetahui untuk menghalang daripada melakukan perbuatan buruk, menyakiti orang lain, merendahkan orang lain dan apa saja yang dilarang oleh agama. Itulah maksud hati yang selamat”.

Kamu akan melihat si penipu ini sangat pandai berbuat buruk dan menundukkan masyarakat, tapi tidak pandai mengurus dirinya sendiri. Andaikata akalnya waras, tentu ia akan berbuat baik kepada dirinya, sebab sebuah pemikiran (tsamaratul ‘aql) pasti berupa kegiatan yang baik.

Keterangan:
Orang yang suka menipu sangat pandai berbuat buruk dan boleh menundukkan masyarakat dengan ilmu buruknya itu. Tetapi mereka tidak tahu mengurus diri mereka sendiri. Sekiranya mereka mempunyai akal yang waras, sudah tentu mereka akan mengerjakan perbuatan baik keatas diri mereka dan terhadap orang lain, kerana pemikiran yang sempurna akan membuahkan perbuatan yang baik”.

Bukankah kamu pernah mendengar ucapan Imam Syafie rhm, “Andaikan ada seseorang mewasiatkan 1/3 hartanya untuk diberikan kepada orang yang paling berakal, aku berpendapat agar harta tersebut diberikan kepada orang-orang yang suka berzuhud di dunia”. Pendapat ini beliau sampaikan kerana beliau melihat para ahli zuhud telah melakukan suatu perbuatan yang sangat baik bagi dirinya, yakni meninggalkan dunia yang hina. Berkat usaha mereka yang baik ini, maka Syafie memandang mereka sebagai orang yang paling berakal. Fahamilah keterangan yang jelas ini.

Keterangan:
“Lihatlah pada pendapat dan sanjungan kedudukan yang diberikan Imam Syafie rhm kepada orang berakal yang berzuhud. Dimana beliau mewasiatkan, mengeluarkan 1/3 daripada harta dan menyokongkan kepada sesiapa yang berkeinginan berbuat demikian. Ini tidak lain kerana beliau melihat ahli zuhud melakukan sesuatu perbuatan yang baik bagi dirinya dengan meninggalkan dunia yang tergila-gilakan oleh manusia. Oleh kerana berkat usaha mereka Imam Syafie memandang mereka sebagai orang yang paling berakal kerana dunia tidak dapat membudakkan mereka”.

Jarang dalam diri seseorang terhimpun akal yang sihat dan naluri (idrak) yang kuat. Bahkan hampir tidak ada. Pada umumnya, semakin kuat naluri (idrak) seseorang, maka semakin kurang sempurna akalnya. Dan semakin sempurna akalnya, maka semakin buruk nalurinya (idrak). Sebab, orang yang berakal selalu berpikir, sibuk mengurai dan membeza-bezakan segala hal, sehingga (otaknya) sulit untuk menghafal dan bersikap teliti.

Keterangan:
Tidak terhimpun (memiliki) akal yang sihat dan gerak hati yang kuat pada seseorang sekali gus! Secara keseluruhan, kalau gerak hatinya kuat maka kurang sempurna akalnya dan kalau sempurna (baik) akalnya maka lemahlah gerak hatinya. Kedua keadaan itu berbeza kerana orang yang berakal senantiasa berpikir mengenai dirinya yang senantiasa lemah dan melakukan dosa, mereka sibuk dengan meneliti diri mereka dan senantiasa melihat perbuatan yang ingin dilakukan samada manfaat ataupun tidak, sehingga mereka tidak ada masa dan susah untuk menghafal sesuatu kerana keinginan untuk bersikap meneliti yang diutamakannya mereka”.

Orang yang lemah akalnya sedikit berfikir, sehingga nalurinya (idrak) lebih mampu untuk meneliti dan menghafal segala sesuatu. Inilah sebabnya orang yang memiliki naluri (idrak), mempunyai daya hafal yang lebih kuat dan kemampuan berfikir yang lebih rendah. Kerana kesempurnaan itu sangat jarang, maka jarang dalam diri seseorang terhimpun kemampuan berpikir dan menghafal.

Keterangan:
Bagi orang yang lemah akalnya, mereka sedikit pada berfikir hinggakan gerak hati mereka lebih kuat untuk meneliti dan menghapal sesuatu. Fahamilah, orang yang memiliki gerak hati mempunyai kekuatan menghafal yang lebih kuat dan kemampuan untuk berfikir yang lebih rendah. Jarang sekali dalam diri seseorang terkumpul berfikir dan menghafal kerana kesempurnaan sangat jarang”.

Segala sesuatu di alam ini saling melengkapi dan dapat diperhitungkan. Jika seseorang mempunyai kelebihan dalam suatu segi, maka ia akan memiliki kekurangan dalam segi yang lain. Sebagaimana dalam masalah akal dan harta, jarang kedua hal ini terhimpun pada diri seseorang. Setiap kali agama, akal dan muruah seseorang membaik, maka keadaan duniawinya memburuk dan mengecil. Bahkan ia hampir tidak memperoleh bahagian duniawi sama sekali. Kaedah ini hampir tidak pernah meleset. Dikatakan bahawa Allah berfirman kepada Daud as,
Sesungguhnya Aku tidak akan menghimpun kecerdasan dan rezeki dalam diri seseorang”. Keadaan seperti ini bertingkat-tingkat dalam masyarakat. Setiap kali kedudukan seseorang meningkat dan mendekati kesempurnaan, maka keberuntungannya akan berkurang sebesar itu pula, dan dunia akan bermuka masam dan lari meninggalkannya. Dalam keadaan inilah manusia akan (menjadi) sendiri, menghadapi sedikit masalah kehidupan dan sebagian besar usahanya tidak membuahkan hasil. Inilah salah satu rahsia alam dan sunnah yang berlaku.

“Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapati perubahan pada sunnah Allah”

QS Al-Ahzab, 33:62

Keterangan:
Ketahuilah, akal dan muruah (usaha seseorang untuk melaksanakan semua perkara yang dianggap baik dan menjauhi semua perkara yang dianggap buruk oleh masyarakat) seseorang meningkat, maka keadaan dunianya akan hina. Kadang-kadang hampir ia tidak mendapat bahagian dunia sama sekali seperti yang difirmankan oleh Allah Taala kepada Daud as: ”Aku tidak akan mengumpulkan cerdas dan rezeki dalam diri seseorang”. Hendaknya kamu ketahui tingkat-tingakat dalam masyarakat berbeza, setiap kali kedudukkan seseorang meningkat dan mendekati kesempurnaan, maka keuntungannya akan berkurang dan dunia akan lari meninggalkannya kerana dunia mengetahui bahawa dirinya tidak lagi diperlukan. Dalam keadaan begini manusia akan menjadi sendirian dan menghadapi sedikit masalah kehidupan dan sebahagian besar usahanya tidak mendatangkan hasil. Itulah rahsia alam dan sunnah yang berlaku”.

Orang-orang yang berakal menganggap penipu sangat bodoh, tolol dan tidak memiliki
pemikiran (pertimbangan). Sebab, penipuan dan kebodohan adalah 2 sisi kekurangan.
Sedangkan akal terletak di tengah-tengahnya, dan kamu telah mengetahui bahawa
:

“Sebaik-baik perkara adalah yang tengah-tengah” (HR Ibnu Sam’ani)

HR Ibnu Sam’ani

Keterangan:
Orang yang berakal menganggap penipu sangat bodoh dan tidak memiliki pemikiran untuk mempertimbangkan kelakuan yang ingin dilakukan. Sebenarnya penipuan dan kebodohan adalah 2 perkara yang berbeza. Penipuan dilakukan oleh orang yang berakal sedangkan kebodohan hanya dilakukan oleh orang yang akalnya gelap. Kerana perbuatan menipu memerlukan akal untuk mengetahui cara-cara menipu sedangkan kebodohan adalah mereka yang tidak dapat memahami cara-cara untuk menipu oleh kerana akal gelap yang dimilikinya”.

Penipu kadang kala adalah seorang yang berilmu dan berpenampilan menarik, tapi kerana akalnya tidak bercahaya dan ia tidak berbuat baik, maka masyarakat merendahkan dan menghinakannya. Sedangkan orang berakal yang baik, meski ilmunya sedikit, tapi kerana memiliki jiwa yang bersinar dan hati yang selamat, maka masyarakat memuliakan dan mengagungkannya. Dikatakan bahawa seorang penipu adalah mitra orang yang ditipu, hanya saja keadaan dan akibat yang akan ditanggung oleh penipu jauh lebih buruk.

Keterangan:
Kadang kala seorang yang berilmu dan berpenampilan gagah penuh dengan pemakaian sunnah-sunnah Rasul tetapi sebenarnya adalah seorang penipu. Dia ingin menghidupkan sunnah Rasul tetapi malangnya merasa besar diri ala ulama, seperti orang yang memiliki ilmu dan sebagainya. Mereka ini hanya nampak apa yang digayakan pada alim ulama tetapi tidak mahu mencontohi mereka dari segi ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhi dunia. Maka masyarakat akan mengenal mana yang tulin mana yang palsu. Manakala orang yang berakal baik, walaupun ilmunya sedikit tetapi mereka memiliki jiwa yang bercahaya dan hati yang selamat dari perbuatan mungkar, maka masyarakat akan memuliakan dan mengagungkannya. Ketahuilah bahawa seorang penipu mudah mengenal penipu, sebab kedua-duanya penipu. Begitu juga dengan orang mukmin mudah mengenal orang mukmin kerana keduanya mukmin. Itulah yang dikatakan cermin”.

Ketahuilah, syarat untuk memiliki akal yang sihat adalah keharusan untuk berbuat baik dan berhati selamat. Dan syarat untuk menjadi seorang penipu adalah kegemaran untuk berbuat buruk dan berhati kotor.

 

Tiada ulasan: