Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran
Iman & Keikhlasan
Dalam bab sebelumnya telah kujelaskan masalah perbaikan tekad (azam) dan niat,
serta perlunya semangat (himmah) dalam memulai suatu amal. Sekarang aku hendak
memperingatkan supaya jangan sampai seseorang berbuat kebajikan untuk selain
Allah swt.
Nabi saw bersabda;
“Jangan menuntut ilmu untuk membanggakan diri kepada para ulama, mendebat
orang-orang yang bodoh dan menyombongkan diri dalam majelis. Barangsiapa
berbuat demikian, tempatnya dineraka, dineraka”
HR-Ibnu Majah
Keterangan:
“Bab ini akan menjelaskan peranan
tekad (azam), niat dan semangat (himmah) dalam mengorak setiap langkah untuk
mengerjakan amal ibadah. Maka diingatkan dengan sekeras-kerannya dimana
peringatan ini disampaikan kepada setiap murid dan salik daripada membuat
sesuatu amal ibadah atau kebajikan dimana tidak (bukan) ditujukan kepada Allah
Taala. Larangan ini juga disampaikan oleh Nabi saw seperti hadits diatas yang
melarang keras kepada semua pelajar agama supaya jangan membanggakan diri pada
para ulama, yaitu jangan kamu hendak menunjukkan kehebatan diri, jangan
menonjolkan diri, jangan cuba hendak membeza-bezakan ulama, jangan
menyombongkan diri dalam majlis ilmu atau apapun majlis yang diredhai.
Barangsiapa yang berbuat demikian maka tempatnya dineraka, dineraka“.
“Nabi
saw; menekankan pada ayat hadits yang penghabisan itu dua kali iaitu dineraka,
dineraka. Beliau bermaksud tidak ada alasan yang boleh diterima dari mereka
yang melakukan perbuatan itu”.
Diriwayatkan
bahawa Allah swt berfirman dalam salah satu kitab terdahulu, “Sesungguhnya tidak setiap ucapan ahli hikmah
Kuterima, namun yang Kuperhatikan adalah semangat (himmah/ham) dan hawa-nya.
Jika semangat (ham) dan hawa-nya ditujukan kepadaKu, maka Aku akan menjadikan
diamnya sebagai zikir dan pandangan matanya dapat mengambil pelajaran dari
semua yang disaksikannya”.
Keterangan:
“Hikmah yang boleh diambil dari ayat
diatas menunjukkan pada kita bahawa Allah tidak menerima semua kata-kata dari
ahli hikmah (ariffin) tetapi Allah melihat pada semangat (daya keinginan) dan
hawanya. Sekiranya semangat dan hawanya ditujukan kepada Allah, maka Allah akan
menjadikan gerak diamnya sebagai zikir dan segala pemandangan matanya dapat
mengambil ibtibar dari segala yang disaksikannya. Begitu juga kepada murid dan
salik, hendaknya kamu menujukan segala semangat dan hawa kamu kepadaNya dan
mudah-mudahan kamu juga mendapat apa yang dikurniakanNya pada ahli hikmah”.
Wahai
manusia sekalian, hati-hati, jangan kamu berpenampilan ahli zuhud dengan tujuan
supaya berbeza dari masyarakat, sehingga kamu dikenal dan dimuliakan, atau
dengan tujuan untuk mencari harta benda dunia yang sesungguhnya sangat rendah
nilainya. Perbuatan ini dalam pandangan Allah swt sangat hina. Seorang salik
seharusnya menghindari perbuatan ini dan tidak meremehkannya, sebab perbuatan
ini akan membuka berbagai pintu mara bahaya yang dapat merosak hati tanpa ia
sedari. Sayidina Ali berkata; “Orang
yang mengamalkan (ajaran) agama untuk (memperoleh kenikmatan) dunia, maka
balasan Allah baginya adalah neraka”.
Keterangan:
“Seruan ini ditujukan kepada semua
manusia terutamanya kepada murid dan salik jangan sekali-kali akan keinginan
untuk memperagakan (bergaya) seperti seorang ahli zuhud ataupun orang alim
dengan tujuan mendapat kemuliaan dan penghormatan, supaya mudah dikenal orang ramai,
ingin dilihat berbeza daripada orang ramai. Apa gunanya pada seragam yang
dipakai seperti jubah dan serban kalau hati penuh dengan tabiat dan perbuatan
yang menyalahi pada ahli zuhud ataupun pada orang alim. Tak malu ke? Adakah
Allah melihat pada jubah dan serban kamu? Dan jangan sekali-kali kamu melakukan
biadab bila berhadapan dengan ahli zuhud dan orang alim dengan memperagakan
pakaian mereka sekiranya kamu belum lagi kukuh dengan ajaran dan hukum-hukum
Islam. Tidak ada salahnya kamu memakai pakaian tersebut kerana itu adalah
pakaian Nabi saw yang kamu cintai, tetapi janganlah kamu merasa gah! dan
membuang waktu didepan cermin! Kalau kamu tidak ada perasaan malu pada orang
ramai, malulah pada Nabi kamu!”
“Sebahagian daripada mereka mengayakan pakaian
ahli zuhud kerana menginginkan kelainan daripada orang lain. Ingin menunjukkan
bahawa dirinya adalah pengikut thariqah tetapi tidak mahu mengamalkan ajaran
dan anjuran amalan thariqah, hanya berkeinginan untuk mengenakan jubah dan
serban. Dan alangkah kejinya perbuatan mereka yang berpenampilan ahli zuhud
dengan tujuan mencari harta dunia. Menginginkan orang ramai mengenal dan
menjemputnya. Menginginkan dimuliakan dimana-mana mereka berada. Ini semuanya
adalah untuk mencari kemegahan dari manusia. Dengan tujuan bila balik kerumah,
tangannya tidak kosong. Takutlah kamu pada harta dunia kerana perbuatan kamu
sangat hina dalam pandangan Allah Taala. Hati-hati dengan semangat dan hawa
kamu! Setiap murid dan salik dinasihatkan supaya menjauhi perbuatan ini dan
jangan sekali-kali memandang ringan perkara tersebut, sebab perbuatan ini akan
membuka bermacam pintu bahaya yang dapat dan mudah merosakkan hati kamu tanpa
disedari. Inginkah kamu terjebak didalam perangkap ini Inginkah hubungan kamu
yang selama ini didirikan, hilang? Perhatikan dan Peganglah dengan kuat
kata-kata Sayidina Ali; Sesiapa yang mengamalkan ajaran agama untuk mendapat
kenikmatan dunia (seperti dijelaskan diatas) maka balasan Allah untuknya adalah
neraka”.
Ikhlas
adalah landasan yang kuat, tiang kukuh dari iman dan pusat perhatian kaum
ariffin. Tingkat keikhlasan seorang hamba bergantung pada tingkat iman dan
makrifatnya kepada Allah Taala. Seseorang yang lemah imannya akan rendah pula
tingkat keikhlasannya. Jika seseorang telah memiliki hati yang suci dan
bersinar, telah memiliki ikatan yang kuat dengan Allah Taala, maka ia akan
menjadi penolong Allah Yang Maha Agung dan akan ikhlas dengan beramal dan
menjauhi riya’. Para ariffin berkata; “Keikhlasan
seorang hamba timbul dari keyakinan yang kuat, sedangkan riya’ timbul dari hati
yang rosak dan keyakinan yang lemah”.
Keterangan:
“Setiap murid dan salik mencari-cari
bagaimana untuk mendapatkan sifat ikhlas. Begitu pula yang paling diinginkan
oleh setiap murid dan salik, sangat-sangat menginginkannya. Tetapi adakah
mereka semua mengetahui apa itu ikhlas? Bagaimana perbuatan ikhlas? Bagaimana
sifat ikhlas yang ada pada seseorang? Ini adalah sebahagian yang sering ditanya
oleh mereka, tidak kira, samada mereka orang biasa ataupun pelajar. Seseorang yang
menginginkan sifat ikhlas haruslah memiliki landasan yang kuat. Apakah yang
dimaksudkan landasan yang kuat? Iaitu bersungguh-sungguh belajar agama,
memahami ajaran agama zahir (hukum syariat) dan batin (ilmu tasauf),
mengamalkan apa yang dipelajari dan tujukan segala amal ibadahnya kepada Allah
Taala. Itulah ikhlas! Itulah tiang yang kukuh dari iman, yaitu keyakinan apa
yang kamu belajar, keyakinan memahami ajaran agama zahir dan batin, keyakinan
dalam mengamalkan apa yang dipelajari dan keyakinan menujukkan segala amal
ibadahnya pada Allah Taala semata-mata. Itulah pusat tumpuan kaum ariffin.
Itulah yang sangat-sangat dijaga oleh kaum ariffin. Bagaimana dengan kita?
Adakah kita mengutamakan apa yang diutamakan kaum ariffin Kalau tidak,
bagaimana hendak mencapai sifat ikhlas?”
“Tingkat keikhlasan seorang hamba terletak
pada tingkat keyakinan pada mempelajari agama, memahami apa yang dipelajari,
mengamalkan apa yang dipelajari dan menujukan amal ibadahnya pada Allah Taala.
Makrifat (pengenalan) kepada Allah Taala juga terletak pada tingkat keyakinan
pada mempelajari agama, keyakinan apa yang dipelajari, keyakinan dalam
mengamalkan apa yang dipelajari dan keyakinan menujukan amal ibadahnya pada
Allah Taala. Bagi sesiapa yang lemah iman (keyakinan)nya akan rendah pula
tingkat keikhlasanya, rendah keyakinannya pada mempelajari agama, rendah
keyakinan didalam mengamalkan apa yang dipelajari dan rendah keyakinan didalam
menujukan amal ibadahnya pada Allah Taala. Seseorang yang telah memiliki hati
yang bersih dan bersinar; bermaksud telah mencapai keyakinan yang kukuh seperti
yang dijelaskan diatas dan bersinar dengan pengertian dapat membezakan apa yang
diutamakan dan apa yang memudharatkan. Itu menunjukkan dia sudah memiliki
ikatan perhubungan yang sangat kuat dengan Allah Taala. Maka dia menjadi
penolong bagi Allah Yang Maha Agung didalam menyampaikan ajaran agamaNya,
menunjukkan jalan pemahaman, menasihatkan pada mereka apa yang sudah dipelajari
dan menyuruh mereka untuk menujukan segala cita-cita dan ibadah mereka kepada
Allah Taala disertai dengan ikhlas dalam beramal (menjalankan tugas) dan
menjauhi riya’ (menjauhi diri dari habuan dan kenikmatan dunia)”.
Ketahuilah,
tidak setiap orang dapat ikhlas betapapun ia menginginkannya. Sebab, keikhlasan
bergantung pada tabiat dan perilaku seseorang. Orang yang berjiwa lemah dan
berhati rosak akan sulit menghadirkan Allah Taala dalam hatinya ketika beramal.
Semua ini terjadi kerana lemahnya bashiroh mereka. Bashiroh mereka seperti mata
kelelawar: lemah tidak mampu memandang cahaya matahari. Kerana jiwanya lemah
dan hatinya rusak, maka dalam berhubungan dengan Allah, mereka mengharapkan
perhatian makhluk. Adapun orang-orang yang hatinya suci dan bercahaya, mereka
selalu bersikap shidq. Mereka tidak mampu melepaskan diri dari sikap shidq
meskipun sangat menginginkannya, sebab bashiroh mereka kuat dan fitrah mereka
baik.
Keterangan:
“Ketahui dan fahamilah, bukan setiap murid dan salik boleh mendapat maqam ikhlas walaupun mereka sangat
menginginkannya. Keikhlasan bergantung rapat dengan tabiat (perangai) dan
akhlak (perilaku/perbuatan) seseorang. Dengan tabiat dan akhlak yang dizahirkan
(digerakkan) mereka dapat kita mengetahui samada sifat keikhlasan ada pada
mereka ataupun tidak. Murid dan Salik yang memiliki jiwa yang lemah (semangat
yang rendah untuk mengamal apa yang dipelajari @malas) dan memiliki hati yang
rosak (hati yang jahat adab terhadap agama dan hati yang diselang-seli (hati
yang sentiasa berbolak-balik) sekejap mendirikan amal, sekejap tidak) akan
menghadapi kesulitan untuk menghadirkan Keagungan dan Kekuasaan Allah Taala
dalam hatinya ketika menjalankan amal ibadah mereka“.
Kesemua
yang dinyatakan diatas adalah disebabkan oleh sangat lemah pandangan mata hati.
Pandangan mata hati kamu diibaratkan seperti kelelawar yang tidak boleh melihat
cahaya matahari walau bagaimana terangnya sinaran yang dikeluarkan olehnya.
Begitu juga dengan murid dan salik yang mempunyai mata seperti mata kelelawar!
Murid dan salik tidak dapat memandang cahaya (nur allah) didepan mata kamu disebabkan
jiwa kamu lemah dan hati yang busuk, penuh dengan sifat keji dan hina. Asyik
memandang dengan mata zahir dan menidakkan kekuatan mata hati. Mengapa boleh
jadi begitu? Salahkan Tabiat dan Perangai sendiri, itulah yang menjadi
penghalang daripada mendapat pandangan cahaya (nur allah) itu. Apakan tidak!
Didalam penghubungan kamu dengan Allah diutamakan perhatian dari makhluk.
Mengharap pada Makhluk. Bersandar pada Makhluk, Tersengeh-sengeh pada Makhluk,
Memerlukan seseorang untuk dapat bersama, samada pada segi dunia ataupun
akhirat. Tidak berani tampil kehadapan sendirian dengan mewujudkan pengorbanan
yang ditujukan pada Allah, untuk Allah. Tanpa seseorang baginya diibaratkan
tidak boleh hidup didunia ini.
Bagaimana
kamu boleh memandang pada cahayaNya? Kalau sikap kamu sentiasa memerlukan
seseorang untuk melakukan sesuatu? Untuk berbakti padaNya pun kamu perlu
seseorang! Macam-mana kamu dapat melihat? Kamu sertakan selain Dia bila
beramal! Allah tidak dan mustahil diterimanya selain daripadaNya. Tidak seperti
mereka yang hatinya suci bersih daripada sesuatu melainkan Dia. Mereka selalu
bersikap shidq (benar, amanah dan ikhlas) didalam setiap gerak-geri dan diam.
Hati mereka penuh dengan cahaya (nur allah) kerana apa? Kerana mereka selalu
mengutamakan kebenaran, menjalankan amanah pada diri sendiri ataupun pada orang
lain dan sentiasa bersikap ikhlas menyerahkan perbuatannya kepada Allah Taala.
Kadang-kadang mereka yang hatinya bersih dan hati yang bercahaya hampir
tergelincir dari landasannya tetapi oleh kerana pemandangan mereka kuat dan
fitrah (bakat) mereka baik, maka mereka mendapat pertolongan dari Allah Taala.
Satu-satu sikap yang mudah untuk dilihat pada diri kamu adalah banyak . . . . .
tidak seperti manusia biasa. Alasan dah biasa, itu adalah alasan kerana tidak
mahu mengubah sikap yang telah menjadi darah daging. Ilmu dah ada tapi masih
buta, masih mencari. Kasihan . . . Riya’ adalah syirik yang tersembunyi, juga
merupakan dosa besar yang dapat menjauhkan seorang hamba dari Allah Taala. Nabi
saw bersabda; “Barangsiapa
menginginkan agar dirinya disebut-sebut manusia kerana ilmunya, maka Allah akan
memperdengarkan (keburukan-keburukannya) ke telinga makhlukNya, serta
merendahkan dan mengecilkannya“. (HR Ahmad)
Keterangan:
“Allah Taala telah menetapkan didalam
hukum akan perbuatan riya’ sebagai syirik yang tersembunyi. Apa itu riya’?
Riya’ adalah suatu perbuatan dari seorang hamba Tuhan yang sikapnya suka
menunjuk-nunjuk amalannya pada manusia supaya dirinya disebut-sebut oleh
mereka. Perbuatan ini membawa kepada salah satu dari dosa besar dan hukumnya
syirik. Apakah syirik itu? Syirik adalah menduakan Allah Taala didalam ibadah
seseorang hamba. Apa maksud, menduakan? Menduakan bermaksud; beriman dan
berkeyakinan teguh lagi kukuh bahawa manusia/makhluk Tuhan mempunyai kuasa yang
boleh manfaatkan atau mudharatkan diri sipembuat. Sekiranya itu yang mereka
berimankan dan berkeyakinan maka hukumnya KUFUR!”
“Bukalah mata zahir dan mata hati kamu
wahai murid, salik dan pencari kebenaran. Sekiranya
amalan kamu tidak ditujukan padaNya sebaiknya kamu cepat-cepat bertaubat.
Muda-mudahan taubat kamu diterimaNya. Siasatlah niat dan perbuatan kamu dalam
beramal jangan sampai kamu termasuk orang-orang yang melakukan Riya’, sebab
Allah Taala sudah menjelaskan hukum syirik pada mereka yang melakukannya.
Hati-hati dan waspadalah selalu. Jangan cuai dan jangan pada memandang ringan
perbuatan syirik. Tidak takutkah kamu pada; peringatan dari Allah Taala? Adakah
kamu ingin menjadi orang yang rugi, segala amal kamu tidak diterimaNya? Buat
penat aje . . . Jangan main-main, Kamu tidak dapat berselindung dari perbuatan
kamu yang kotor dan hina ini didepan alim ulama, apalagi daripada Allah“.
“Yang Maha Mengetahui! Adakah kamu suka
menjadi hamba Allah yang dijauhkan dariNya atas perbuatan riya’? Kalau suka
atau tak kisah, ok . . . jalan terus aje . . . Perkara ini juga mendapat
teguran keras dari Nabi saw. Dimana beliau memperingatkan umatnya jangan
menjadi seseorang yang suka dirinya disebut-sebut, dicari-cari kerana ilmunya
(pengetahuannya), baik yang bersangkutan dengan dunia apalagi yang berkaitan
dengan akhirat. Sekiranya perbuatan ini diabaikan maka Allah akan menyampaikan
sifat keburukannya ke telinga makhlukNya umumnya dan kepada orang-orang yang
menyebut dan mencarinya beserta m merendahkan dan mengecilkannya.
Perbuatan dari Allah Taala ini kalau di kaji bersifat terbalik (dipulangkan
semula). Orang-orang yang menyebut-nyebut dan mencari-carinya akan berhenti
daripada perbuatan itu, bilamana mereka sedar bahawa orang yang disebut dan
dicari itu tidak mendatangkan apa-apa buat dirinya. Bila kesedaran itu muncul
maka mereka yang berputus asa akan mula menceritakan keburukan-keburukan,
merendahkan sampai memperkecilkan orang tersebut”.
Seorang
mukmin itu memamerkan amalnya tapi tidak riya’. Ia memperlihatkan amalnya
dengan tujuan agar diteladani. Niat seperti ini adalah niat yang baik. Hanya
niat yang dapat membezakan antara orang yang mempamerkan dengan orang yang
riya’. Oleh kerana itu wahai saudaraku, hati-hati jangan sampai membuat riya’
dalam semua amalmu, sebab riya’ adalah perbuatan buruk yang dapat merosak amal
dan hati. Abdullah bin Abi Zakaria rhm, seorang waliyullah yang doanya mustajab
berkata; “Aku mendengar bahawa jika
seseorang berbuat riya’ dalam salah satu amalnya, maka perbuatan riya’ itu akan
menyebabkan amal-amalnya yang lalu menjadi sia-sia”.
Keterangan:
“Hanya orang mukmin bila mereka
mengerjakan ketaatan dan kebajikan amalnya tidak dikira sebagai riya’. Walaupun
pada mata zahir dia seolah-olah menunjuk-nunjuk amalannya. Hendaklah kita
fahami kata-kata diatas dan dapat membezakan apa makna mukmin? Siapakah mereka
yang dinamakan mukmin? Untuk mengetahui apa itu mukmin dan siapakah mereka yang
dinamakan sebagai mukmin hendaklah kamu menyiasat perbuatan-perbuatan mereka
dalam mendirikan ketaatan, amalan-amalan dan keutamaan yang mereka kerjakan.
Mereka ini tidak dihukum sebagai berbuat riya’, kerana tujuan dan niat mereka
supaya ibadah dan amalan mereka dapat dicontohi. Dikeranakan niat yang baik.
Hanya dengan niat yang baik dapat membezakan antara orang yang memperlihatkan
dengan orang yang riya’”.
“Sekiranya niat dan tujuannya untuk
dimuliakan dan mencari makan, maka itu riya’ tetapi jika niat dan tujuannya
supaya ibadah dan amalannya menjadi contoh bagi mendekatkan diri mereka kepada
Allah dan menegakkan sunnah-sunnah Rasulullah saw itu bukan riya’, malahan
perbuatan itu mendapat keridhaan Allah Taala. Hati-hatilah wahai saudaraku,
jangan sampai kamu mengerjakan riya’ dalam semua amal. Perhatikan niat dan
tujuanmu sebelum mengerjakan ibadah dan amalan-amalan kamu. Sekiranya kamu
tidak mengambil berat perkara ini, maka ditakuti kamu terjebak pada perbuatan
buruk lagi tertolak dan merusakkan segala amal kamu, juga membuat hati kamu
mati. Peganglah kata-kata Abdullah bin Abi Zakaria rhm; “Jangan sesekali kamu
berbuat riya dalam amal kamu, maka perbuatan riya’ itu akan menyebabkan
amal-amal kamu menjadi si-sia”.
Semakin
sempurna akal seseorang, semakin baik keadaannya. Ia akan adil dan benar,
berusaha mencari kemuliaan dan kesempurnaan. Akibatnya timbullah konflik antara
dirinya dengan dunia. Keluhuran akhlaknya ini membuatnya merasa hidup seorang
diri, terasing di tengah-tengah masyarakat. Ia segera merasa lelah, lalu
berusaha melepaskan diri dari dunia yang hina ini untuk memperoleh kejayaan di
akhirat.
Keterangan:
“Tahap kesempurnaan akal seseorang
terletak pada ketinggian akhlaknya. Bila akhlaknya tinggi maka dia akan
berkelakuan adil (sentiasa berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata) dan
sentiasa berkelakuan benar (apa yang diamanatkan dijunjung kerana dia tidak
mahu memalukan Nabinya saw). Bila sempurna dan semakin baik akalnya maka
timbullah sengketa antara dia dengan dunia. Kerana satu menghala kepada akhirat
dan satu lagi menariknya kepada dunia. Dengan ketinggian akhlaknya (akal yang
selalu merindui kampungnya) akan membuat dirinya merasa keseorangan didalam
kehidupan ini. Dia merasa seperti dipinggirkan ditengah-tengah masyarakat
(kerana dia menolak segala yang bathil dan menegakkan hukum-hukum dan sunnah-sunnah
dan menjadi musuh kepada manusia). Oleh kerana dia tidak mahu bersyubhat dengan
manusia yang memerangi dirinya maka dia selalu merasa dirinya penat, letih dan
berusaha untuk melepaskan dirinya dari manusia dan dunia yang hina pada matanya
untuk mencapai kejayaan di akhirat”.
Jika
pengetahuan seseorang tentang Allah Taala cetek dan imannya lemah, maka hatinya
akan rosak dan nuraninya (sir) akan ternoda. Tebalnya hijab yang mentabiri dia
dengan Allah Taala hampir-hampir membuatnya tidak pernah ikhlas dalam setiap
amalnya. Hatinya buta, suka menunjuk-nunjuk, riya’ dan sum’ah. Akibatnya
berbagai keburukan dan bencana datang silih berganti dari segala penjuru. Oleh
kerana itu, janganlah ia mencela orang lain atas penilaian mereka pada dirinya,
itulah bahagian akalnya.
Keterangan:
“Fahamilah wahai murid dan salik,
selagi pengetahuan (makrifah) kamu mengenai Tuhan kamu cetek maka petanda iman
kamu lemah (keyakinan lemah terhadap Tuhan) oleh kerana lemahnya iman kamu maka
itu petanda hati kamu rosak. Bilamana hati kamu rosak maka itu petanda sir kamu
dikotorkan. Jadi, bagaimana kamu, wahai murid dan salik hendak mendalami
pengetahuan (makrifah) pada Tuhan? Sedangkan kamu tidak mahu perhatikan dan
tidak mahu tahu kelemahan keyakinan kamu itu berpunca dari mana? Perbuatan apa
yang mengotorkan sir kamu? Ini adalah kerana tebalnya hijab yang menyelubungi
kamu dengan Allah Taala dan membuatkan kamu tidak pernah ada ikhlas dalam
setiap amal kamu. Apakah yang dimaksudkan tebalnya hijab?
Sebagai contoh; seorang pemandu yang sedang memandu pada pagi hari dijalan yang
lurus (highway). Maka dia bertolak selepas sholat subuh hendak menuju ke Melaka
untuk urusan peribadi atau mungkin pekerjaan boleh juga kerana urusan
perniagaan. Dalam perjalanannya, setiba di Yong Peng (sebelum Pagoh) maka
pemandu itu berhadapan dengan kabus yang sangat tebal yang datang tanpa
diduganya. Dihidupkan lampu kenderaannya, tetapi masih juga tidak dapat melihat
jalan dihadapannya. Dihidupkan lampu anti kabus tetapi tidak berkesan. Pemandu
itu memperlahankan kelajuan kenderaannya sambil berdoa. Diamatinya baik-baik
kerana kelihatan disebalik kabus itu ada cahaya yang datang dari terbit
matahari, malangnya cahaya dari terbit matahari itu tidak dapat membantu
sipemandu itu kerana terlalu tebalnya kabus itu sehingga tidak dapat menebus
kabus tersebut. Maka pemandu itu mempunyai 4 cara untuk melanjutkan
perjalanannya“;
1. Meneruskan
perjalanan walaupun perbuatan itu membahayakan dirinya.
2. Berhenti ketepi
jalan dan tunggu dimana akan melambatkan perjalanannya.
3. Menghilangkan kabus
tersebut dengan berdoa.
4. Menumpukan
perhatiannya pada cahaya dari terbit matahari pagi supaya dapat meneruskan
sehingga sampai pada tujuannya.
“Begitulah contoh yang dapat kami berikan.
Gunakanlah akal fikiran dan ilmu pengetahuan yang sudah kamu perolehi untuk
menghuraikan makna yang tersirat dalam contoh tersebut. Bagi sesiapa yang dapat
menghuraikannya maka hendaklah merujuk pada guru masing-masing supaya mendapat
pengesahan dari beliau. Ketahuilah wahai murid dan salik, tidak ada makrifah
atau ceteknya makrifah kamu mengenai Tuhan kamu, adalah disebabkan hati kamu
buta (melihat tetapi tidak mahu berfikir), kamu suka menunjuk-nunjuk ilmu
pengetahuan kamu, seperti menasihati orang lain tanpa ikhlas kerana nasihat
dari kamu itu selalunya memperkecilkan orang lain kerana terselit didalam hati
kamu soalan; kenapakah bodoh sangat orang ini, masih tak faham-faham,
menunjuk-nunjuk amal kamu bila berhadapan dengan kawan-kawan atau kawan
seperguruan kerana takut dikatakan orang yang lemah atau bodoh maka hilanglah
sandaran mereka pada kamu. Juga bersikap sombong dan angkuh kerana tidak boleh
menerima kata-kata yang baik dari orang lain walaupun kata-kata itu mempunyai
kebenaran maka hatinya tidak mahu menerima lalu ditambahkan kata-kata yang sudah
benar kebenarannya dengan kata-kata daripadanya. Tunggulah bencana (siksaan dan
kemurkaan dari Tuhan) yang datang silih berganti dari semua penjuru kehidupan
bagi sesiapa yang bersikap seperti diatas tadi”.
Ingat!
Jangan suka mencela atau ada niat untuk mencela orang lain atas sebab
pemandangan kamu pada diri mereka. Hati-hati! Perhatikan lidah kamu jangan
sampai bersikap demikian termasuk bersyubhat didalam mencela. Bagaimana?
Mendengarkan celaan-celaan dari orang lain termasuk isteri, anak-anak, ibu-bapa,
adik-adik, kaum kerabat, kawan-kawan dan sahabat seperguruan. Itu yang
dikatakan bersyubhat, larilah kamu dari mendengarkannya!!! Sebenarnya berbagai
rahasia dan ahwal (hal-hal atau perkara-perkara) yang tersembunyi pada diri
manusia dapat dilihat dengan mata hati. Akan tetapi kerana hati manusia buta,
ia hanya dapat mengetahui apa yang dapat ia lihat dengan matanya, dengar dengan
telingannya atau dengan mengikuti pendapat orang lain.
Keterangan:
“Oleh kerana mata hati kamu buta maka
terhijablah kamu daripada dapat melihat berbagai rahsia-rahsia (keagungan,
kesempurnaan dan keindahan)Nya dan perkara-perkara ini boleh didapati dalam
diri manusia dengan melihat melalui mata hati sahaja. Dikeranakan kamu lihat
dengan mata, dengar dengan telinga atau mengikuti pendapat orang lain sehingga
mengabaikan kemampuan yang tersembunyi pada diri kamu”.
Tersebarnya
manusia yang berhati seperti ini pada kalangan awam telah memperburuk keadaan
dan mengacaukan berbagai urusan. Kaum awam lebih senang mengikuti orang yang suka
pamer, yang banyak disebut dan diikuti oleh orang-orang bodoh tanpa memandang
orang tersebut benar atau salah. Inilah alasannya mengapa kaum ariffin lari
meninggalkan masyarakat. Mereka marah melihat banyaknya manusia yang berbuat
batil, melihat tempat mereka diambil alih oleh orang-orang yang hina, yaitu
orang-orang bodoh yang hanya pandai mengaku-gaku. Akibatnya kaum ariffin
menjadi terasing dan tidak memiliki teman.
Keterangan:
“Oleh kerana banyaknya manusia yang
berhati buta pada kalangan orang awam yang telah memperburukkan keadaan dan
menjadi sebagai pengacau didalam berbagai urusan akhirat. Orang yang buta mata
hatinya lebih senang dan mudah mengikuti orang yang suka menunjuk-nunjuk dan
namanya banyak disebut-sebut orang. Hanya orang yang bodoh saja akan memandang
mereka yang disebutkan itu samada benar ataupun salah. Oleh kerana sebab itu
kaum ariffin lari meninggalkan masyarakat (orang ramai). Kaum Ariffin marah
bila melihat terlalu banyaknya manusia yang berbuat batil (buat salah didalam
urusan agama), melihat tempat mereka diambil alih oleh orang-orang yang hina,
yang keji dan buruk, yaitu orang-orang bodoh yang hanya pandai mengaku-mengaku
saja. Maka kaum ariffin mengambil keputusan untuk mengasingkan diri dan merasa
puas tidak mempunyai teman hidup”.
Kasihan
orang-orang bodoh ini, mereka menghamburkan waktu untuk perbuatan sia-sia dan
berbagai khurafat, namun mengira apa yang mereka lakukan ini diajarkan oleh
agama. Andaikata mereka menyedari keburukan sikap ini, tentu mereka akan
menangisi diri mereka sendiri. Fahamilah dan beramallah dengan benar. Nasihat
ini kusampaikan kepada kamu dengan hati yang tulus.
Keterangan:
“Kasihan melihat orang yang buta mata
hati. Mereka telah membuang waktu dengan perbuatan-perbuatan yang sia-sia dalam
melakukan bagai-bagai perbuatan yang tidak ada dalam ajaran agama islam.
Sekiranya mereka menyedari keburukan sikap-sikap yang mereka lakukan tentu
mereka akan menyesal dan menangis kerana mengetahui apa yang mereka lakukan
hanyalah sia-sia belaka. Fahamkan dan beramallah dengan jujur dan benar.
Nasihat ini aku sampaikan kepada kamu dengan hati yang tulus ikhlas”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan