Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran
Hati
Yang Lunak
Tidak
ada kurnia pemberian Allah Taala kepada hambaNya seperti hati yang sederhana
(hayyin) dan lembut. Ada tiga macam kecenderungan (kehendak) hati manusia;
Pertama;
Hati yang dengan kehendak Allah Taala minat atau suka untuk dekat dengan
kebajikan. Hati semacam ini sifatnya baik dan selalu sesuai dengan kebaikan;
hati yang lembut, hati yang bercahaya dan penuh kasih. Sebab, sesiapapun yang
mencintai Pencipta, dia pasti akan mencintai semua CiptaanNya (yang baik atau
yang buruk). Orang yang semacam ini mempunyai kedudukan yang sangat dekat
dengan Allah Taala dan memiliki tingkat yang mengikut kesesuaian yang tinggi
dengan kebajikan.
Keterangan:
“Hati sebegini diatas kehendakNya akan
membawa hambaNya senang dan mudah untuk beramal kebajikan. Sesiapa yang
mendapat kurnia begini boleh diketahui pada dirinya dengan meneliti samada ia
mempunyai hati yang hayyin atau tidak seperti mana yang telah disebutkan
diatas. Sekiranya dia merasa sangat senang dan mudah untuk melakukan apa saja
amal kebajikan tanpa terpaksa, tanpa meletakkan alasan-alasan, tanpa
melengahkan, maka itu tandanya ia mendapat kurnia pemberian oleh Allah Taala
dimana ‘Dia’ juga yang akan memimbing hambaNya.
Diatas kehendakNya dan diikuti oleh Kasih
SayangNya, Dia akan memimbing hamba yang dikehendakiNya supaya dapat
mengubahkan hati yang keras ke hati yang lembut, hati yang gelap ke hati yang
bercahaya dan hati yang menolak ke hati yang penuh kasih. Bagaimanakah orang
sebegini mendapat dorongan yang begitu tinggi dan mulia dari Allah Taala? Besar
kemungkinan, orang begini tidak memburukkan segala ciptaan Allah Taala. Apa saja
yang dia lihat disandarkan dan dikembalikan kepada Maha Pencipta.
Penglihatannya selalu dikembalikan kepada Pencipta.
Mana mungkin dia akan memburukkan ciptaan-ciptaan yang datang dari Pencipta?
Tidak seperti kita yang suka melihat dan terus aje menghakimi apa yang kita
lihat. Kalau kita lihat yang baik dari kekayaan dan kesenangan maka kita terus
menginginkan. Kalau dilihat akan kemiskinan dan kesempitan hidup maka kita
terus menolaknya. Kalau dilihat kepada benda yang cantik, maka kita akan
tergoda. Dilihat kepada benda yang buruk, secara sepontan kita akan memalingkan
pandangan (sikap yang menunjukkan tanda tidak setuju). Maka tanpa kita sedari,
kita sudah menjatuhkan hukum kepada Allah Taala dari apa saja yang Dia
Ciptakan! Yang baik kita tidak kembalikan kepadaNya. Hanya menikmati kebagusan
dan kecantikan benda itu. Yang buruk kita terus menolaknya. Kedua sifat yang
kita tunjukkan kepada Allah Taala adalah sifat yang tidak ada Adab (kurang
ajar, tak tahu malu, tak sedarkan diri).
Oleh kerana kita tidak memahami sifat
kesempurnaanNya dan segala ciptaan yang diwujudkanNya yang disertakan
didalamnya penuh hikmah yang tersembunyi. Subhanallah! Maha Suci Engkau, “Ya
Allah. Engkau sendiri yang mengetahui apa yang Engkau ciptakan dan hamba yang
sedar akan selalu bersandar dan kembalikan segala ciptaan kepadaMu dengan
pujian dan beradab”. Terjadinya begini adalah kerana hamba mempunyai hubungan
yang dekat kepada Pencipta”.
Orang
orang yang memiliki hati seperti inilah yang dimaksudkan oleh Allah Taala dalam
firmanNya; “Sesungguhnya langit dan
bumi tidak akan mampu membawaKu dan terlalu sempit bagiKu. Hanya hati yang
seorang mukmin yang tenang dan lembutlah yang akan mampu menampungKu”.
Keterangan:
“Allah Taala menjelaskan didalam
firmanNya, langit dan bumi tidak mampu membawaKu. Hanya orang mukmin yang
tenang dan lembut hatinya mampu membawaKu. Soalannya kenapakah langit dan bumi
tidak mampu? Sedangkan langit dan bumi tidak mempunyai nafsu syahwat, tidak
seperti kita. Langit dan bumi diciptakan olehNya hanya untuk Taat kepadaNya.
Mana mungkin mereka tidak mampu membawaNya. Langit dan bumi sangat besar
ciptaannya dibandingkan oleh susuk manusia yang kerdil ini. Mengapakah hati
orang mukmin saja yang mampu membawaNya? Sedangkan hati mukmin kalau
dibandingkan dengan besar langit dan bumi, sangat sangat jauh besarnya. Apa
yang diketahui oleh kita adalah kerana Langit dan Bumi walaupun mereka adalah
mahluk Allah TETAPI mereka TAKUT untuk membawaNya.
TAKUT pada KEAGUNGAN dan KEBESARANNYA. Hanya mahluk
ciptaanNya yang bernama manusia dan jin saja yang sanggup untuk membawaNya.
Hanya hati yang seorang mukmin yang tenang dan lembut yang akan mampu
menampungNya. Apa maksud hati yang tenang, apa maksud hati yang lembut, adakah
kita termasuk orang mukmin yang difirmankan olehNya? Hati yang tenang adalah
kepada sesiapa yang dapat meletakkan segala Hukum-Hakam Allah Taala diatas
kepalanya. Bermaksud menjunjung tinggi dan meletakkan keutamaan pada
segala-galanya. Hati yang lembut, bermaksud hati yang mudah dan senang
melaksanakan perintah dan laranganNya”.
Hati
yang sederhana dan lembut merupakan wadah dari semua rahsia ilahiah dan sumber
segala ilmu rabbaniyah. Seorang Arif berkata; “Kucintai rumah kerana Penghuninya. Dan kerana Penghuninya rumah itu
dicintai”. Kebajikan orang yang memiliki hati sederhana (hayyin) dan
lembut ini selalu meninggalkan kesan meski pun amal itu sedikit.
Keterangan:
“Fahamilah sekelian, hati adalah
tempat segala rahsia ilahi dan tempat terbitnya segala ilmu ketuhanan. Sememang
hanya layak bagi hati seorang mukmin diwakilkanNya untuk menyimpan dan
menzahirkan akan segala sifat-sifat ketuhanan yang Agung dan Tinggi. Dari kata
arif diatas bermaksud; sekiranya hati kita dimasukkan akan kecintaan akan dunia
dan isinya, mana mungkin Allah Taala hendak meletakkan rahsia ilahiahNya? Apa
saja yang kita letakkan didalam hati kita, maka itulah yang kita cinta akannya.
Dan fahamilah kebajikan orang mukmin selalu akan membuahkan kesan keatas
kebajikan yang dilakukan kerana mereka memahami akan asal-usul kebajikan itu sehingga
membuahkan hasilnya”.
Kedua; adalah hati yang
tabiatnya suka menolak kebajikan. Hati ini sifatnya keras dan kasar. Walaupun
orang orang yang berhati seperti ini telah berusaha bersusah-payah dan berusaha
keras dalam beramal, tapi tidak banyak cahaya yang nampak pada diri mereka
kerana tabiat mereka bertentangan dengan kebaikan yang mereka lakukan. Mereka
mengerjakan amal dengan terpaksa dan hanya bila keadaan mendesak saja. Manusia
semacam ini jika mendapat taufiq untuk melihat aib-aibnya hendaknya berusaha
keras untuk menyucikan dirinya. Semoga dengan riyadhah dapat memperbaiki
keadaannya.
Keterangan:
“Hal hati yang kedua ini sifatnya (tabiatnya) tidak suka membuat kebajikan yang
diberikan oleh Allah Taala. Oleh kerana hatinya keras dan kasar dimana tidak
ada keinginan langsung untuk belajar, tidak mahu meneruskan belajar dan tidak
mahu menerima nasihat bagi mengobati hatinya yang keras dan kasar itu. Ada juga
sekelompok manusia sebegini yang mengerjakan amal kebajikan mereka semata-mata
kerana terpaksa untuk menjaga nama dan kehormatan mereka supaya tidak disedari
oleh mereka yang mengenalinya. Mudah-mudahan mereka mendapat taufiq dari Allah
Taala untuk melihat kesalahan-kesalahan diri mereka. Jika dia dapat melihat
kesalahan dirinya, Insyallah akan ada perubahan pada hatinya melalui latihan
yang berterusan dan bersungguh sungguh”.
Jarang
kita jumpa dengan rijalul haq (para shalihin) yang tidak memiliki hati yang
lembut. Tanda orang yang berhati lembut adalah kecenderungan mereka untuk
bergurau (setakat yang dibenarkan syariat) kerana roh mereka ringan (khiffati
ruhih) dan akhlak mereka lembut. Rasulullah saw bersabda;
“Neraka diharamkan bagi orang yang
lemah lembut, mudah dan dekat (dengan masyarakat)”. Hr Ahmad dan
Turmudzi.
Amal seseorang yang berhati lembut menjadi baik kerana adanya kesesuaian antara
hati dengan kebajikan. Sebab, kelembutan hati akan mendorong hatinya untuk
melaksanakan amal kebajikan. Manusia semacam ini mempunyai sifat kasih terhadap
ciptaan Allah. Dengan sikap mengasihi ciptaan Allah inilah merupakan jalan yang
paling dekat untuk menuju kepadaNya. Amal manusia semacam ini bernilai tinggi
kerana disokong oleh kesucian hati (kebersihan hati) dan kejernihan batin
(sifat ikhlas terhadap Allah Taala). Amal yang mereka kerjakan sedikit akan
menyamai banyak amal yang dikerjakan oleh orang lain. Berkat kebenaran
pemikiran mereka, maka dari diri mereka muncul amal-amal sholeh yang diredhai
Allah. Mereka lebih menyukai kehinaan, kesedihan (inkisar) dan tawadhu’
(perasaan dan sikap yang dapat menyebabkan amal mereka menjadi baik. Dalam diri
mereka hampir tidak terdapat sikap takabur, sombong dan keburukan batin yang
akan merusak amal.
Keterangan:
“Ayat diatas menerangkan kita akan
sifat sifat yang dimiliki oleh Rijalul Haq dimana setiap salik dan murid harus
mencontohi mereka. Rijalul Haq iaitu para sholihin yang mempunyai Khiffati
Ruhih (roh yang ringan untuk berbuat ketaatan) dan juga akhlak mereka sangat
lembut dimana Rasulullah saw memberikan peringatan kepada mereka untuk
istiqamah dengannya. Berikut adalah panduan untuk salik dan murid menjejaki
mereka”;
1. Istiqamah yang ada pada Rijalul Haq terletak
pada Khiffati Ruhih. Untuk mendapatkan Khiffati Ruhih adalah dengan menukarkan
hati yang keras dan kasar kepada hati yang hayyin melalui membanyakkan latihan
dan muhasabah diri.
2. Harus menanam sifat mengasihi segala ciptaan
Allah Taala. Samada yang hidup atau yang mati, cantik atau buruk.
3. Salik dan Murid harus mempunyai kebersihan
hati dan disertakan sifat yang ikhlas terhadap Allah Taala didalam melaksanakan
ketaatanNya.
4. Dimana istiqamahnya berjalan terus-terusan dan
disertakan dengan hati yang bersih dan ikhlas maka akan datang dari Allah Taala
pemikiran yang benar dan tajam.
5. Hendaknya menyukai (memakai) sifat kehinaan,
kesedihan dan tawadhu. Untuk menyukai pemakaian sifat kehinaan, para salik dan
murid hendaklah menanamkan rasa kehinaan ini dengan membawa sifat ini terus
didalam kehidupannya setiap hari. Sekiranya salik dan murid mempunyai wang
ringgit, tanamkan sifat tidak mempunyainya. Melihat semua orang samada tua atau
muda, kecil atau besar lebih baik daripadanya. Tidak membuka mulut pada orang
yang tidak ada kepentingan buat dirinya. Maksud, jangan nak tunjuk pandai, nak
tunjuk faham akan ilmu agama. Bilamana dapat melaksanakannya, si salik dan
murid akan memandang dirinya kecil dibandingkan dengan orang lain hatta budak
kecil pun. Sifat kesedihan, pemakaian sifat kesedihan ini ialah sentiasa
melihat ajal mautnya didepan mata, akhirat didepan mata, kuburnya didepan mata
dan dosa yang dibawanya. Bila sudah dapat melihat dan menyakini keempat-empat
perkara yang melibatkan kesedihan atas dirinya, maka mana mungkin si salik dan
murid boleh ketawa lagi. Latihkan diri dari rumah sendiri terhadap isteri,
lihatlah isteri kamu dengan perasaan kesedihan pada diri sendiri. Tanamkan
sifat kesedaran yang kamu akan meninggalkan isteri dan meletakkan segala
pengharapan pada Allah Taala. Begitu juga dengan anak-anak kamu, pandanglah
mereka dengan kesedihan yang mendalam. Lakukan terhadap kaum kerabat, sahabat-sahabat
dan seterusnya. Sekiranya masih boleh ketawa (melainkan yang dibenarkan),
bermakna kamu tidak dapat memandang dan menyakinkan diri dengan keempat empat
perkara tersebut. Bila mana tidak, maka tidak akan capai maqam Rijalul Haq.
Bila mana kehinaan dan kesedihan sudah sebati, maka dengan sendiri sifat
tawadhu datang dengan sendirinya”.
Ketiga; adalah hati yang
keras dan akhlak yang buruk. Amal mereka yang berhati semacam ini banyak
cacatnya kerana banyak kesalaha-kesalahan yang dibawa semasa beramal, lemah
akalnya dan rosak batin mereka. Hati semacam ini tidak baik untuk bersuluk
kerana batinnya sangat bertentangan dengan kebajikan. Ruh mereka berat
(tsiqalul arwah) dan perilaku mereka tercela. Mereka dikuasai oleh hawa dan
suka berdebat. Kebanyakkan kehidupan keagamaan mereka digerakkan oleh fanatisme
dan taqlid, kerana akal mereka tidak berfungsi dan bashirah mereka terbatas.
Mereka mengetahui perkara-perkara yang bersifat zahiriah dan semua yang mereka
lakukan merupakan adat dan kebiasaan masyarakat umum. Mereka ini susah
mengerjakan amalan amalan hati dan batin. Kelompok ini lebih suka menekuni
amalan-amalan zahiriah dan apa saja yang bersifat zahir. Mereka tidak tahu dan
tidak ada kemahuan untuk berusaha mengerjakan amalan-amalan yang memiliki hubungan
dengan hati dan rahsia-rahsia batin. Jalan untuk mengerjakan amal-amal batin
tertutup bagi mereka.
Keterangan:
“Ini adalah tanda hati yang dimiliki
oleh orang-orang yang keras hatinya dan berakhlak buruk. Mereka juga beramal
tetapi membawa segala kesalahan hati yang buruk semasa beramal. Hati mereka
lemah dimana tidak dapat menimbangkan (mengunakan akal fikiran mereka untuk
membezakan mana yang disyariatkan dan mana yang tidak disyariatkan oleh agama.
Mereka juga mempunyai batin yang rosak dimana batin mereka dipenuhi oleh
sifat-sifat yang keji dan hina. Selagi mereka tidak mahu membersihkan segala
kesalahan kesalahan yang ada pada diri mereka dan tidak mahu mensucikan
batinnya maka dilarang untuk bersuluk (mempelajari ilmu tasawuf) kerana sesiapa
yang menceburkan diri didalam bersuluk dengan tidak berusaha untuk mujahadah
maka balasan akibat dari keengganan (kedegilan) mereka khususnya para
murid-murid yang masih terombak-ambing yang sudah menerima khabar berita.
Seperti bak pepatah melayu, Senjata Makan Tuan. Kebanyakkan orang yang keras
hati dan akhlak yang buruk suka mengikuti pujuk-rayu hawa dan suka pada
berdebat. Berdebat ini pula mempunyai dua cabang. Yang Pertama; bila ditegur
atau dinasihat akan melentinglah mereka dalam perdebatan akan berlangsung.
Masing-masing nak menang, bukan untuk menegakkan agama Allah. Yang Kedua; suka
pada menunjukkan akan ilmu yang dipelajari dengan tujuan mencari nama supaya
orang-ramai akan menghormatinya lebih-lebih lagi pada sahabat seperguruan. Ada
juga yang murid yang tidak boleh terima nasihat dari sahabat-sahabat
seperguruan kerana dikuasai oleh syaitan. Oleh kerana akal mereka tidak cerdas
dimana tidak dapat menangkap akan jerat yang dipasang oleh hawa. Disinilah
ramai murid-murid yang bersuluk gagal mengesan permainan hawa. Kebanyakkan hati
yang keras didalam menjalankan keagamaan digerakkan oleh taklid semata-mata.
Apa orang lain buat dia pun buat tanpa tidak mengetahui ujung-pangkal yang
dilakukan oleh masyarakat umum. Mereka yang keras hati ini suka kepada amalan-amalan
zahiriah saja dimana tidak ada kemahuan untuk berusaha mempelajari
amalan-amalan yang bersangkut paut dengan amalan batin dan rahsia-rahsia batin
supaya mereka dapat meningkatkan kefahaman mereka didalam beragama yang
dituntut oleh Islam. Dengan keengganan dan kedegilan mereka maka Allah Taala
menutup jalan untuk mengerjakan amalan batin. Ini dapat fahami bahawa Allah
Taala tidak mahu hamba ini disisiNya. Muhasabahlah diri kamu wahai murid-murid
yang bersuluk. Dimanakah kedudukan hati kamu? dan seterusnya mengambil
langkah-langkah untuk memperbaikinya supaya mendapat keampunan Allah didalam
usaha kamu. Mulai langkah-langkah itu dengan mengatakan; Insyallah sekarang
saya lakukannya dengan pertolongan Allah bukan mengatakan; nanti, atau ahh.
Kerana kebanyakkan murid-murid yang bersuluk hanya menunggu saja. Tunggu apa?
Saya pun tak faham”.
Orang
orang yang memiliki hati yang hayyin, bersih yang menempati kedudukan terdepan
(didepan) dengan melalui cahaya merekalah kelompok ketiga ini memperolehi
petunjuk. Diantara orang-orang yang berhati lembut terdapat para abdal dan
ariffin, mereka itulah sesungguhnya pemimpin sejati. Sedangkan kelompok kedua
adalah orang yang suka beramal, mereka orang-orang yang baik dan suka berjuang
untuk buat amal kebajikan. Tetapi kedua kelompok ini jauh berbeza.
Keterangan:
“Keterangan pada tiga jenis peranan
hati sudah dijelaskan dimana jenis hati yang pertama mempunyai kedudukkan yang
terdepan dan tertinggi. Dimana dengan cahaya yang dianugerahkan kepada mereka
oleh Allah Taala dimana diperintahkan pada mereka yaitu hati jenis yang ketiga
supaya mendampingi mereka selalu dan mempelajari dari mereka kerana merekalah
sesungguhnya pemimpin sejati”.
Allah
swt telah menciptakan makhluk sesuai dengan hikmah yang sempurna dan menjadikan
mereka memiliki tingkatan berbeza-beza. Kelompok Pertama; manusia yang zahir
dan batinnya selamat (salimah) dan baik mereka memiliki kedudukkan yang
tertinggi. Kelompok Kedua; batinnya selamat, akhlaknya mulia tetapi zahiriah
mereka ternoda oleh urusan-urusan dunia dan amal mereka penuh kekurangan.
Mereka lebih mencintai dunia dan berusaha keras dan bersungguh untuk mendapat
kenikmatan dunia. Kelompok ini hampir sama dengan kelompok pertama kerana
mereka memiliki harapan untuk bertaubat dan kembali berbuat baik terutamanya
pada mereka yang berakal. Sebab, hanya orang yang berakal selalu dapat kembali
kepada Allah Taala. Walaupun mereka mengerjakan keburukan, akal mereka akan
mengembalikan mereka kepada Allah. Fahamilah, hanya akal yang sihat akan mengantarkan
pemiliknya pada perkara-perkara yang bermanfaat, meskipun sebelumnya dia telah
tenggelam dalam lautan kecintaan pada dunia. Kedudukkan inilah yang berada pada
murid-murid yang bersuluk. Ada pula manusia yang secara zahir (luaran) nampak
baik, pendiam, manis kata-katanya, suka beribadah dan boleh jadi dia adalah
seorang ahli dalam ilmu suluk, tapi batinnya buruk dipenuhi dengan sifat
sombong, hati yang kotor dan suka bertopeng. Sememangnya hati mereka susah
terlepas dari riya dan sum’ah. Walaupun pada zahirnya nampak baik. Oleh kerana
batin mereka rosak, keadaan mereka menjadi buruk, penuh kekurangan, serba rugi
dan dikhawatirkan akan mengakhiri usianya dengan su’ul khatimah.
Keterangan:
“Wahai Murid-murid yang bersuluk,
periksalah diri kamu, adakah kamu didalam keadaan begini dimana akhir usia kamu
akan berakhir dengan su’ul khatimah. Lekas-lekas periksa diri kamu, sekira kamu
berada didalam perjalanan su’ul khatimah, bertaubatlah dengan segera dan mohon
kepada Allah akan pertolonganNya untuk mendapatkan Husnul Khatimah”.
Semoga Allah Taala melindungi kita semua dari makarNya dan menyelamatkan kita
dari berbagai fitnah. Amin. Khair Insyallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan