Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran
Shidq
Wahai saudara ku, jadikanlah shidq sebagai pusat perhatianmu dan awal semua
urusanmu. Dikatakan bahawa shidq adalah pedang Allah dibumi. Apa pun yang
disentuhnya pasti terpotong.
Keterangan:
“Alhamdulillah, pada bab ini tidak
kurang pentingnya, merujuk pada pengabdian kepada Allah Taala. Di mana kita
didalam perjalanan menuju kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
untuk mendapatkan keampunan dan keridhaanNya daripada ketidakmampuan untuk
menyempurnakan segala ketaatan dan amal kebajikan tanpa dipesongkan selain Dia.
Sebagai hambaNya yang daif, kehinaan, kelemahan dan kekurangan sentiasa
memerlukan petunjuk, bimbingan dan pertolongan daripadaNya dan adalah mustahil
kita boleh tercapai penghujung jalan dengan selamat tanpa keizinan dan
keridhaanNya. Seringkali kita tidak dapat menumpu perhatian kepadaNya dengan
ikhlas disebabkan diri kita sendiri. Mengapa? Jawapannya adalah kita sendiri
tidak shidq (tidak ada amanah pada diri, tidak ada kebenaran yang hakiki dan
tidak ada keikhlasan). Itulah hijabnya, itulah penghalang dan yang sebenarnya
adalah siksaan bagi kita. Kita dinasihat, supaya sentiasa menjadikan shidq
sebagai tumpuan yang penuh perhatian dalam permulaan segala urusan-urusan baik
dunia mahupun akhirat. Sekiranya sikap shidq (amanah, benar dan ikhlas)
diamalkan pada urusan dunia, maka urusan akhirat, insyallah akan shidq (amanah,
benar dan ikhlas)“.
“Apa yang dimaksudkan tidak amanah? tidak
benar dalam urusan? dan tidak ikhlas? Semua diatas disebabkan, segala urusan
yang bersangkut-paut pada dunia (makhluk)Nya dipenuhi dengan kebohongan,
tipuan, meremehkan dan paling teruk adalah tidak peduli apa yang diucapkan”.
“Contohnya:
1. Kebohongan: Sikap
seseorang yang mengatakan persetujuan dari segi apapun tetapi didalam hatinya
hanya niat untuk melayan saja. Kerana apa yang dipersetujukan tidak ada faedah
buat dirinya. Kalau begitu kenapa setuju? Nak jaga nama, sebab dia adalah
tempat bagi orang yang dia kenal, untuk merujuk dan meminta pertolongan ataupun
nasihat.
2. Tipu: Sikap seseorang
yang keji dan hina ini adalah sikap menipu sesiapa saja yang merujuk, meminta
pertolongan ataupun nasihat. Sebaliknya dia akan mengatakan ‘ya’ tetapi
dibiarkan apa yang dijanjikannya.
3. Meremehkan: Sikap
yang ada pada seseorang yang suka memperkecilkan seseorang yang menolong dan
membantunya. Kerana jauh didalam hatinya berkata ‘kenapakah harus akan tolong?’
Tetapi dia sendiri terhegeh-hegeh pada orang itu kerana memerlukannya. Tetapi
dia membodohkan orang yang menolong dan membantunya kerana tidak ada kefahaman
dari segi ilmu dunia atau pun ilmu akhirat. Selalu menjeling pada orang yang
memberi pertolongan dan bantuan dengan jelingan yang jahat (hatinya berkata,
tak faham, faham ke?). Siapa yang sebenarnya tidak faham???
4. Tidak Peduli: Sikap
yang paling zalim ini adalah seseorang yang tidak mahu tahu apa yang telah
dijanjikan. Terlalu mudah mulutnya berjanji. Ini semuanya adalah dia mengingin
sesuatu dari seseorang yang dikira boleh memberi sesuatu. Kalau tidak buat apa
dia berjanji? Kalau benar dia mengambil berat, kenapa tidak menyiapkan diri
pada apa yang dijanjikan?
Semua sikap diatas itu dengan sendirinya menunjukkan siapa dirinya sebenar.
Sikap yang buruk, hina dan keji ini hanya boleh dilihat bagi orang yang berilmu
dan tidak mudah bagi orang tersebut mempermainkannya.
Apa pandangan kamu bagi mereka yang memiliki sikap sebegitu dan menjalankan
kewajipan
agama?”
“Bukankah orang sebegitu yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw; “orang yang
munafiq”. Bolehkah orang yang munafiq mencapai kedekatan (kehampiran) kepada
Allah Taala dengan sikap sebegitu? Sebagai isyarat (tanda-tanda) bagi sesiapa
yang ingin mengetahui sikap-sikap yang ada pada orang yang tidak amanah, tidak
ada kebenaran, tidak ada ikhlas, seperti berikut”
5. Suka membesarkan
mata dengan tolehan matanya kekanan atau kekiri bila mendengar sesuatu yang
menakjubkan.
6. Suka menunjuk pada
gerakkan anggota samada dari tangan, kepala dan badan dengan cara mengosok,
memeluk, mengangkat bahu dan sebagainya bila mendengar sesuatu yang konon-konon
dia takuti atau kagumi. Tapi sebenarnya dia bohong.
7. Suka menjawab
dengan perkataan “ye ke? ye ke?” Itu adalah soalan darinya yang dilontar semula
tanda tidak setuju.
8. Suka menjawab
dengan secepat kilat, orang tanya satu, dia jawab 10. Nak tunjukkan dia betul
bahawa dia pernah merasai dan mengalami. Konon-konon tak takut. Dah bersedia.
Sebenarnya, kosong.
9. Banyak tidur yang
tidak seimbang seperti manusia biasa. Menunjukkan dirinya tidak mengambil berat
akan tanggungjawab-tanggungjawab. Menunjukkan sikap yang tidak memperdulikan
urusan-urusan yang dijanjikan. Membesarkan tidur dengan mengetepikan amanah,
dimana sifat ini adalah salah satu sifat Nabi Muhammad saw! Tapi nak ikut Nabi!
Betul ke cara begitu? Inilah sebahagian tanda-tanda mereka yang tidak ada
amanah, tidak ada benar dan tidak ada ikhlas”.
“Dikatakan bahawa shidq adalah pedang Allah
dibumi. Apa pun yang disentuhnya pasti terpotong. Bermaksud orang yang shidq
adalah pedang Allah (lidahnya pedang dan sarungnya mulut). Orang yang shidq
akan menjaga lidah dari bertikam dan mulutnya dari terkeluar apa-apa yang tidak
boleh dia sampaikan atau dia akan diam. Maka diam lebih selamat. Apa jua yang
datang samada baik atau buruk tidak boleh mengugatnya kerana dia senantiasa
beringat”.
Ketahuilah,
shidq memiliki dua makna: shidqul lisan dan shidqul qolb. Shidqul qolb adalah
sumber shidqul lisan, dan selalu menjadi pegangan dan tujuan kaum sholihin.
Shidqul lisan adalah perbuatan yang baik, tapi shidqul qolb merupakan sumber
dan asal dari shidqul lisan. Shidqul lisan dikatakan baik kerana ia menunjukkan
kemakmuran batin (‘imaratul bathin) dan kesucian jiwa.
Keterangan:
“Shidq mempunyai dua bahgian:
·
Shidqul Lisan; Lidah yang Benar,
·
Shidqul Qolb; Hati yang Benar.
“Lidah yang Benar adalah datang dari
Hati yang Benar, inilah menjadi pegangan dan tumpuan kaum sholihin. Kerana
dengan lidah dilihat dan diperhatikan akan kebenaran hati yang sangat mereka
takuti. Sekiranya lidah mereka mengeluarkan apa-apa yang tidak sepatutnya, maka
kegelisahan datang mengalami diri mereka kerana mereka sedar bahawa ketaatan
dan amalan mereka selama ini tidak diterima Allah Taala. Sifat mereka (kaum
sholihin) ini tidak mungkin dapat kita rasai kerana kita tidak memperhatikan
(tidak mahu) apa yang dikeluarkan oleh lidah. Walaupun kita sedar, melalui
nasihat-nasihat dari guru tetapi kita tidak mahu mengambil langkah-langkah
untuk membaiki pertuturan lidah kita. Ini disebabkan oleh kebenaran yang hakiki
bahawa diri sendiri tidak mahu mengorak langkah untuk melatih diri supaya
berjaga-jaga dari pekerjaan yang buruk dan hina. Tetapi lidah sentiasa mengata
ingin menjadi orang yang benar. Ketahuilah wahai murid dan salik, lidah yang
benar adalah menunjukkan kemurnian, kebersihan hati dan rohani. Maka dengan itu
jagalah diri kamu dahulu baru kamu dijaga oleh Allah Taala”.
Kebohongan
lisan sangat jelek dan buruk, tapi kebohongan hati lebih buruk dan berbahaya
kerana menunjukkan kerosakan batin dan kehinaan jiwa. Kebohongan hati dapat
melahirkan berbagai perbuatan yang lebih buruk daripada kebohongan lisan.
Keterangan:
“Berhati-hatilah kamu, kebohongan
lidah kamu akan mengakibatkan akhlak yang hina dan buruk tetapi kebohongan hati
kamu, lebih-lebih buruk dan merbahaya kerana semulajadi menunjukkan kerosakan
batin dan hinanya jiwa kamu. Banyak berbohong dan banyak mungkir janji akan
mengeluarkan perbuatan yang lebih buruk yang berpunca dari hati dan perbuatan
itu lebih buruk tingkatannya berbanding dengan kebohongan lidah”.
Orang
yang mudah berbohong dan tidak mempedulikan kehinaan dan kekurangan jiwanya,
adalah orang yang rendah. Keadaan ini akan membuatnya jauh dari Allah Taala.
Keterangan:
“Takutilah kamu wahai murid dan salik,
kerana senang(mudah)nya kamu berbohong dan tidak mempedulikan kehinaan dan
kekurangan jiwa menunjukkan kamu adalah orang yang rendah akhlaknya disisi
manusia apalagi disisi Allah Taala. Keadaan demikian membuatkan kamu jauh dari
Allah Taala kerana sikap kamu sendiri yang mudah sangat berbohong, tidak
pedulikan kehinaan dan kekurangan jiwa asalkan saja kamu dapat menuruti
kehendak kamu yang buruk dan tidak mempunyai himmah yang tinggi”.
Seorang
manusia yang sempurna tidak rela melihat dirinya penuh kekurangan, meski tidak
ada seorang pun mengetahuinya.
Keterangan:
“Sekiranya kamu ingin mencapai
kesempurnaan (mendaki akhlak yang baik) kamu tidak akan rela melihat diri kamu
memiliki kekurangan dalam ibadat kamu walaupun tidak seorang pun mengetahuinya.
Inilah yang dikatakan murid dan salik sebenar. Kerana itulah niat dan tujuan
mereka”.
Orang
yang suka berbohong akan meremehkan aib dan kekurangannya sendiri, meskipun ia
mengetahui aib dan kekurangan tesebut. Sebagaimana dikatakan bahawa seorang
pendusta tidak akan berbohong, kecuali kerana menganggap ringan (dosa) suatu
kebohongan.
Keterangan:
“Murid-murid yang suka berbohong dan
memperkecilkan kesalahan dan kekurangan diri sendiri akan mengambil
langkah-langkah menutupnya dengan baik-baik bila berhadapan para alim ulama dan
arifbillah tetapi dia lupa, macamana pun dia tutup kesalahan dan kekurangan
dirinya akan timbul juga kerana datangnya dari diri sebenar diri yang memantul
keluar dengan sendirinya. Murid yang suka dan mudah berbohong akan sentiasa
melihat kesalahan dan kekurangan orang lain lebih-lebih lagi rakan seperguruan”.
Oleh
kerana itu, ketahuilah, bahawa shidqul batin tidak akan menolakkan hati dari
jalan kebenaran, bahkan kejujuran akan menjadi syiarnya. Jika seseorang telah
membiasakan batinnya dengan kebenaran dan shidq, maka lisannya akan sulit untuk
diajak berdusta kerana; “Lisan adalah
penterjemah hati”. Lisan hanya akan mengutarakan apa yang terdapat dalam
hati. Jika hati shidq, mustahil lisan akan berdusta.
Keterangan:
“Bagaimana cara mendapatkan shidqul
batin diatas itu? Shidqul Batin (Hati yang Benar) dapat dicapai dengan menolak
segala jalan yang menuju kemungkaran baik yang nyata dan tersembunyi. Kejujuran
(kebenaran) akan menjadi pencariannya, Pencariannya akan menjadi amalannya dan
amalannya menjadi pegangannya, pegangannya akan membuahkan zauq kepada kaum
sholihin, zauq kepada kaum sholihin akan menghubungkan kepada Nabi Muhammad saw
dan Nabi Muhammad saw akan menghubungkan kepada Allah swt. Sekiranya kamu
sentiasa membiasakan batin (hati) kamu dengan kebenaran dan menjaga batin
supaya selamat, maka kamu akan menjadi seorang yang amanah. Sekiranya kamu
menjaga batin kamu menjadi amanah dalam segala keadaan dan perbuatan, maka
sangat susah untuk lidah berbohong kerana; ‘Lidah adalah sebagai ‘penyampai’
bagi hati’. Kalau kamu sememangnya seorang murid (bukan murid pada nama aje)
ikut dan amalkan segala panduan murid dan salik, petunjuk jalan yang lurus dari
Imam Abdullah b Alwi Al-Haddad, kitab ‘Risatulul Murid”.
Kini
jelaslah bagimu, bahawa jika batin telah dibiasakan dengan kebenaran, maka
kebenaran akan menjadi sifat dan ciri batin. Sehingga andaikan ia ingin
berbohong, ia tidak mampu melakukannya, sebab yang demikian itu bukan sifat
batinnya.
Keterangan:
“Ketahuilah, dengan cara meneruskan
belajar dan mengamalkan apa yang didapati dalam pelajaran, insyallah atas
keikhlasan kamu yang menginginkan kebenaran hati dan kebenaran lidah akan
tercapai dengan latihan yang disertai tanpa putus asa dan jemu. Maka
pertolongan dan keizinanNya akan datang menyelubungi kamu. Amin. Bila batin
sudah dibiasakan dengan kebenaran, maka kebenaranlah akan menjadi sifat dan
watak batin tersebut yang dimiliki oleh kaum sholihin. Sehingga, kamu ingin
berbohong walau sedikitpun, kamu tidak akan mampu melakukannya sebab itu bukan
sifat batin kamu”.
Semua
ucapan dan perbuatan buruk seseorang ditimbulkan oleh keburukan batin. Hal ini
terjadi kerana akal yang lemah, atau hawa yang menguasai dirinya dan menodai
nuraninya (sir). Orang yang dikuasai oleh hawa, setelah sedar akan menyesali
semua kelalaiannya. Sedangkan orang yang berakal lemah, tidak akan pernah
sedar, tidak akan pernah mengetahui cacat batinnya, dan tidak akan pernah boleh
diharapkan kesembuhannya batinnya. Fahamilah hal ini dan berusahalah (untuk
bersikap shidq), semoga dengan pertolongan dan kehendak Allah kamu akan
memperoleh kebenaran.
Keterangan:
“Wujud (adanya) segala ucapan dan
perbuatan yang buruk yang dikeluarkan oleh kamu, datangnya dari batin kamu
sendiri. Dimana kamu tidak ada kuasa untuk menahan atau sembunyikannya. Kerana
itulah kebenaran. Kerana itulah Islam didirikan. Kerana itulah Muhammad saw
diutuskan. Untuk apa? Menyampaikan kebenaran. Perkara ini terjadi oleh kerana
akal yang lemah (akal yang tidak dapat kefahaman (sebenarnya dia sendiri yang
tidak mahu faham!, akal yang ditujukan pada niat yang bersalahan) atau hawa
yang mudah menguasai diri dan mengotorkan jiwa kamu kerana salah diri sendiri
kerana tidak mahu mengamal dan melatihkan diri dan beramal. Tidak mahu bertanya
pada orang yang mulia dan bijak. Asyik mengejar tingkatan yang tinggi saja,
sehingga lupa muhasabah (melihat perbuatan sendiri). Murid sebenar yang
dikuasai oleh hawa bila sedar akan menyesali kelalaiannya. Tanyakan pada diri
kamu, adakah kamu menyesali setiap kelalaian yang kamu lakukan? Jawapan
sebenarnya, Tidak, kamu tidak akan menyedari dan menyesali perbuatan kelalaian
kamu kerana kamu tidak mengindahkannya! Bila kamu tidak mengindahkannya
bagaimana Allah Taala hendak melihat perbuatan hati kamu? Bila kamu tidak
menjaga perbuatan hati kamu bagaimana Allah Taala dapat dekat dengan kamu?”
“Janganlah kamu menjadi orang yang berakal
lemah, tidak mahu sedar, tidak mahu tahu cacat batin kamu, maka jangan harapkan
kesembuhan batin kamu kerana ini adalah perkara yang sangat mustahil!”
Fahamilah keterangan diatas ini dengan jelas dan berusahalah untuk bersikap
shidq (benar) semoga dengan pertolongan dan kehendak Allah, kamu dapat
memperolehi kebenaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan