Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran
Bersikap
Sederhana
Berbuat
baiklah dan tujukanlah semua amal engkau untuk Allah Taala. Jangan engkau
melampaui batas dalam beramal ibadah (ghuluw). Sebab, amal kebajikan jika
dikerjakan secara tidak berlebihan (iqtishod) akan menjadi baik, tetapi jika
dikerjakan secara berlebih-lebihan akan diselitkan hawa dan menjadi bahagian
dari nafsu. Bukankah engkau pernah mendengar hadis shahih berikut:
“. . . tetapi aku tidur dan
berdiri (untuk sholat), berpuasa dan berbuka dan mendatangi isteri-isteriku,
maka barangsiapa membenci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku”.
(Bukhari, Muslim, Nasai dan Ahmad)
Keterangan:
“Ingatlah wahai para murid, tujukan
segala amal kebajikan engkau kepada Allah Taala bukan pada makhluknya, dengan
tidak melampaui batas didalam beramal. Bermaksud, bila mendapat sesuatu
pelajaran atau sesuatu wirid atau sesuatu doa, maka dengan semangat melakukan
kebajikan yang disyorkan oleh guru dengan tidak meninggalkan. Yang anehnya
murid itu pada awalnya dapat mengerjakannya tetapi hari demi hari segala amal
yang dikerjakannya menurun kerana ada sesuatu hajat ataupun motif yang
diletakkan simurid itu ataupun melihat akan kehebatan dirinya bila dapat mengamalkan
pesanan gurunya. Itu adalah petanda yang diberikan oleh Allah Taala bahawa amal
yang ditujukan oleh simurid itu bukan untukNya. Waspadalah wahai murid.
Hendaknya kamu istiqamah dalam menjalankan ibadah hanya untuk Allah Taala
dengan mendapatkan keampunan daripadaNya”.
Seorang
arif berkata; “Jika Allah
memerintahkan sesuatu kepada hambaNya, maka iblis akan menambah-nambahkan
perintah itu atau menguranginya”. Seorang arif yang lain berkata;
“Berlebih-lebihan dalam bersikap
lemah-lembut merupakan kesombongan, berlebih-lebihan dalam tersenyum merupakan
kelemahan akal dan berlebih-lebihan dalam berterima kasih merupakan rayuan”.
Keterangan:
“Bila murid-murid mengerjakan amal
ibadahnya maka iblis akan membisikkan kepadanya untuk menambahkan atau mengurangi
amalnya. Maka hendaklah murid meneliti adakah dia mengerjakan amalannya
berlandaskan apa yang diperintahkannya atau tidak. Sekiranya ada, maka dia
termakan oleh hasutan iblis itu. Bila berlebih-lebihan dalam sikap merendahkan
diri yang ditonjolkan oleh murid, samada dihadapan gurunya atau pada orang
ramai sebenarnya adalah kesombongan dirinya. Kerana dia hanya berpura-pura
menunjukkan sikap kerendahan dirinya pada makhluk Tuhan untuk mendapat pujian
dari mereka. Bila murid berlebih sangat dalam tersenyum (ketawa) menunjukkan
kelemahan akalnya. Bermaksud, murid itu tidak memahami akan pelajaran yang
dipelajarinya. Sekiranya dia faham maka dia tidak akan banyak senyum (ketawa).
Dan berlebihan dalam berterima kasih menunjukkan rayuan. Bermaksud, Bila murid
terlalu banyak mengatakan terima kasih, menunjukkan dia sangat bersyukur akan
pemberian orang itu dengan mengisyaratkan bahawa dia adalah hamba yang
senantiasa bersyukur pada Allah Taala”.
Wahai
murid, semua ucapan diatas mengajarkan supaya engkau mengambil sikap tengah
(sederhana) dalam semua urusan engkau dan tidak berlebih-lebihan dalam beramal.
Kadang-kadang amal manusia rosak tanpa disedarinya kerana termakan oleh hawa.
Kadang-kala dalam diri seseorang nampak lembut dan halus padahal sebenarnya dia
seorang yang berhati keras. Sebab, kelembutan dan kehalusannya itu datang dari
nafsu, bukan dari hati. Keadaan begini selalu terjadi. Orang yang berjiwa lemah
dan berhati keras kadang-kala menangis, tetapi tangisannya tidak boleh
dipercaya. Sebab, yang dapat dipercaya adalah sesuatu yang muncul (timbul) dari
hati, bukan dari nafsu. Setiap kelakuan yang datang dari nafsu tidak perlu
diperhatikan (dikesiankan), meskipun manusia lain mengaguminya, sebab tidak
memiliki dasar.
Keterangan:
“Wahai murid, ambillah langkah-langkah
perbuatan yang sederhana didalam menjalani kehidupan kamu samada berhubungan
dengan dunia ataupun akhirat. Jangan berlebihan dalam beramal. Biar sedikit
tetapi senantiasa kekal dalam mengerjakan amal ibadah. Itu lebih baik
(sempurna) dari mengerjakan dengan banyak tetapi kemudian ditinggalkan
langsung. Janganlah engkau termakan oleh hawa didalam beramal dengan
mengikutkan semangat kamu yang melonjak-lonjak. Ambillah langkah demi langkah
adalah satu cara melawan bisikan hawa. Biarpun ada dorongan yang menyuruh kamu
untuk menambahkan atau mengurangkan amal kamu. Jangan mudah terpedaya dengan
perwatakan (penampilan) seseorang yang lemah-lembut tetapi sebenarnya dia
berhati keras. Sekiranya seseorang mudah menangis, perhatikan perwatakannya
yang sebenar, adakah orang itu wara? kalau tidak, engkau tidak perlu
kesiankannya kerana perbuatannya datang dari nafsu bukan dari hati”.
Jika
engkau ingin membezakan antara perbuatan yang muncul dari hati dan perbuatan
yang muncul dari nafsu, makan jadikanlah kesan yang timbul itu sebagai kayu
pengukur. Jika engkau melihat seseorang menunjukkan sikap yang halus dan suka
menangis, maka lihatlah apakah kelembutan dan tangisannya itu sesuai dengan
wataknya? Jika sesuai, maka ketahuilah bahawa kelembutan dan tangisan itu
muncul dari hati. Tetapi jika orang itu berwatak keras dan sulit, maka
ketahuilah bahawa kelembutan dan tangisannya itu berasal dari nafsu, bukan dari
hati. Ketahuilah, orang yang berhati-lembut adalah orang yang wajahnya
berseri-seri dan sering tersenyum. Sebab, keadaan hati itu tercermin dan sering
tersenyum. Perumpamaan wajah dan keadaan hati seperti bayangan sebuah dahan
dengan dahan itu sendiri. Bayangan tidak akan berbeza dengan bentuk aslinya.
Bahkan ke mana pun dahan itu bergerak, bayangannya akan selalu ikut. Begitulah
perumpamaan wajah terhadap hati: semua yang disembunyikan hati akan nampak
diwajah. Orang-orang yang memiliki bashirah mampu mengetahui isi hati seseorang
hanya dengan melihat wajahnya. Wajah adalah lembaran yang dapat dibaca. Jika
hatinya keras, wajahnya nampak keras dan muram, hampir tidak pernah senyum.
Jika hatinya lembut, dia akan bersikap ramah kepada teman-temannya, rindu pada
kampung halaman dan menyesali umur yang telah disia-siakannya. Sebagaimana
dikatakan, bahawa jika engkau ingin mengetahui kesetiaan seseorang, maka
perhatikanlah bagaimana kerinduannya pada kampung halaman, kesedihannya ketika
mengingat teman-temannya yang telah meninggal dan penyesalannya atas umur yang
telah dilaluinya.
Keterangan:
“Jika engkau ingin membezakan antara
perbuatan yang datang dari hati atau dari nafsu, maka jadikan kesan perbuatan
sipelaku itu sebagai kayu pengukur. Kalau engkau melihat seseorang yang
menunjukkan sikap yang lemah lembut yang suka menangis, lihatlah apakah
kelembutan dan tangisannya itu sesuai dengan watak perangainya? Kalau ada, itu
adalah dari hati, kalau tidak itu dari nafsu. Fahamkan, orang-orang yang
berhati lembut yang wajahnya berseri dan mudah tersenyum adalah kerana keadaan
hati itu tercermin pada wajahnya. Seperti bayangan sebuah dahan dengan bayangan
dahan dipermukaan ayer. Bayangan tidak akan berbeza dengan dahan dari bentuk
aslinya. Kemana pun dahan itu bergerak, bayangan akan tetap mengikutinya.
Itulah contoh terhadap wajah pada hati. Apa yang disembunyikan hati akan nampak
diwajah. Bagaimana pula bila dahan dengan bayangan dahan dipermukaan air
disambar oleh gelombang air? Maka bayangan dahan dipermukaan air akan berubah.
Itulah nafsu! Hanya orang yang memiliki bashirah sahaja yang dapat mengetahui
isi hati seseorang hanya dengan memandang wajahnya. Bukan kita, Jangan
mimpilah. Wajah muka seseorang adalah seperti kertas yang boleh dibaca. Maka
berhati-hatilah kamu semua. Kita tidak boleh sembunyikan apa-apa yang ada
dihati kita. Ingat, hati yang lembut akan bersikap lembut (suka bertolak ansur,
suka mendengar sebelum memberikan sepatah dua kata) kepada teman-temannya,
sentiasa rindu (rindukan ajal) pada kampung halamannya (kubur) dan sentiasa
menyesal umur yang sudah disia-siakan. Lihatlah, telitilah diri kamu, adakah
kamu mempunyai hati yang lembut yaitu mudah mengerjakan perintah dan menjauhi
larangan Allah, suka bertolak ansur, mendengar sebelum memberikan sepatah dua
kata kepada teman-teman“.
“Yakin (dapat merasa) yang ajal kamu
akan tiba pada bila-bila masa. Adakah kamu rindu pada kubur kamu? Adakah kamu
menyesal akan umur yang kamu sia-siakan? Kalau ada, alhamdulillah, kalau tidak,
bila nak siapkan diri akan jemputan dari Malaikat Maut? Kalau dah faham dan
tidak bersiap juga itu bermakna tidak yakin. Tetapi yakinnya terletak pada
bisikan nafsunya sendiri. Telah jelas bagi kamu bahawa kelembutan dan kehalusan
boleh ditemukan pada diri orang-orang yang memiliki hati dan orang-orang yang
memiliki nafsu”.
Kebaikan
hati yang disertai keburukan nafsu lebih baik daripada keburukan hati yang
disertai kebaikan nafsu. Sebab, hati yang keras sangat buruk dan merupakan
penyebab pokok terjadinya berbagai kejahatan dan maksiat. Malik Bin Dinar
berkata; “Tidak ada musibah yang lebih
besar daripada hati yang keras”.
Keterangan:
“Kebaikan hati yang dibawa bersama
keburukan nafsu didalam ketaatan lebih baik daripada engkau membawa keburukan
hati yang dibawa kebaikan nafsu semasa mengerjakan ketaatan. Sila lihat “Hati
Bermaksiat, Anggota Tubuh Taat” pada bab yang telah lalu”.
Allah
Taala berfirman pada Musa a.s., “Salahkanlah
nafsu kamu, kerana yang paling layak untuk disalahkan adalah nafsu. Ketika
bermunajat kepadaKu, bermunajatlah dengan lisan yang shidq (benar) dan hati
yang takut”.
Keterangan:
“Ini satu lagi masalah yang sering
kita lakukan bila berhadapan dengan Allah Taala. Seperti diatas, Allah Taala
memberi amaran kepada Musa a.s. supaya memperbetulkan munajatnya (doanya)
dahulu sebelum munajat (berdoa) kepadaNya. Bagaimanakah dengan kita? Adakah
amaran seperti itu tidak disampaikan pada kita? Adakah kita menginginkan Allah
menjelma didepan mata baru nak memperbetulkan munajat (doa)? Sejak bila Allah
Taala tidak memberi amaran seperti amaran Musa a.s. pada kita? Masih tidak
nampak ke? Salahkan nafsu kamu sendiri. Kamu yang meletakkan nafsu kamu
dihadapan, bukan hati kamu yang kamu kedepankan. Allah Taala memerintahkan Musa
a.s. supaya bermunajat (berdoa) dengan lisan (lidah) yang benar dan hati yang
takut. Begitu juga dengan kita semua, dimana Allah Taala juga telah mengajukan
perintahNya kepada kita untuk berdoa dengan Lidah yang benar, dimana lidah hati
itu disalurkan pada lidah zahir disertakan ketakutan kepadaNya. Untuk dapat
melakukan apa yang diperintahkan Allah Taala, hendaknya kita berdoa kepadaNya
dengan sederhana. Jangan panjang-panjang yang penuh dengan angan-angan hanya
harap diberikan olehNya tetapi tidak mengorak langkah. Mustahil lah .
. . .”
Ketahuilah,
setiap hati memiliki sesuatu yang baik, maka nafsu pun memiliki perkara serupa
yang dapat mengaburkan mata hati. Sebagaimana Allah memberi hati akan keinginan
(iradah), maka Allah juga memberi nafsu dengan angan-angan kosong (tamanniy).
Sebagaimana Allah memberi hati akan perasaan cinta (mahabbah), maka Allah
memberikan nafsu dengan hawa nafsu (hawa). Sebagaimana Allah memberi hati akan
harapan (roja’), maka Allah memberikan nafsu dengan ketamakan (thoma’).
Sebagaimana Allah memberi hati akan perasaan takut (khauf), maka Allah memberi
nafsu dengan perasaan putus asa (qunuth). Perhatikan dan renungkan kata-kataku
ini.
Keterangan:
“Lihatlah akan kebijaksanaan dan
kesempurnaan Allah Taala dalam memberikan haq sesama mereka diantara hati dan
nafsu supaya hambaNya dapat memilih dan tidak menunjukkan jari kepadaNya. Bila
murid dapat memahami apa itu keinginan yang datang dari hati, maka dia pasti
tahu apa itu angan-angan kosong yang didatangkan oleh permainan hawa. Contoh;
datang keinginan dari hati untuk mengerjakan amal kebajikan untuk mendapatkan
keampunan dari Allah Taala seperti menghadiri kelas agama tetapi tidak menyiapkan
diri dengan berdoa kepadaNya memohon pertolonganNya dan keizinanNya, maka dia
mengambil langkah untuk berehat-rehat dahulu. Masa pun berlalu! Bila kesedaran
datang akan kelambatannya maka diniatkan bahawa Allah Taala Maha Mengetahui
akan niatnya dengan berangan-angan kosong akan mendapat keampunan dariNya.
Itulah hawa!!! Bila datang perasaan cinta dari hati untuk menghadiri kelas
agama dengan mengetahui akan tuntutan dari agama yang mewajibkan setiap muslim
menghadiri kelas agama, maka datang hawa nafsu meletakkan tidak penting sangat
menghadiri kelas agama sekiranya ada urusan-urusan yang lebih penting kerana
meletakkan Allah Maha Mengetahui. Itulah Hawa!!! Bila datang harapan dari hati
untuk menghadiri kelas agama kerana mengetahui kelebihan dan keutamaan keatas
sesiapa yang menghadiri kelas agama, maka datanglah ketamakkan dari nafsu bila
melihat rakan-rakan seperguruan berlumba-lumba berkhidmat kepada guru.
Berlumba-lumba dalam beramal. Timbullah hasad dengki dengan memajukan
ketamakannya untuk berkhidmat kepada guru. Rakan lain tidak boleh berkhidmat,
dia sahaja yang menginginkan kelebihan dan keutamaan. Itulah Hawa!!! Bila hati
mendatangkan perasaan takut supaya jangan meletakkan alasan-alasan semasa
hendak beramal kerana membenarkan niat tujuan mereka yang ingin menuju kepada
Allah Taala dengan sanggup berkorban jiwa dan raga dan menempuh segala cubaan
dan ujian dari Allah Taala. Maka datanglah perasaan putus asa dari nafsu dengan
membisikan akan beratnya amalan-amalan dan latihan-latihan yang harus
dikerjakan (diamalkan) olehnya. Dengan meniupkan kepadanya “tidak ada seseorang
yang lepas dari dosa”, Dengan membelai telinganya dengan berkata, “Allah tidak
akan memberatkan hambaNya apa yang tidak dapat dipikulnya. Itulah Hawa!!!“
Salah
satu contoh yang dapat memberikan gambaran yang jelas kepada kamu adalah
keadaan orang yang terlilit dengan hutang. Kita seringkali melihat orang yang
tidak mahu menjelaskan hutangnya. Namun ketika memperoleh harta, dia lalu
menyedekahkan dan tidak berusaha membayar semula hutangnya. Itulah contoh
perbuatan baik yang timbul dari nafsu. Di antara sekian banyak nafsu, ada nafsu
yang suka melakukan muruah dan merasakan kenikmatan ketika memberi. Nafsu ini
seperti merasakan kenikmatan dalam memberi sebagaimana orang jahat merasakan
kenikmatan ketika menolak permohonan pertolongan. Demikian pula halnya dengan
mereka yang mengerjakan sunnah, tapi meninggalkan yang wajib. Contohnya; orang
yang mengerjakan ibadah haji berulang kali (banyak kali) dengan wang halal dan
haram (wang) yang bercampur halal dan haram) serta mengabaikan ketakwaan dalam
urusan urusannya yang lain. Diantara mereka ada yang menunaikan ibadah haji
dengan berjalan kaki, tapi meremehkan sholat. Hasan Al-Bashri rhm berkata;
“Kamu telah menunaikan ibadah haji, oleh kerana itu sambunglah tali
silaturahim, bantulah orang yang sedang kesusahan dan berbuatlah baiklah kepada
tetangga.
Keterangan:
“Lihatlah keadaan orang yang terlilit
dengan hutang. Besar kemungkinan perkara dan perbuatan ini ada pada diri kita
juga. Seringkali kita melihat orang tidak mahu menjelaskan hutangnya bila
mendapat rezki dari segi gaji bulanan, harta (dari jualan rumah, kereta atau
sebagainya) dan lain-lain. Mereka lebih senang mengeluarkan sedekah dan tidak
mahu membayar semula hutang dan meletakkan keutamaan pembayaran yang telah
dilafazkan Ijab Kabul (perjanjian). Itu adalah perbuatan baik yang timbul dari
nafsu yang menyuruh mengeluarkan sedekah seperti yang dituntut oleh hukum
syariat. Tetapi mereka tidak dapat melihat akan Ijab Kabul (perjanjian) yang
telah diikrarkan pada pemberi pinjaman itu lebih afdal dan lebih utama kerana
hutang seseorang tidak boleh dibawa kehadapan Allah Taala. Dimana Allah Taala
tidak akan campur tangan dalam urusan hutang manusia sesama manusia dan akan
menyuruh mereka menyelesaikan masalah itu sendiri. Marilah kita ambil
perdekatan yang lebih selamat dengan membayar hutang pada sipemberi pinjaman
itu. Sekiranya tidak mempunyai kelebihan untuk membayar kesemua jumlah hutang
itu, maka bayarlah dengan seberapa yang mampu dan mohon maaf kepada sipemberi
pinjaman itu. Jangan buat deek aje (macam tak ada hutang) bila berhadapan
dengan sipemberi pinjam itu. Manusia macam apa itu? Kalau sudah berani buat
terhadap manusia apa lagi terhadap Allah Taala yang tidak kelihatan! Kalau
langsung tidak boleh membayar hutang itu walaupun sedikit, maka harus
memberitahu perkara sebenar kepada sipemberi pinjaman. Mudah mudahan dengan
cara begitu, insyallah akan mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah
Taala. Perbuatan dari nafsu yang telah dijelaskan itu bersumber dari muruah
(usaha seseorang untuk melaksanakan semua perkara yang dianggap baik dan
menjauhi semua perkara yang dianggap buruk oleh masyarakat) dengan memandang
akan kenikmatan dalam memberi, supaya mendapat nama. Berhati-hatilah bila ingin
mengerjakan sesuatu perkara. Lihatlah akan keafdalan dan keutamaannya dari
perkara yang ingin dikerjakan dan bersandarkan pada hukum syariat. Sama juga
dengan perbuatan orang yang suka menghidupkan sunnah tetapi meninggalkan perkara
yang wajib apa lagi perkara yang bersangkutan dengan ibadah yang terhutang.
Satu lagi contoh seperti orang yang mengerjakan ibadah haji atau umrah berulang
kali dengan mengunakan wang halal dan haram yang bercampur baur dengan
mengabaikan ketakwaan mereka (dimana dilarang keras mengunakan wang yang
bercampur baur untuk menunaikan haji atau umrah) terhadap perkara-perkara yang
lebih wajib lagi. Tertutup mata hati mereka, tidak lain adalah ingin mendapat
gelaran Pak Haji dan memakai songkok Haji kemana saja dia pergi dimana
diselitkan dalam hatinya supaya orang ramai akan tahu yang dia sudah
mengerjakan Rukun Yang Kelima. Kalau orang tidak memanggilnya dengan Pak Haji,
maka akan merahlah mukanya tanda marah kepada orang yang tidak memanggilnya Pak
Haji. Maka muka yang merah itu pun akan bertukar menjadi Hitam”.
Contoh
lain adalah orang orang yang mencari harta haram kemudian membelanjakannya
dalam kebaikan. Semua perbuatan ini digerakkan oleh nafsu, sama sekali tidak
memiliki hubungan dengan hati.
Keterangan:
”Begitu juga dengan orang yang mencari
dengan cara bekerja atau berniaga atau pun berjudi kemudian dia belanjakan wang
ringgitnya kepada kebaikan kerana memandang pemberian itu datang dari Allah
Yang Pengasih yang memahami dirinya. Dengan membelanjakan wang haram ataupun
wang shubhat itu mereka merasa akan mendapat keampunan dari Allah Taala. Semua
perbuatan itu digerakkan oleh nafsu dan tidak ada kena mengena dengan gerakkan
dari hati”
Allah
menjadikan segala perbuatan yang dilakukan secara berlebih-lebihan untuk nafsu
dan perbuatan yang dikerjakan secara sederhana untuk hati. Jika kamu melihat
perilaku seseorang ataupun pencari ilmu (murid) dan ibadah yang dikerjakan
dengan tenang (thuma’ninah), maka ketahuilah bahawa perbuatan itu datang dari
hati dan pelakunya adalah orang yang berakal. Tetapi, jika kamu melihat
seseorang yang perilaku, cara menuntut ilmu dan ibadahnya tidak dilakukan
dengan tenang, pelakunya emosinal (suka mengikut perasaan) dan bodoh, maka
ketahuilah bahawa kegiatan itu digerakkan oleh nafsu dan hawa. Sebab, hawa
kerjanya merosakkan dan mengoncangkan akal. Jika hawa berhubungan dengan akal,
hawa akan merendahkan dan menggoyangkannya. Jika berhubungan dengan agama, hawa
akan mengotorkan dan merosakkannya. Sehingga kamu dapat melihat bahawa orang
yang agamanya dan cara bersuluknya baik bila dikuasai oleh hawa, urusan
agamanya menjadi kacau, keadaanya menjadi buruk dan dibenci oleh masyarakat.
Jika hawa mampu merosak orang yang berakal dan beragama, lalu bagaimana menurut
kamu jika hawa merasuki para pencinta dunia (para pengejar dunia) yang jiwanya
lemah? Bagaiman dengan keadaan mereka nanti?
Keterangan:
”Ingatlah wahai pencari keampunan
Allah, sekiranya amal kebajikan yang kamu kerjakan menuju kepada
berlebih-lebihan dalam beramal, itu adalah tanda datangnya dari nafsu.
Kerjakanlah amal kebajikan kamu dengan cara sederhana walaupun sedikit
disertakan dengan istiqamah (iaitu dengan tetap), maka perbuatan itu datang
dari hati. Waspadalah pada kelicikan hawa. Untuk mengetahui akan kelicikan hawa
itu samada ia sedang mengaturkan langkah-langkahnya hendaklah kamu kerjakan
amalan kamu dengan tenang. Jangan dengan tergopoh-gapah kerana menganggap
(merasa) tidak mahu membuang waktu dalam kelalaian dan sia sia. Kalau kamu
melihat seorang peramal agama dan ibadahnya tidak dilakukan dengan tenang,
pelakunya adalah orang yang sangat mengikuti perasaan dan dalam kebodohan
kerana tidak mengetahui cara-cara untuk meletakkan hukum keutamaan, maka
perbuatannya dari hawa dan nafsu sekali gus. Hawa, memang diciptakan oleh Allah
Taala untuk merosakkan dan mengoncangkan akal. Disinilah letaknya akan
kemampuan murid yang sudah teguh imannya dan tidak boleh dirosakkan mahupun
digoncangkan akalnya yang mantap itu. Kerana akal yang datang dari murid yang
sudah teguh imannya dengan ilmu yakin, ainnul yakin dan haqqul yakin, hawa
tidak dapat merendahkan dan mengoyangkan akalnya yang sudah sepakat mengikuti
apa yang diberikan oleh akalnya yang berpandukan ilmu pengetahuan yang benar.
Lain pula yang berlaku pada orang yang agamanya dan cara bersuluknya baik
tetapi dikuasai oleh hawa, maka segala urusan agamanya menjadi
tunggang-langgang, keadaan dirinya menjadi buruk dan dibenci masyarakat.
Mengapa boleh jadi begini? Ini kerana beberapa punca seperti berikut:
1. Niat yang sebenar sudah berganti dengan lain.
2. Pembawaan agamanya baik digantikan dengan
kemalasan, kelalaian dan memperkecilkan seruan Ilahi.
3. Cara bersuluk (menjalani ilmu tasawuf) baik
digantikan dengan ketidak sanggupan untuk meneruskan pelajaran (latihan)
bersuluk dengan merasanya sangat berat dan melawan keinginannya kepada dunia.
4. Apa yang diingat dari segi hukum Allah Taala
digantikan dengan sengaja menendang tepi hukum Allah asal saja keinginannya
terhadap dunia dan isinya dicapai.
5. Hukum yang haq diganti dengan bathil. Macam
tak ada apa ape aje.
6. Hukum Haram dan Hukum Syubhat digantikan
dengan perasaan tidak apa ape. Nanti sampai masa boleh betaubat. (kalau sampai
masa itu!)
7. Dibenci oleh masyarakat digantikan dengan
menutup mata zahir dan mata batinnya. Dia tahu dan yakin perbuatannya
mengundang kepada haram dan syubhat yang sengaja ditunjukkan oleh dirinya
sendiri kepada masyarakat. Tetapi didalam hatinya aku yang buat, aku yang
tanggung. Kubur aku, aku yang jawab.
8. Keimanannya digantikan dengan menjual segala
keimanannya dengan sesuap nasi saja.
Begitulah kira-kiranya orang yang beragama dan
bersuluknya baik digantikan dengan mengikuti bisikan hawa nafsu. Lebih
menyeramkan bila hawa mampu merusakkan aqidah orang yang berakal dan beragama
bagaimana pula kehebatan hawa itu bila merusaki para pencari dunia (yang
mengejar dunia dan isinya) dan yang berjiwa lemah? Bagaimana dengan keadaan
mereka nanti, begitu juga dengan kita. Kerana tidak ada sesuatu yang dapat
menjamin kita semua dari terjebak dari hasutan hawa. ”Hanya kepada Mu, Ya
Allah, kami serahkan segala amal kebajikan kami. Sesungguhnya kami tidak
berdaya untuk melawan hawa nafsu kami. Kami mohon akan perlindungan, bantuan
dan pertolongan dari Mu yang kami harap harapkan. Semuanya berlaku atas
keizinan Mu, tanpa keizinan Mu maka tidak ada sebutir debu pun yang boleh
menganggu kami. Amin Ya Rabbal Alamin”.
Segala
perkara yang dirosak oleh hawa dapat diperbaiki oleh akal, kerana hawa
mempunyai tingkat setaraf dengan akal. Hawa akan merendahkan dan menjerumuskan
manusia sebaliknya akal akan memuliakan dan meninggikannya.
Keterangan:
”Jangan meletakkan sifat menyerah
kalah pada hawa. Ingatlah apa saja yang dirosakkan oleh hawa seperti amal
ketaatan, amal kebajikan dan lain-lain perkara dapat diperbetulkan dengan akal.
Maka, akal memainkan peranan yang sangat-sangat penting didalam peperangan kita
dengan hawa. Bekalkan akal kita dengan sebaik-baik mungkin dengan ilmu yang
haq. Teruskan latihan kamu dalam mujahadah tanpa menoleh kepada mujahadah kamu.
Teruskan sampai ajal datang menjemput kamu. Perbanyakkan munajat kamu. Mohon
perlindungan, bantuan dan pertolongan. Hanya dengan keridhaanNya sahaja kamu
dapat mempertahankan akal kamu dari kerosakan hawa”.
Lihatlah
kepada orang yang dipengaruhi hawa. Nampak seperti orang yang buta, tidak tahu
jalan menuju kepada Allah. Hawa akan mengikatnya dari mencari sesuatu yang
memiliki hakikat kebenaran, membuatnya suka bertengkar dan bermusuhan,
membuang-buang umur (mensia-siakan waktu) dalam mencintai dan
membanding-bandingkan keutamaan para imam. Lain halnya dengan orang yang
berakal, mereka sibuk dengan diri mereka sendiri, menyempurnakan semua amal
mereka dengan niat-niat yang baik, memanfaatkan waktu yang mereka miliki dengan
sebaik-baiknya, berusaha keras untuk berbuat kebajikan dan menyesali perbuatan
baik yang tidak dapat mereka kerjakan.
Keterangan:
”Panduan untuk mengenali orang yang
dipengaruhi hawa dimana hawa mengikatnya daripada mencari sesuatu yang memiliki
hakikat kebenaran seperti berikut;
1. Tidak tahu dan
tidak mahu mencari jalan untuk dirinya menuju kepada Allah. Walaupun sudah tahu
jalannya tetapi tidak mahu meneruskan perjalanannya.
2. Suka pada
bertengkar dan bermusuhan, tidak mahu mendengar nasihat dan tidak mahu mengaku
kesalahan dirinya. Tidak mahu mengaku akan tidakfahamannya dalam beragama.
Membuat musuh pada sesiapa saja yang cuba menentang, cuba menasihatnya, kepada
sesiapa saja yang pandai-pandai menunjuk (mencungkil) kesalahan kesalahannya.
Sesiapa yang menentangnya, maka dia diutamakan sebagai musuk ketatnya, dunia
sampai akhirat.
3. Suka membuang umur
(waktu dengan sia sia tanpa keinsafan) untuk mengisi umurnya dengan belajar
agama, sholat, beramal dan mendekatkan diri pada Allah Taala.
4. Suka
membeza-bezakan keutamaan para imam dalam mencintai mereka. Imam mana yang tidak
menyentuh kesalahan dirinya, imam itu akan dicintainya. Imam yang menyentuh
kesalahannya akan menjadi musuh ketatnya. Hanya orang yang berakal sahaja yang
akan menyibukkan diri mereka. Menyiapkan diri mereka. Menyempurnakan semua amal
amal mereka dengan senantiasa menanam niat niat yang baik. Mengunakan waktu
sebaik baiknya dengan duduk bersama ulama dan orang arifbillah. Berusaha keras
tanpa jemu dan tanpa penat untuk berbuat kebajikan dan selalu menyesali
perbuatan yang tidak dapat mereka kerjakan”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan