Catatan Popular

Rabu, 25 November 2020

RAHSIA ILMU KAUM MUQARRABIN : BAB 23 TANDA-TANDA AKAL YANG SIHAT

Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran

Tanda-tanda Akal Yang Sihat

Ketahuilah bahawa Allah swt telah memberi hamba-hambaNya akal sebagai cahaya yang menerangi mereka dalam menemukan sumber-sumber kebaikan dan dalam semua urusan mereka. Tingkat amal dan keadaan dunia mereka berbeza-beza sesuai perbezaan akalnya.

Keterangan:
Tajuk pelajaran kita kali ini ialah, ‘Tanda-Tanda Akal Yang Sihat’ dimana Allah swt telah mengurniakan kepada hamba-hambaNya ‘AKAL’ sebagai cahaya yang akan menunjukkan mereka dalam menemukan sumber-sumber kebaikan dalam semua urusan mereka samada dunia mahupun akhirat. Dan ketahuilah pada tingkatan-tingkatan amal dan keadaan dunia masing-masing berbeza dan ini tergantung pada kekuatan akal yang dikurniakan oleh Allah Taala“.

Disini Habib Muhammad bin Abdullah Al-Idrus menghuraikan tentang tanda akal yang sihat. Bagaimana cara untuk mengetahui samada kita memiliki apa yang di kurniakan oleh Allah Taala, ‘akal yang sihat’ ataupun tidak? Kalau tidak, bagaimana untuk mendapatkannya? Sedangkan Allah telah menganugerahi akal yang sihat kepada hamba-hambaNya. Ketahuilah bahawa dengan Kesucian dan Kasih Sayang Allah Taala telah memberikan ‘akal’ kepada sekelian hambaNya. Itulah sifat ketinggian Allah Taala dalam sentiasa memberi kurniaNya. Salah satu yang awal diciptakan Allah Taala adalah ‘akal’. Akal yang macam mana yang dihuraikan oleh Habib Muhammad Al-Idrus ini?”

Akal mempunyai 2 fungsi (tugas):

Akal Cahaya, Akal Gelap.
Akal Cahaya – sebagai petunjuk bagi seseorang pada segala perbuatan yang akan membawa kepada manfaat baik dunia mahupun akhirat. Cahaya ini seperti lampu suluh, yang menyuluh dan menunjukan segala perbuatan-perbuatan yang baik yang dianjurkan oleh agama. Cahaya ini juga akan menunjukkan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh agama. Cahaya yang menunjukkan pada segala hukum syariat seperti pahala, dosa, halal atau haram dan sebagainya. Bilamana seseorang dapat mengambil pedoman dan melaksanakan apa yang ditunjukkannya akan mendapat keredhaan dan keampunan daripada Allah Taala didalam pengabdiannya
“.


Akal Gelap – adalah seseorang itu tidak perolehi cahaya bagi akalnya. Tanpa cahaya bagaimana seseorang akan dapat menjalani kehidupan sebagai manusia yang menanggung amanah dari Tuhannya? Bagaimana seseorang mendapat dorongan untuk melaksanakan kewajiban-kewajiban yang difardukan atas dirinya? Bagaimana seseorang itu dapat mengabdi diri kepada yang ‘Memiliki’ dirinya? Bagaimana seseorang dapat petunjuk segala hukum-hukum syariat seperti pahala, dosa, halal atau haram, mubah dan sebagainya? Bilamana cahaya ini tidak didapati pada akal seseorang ‘manusia’ maka samalah dirinya seperti haiwan yang hanya mengetahui, makan, minum dan jimak”.

Akal Cahaya adalah lampu petunjuk. Lampu petunjuk adalah ilmu pengetahuan yang dapat diamalkan dan bukan ilmu yang difahami saja. Itulah yang kurnian Allah Taala bagi hamba-hambaNya. Itulah perbezaannya. Sekirannya ada lampu, tetapi tidak dapat menunjukkan kebenaran kepada benar dan batil apa gunanya lampu petunjuk itu? Akal Gelap adalah lampu suluh yang tidak dapat menunjukkan pada segala kebaikan yang bermanfaat yang menuju kepada akhirat“.

Lampu yang gelap hanya menumpukan pada segala keinginan syahwat dan untuk bersenang-senang. Tidak mahu dan tidak mahu tahu apa-apa perkara yang menahan dirinya dari mencapai segala keinginan nafsu syahwatnya. Dengan itu bersyukur ‘diri’ kepada Illahi yang telah dianugerahi Akal sebagai cahaya petunjuk. Dengan akal yang bercahaya itu dapat menerangi diri dalam menemukan sebab-musabab dalam mengerjakan kebaikan dan senantiasa berkeinginan untuk melaksanakan kebaikan dalam segala urusan baik dunia mahupun akhirat. Segala amal kebajikan dan keadaan seseorang itu berbeza sesuai dengan perbezaan akal cahaya mereka dan ini tergantung pada kekuatan ‘cahaya’ yang dianugerahi oleh Allah
Taala
”.

Jangan kamu tertipu oleh penampilan, kemegahan dan pakaian sebahagian orang yang kamu lihat, kecuali jika mereka bersikap lurus dan mengelola amal dan ucapan mereka dengan baik. Jika tidak demikian, maka jangan kamu perhatikan dan perhitungkan, sebab semua itu boleh terjadi pada orang-orang yang lemah akalnya!

Keterangan:
Dengan cahaya yang diberikan oleh Allah Taala, dapat menghalangi bagi seseorang supaya tidak mudah tertipu oleh penampilan, kemegahan atau pakaian sebahagian orang yang dimulia. Cahaya ini akan memerintah supaya melihat pada sikap mereka samada lurus mereka berada dijalan agama? Bagaimana mereka mengerjakan amal ibadah, adakah mereka mengutamakan hukum syariat? Adakah mereka mengutamakan sunnah-sunnah Rasulullah saw? Bagaimana bercakapan mereka? Dengan cahaya yang memerintah supaya diperhatikan tindakan mereka sebelum duduk bersama. Sekiranya pelanggaran pada hukum syariat berlaku, maka jangan diperhatikan dan jangan perhitungkan mereka yang penampilannya baik, kemegahan atau pakaiannya baik. Tidak seperti akal yang gelap. Akal yang gelap tidak akan dapat memberikan petunjuk pada segala penipuan manusia dan dunia. Kerana akal yang gelap bukan diciptakan untuk menerangi diri seseorang”.

Jika akal menguasai seseorang, maka bermunculanlah berbagai sifat luhur, perilaku terpuji dan watak mulia. Ia akan berkata jujur, berjiwa suci, menepati janji, memperhitungkan akibat semua perbuatannya, menyukai hal-hal yang mulia, bersikap pemalu, wajahnya berseri, mampu menyimpan rahsia, bersikap ramah dan sabar dalam menghadapi ajakan nafsu. Inilah sifat yang lazim dimiliki oleh orang yang berakal sihat. Sedangkan mereka yang berakal lemah memiliki sifat-sifat tercela. Jika akal seseorang sempurna atau mendekati kesempurnaan, maka ia akan berzuhud di dunia yang hina ini, jiwanya akan menjauhkan diri dari semua yang fana.

Keterangan:
Akal cahaya dapat menguasai seseorang pada tingkah lakunya seperti berikut:

1. Timbul bermacam sifat yang tinggi (mulia); menyukai dan mencintai segala macam kebaikan-kebaikan yang dianjurkan oleh agama islam dan mengerjakannya. Tidak berkeinginan untuk menyia-yiakan waktunya dalam melayani ‘makhluk’ yang secara batinnya menghalangi dirinya untuk bersama Allah Taala dan akan mengambil langkah-langkah supaya tidak terjerumus didalam penipuan tersebut.

2. Sentiasa didalam perbuatan dan percakapan yang terpuji dan perwatakan yang baik lagi mulia. Tidak tahu untuk mengatakan yang batil (cakap bohong atau cakap kosong) melainkan yang jujur dan benar. Mengisikan masa yang berharga, bak mutiara didalam berzikir pada Allah Taala.

3. Berakhlak bersih dan suci. Mencintai segala sunnah-sunnah Rasulullah saw dengan membuktikan kepada Rasulullah saw akan cintanya melalui pengamalan sunnah-sunnah beliau saw. Itu yang dikatakan Cinta kepada Rasulullah saw yang sebenarnya bukan dilidah sahaja.

4. Sentiasa menepati janji dan mengutamakan janjinya. Bukan janji tinggal janji sahaja, kerana mengetahui sifat menepati janji adalah salah-satu sifat Nabi saw yang dicintainya.

5. Suka menghitung akibat segala perbuatannya seharian dan mengambil langkah untuk memenuhi dan memperbaikinya. Bukan diamkan diri saja, apa yang telah ditinggalkan atau kekurangan seharian. Suka dan mencintai segala perkara-perkara yang dimuliakan Allah dan RasulNya dengan tidak meninggalkan apa saja yang dimuliakan Allah dan RasulNya dengan tidak mengajukan alasan-alasan untuk mengelakkan diri dari mengerjakan perkara-perkara yang dimuliakan Allah dan RasulNya.

6. Bersikap sebagai seorang yang pemalu pada sisi Allah dan RasulNya dan kepada ‘makhluk’ yang diciptakan Allah. Malu kepada orang-orang yang dijanjikannya. Malu terhadap segala perbuatannya kerana menyakini secara hakiki bahawa Allah Taala melihat dan mendengar segala perbuatannya, segala perjanjian yang diucapkan samada kepada Allah dan manusia ciptaanNya. Bilamana seseorang yang ‘beriman’ akan menyedari segala apa yang diucapkan pada Allah dan ‘makhluk’Nya tidak akan memungkiri janjinya. Bila keadaan ini tidak dihiraukan maka ‘sikap malu pada Allah dan pada ‘makhluk’ tidak mungkin ada. Bila sikap malu ini tidak ada, maka ‘tidak sempurna iman’ namanya. Sekira masih, dengan kesedaran tidak mahu mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki sifat malunya maka akan . . .

7. Memiliki wajah yang berseri. Wajah yang mudah berseri bila merasai akan kasih sayang Allah Taala dan penglihatannya dalam melihat pengurusan Allah Taala dalam dirinya dan ‘makhluk’Nya. Wajah yang kesat dan muram, bila merasai akan kehebatan Allah Taala dalam pengurusanNya kepada dirinya dan ‘makhluk’Nya. Bukan wajah yang tersengeh-sengeh . . .

8. Menyimpan rahsianya dan rahsia orang lain. Menyimpan rahsia dirinya dengan tidak menceritakan segala kebaikan dan keburukan dan segala rahsia orang lain. Seperti Allah Taala yang ‘Maha Penyimpan Rahsia MakhlukNya’. Apa akan jadi pada diri sekiranya Allah Taala membuka segala kebaikan dan keburukan dari dahulu hingga saat ini? Mana nak taruk muka?

9. Senantiasa bersikap ramah mesra kepada orang-orang yang dikasihi oleh Allah dan bersikap ‘tegas’ pada mereka yang membelakangkan Allah Taala. Bukan bersikap ramah membabi buta sahaja.

10.            Mempunyai kebolehan untuk menghalangi ajakan nafsu syahwat dengan bersikap sabar dan bersandar kepada Allah dan redha kepada kehendak Allah Taala. Mempunyai kebolehan dapat melihat akibat sekiranya diri mengikuti ajakan nafsu syahwat itu“.

Inilah antara sifat-sifat bagi mereka yang memilik akal cahaya. Bagi mereka yang mempunyai akal gelap akan memiliki perbuatan yang sebaliknya. Dengan akal cahaya itu, seseorang akan jadi sempurna atau mendekati kepada kesempurnaan ‘akhlak’. Maka dengan sendirinya ia akan berzuhud didunia yang hina (keji) ini, jiwa rohaninya akan menjauhkan diri dari semua yang tidak kekal. Sebagai tambahan, untuk mengetahui samada diri seseorang mempunyai ‘akal cahaya’ adakah dia dengan mudah dan senang untuk berzuhud didunia? Adakah jiwa rohaninya akan lari, menjauhkan diri dari semua yang tidak kekal?

Apa Maksudnya? Berzuhud didunia yang keji ini. Mengambil sekadar keperluan-keperluan untuk meneruskan hidup didunia yang keji dan hina. Dikatakan keji dan hina kerana akan membawa seseorang lupa akan ‘tugas sebenarnya’ matlamat kehidupan didunia ini. Jiwa dan Rohani lari. Menjauhkan dan meninggalkan segala-segala yang tidak kekal yang kononnya ‘memiliki’ harta dan barang yang datangnya dari dunia. Apa sahaja yang datang dari dunia, semuanya tidak kekal! Buktinya, lihatlah, dimana kedudukan orang tua kita, orang tua dari orang tua kita? Mana harta dan barang yang diperolehi dari dunia itu pergi? Tetapi sayangnya kita masih bekeinginan untuk memeluk ‘dunia’ itu sedangkan keterangan dan bukti sudah dijelaskan!!! Jangan sampai dunia melekat pada hati bila saat penghujung nafas!”

Ketahuilah, orang berakal memiliki jiwa yang sangat sabar, sedangkan kesabaran orang bodoh terletak pada jasmaninya:

Keterangan:
Orang yang memiliki akal cahaya akan membawa jiwa rohani supaya bersikap sabar diatas segala keinginan nafsu syahwatnya. Dimana penduduk bumi ini tergila-gilakannya. Sedangkan kesabaran orang yang bodoh terletak pada badannya. Badan saja yang gemuk tapi tidak ada akal sama saja dengan binatang. Lihatlah pada lembu! Badan besar dan kuat tetapi mana digunakan kekuatan itu?”

Ketahuilah, bahawa pada umumnya akal dimiliki oleh orang-orang yang berhati lembut, memiliki pemahaman tajam dan pendapat yang tepat. Sedangkan orang-orang yang berhati keras jarang memiliki akal. Sebab, mereka suka melakukan perbuatan-perbuatan tercela, tidak memperdulikan celaan dan tidak terluka hatinya jika dipandang rendah. Hati mereka terlampau keras dan ruh mereka terlalu tebal. Dari manusia macam inilah sebagian besar kejahatan terjadi.

Keterangan:
Akal cahaya hanya dimiliki oleh orang-orang yang berhati lembut sahaja dan mereka ini memiliki kefahaman yang tajam dan keyakinan yang tepat dan dapat mengeluarkan pendapat yang tepat dan jelas. Berhati ‘lembut’ bukan ditujukan pada mereka yang penampilannya pada pergerakan yang ‘lemah lembut’ kerana itu adalah penipuan mereka yang cuba mengaburkan mata. Sedangkan orang-orang yang memiliki akal gelap adalah orang yang hatinya ‘keras’ jarang memiliki akal. Kerana akal mereka setara dengan haiwan“.

Dikatakan ‘hati yang keras’ kerana mereka suka dan redha pada melakukan perbuatan-perbuatan yang tercela dan buruk yang tidak diterima oleh agama Islam. Mereka tidak peduli akan celaan (nasihat) dan tidak terluka hatinya (tidak mendatangkan malu dan membangkitkan ‘keinsafan’) walaupun diri mereka dipandang rendah. Manusia sebegini walaupun berada didalam masjlis ilmu, mereka diibaratkan sebagai batu penghalang bagi orang lain kerana sentiasa menunjukkan keras hati dan keras kepala dengan menolak segala nasihat yang diberikan. Secara hakiki, mereka ini adalah ‘syaitan’ yang bertopengkan manusia“.

Hatinya menginginkan kebaikan tetapi ‘syaitan’ lebih kuat, dapat menguasai hatinya. Ini tidak lain adalah kerana hati mereka terlampau keras dan ruh mereka dilindungi oleh awan gelap! Dari manusia sebeginilah muncul sebahagian besar kejahatan yang terjadi oleh kerana tidak mempedulikan hukum syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw”.

Ketahuilah bahawa orang-orang yang berhati lembut dan selamat adalah orang-orang yang mengetahui rahsia alam ini. Mereka menyikapi semua keputusan Allah terhadap makhlukNya sesuai ilmu dan pemahaman mereka yang mendalam. Kerana memiliki pemahaman dan batin yang makmur (dengan kebajikan), maka mereka berada dalam kebahagian. Sedangkan masyarakat pada umumnya berada dalam pertentangan dan permusuhan, suka cakap kosong, menyia-yiakan umur yang berharga dalam perbuatan yang tiada ertinya. Mereka mengira telah melakukan amal yang dapat mendekatkan kepada Allah, padahal semua perbuatanya digerakkan oleh hawa yang berbahaya. Para ashabul Haq Jalla Jalaluh, sentiasa merasa tenteram, kerana mereka memiliki ilmu dan pemahaman.

Keterangan:
Ketahuilah, bahawa sekiranya kamu bertemu dengan orang yang berhati lembut adalah mereka yang mempunyai akal cahaya, akal cahaya yang senang menunjuk jalan selamat pada sesiapa yang menginginkannya. Kerana mereka adalah ‘ashabul Haq Jalla Jalaluh’ yang sentiasa merasa tenteram dengan Tuhan mereka dan memiliki ilmu dan kefahaman. Orang-orang seperti ini mengetahui rahsia alam yang Allah ciptakan. Mereka dapat membuka dan melihat semua keputusan kehendak Allah Taala terhadap makhlukNya sesuai dengan ilmu dan kefahaman mereka yang mendalam”.

Apakan tidak, mereka ‘ashabul haq Jalla Jalaluh’
memiliki kefahaman dan batin yang makmur (mudah dan ringan untuk melakukan kebajikan) maka mereka pun berada didalam kebahagiaan. Sedangkan mereka yang memiliki akal gelap senantiasa suka pada pertentangan dan permusuhan. Suka cakap kosong dan menyia-yiakan umur yang ‘berharga’, dalam perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat yang boleh membawa ke akhirat. Manusia jenis ini mengira, mereka telah melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kepada Allah, padahal semua perbuatan dan geraknya didalam kekuasaan ‘hawa’ yang berbahaya
”.

Manusia akan merasa sangat kelelahan, kecuali jika memperolehi pertolongan dan mengakui semua aibnya. Barangsiapa tidak mengakui aib-aibnya, maka ilmunya rendah. Betapa banyak orang mengira dirinya memiliki kedudukan, tapi setelah kamu renungkan hakikat dari keadaannya ternyata amalnya sia-sia belaka.

Keterangan:
“Semua manusia akan merasa sangat lelah, penat dan mudah bosan melainkan mendapat pertolongan dari Allah Taala. Untuk mendapatkan pertolongan dari Allah Taala adalah dianjurkan (wajib) mengakui segala kesalahan, pelakuan dosa-dosa dan segala perbuatan maksiat yang telah dikerjakan dihadapan Allah Taala khususnya didalam ‘sujud’ kepadaNya. Menghilangkan segala keangguhan dan kesombongan. Rebah dihadapanNya. Sebuah pengakuan yang suci murni dihadapan yang ‘memiliki’ jiwanya dan memohon akan keampunan dan mohon akan diberikan ‘pertolongan’ dariNya. Barang siapa tidak mahu mengakui segala kesalahan-kesalahan dirinya, maka dia tidak mempunyai ilmu atau ilmunya rendah kerana tidak mengetahui bagaimana cara untuk mengamalkan ilmu tersebut. Banyak manusia mengira dirinya memiliki kedudukan tetapi setelah direnungkan, hakikat keadaannya ternyata (jelas) menunjukkan akan kesia-siaan belaka”.

Sebelum ini telah kusebutkan 3 tingkatan orang yang beramal, sekarang aku akan menyebutkannya lagi supaya lebih jelas. Wahai saudaraku, ketahuilah bahawa darjat ahli khair berbeza-beza dan tingkatan amal manusia juga berlainan. Setiap tingkat amal kebajikan memiliki kelompok pelaku sendiri. Tingkatan tertinggi diisi oleh kaum pilihan (khawwash) Allah Jalla Jallaluh, yakni kaum arifin yang berusaha keras untuk membersihkan semua amalnya dari pengaruh nafsu, orang-orang yang jiwa dan semangatnya tertuju pada amal-amal mulia, orang-orang yang selalu menyusun kepentingan dan keutamaan amalnya dan mendekatkan diri kepada Allah dengan amal-amal baik. Allah telah mengurniakan mereka hati yang suci dan batin yang bercahaya, sehingga perhatian mereka tertuju pada usaha penyempurnaan niat dan perbaikan amal. Nurani (sir) mereka selalu berhubungan dengan Allah swt. Oleh kerana itu, mereka mengungguli makhluk yang lain.

Keterangan:
Wahai saudaraku yang dikasihi Allah. Tingkatan ‘ahli khair’ berbeza didalam melakukan amal dan juga berlainan dengan manusia. Ketahuilah, bahawa setiap amal kebajikan memiliki golongan tersendiri yang mengerjakan. Dan ketahuilah kaum (golongan) Ariffin yang menduduki tingkatan tertinggi. Mereka itu lah golongan pilihan (khawwash) Allah Jalla Jallaluh. Golongan inilah yang sentiasa berusaha keras untuk membersihkan semua amal mereka dari pengaruh hawa nafsu. Kaum Ariffin adalah orang-orang yang jiwa dan semangatnya tertuju pada amal-amal mulia. Mereka mengambil berat (peka) di dalam menyusun kepentingan dan keutamaan amalnya dimana mereka mengetahui apakah langkah-langkah yang harus dilakukan sekiranya ketemu dengan dua atau lebih keutamaan. Kaum Ariffin-lah yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan amal-amal baik kerana mereka menyakini masa di ibaratkan permata yang tidak harus disia-siakan dimana tidak ada gantinya sekiranya masa itu berlalu begitu saja“.

Dengan azam, semangat dan niat yang kuat untuk mengabdi kepada Allah, maka Allah Taala mengurniakan mereka hati yang suci bersih dan batin (rohani) yang bercahaya, kerana segala perhatian mereka tertuju pada cara-cara dan adab didalam penyempurnaan pengabdian amal perbaikan kepada Allah Taala. Oleh kerana fikiran mereka tertumpu pada penyempuranaan pengabdian, maka mereka tidak ada masa untuk selain itu. Rohani kaum Ariffin penuh dengan cahaya yang diselubungi oleh Allah, disebabkan rohani mereka sentiasa berhubungan dengan Allah Taala. Maka dengan itulah mereka menduduki tempat yang tertinggi dibandingkan makhluk lain”.

Kelompok kedua lebih rendah dari kelompok pertama. Mereka adalah orang-orang yang suka berbuat kebajikan dan beramal, namun kedudukan mereka belum mencapai tingkatan kelompok pertama. Aku tidak mengatakan bahwa amal mereka lebih sedikit dari amal kelompok pertama, akan tetapi nurani dan hati mereka belum memadai untuk mencapai kedudukan yang dicapai oleh kelompok pertama.

Keterangan:
Golongan yang kedua adalah mereka yang lebih rendah dari golongan kaum Ariffin. Walaupun golongan kedua ini suka pada kebajikan dan amal sholeh, tetapi kedudukkan mereka belum boleh mencapai tingkatan kaum Ariffin. Ini disebabkan nurani dan hati mereka belum cukup kuat untuk mencapai kedudukkan yang telah dicapai oleh golongan pertama”.

Kelompok ketiga adalah kelompok terakhir, yaitu orang-orang yang suka berbuat baik tapi tidak sempurna dan kurang meninggalkan kesan di hatinya. Amal mereka penuh kekurangan dan disusupi oleh hawa kerana kelemahannya akal mereka.

Keterangan:
Bagi golongan yang ketiga yang terakhir ini adalah mereka yang suka berbuat baik akan tetapi tidak sempurna dan tidak memberikan kesan di hati mereka dalam pengabdian penghambaan. Amal mereka penuh dengan kekurangan dan disertakan ‘hawa’, ini tidak lain adalah kerana kelemahan pada akal yang tidak mendapat cahaya yang cukup kuat sebagai pedoman mereka”.

Masing-masing kelompok ini baik, tapi keadaan mereka berbeza-beza dan tingkatan mereka tidak sama. Katakanlah,

“Setiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing”

QS Al-Isra, 17:84

dan masing-masing meyakini bahwa jalan mereka yang lebih utama. Wahai saudaraku, ketahuilah, jika kamu melihat sekelompok orang mengajarkan ilmu dan menceritakan kehidupan kaum sholihin, maka perhatikanlah bagaimana perbuatan mereka. Jika perbuatan mereka sesuai dengan ucapan mereka, maka bergabunglah dan dekatilah mereka. Namun jika perbuatan mereka bertentangan dengan ucapan mereka, maka jauhilah mereka, kau akan lebih selamat. Sebab, amal yang salah tujuannya akan menjadi bencana bagi pelakunya, dan akan merosak hati dan batinnya. Begitu pula kedengkian, jika rasa dengki merasuki batin seseorang, maka perasaan itu akan membutakan hati dan melemahkan fikiran. Orang-orang yang berhati selamat adalah orang-orang yang memiliki permahaman dan akal.

Keterangan:
Wahai saudaraku yang dikasihi oleh Allah, janganlah kamu lekas terpedaya dengan segolongan manusia yang mengajarkan ilmu agama dan menceritakan kehidupan golongan sholihin. Sebelum kamu menceburkan diri untuk duduk bersama didalam golongan mereka, hendaknya kamu perhatikan bagaimanakah perbuatan mereka, adakah mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah saw? Adakah ucapan (percakapan) dan perbuatan mereka mengikuti para sholihin? Sekiranya ada, maka berkumpullah kamu dan dekatilah mereka. Tetapi, AWAS, jika perbuatan mereka bertentangan dengan ucapan (kata-kata) mereka, maka jauhilah diri kamu dari mereka, maka kamu akan selamat. Ingatlah, amal yang salah (amal yang bertentang dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw dan para sholihin), akan menjadi sebagai bencana bagi diri kamu, merusakkan hati dan batin. Sedangkan kamu sebenarnya mencari kebenaran tetapi terjerumus dalam golongan yang sesat dan munafiq. Seperti halnya kedengkian yang berpunca dari hati yang ‘tidak puas’. Bilamana ‘rasa tidak puas’ timbul, akibahnya akan merasuk batin (rohani) seseorang dan akan membutakan hati serta melemahkan pikiran seseorang. Hanya orang-orang yang berhati selamat adalah orang-orang yang memiliki kefahaman serta akal yang bercahaya”.

Tiada ulasan: