Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran
Hikmah
Keberadaan Hawa
Meski hawa tercela, tapi ia
merupakan salah-satu hikmah Allah Taala untuk makhlukNya.
Hawa merupakan kekuatan
nafs. Tanpa hawa, nafs tidak akan mampu memikul semua beban berat dan
melelahkan yang dipikulkan kepadanya. Jika nafs merasa bosan dan jemu maka hawa
akan memulihkan kekuatannya. Oleh kerana itu, orang yang berakal hendaknya
menghibur dirinya dengan kegiatan-kegiatan yang mubah, tetapi jangan terlampau
banyak dan berlebihan.
Keterangan:
“Bab kali ini menyentuh bekenaan dengan ‘Kemanfaatan
Hawa’ pada diri. Apakah peranan hawa pada manusia? Sekiranya hawa tidak
diciptakan oleh Allah Taala, bagaimana keadaan diri seseorang manusia itu untuk
meneruskan kehidupan mereka? Bagaimana cara untuk mengetahui hawa yang
digalakkan dan hawa yang harus dijauhkan? Walaupun hawa dikaitkan sebagai
sesuatu yang buruk tetapi keberadaan hawa merupakan salah satu hikmah
kebijaksanaan Allah Taala untuk sekelian makhlukNya. Ketahuilah kekuatan nafs
tergantung pada hawa. Sekiranya tidak ada hawa, nafs tidak akan mampu untuk
memikul semua beban yang melelahkan dan harus dipikulkan kepadanya. Nafs sangat
mudah merasa bosan dan jemu atas perkara-perkara yang perintahkan untuknya.
Kerana nafs sentiasa menginginkan sesuatu ‘arahan yang diberikan yang berupa
perintah’ dapat dilaksanakan dengan cepat dan mudah, tanpa melelahkannya. Maka
disinilah peranan hawa mengambil alih dengan memberikan kekuatan ‘batin’ bagi
nafs untuk terus melaksanakan tugasnya. Seperti seorang yang tidak sehat maka
diberikannya ‘Zat Vitamin’ sebagai memulihkan kekuatannya. Macam ‘pati Ikan
Aruwan’ dah . . . Kalau tidak faham, kenalah kena tanya pada orang yang sudah
ada pengalaman dengan pengambilan ‘pati Ikan Aruwan’. Kerana mereka sudah
sampai kepada ‘Haqqul Yakin pati Ikan Aruwan’.
“Oleh kerana itu setiap orang yang berakal hendaknya menghiburkan
dirinya dengan kegiatan kegiatan yang diizinkan oleh hukum syara’ tetapi jangan
terlampau banyak dan berlebihan kerana kamu akan dikalahkan oleh nafs.
Bermaksud ‘suka pada perkara-perkara yang melalaikan dan sedih untuk
meninggalkannya’. Perkara ini sangat merbahaya dan untuk berada pada lingkungan
kegiatan yang digalakkan adalah bersandar pada hukum syara’. Sekiranya hukum
syara’ mengizinkan, maka lakukan, sekiranya tidak, maka tinggalkan kegiatan
yang kamu inginkan walaupun hukumnya mubah kerana ditakuti akan melalaikan diri
kamu dari mengingati Allah”.
Telah diutarakan bahawa
akal menuntut supaya setiap perkara dilaksanakan dengan tidak berlebih-lebihan
(istishod). Segala sesuatu yang dilakukan dengan berlebih-lebihan akan
menyebabkan hawa kembali berperanan. Hawa, jika sedikit tidak mengapa, tetapi
jika berlebih-lebihan menjadi tercela. Makan yang tidak berlebih-lebihan
(iqitshod) adalah suatu perbuatan yang baik, tapi jika manusia makan secara
rakus, ia menjadi hina. Begitu pula dalam berpakaian, berpakaian sederhana
adalah baik kerana:
“Allah itu Maha Indah, maka Ia menyukai keindahan”
HR Muslim dan Ahmad
Keterangan:
“Ketahuilah akal diperintahkan supaya setiap perkara
yang dilaksanakan samada bersangkutan dengan dunia ataupun akhirat, dengan
tidak berlebih-lebihan ‘pada peringkat awal’ dan bukan pada ‘ahli’nya. Kerana
nafs sangat mudah merasa jemu dan bosan dalam perkara yang melelahkan yang
ditujukan pada kegiatan ‘akhirat’ tetapi sangat suka dan bersemangat dalam
perkara yang ‘melalaikan dari mengingati Allah Taala’. Apa saja yang dilakukan
dengan berlebihan akan membuat hawa mengambil tempat dengan menganas.
Bermaksud, memberikan obat yang belebihan . . . maka ‘over dose lah si nafs’
itu. Keberadaan hawa yang sedikit tidak mengapa, kalau berlebihan akan menjadi
buruk. Seperti makan yang tidak berlebihan, adalah suatu perbuatan yang baik,
tetapi jika seseorang yang makan secara rakus, dia menjadi hina dan buruk. Sama
juga dalam berpakaian. Kerana Islam sangat menitik berat akan akhlak seorang
mukmin dalam adab makan dan berpakaian. Bertanyalah pada kenalan kamu yang
seperguruan samada kamu beradab didalam makan dan berpakaian. Sekiranya kamu
menanyakan pada diri kamu sendiri, maka hawa nafsu akan menutup-nutup sikap
kamu yang tidak ada adab didalam makanan dan berpakaian. Perkara ini tidak
harus kamu malukan, kalau kamu ingin melihat diri kamu didalam jalan yang
lurus. Sekiranya kamu tidak mempunyai teman yang dianggap ‘amanah’ didalam
memberikan ‘jawapan’ yang ikhlas, kerana ditakuti kena potong nama, maka suruh
seseorang mengambil video, semasa kamu didalam keadaan ‘lalai’. Amacam?”
Pakaian sederhana merupakan
ciri kaum sholihin. Jika manusia berpakaian secara berlebih-lebihan, membeli
pakaian yang mahal-mahal untuk merendahkan orang lain atau membanggakan diri,
maka ia telah memasuki wilayah kesombongan dan melewati pintu dosa. Bersikap
tengah-tengah dalam segala hal adalah baik, sedang berlebih-lebihan adalah
ajakan hawa yang tercela.
Keterangan:
“Wahai murid yang budiman, kaum sholihin amat suka
pada kesederhanaan dalam berpakaian. Maka hendaklah kamu mengikuti mereka
didalam perkara tersebut, sekiranya kamu akan berpakaian secara berlebih-lebihan,
membeli pakaian yang mahal-mahal tidak lain maksudnya, adalah untuk merendahkan
orang lain dan untuk membanggakan diri, bahawa kamu mampu membeli pakaian yang
mahal. Tak makan tak ape! Yang pasti keinginan tercapai supaya dapat tunjuk-tunjuk
dan orang ramai menanyakan jenama pakaian kamu . . . Ketahuilah wahai
murid-murid, perbuatan pada berlebihan-lebihan adalah perbuatan yang dilarang
dalam agama kerana termasuk dalam bab pembaziran, dan pembaziran adalah salah
satu perbuatan dari syaitan. Sekiranya kamu tidak mengambil sikap berjaga-jaga,
maka kamu akan masuk kedalam kumpulan orang-orang yang sombong dan kamu akan
melalui pintu dosa tanpa kamu sedari. Ambillah sikap tengah-tengah dalam segala
perkara adalah sangat baik, sedangkan berlebih-lebihan adalah ajakan hawa yang
sangat buruk”.
Sesungguhnya hawa itu
menakjubkan dan merupakan salah satu rahasia makhluk. Sekiranya tidak ada hawa,
maka hilanglah berbagai manfaat yang diperoleh melalui perjalanan (safar) dan
usaha dagang, dan lenyaplah banyak hal yang dapat memberikan manfaat kepada
manusia. Para pedagang akan banyak mengurangi perjalanan darat dan lautnya, dan
akan terjadi banyak pengangguran dalam kehidupan manusia dan segenap tempat.
Melalui kebijaksanaanNya yang sempurna Allah menjadikan hawa sebagai alat untuk
melangsungkan kehidupan dan membahagikan rezeki dialam, dan juga sebagai
pembangkit semangat manusia dalam menghadapi berbagai kesulitan kehidupan
dunia, sehingga mereka berani menghadapi mara bahaya dan mengarungi lautan kehidupan.
Kalau bukan kerana hiburan yang diberikan oleh hawa, tentu kesedihan dan duka
akan menghancurkan orang yang suka bekerja keras membangting tulang.
Keterangan:
“Hawa adalah salah satu rahsia makhluk yang
menakjubkan. Sekiranya tidak ada hawa, maka hilanglah segala macam faedah yang
boleh didapati melalui perjalanan dan usaha perniagaan maka hilanglah banyak
perkara yang boleh diberikan untuk kebaikan dan faedah kepada manusia. Tanpa
hawa, perniaga akan mengurangkan kegiatan perniagaan mereka dan akan terjadi
banyak pengangguran dalam kehidupan manusia dari segenap tempat. Maka dengan
KebijaksanaanNya yang sempurna Allah menjadikan hawa sebagai alat untuk
meneruskan kehidupan dan membahagikan rezeki di alam dan juga sebagai dorongan
semangat untuk manusia dalam menghadapi berbagai kesulitan dan kesusahan
didunia. Maka dengan dorongan hawa, manusia berani untuk menghadapi mara bahaya
dan mengarungi lautan kehidupan. Sekiranya tanpa dorongan dari hawa, sudah
tentu kesedihan dan kedukaan akan mematikan semangat orang-orang yang suka
bekerja keras membanting tulang. Maka jelaslah peranan hawa, sekiranya
tanpanya, manusia tidak akan meneruskan usaha perniagaannya, maka segala
kebaikan dan faedah untuk manusia tidak hilang. Besar sungguh hikmah Allah
Taala itu. Fahamkan ini!”
Kasihan para pencari dunia,
mereka merasa cukup dengan angan-angan kosong dan puas dengan hawa. Mereka
berusaha keras untuk mencapai apa yang mereka cita-citakan: mengumpulkan harta
untuk berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk dan bercerita. Sekiranya mereka
mencukupkan diri dengan keperluan ala kadarnya, tentu akan banyak perkara
bermanfaat bagi manusia menjadi tidak berguna, dan barang keperluan hidup tidak
akan sampai ke berbagai pelusuk negeri. Inilah hikmah keberadaan hawa.
Fahamilah keteranganku ini.
Keterangan:
“Bagi para pencari dunia, mereka merasa cukup dengan
angan-angan kosong dan merasa puas dengan hawa. Mereka sanggup berusaha keras
untuk mendapatkan apa yang mereka cita-citakan dengan mengumpulkan harta
semata-mata untuk berbangga diri dan menunjuk-nunjuk dan bercerita tentang
kegigihan dan pencapaian mereka mencari dunia. Sekiranya pencari dunia merasa
cukup dengan apa yang ada dalam keperluan seharian, sudah tentu banyak perkara
yang berfaedah bagi manusia tidak berguna kerana barang keperluan hidup tidak
akan sampai ke berbagai pelusuk negeri. Inilah hikmahnya hawa”.
Para ashabul Haq Taala,
tidak diciptakan untuk melaksanakan kegiatan di atas. Mereka tidak sama dengan
orang-orang yang diperbudakkan oleh hawa-nya, yang dipaksa untuk memenuhi
kepentingan orang lain tanpa mereka sedari.
Keterangan:
“Kepada golongan ‘ashabul Haq Taala’ tidak
diciptakan oleh Tuhan mereka untuk melaksanakan kegiatan diatas. Mereka
‘ashabul haq’ tidaklah sama dengan orang-orang yang dihambakan oleh hawa, yang
dipaksa untuk memenuhi kepentingan orang lain tanpa mereka sedari”.
Sesuatu yang bersih dari
pengaruh hawa akan menjadi lemah, beku, dan ditinggalkan, apa pun itu: perkara
duniawi mahupun ukhrawi. Sebab, nafs-lah yang membangun dan melengkapi segala
sesuatu. Dan nafs perlu makanan, sedangkan makanan nafs adalah hawa. Jika nafs
tidak memperoleh makanan, ia seperti haiwan tunggangan yang tidak memperoleh
makanan, bagaimana mungkin ia memikul beban dan menempuh perjalanan jauh?
Fahamilah rahsia ini.
Keterangan:
“Kekuatan hawa akan menjadi lemah, beku dan
ditinggalkan bila berdepan dengan sesuatu yang bersih dari pengaruh dunia atau
akhirat. Iaitu hati yang sentiasa bersandar pada Allah sahaja. Bila hati
sebegini wujud, tidak ada keinginan pada dunia dan akhirat. Tugas nafs adalah
untuk meneruskan dan melengkapkan tugasnya. Bila tidak ada sesuatu tugas, maka
lemahlah hawa itu. Ingatlah, nafs perlukan makan, sedangkan makanan nafs adalah
hawa. Kalau nafs tidak dapat makan (hawa), nafs akan menjadi seperti kuda yang
tidak mendapat makanan, mustahil kuda dapat memikul beban dan meneruskan
kegiatan dan tugasnya?”
Perhatikanlah, orang-orang
yang tabiatnya (ghorizah) lemah, bila tidak menemukan hawa, ia menjadi bosan,
sulit melakukan kegiatan, merasa terbeban dan sedih.
Keterangan:
“Bagi orang-orang yang mempunyai tabiat yang lemah
dimana mereka tidak mempunyai hawa yang sebagai pendorong akan mudah menjadi
bosan dan sangat susah untuk melakukan kegiatan. Orang seperti begini sentiasa
rasa dirinya terbeban dan banyak menanggung kesedihan”.
Lain halnya dengan kaum
sholihin yang memiliki bashiroh, mereka memiliki keyakinan yang baik, yang
dapat membuat nafs, mereka mampu memikul beban mujahadah dan amalan berat
lainnya. Kedudukan keyakinan bagi mereka ini sama dengan kedudukan hawa bagi
orang-orang yang lemah tabiatnya dan kurang sempurna akalnya. Fahamilah hal
ini!
Keterangan:
“Tetapi bagi kaum sholihin yang memiliki penglihatan
batin, mereka mempunyai keyakinan yang sangat kukuh dimana mereka dapat membuat
nafs memikul beban mujahadah dan segala amalan-amalan yang berat. Tingkatan
keyakinan mereka sama saja dengan tingkatan hawa bagi orang-orang yang lemah
tabiatnya dan kurang sempurna akalnya”.
Hawa itu manis, dapat
membahayakan atau menguntungkan, tergantung pada apa yang ditimbulkannya.
Keterangan:
“Kamu harus bijak mengurus hawa kamu. Kerana hawa
boleh membahayakan atau menguntungkan dan ini terletak pada cara kamu
mengawalnya”.
*Sahl bin Abdullah berkata:
“Yakin adalah cabang Iman”.
*Abu Sa’id Al-Kharraz berkata: “Ilmu adalah apa yang membuat
engkau mampu untuk bertindak dan keyakinan adalah apa yang membuat engkau
bertindak”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan