Habib Muhammad Bin Abdullah Alaydrus Bin Abu Bakar As-Sakran
Hubungan
Akal Dengan Hawa
Hawa yang kubicarakan dalam
pembahasan sebelumnya adalah hawa yang berhubungan dengan nafs. Adapun hawa
yang berhubungan dengan hati dan akidah merupakan penyebab utama kerusakan amal
dan keadaan (hal), dan juga merupakan sumber berbagai kesesatan, keburukan dan
bencana. Dari hawa ini muncullah kedengkian dan permusuhan. Orang-orang yang
memiliki pemahaman tentang Allah Taala telah memberikan peringatan keras kepada
masyarakat sehubungan dengan hawa jenis ini, hingga mereka berkata bahawa yang
dimaksud dengan sabda Rasulullah saw:
“Yang
paling aku takutkan pada umatku adalah syahwat yang tersembunyi”
HR Ahmad
Keterangan:
“Pada tajuk yang lepas sudah kami khabarkan bab hawa
yang berhubungan dengan nafs. Maka kita lanjutkan berkenaan bab hawa yang
berhubungan dengan hati dan akidah. Ketahuilah penyebab utama kerusakkan
(tertolaknya) segala amal dan perbuatan berpunca dari hawa yang berhubungan
dengan hati dan akidah. Oleh kerana keberadaan hawa yang tidak dikawali adalah
merupakan punca berbagai kesesatan yang boleh membawa seseorang itu menjadi
kufur kerana hawa boleh merusakkan akidah seseorang. Bukan itu saja, malahan
hawa, adalah punca segala perbuatan buruk dan akibatnya dari perbuatannya akan
membawa kepada mala bencana“.
“Apakan tidak, daripada hawa inilah muncul sifat kedengkian dan
permusuhan tetapi kebanyakkan manusia tidak menyedari peranan yang diberikan
oleh hawa kepada manusia. Terlalu sedikit sekali manusia yang mengambil berat
tentang perkembangan hawa. Bagi orang-orang yang memiliki kefahaman tentang
Allah Taala telah diberikan peringatan keras kepada orang ramai sehubungan
dengan hawa jenis ini”.
Adalah amal kebajikan yang
dikerjakan dengan hawa. Para ahli makrifat berkata, “Hawa akan selalu menemani orang yang lemah akalnya. Semakin sempurna
akal seseorang, semakin lemah hawa-nya”. Jika hawa seseorang lemah,
ia akan menyukai urusan-urusan yang benar, mengerjakan segala sesuatu yang
bermanfaat, melakukan ketaatan dengan ikhlas dan menyayangi makhluk, sebab ia
mengetahui bahawa makhluk tunduk pada qadak dan dikuasai oleh takdir. Sedangkan
orang yang lemah akalnya akan senang melakukan perbuatan-perbuatan yang rendah,
mencampuri urusan orang, dan sering kali melakukan perbuatan yang tidak ada
manfaatnya. Kamu akan melihat orang ini suka marah, bertentangan dan bertengkar
dengan orang lain. Itulah perbuatan-perbutan yang hampir pasti akan dilakukan
olehnya.
Keterangan:
“Sasaran hawa adalah mengesan orang yang mempunyai
akal yang lemah. Kerana seseorang yang mempunyai akal yang lemah, sangat mudah
bagi hawa untuk menjalankan tugasnya. Hawa tidak mudah untuk berperanan pada
seseorang dimana akalnya sempurna, malahan dengan akal yang sempurna, akal
dapat mengesan segala tindakkan hawa sebelum mengikutinya. Bilamana akal
seseorang sempurna, maka lemahlah hawanya. Bila kekuatan hawa lemah, hawa tidak
mempunyai minat pada urusan-urusan yang tidak benar, akan suka mengerjakan
segala perbuatan yang bermanfaat dan dapat melakukan ketaatan dengan ikhlas dan
sangat menyayangi makhluk. Hawa yang sudah mengenal bahawa segala makhluk yang
diciptakan oleh Allah Taala akan mengakui dan tunduk patuh pada qadak dan
qadar. Tiada lagi pengakuannya disini. Perbuatan sebegini tidak akan berlaku
pada seseorang yang lemah akalnya. Orang yang lemah akalnya sangat mudah
dikuasai oleh hawa untuk bersenang-senang melakukan perbuatan-perbuatan yang
buruk, suka mencampuri urusan orang lain dan melakukan perbuatan yang tidak ada
faedah disisi Allah Taala. Orang yang dikuasai oleh hawa akan mudah marah, suka
berbahas, suka menjawab-jawab (mulutnya tidak tahu bila harus diam) dan suka
bertengkar (menceritakan ketidaksukaannya pada orang lain tetapi tidak berani
bercerita didepan). Perkara dan perbuatan inilah yang sering dilakukan oleh
hawa, maka lihatlah, dengan siapa kamu berdepan? Dengan siapa kamu bercakap?
Adakah kamu bercakap dengan orangnya atau hawanya? Keluarkan diri kamu dari
tali perhubungan kepada semua ‘MAKHLUK’ dan berhubungan dengan Allah Taala
sahaja, pasti kamu akan dianugerahi ‘basirah’ untuk melihat peranan hawa. Dan
ini amatlah nyata!”.
Orang yang akhlaknya
seperti ini tidak akan dapat melepaskan diri dari pengaruh hawa kecuali jika
kembali kepada Allah Taala, memohon supaya Ia membebaskannya dari berbagai
bencana tersebut. Jika seorang hamba tidak suka dengan salah satu perangainya
dan menyedari keburukan dirinya, maka hendaknya ia memohon supaya Allah
memperbaiki keburukan dan kejahatannya dengan berkat rahmatNya. Sebab pengaruh
doa sangatlah nyata. Imam Malik bin Anas rhm berkata, “Bukanlah termasuk sunnah jika kamu mendebat sunnah, tapi sampaikanlah
sunnah itu. Jika sunnah yang kamu sampaikan tidak diterima, maka diamlah”.
Keterangan:
“Sesiapa yang mempunyai akhlak seperti diatas, tidak
akan dapat melepaskan diri dari ikatan hawa, melainkan, jika ia kembali kepada
Allah Taala (bertaubat), memohon supaya Allah membebaskannya dari berbagai
bencana. Maka dengan itu rajin-rajinlah melihat kesalahan diri sendiri, mana
perbuatan yang tidak disukai oleh Allah? Tetapi masalahnya bagaimana kamu boleh
melihat kesalahan diri. Kamu perlu mempunyai sebuah cermin, tetapi cermin yang
ada sekarang dibuat untuk menyolek diluar tetapi tidak dapat menyolek
(perbaiki) didalam. Maka carilah cermin yang boleh menyolek dalaman kamu.
Senangkan diri kamu pada berdoa kepada Allah supaya diperbaiki segala keburukan
dan segala kejahatannya dengan berkat rahmatNya. Hendaklah kamu mempunyai
keyakinan bahawa keberkesanan doa sangatlah NYATA. Seperti yang disampaikan
oleh Imam Malik rhm: Tidak termasuk sunnah kalau kamu berbahas sunnah, tetapi
sampaikanlah sunnah itu. Kalau sunnah yang kamu sampaikan tidak diterima, maka
‘DIAM’lah”.
Ketahuilah, sesungguhnya
hawa dari para ahli agama lebih sulit diperbaiki daripada hawa orang-orang
bodoh. Sebab, ketika dikuasai hawa, para ahli agama tidak menyedari keburukan
perbuatannya, syaitan menutup-nutup dan memberikan gambaran palsu, bahawa apa
yang mereka perbuat merupakan usaha yang utama untuk mendekatkan diri kepada
Allah Taala. Kerana terlalu dipengaruhi oleh hawa, mereka tidak menyedari
tipuan syaitan ini. Mereka merasa telah sungguh-sungguh mencari keredhaan Allah
Taala, sehingga mereka tidak pernah membayangkan bahawa diri mereka tersesat.
Keterangan:
“Hawa yang berada pada ahli agama lebih-lebih susah
untuk diperbaiki daripada hawa orang-orang bodoh. Ahli agama yang dimaksudkan
disini bukan saja pada Alim Ulama, para Syeikh, Guru-guru dan kepada setiap
manusia yang memperolehi Ilmu Pengetahuan. Perkara sebegini boleh berlaku pada
mereka bilamana dikuasai oleh hawa. Mereka tidak menyedari keburukkan perbuatan
mereka sendiri kerana syaitan menutupnya dengan memberikan gambaran palsu
dengan mengatakan bahawa apa yang mereka lakukan merupakan usaha untuk mendekatkan
diri kepada Allah. Hanya kepada Ahli Agama yang benar akan menyedari
selok-belok hawa sahaja dapat mengawalnya dari ditipu oleh syaitan. Ini tidak
lain adalah atas penjagaan Allah Taala keatas diri hambaNya”.
Adapun orang-orang bodoh,
mereka menyedari kebodohan mereka, sehingga lebih mudah diselamatkan dari
pengaruh hawa dibanding ahli agama. Orang-orang yang bodoh juga menyedari bahwa
diri mereka penuh penyakit. Sedangkan para ahli agama yang dikuasai hawa merasa
yakin, bahawa kebatilan tidak akan pernah menyentuh mereka. Aristoteles,
mengucapkan kalimat yang indah sehubungan dengan permasalahan ini: “Orang yang tidak diberitahu penyakitnya tidak akan menemukan jalan bagi
kesembuhannya”.
Keterangan:
“Bagi orang-orang yang bodoh dan lemah akalnya, mereka
mudah menyedari kebodohan mereka dan lebih mudah untuk diselamatkan dari
pengaruh hawa dibandingkan ahli agama. Dalam perkara ini dimudahkan bagi mereka
oleh kerana mereka menyedari dan mengaku diri mereka penuh dengan penyakit.
Sedangkan para ahli agama yang dikuasai hawa merasa yakin bahawa perbuatan yang
tertolak oleh agama tidak akan mereka lakukan. Ini tidak lain kerana ahli agama
bersandar pada ilmu sebagai penjaga! Bagaimana hendak mengobati ahli agama
bilamana dirinya tidak mahu mendengar tentang penyakit yang sedang dialaminya,
maka mereka tidak akan mendapatkan ubat untuk penyakitnya itu”.
Ketahuilah bahawa watak
nafsu adalah menyenangi pertengkaran dan usaha untuk menguasai orang. Jika
tidak mampu menguasai orang lain dengan daya tarik duniawi, ia akan berusaha
menguasai orang melalui agama. Sebagai contoh: Orang-orang yang suka menyelami
berbagai permasalahan akidah dan berusaha mengunggulkan imam yang satu diatas
imam yang lain. Sebahagian dari mereka kadang-kala bersikap berani terhadap orang-orang
baik (akhyar). Meskipun keyakinan dan mazhab mereka sama namun hawa, thariqah
dan ilmu mereka bertentangan dengan orang-orang yang baik tersebut. Akhirnya
mereka menganggap mazhab dan akidah orang-orang baik tersebut sesat kerana
bertentangan dengan perilaku dan tujuan mereka. Semua ini kerana pengaruh hawa,
sebab jika hawa telah menguasai seseorang, maka orang itu tidak dapat berfikir
sihat.
Keterangan:
“Hendaknya kamu fahami bahawa tugas nafsu adalah
suka kepada pertengkaran, suka pada berbahas, suka menunjuk-nunjuk dirinya
sahaja yang benar, walaupun hakikatnya salah dan suka pada menguasai orang
lain. Maksud, menguasai orang: adalah suka pada orang ramai datang kepadanya
dan meminta nasihat baik yang berhubung dengan kehidupan dunia mahupun akhirat.
Tetapi sebenarnya, hatinya tidak suka kepada perbuatan itu, tetapi oleh kerana
dorongan nafsunya yang ingin menguasai orang lain dalam apa juga bidang. Jika
nafsu tidak mampu menguasai orang lain dengan tarikan dunia, maka ia akan
menguasai orang melalui agama. Dan orang yang dikuasai oleh orang yang
mempunyai nafsu buruk ini selalunya terjadi pada orang-orang yang bodoh, orang
yang lemah akalnya dan orang yang cetek ilmu agamanya. Itu sebabnya, mudah
baginya untuk menggoreng orang itu sampai hangus. Ini tidak lain kerana
kedua-dua jenis manusia ini sememangnya sama saja”.
“Orang yang mempunyai nafsu begini suka menimbulkan berbagai masalah
yang bersangkut dengan akidah seseorang dan akan memajukan imamnya diatas imam
yang lain. Persoalannya ialah, mereka ini mengunakan persoalan akidah, dimana
bila terpesongnya akidah seseorang maka rosaklah agamanya (terkeluar agama).
Sangat-sangat merbahaya bercampur-gaul dengan manusia seperti begini, maka
dengan itu hendak kamu menjauhkan diri daripadanya, tidak kira berapa dekat pun
hubungan kekeluargaan dengan kamu! Oleh kerana terlalu jahat nafsunya mereka
berani menyalahkan orang-orang yang baik iaitu orang yang didalam jalan yang
lurus. Mungkin keyakinan (akidah) dan mazhab mereka sama tetapi pengaruh hawa, thariqah
dan ilmu merekalah yang bertentangan dengan orang-orang yang baik itu. Sesiapa
yang tidak terima akan perbuatan dan tujuan dan bertentang dengan perjalanannya
dianggap sesat, walaupun madzab dan akidah orang-orang baik itu selamat. Ini
tidak lain adalah perbuatan hawa yang telah menguasai seseorang. Bila mana
dikuasai oleh hawa, maka orang itu tidak dapat berfikir dengan perpandukan
Al-Quran dan Sunnah”.
Adapula sekelompok orang
yang menampakkan hawa-nya dalam beramar makruf dan bernahi mungkar. Mereka
memburuk-burukkan masyarakat, mencari-cari keburukkan mereka dan senang
menyakiti perasaan mereka. Perbuatan mereka ini kadang-kala dapat menimbulkan
berbagai keburukkan dan dosa besar. Semua ini kerana rosaknya zaman dan
keadaan. Kasihan orang ini, ia tidak tahu bahawa sikapnya ini disebabkan oleh
kesukaan nafs-nya pada keburukkan dan sifat tidak mahu kalah. Ia tidak tahu,
bahawa amar makruf dan nahi mungkar seharusnya disampaikan dengan lemah-lembut
dan ramah. Ketika beramar makruf, seseorang hendaknya bersikap seperti doktor
yang sedang mengubati orang gila.
Hendaknya ia berniat untuk
menyelamatkan orang yang bermaksiat dari kesalahan-kesalahan yang dijadikan
ujian baginya. Ada pula sekelompok orang yang menampakkan hawa-nya ketika
mengunakan air, hingga jika ada seseorang memercikkan air wudhu ke pakaian
salah seorang dari mereka, ia tentu akan memusuhinya dan mencuci bersih apa
yang mengenai pakainya. Umur mereka dihabiskan untuk perkara-perkara yang
melelahkan, yang membuat mereka dibenci masyarakat, dan hanya dapat dikerjakan
dengan susuh-payah dan menyalahi sunah.
Keterangan:
“Tidak kurangnya terjadi pada seseorang ataupun
kumpulan yang sengaja menampakkan hawanya dalam berbuat kebaikan dan menolak
kejahatan. Mereka, suka mencari-cari keburukkan seseorang dan sangat suka
menyakiti perasaan orang ramai. Apa saja orang lain buat untuk kebaikan,
semuanya tak kena. Bila ditegur akan perkara yang menyumbang kepada kejahatan,
mereka tidak akan menerimanya. Oleh kerana perbuatan yang jahat ini sering kali
menimbulkan berbagai keburukkan, seperti, bermulanya pertengkaran, tuduh
menuduh, mencari nama dan sebagainya, dimana membawa seseorang kepada dosa
besar. Semua ini kerana sudah rosak zaman dan keadaan. Dimana manusia tidak
mahu ‘berteman dengan orang baik’, terlalu sibuk dengan dunia masing-masing“.
“Begitulah keadaan seseorang yang tidak ‘berteman dengan orang yang
baik’, mana mungkin dapat diubati penyakitnya? Mereka tidak tahu bahawa
perbuatan jahat mereka disebabkan oleh kekuasaan nafsunya yang suka pada
keburukkan dan sifat tidak mahu kalah. Sesiapa yang mempunyai ‘sifat tidak mahu
kalah’ menunjukkan keganasan hawanya ‘tersimpan’ seperti gunung berapi, tunggu
masa untuk meletup, aje. Macam mana nak tahu ‘sifat tidak mahu kalah’, mudah
aje, mulutnya tidak boleh diam!!!”
“Bila kamu berniat untuk menyelamatkan seseorang yang sedang ‘sakit’
hendaklah disampaikan dengan lemah-lembut dan kasih sayang. Kerana orang-orang
yang bermaksiat dan membuat kesalahan-kesalahan adalah sebagai ujian bagi diri
mereka. Lihatlah pada sejenis manusia yang menampakkan hawanya hanya dengan
mengunakan air wudhu mereka dengan tidak sengaja terpercik air wudhu ke pakaian
salah seorang tentu akan dimusuhi dan terus mencuci apa yang mengenai
pakaiannya. Janganlah kamu menghabiskan umur ‘masa’ didalam perkara-perkara
yang memenatkan, kamu akan dibenci masyarakat dan menyalahi sunnah”.
Mengubati hawa orang-orang
yang suka memperturutkan keinginan syahwat yang rendah, misalnya, makan,
pakaian dan sejenisnya, lebih mudah daripada mengobati hawa ahli agama,
sebagaimana yang telah diutarakan kepadamu. Sebab, mereka telah dikuasai oleh
nafs-nya sehingga tidak mahu mendengarkan orang yang memperingatkan atau
mencelanya. Wahai saudaraku, ketahuilah, bahawa berbagai jenis hawa ini
merupakan salah satu jenis bencana di alam ini. Cara meringankan dan
mengobatinya adalah dengan menenangkan gejolak nafsu, bercampur gaul dengan
orang-orang yang baik (akhyar) dan meneladani mereka dalam semua cara dan
tujuan mereka. Sebab, sifat orang-orang mulia adalah mengamalkan sesuatu sesuai
hakikatnya. Mereka mendekatkan diri kepada Allah swt dengan kebaikan-kebaikan
yang diredhaNya. Hampir-hampir tidak ada seorang pun dari mereka yang melakukan
perbuatan tercela. Orang yang berakal itu bersifat mudah (sahl) dan wajahnya
berseri-seri. Ketika bersamanya masyarakt menemukan keamanan. Sedangkan orang
bodoh yang beragama, kamu akan melihatnya dibenci oleh masyarakat, sepanjang
hidupnya susah dan masyarakat memperolehi bencana kerananya.
Keterangan:
“Ketahuilah wahai murid sekelian, ada berbagai jenis
hawa, merupakan salah satu jenis bencana dialam ini. Untuk meringankan dan
mengubatinya adalah dengan menenangkan gejolak nafsu. Bercampur-gaullah dengan
orang-orang baik dan mencontohi mereka didalam semua cara dan tujuan mereka.
Inilah ubatnya, tidak ada ubat lain! Sifat orang-orang yang baik, adalah
mengamalkan sesuatu sesuai dengan hakikatnya. Orang-orang baik mendekatkan diri
kepada Allah swt dengan membuat kebaikan-kebaikan yang disukai olehNya”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan