Seorang telah datang menemui Rasulullah S.A.W dan telah menceritakan kepada baginda tentang kelaparan yang dialami olehnya. Kebetulan pada ketika itu baginda tidak mempunyai suatu apa makanan pun pada diri baginda mahupun di rumahnya sendiri untuk diberikan kepada orang itu.
Baginda kemudian bertanya kepada para
sahabat, "Adakah sesiapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini
sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku ?"
Seorang dari kaum Ansar telah menyahut, "Wahai Rasulullah S.A.W, saya
sanggup melakukan seperti kehendak tuan itu."
Orang Ansar itu pun telah membawa orang tadi ke rumahnya dan menerangkan pula
kepada isterinya seraya berkata, "Lihatlah bahawa orang ini ialah tetamu
Rasulullah S.A.W. Kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut
segala kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan demikian
janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang ada di rumah kita."
Lau isterinya menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya daku tidak ada menyimpan
sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit, itu hanya mencukupi untuk makanan
anak-anak kita di rumah ini ?"
Orang Ansar itu pun berkata, "Kalau begitu engkau tidurkanlah mereka
dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan kepada mereka. Apabila saya duduk
berbual-bual dengan tetamu ini di samping jamuan makan yang sedikit ini, dan
apabila kami mulai makan engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak
membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidak akan ketahui bahawa saya tidak
makan bersama-samanya."
Rancangan itu telah berjalan dengan lancarnya dan seluruh keluarga tersebut
termasuk kanak-kanak itu sendiri terpaksa menahan lapar semata-mata untuk
membolehkan tetamu itu makan sehingga berasa kenyang. Berikutan dengan
peristiwa itu, Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud, "Dan mereka
mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka
berada dalam kesusahan." (Al-Hasy : 9)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan