Catatan Popular

Khamis, 24 Jun 2021

TAATNYA PARA SAHABAT IKTIBAR DARI MUADZ BIN JABAR

Saiyidina Muaz, ketika mendapat arahan baginda Rasulullah SAW yang telah menjadi kekasih hatinya, untuk berkhidmat di Yaman yang jauhnya beribu kilometer dari Madinah, menerimanya dengan penuh tanggung jawab.

 

Tiada kereta, keretapi apatah lagi kapal terbang dari Madinah Al Munawwarah ke sana ketika itu. 

 

Tidak menjadi persoalan perkara tersebut baik dari sisi baginda, mahupun dari Saiyidina Muaz sendiri.

 

Yang kita ketahui, baginda bertanya kepadanya, “Wahai Muaz! Dengan apa kamu berhukum?”

 

Ya, soalannya menjurus kepada tugas yang akan dijalankan, yang menjadi dasar kepada penghantaran beliau, bukan pada persoalan teknikal yang sepatutnya diselesaikan di peringkat bawahan. 

 

Di pihak Saiyidina Muaz sendiri sudah tentu sangat bersungguh-sungguh menunaikan arahan baginda lalu merintih dan berdoalah kepada Allah di malam hari agar dibantu dalam urusan tersebut hingga Allah beri faham di hati-hati sahabat tentang pentingnya utusan itu, maka bersegeralah membantu hingga berlakulah permusafiran beliau ke Yaman. 

Walaupun hanya berkuda dengan penuh bersusah payah, mengharungi padang pasir yang luas, cuaca yang amat panas di siangnya dan sejuk di waktu malam, demi cintanya kepada Allah dan Rasul, dilakukan penuh bahagia. Itulah kemuliaan.

 

Pada Saiyidina Muaz, itulah kemuliaan. Kemuliaan kerana menjunjung arahan Allah dan Rasul.

 

Peribadi yang sama juga, sangat menggetarkan hati kita kerana sangat setia dengan pemimpin.

 

Apabila dihantar berjuang, menjadi pantang laranglah bagi para peribadi yang mempunyai ‘hati sahabat’ ini untuk meminta kembali pulang. 

 

Mereka akan berjuang sehingga diarahkan pulang, barulah pulang. Berjuang dan terus mara, sanggup mati di medan perang. Selesai perang, masih belum dipanggil pulang ke Madinah, di arah melaksanakan tugas di bumi Syam, maka teruslah bertugas walau apa pun terjadi. 

 

Bayangkan, ketika taun Amwas menyerang, ribuan orang mati satu persatu akibat taun yang merebak pantas, beliau tetap teguh bersama pengikutnya hinggalah syahid sebagai mangsa taun Amwas.

 

Oh mulianya Saiyidina Muaz! Mulianya Saiyidana Muaz! Mulianya Saiyidina Muaz!

 

Mana Muaz akhir zaman?

 

Di mana peribadi Saiyidina Muaz di akhir zaman? Yang segera menyahut seruan, berdatangan ke medan perjuangan bak singa-singa lapar.

 

Di mana peribadi Muaz di akhir zaman yang sanggup setia menunggu kubu perjuangan?

 

Biar lapar, biar sakit, biar luka, biar tersiksa, malah biar mati sekalipun tidak akan berganjak dari medan tempur atau meminta izin untuk bertukar lokasi. 

 

Sesungguhnya kita belum mengenal erti perjuangan. Kita masih ‘syok-syok’ sendiri, merasa diri sudah berjuang sedangkan meletakkan pantang larang pada diri sendiri agar tidak dilanggar oleh orang lain.

 

Kalaulah Rasulullah telah kita rindui, tak begini sikap kita. Kalaulah Allah telah kita takuti, kita tak jadi begini….

 

Ampunkan kami Tuhan kerana tidak takut setakut-takutnya padaMu. Ampunkan kami Rasulullah SAW kerana belum rindu serindu-rindunya padamu.

 

Tiada ulasan: