Catatan Popular

Isnin, 29 Oktober 2012

HIKAM ATAI’ILLAH NO 15 SYARAH TO’KU LI : SELAIN ALLAH ADALAH ’ADAM


SYARAH TO’ KU LI


Dalam Kalam Hikmah ke 15 Imam Ibnu Athaillah Askandary menyatakan: 

Sebagai membuktikan kewujudan kemahaperkasaanNya bahawa Dia melindungimu daripada sesuatu yang pada hakikatnya tidak wujud bersamaNya.

 To` Pulau Manis menjelaskan bahawa Allah SWT telah menciptakan segala makhluk daripadaNya dan semua makhluk itu akan kembali kepadaNya.Kewujudan makhluk denganNya dan bagiNya dan semuanya berasal daripada ketiadaan dan segala hamba Allah itu terdinding daripada mengenaliNya kerana memandang kepada segala makhluk yang fana.Selanjutnya telah bersepakat para ‘Arifin BiLlah dan para Muhaqqiq bahawa selain daripada Allah SWT itu adalah ‘adam atau tidak wujud.Sehubungan ini semua yang lain daripada Allah tidak boleh disifatkan wujud kerana pendakwaan bahawa yang lain daripada Allah itu wujud akan membawa kepada perbuatan menyengutukan Allah atau mensyirikkanNya.Huraian Ibn AtaiLlah dan syarah To` Pulau Manisw itu sejajar dengan firman Allah SWT :
 ولا تدع مع الله الها ءآخر لا اله الا هو كل شيء هالك الا وجهه له الحكم واليه ترجعون
Maksudnya : Janganlah kamu sembah di samping ( menyembah ) Allah .tuhan apa pun yang lain.Tidak ada Tuhan ( yang berhak disembah) melainkan Dia.Tiap-ytiap sesuatu pasti binasa ,kecuali Allah.BagiNyalah segala penentuan,dan hanya kepadaNyalah kamu dikembalikan( Surah al-Qasas ayat 88 )

Dalam konteks ini Imam al-Syazali rh guru Ibn ‘AtaiLlah berkata :

 انا لننظر الي الله تعالي بنظر الايمان والايقان فينفنينا ذلك عن الدليل والبرهان ونستدل به علي الخلق فانه ليس في الوجود الا الواحد الحق فلا نراهم وان كان لا بد فتراهم كالهباء في الهواء ان نتشتهم تجدهم شيئا

Maksudnya :
Sesungguhnya kami menilik kepada Allah dengan tilikan iman dan taqwa, setelah itu kami menafikan atau tidak memerlukan dalil dan hujah.Malah kami menyandarkan dalil kepadaNya terhadap seluruh makhluk.Rumusan yang dapat kami utarakan bahawa tiada wujud yang hakiki kecuali wujud Allah yang Maha Esa lagi Maha Benar.Kami tidak melihat kepada yang lain selain Allah seandainya kami melihat sekalipun ia diumpamakan sebiji debu di dalam udara.Berikutnya walau bagaimana kami mencarinya nescaya kami tidak akan menemui kewujudannya ( makhluk ini ).

Menurut Ibn ‘AtaiLlah tuntutan duniawi yang melampau telah mendinding kebanyakan manusia daripada memenuhi hak Allah SWT.Akan tetapi apabila terangkat hijab atau dinding itu nescaya fanalah mereka dan baqa` beserta dengan Allah.Dengan itu mereka tergolong di kalangan hamba-hamba Allah yang hakiki.
 Abu Sa’id al-`A’rabi menjelaskan pengertian fana` sebagai penzahiran sifat uluhiyyah dengan keagungan dan kebesaran Allah ke atas segala makhlukNya.Dalam masa yang sama hamba Allah itu akan melupai segala yang lain daripada Allah serta tenggelam karam dalam kebesaran Allah SWT jua.Terdapat tiga bahagian fana`,iaitu :
 1          Fana` di dalam `af’al  atau perbuatan sebagaimana dikatakan bahawa tidak berbuat sesuatu melainkan Allah lah yang berbuat.
2          Fana` di dalam sifat  sebagaimana dikatakan tiada yang hidup,tiada yang tahu,tiada yang berkehendak,tiada yang mendengar, tiada yang melihat dan tiada yang berkata-kata melainkan Allah SWT yang bersifat demikian.
3          Fana` di dalam zat dengan menyatakan bahawa tiada yang wujud secara mutlak melainkan Allah lah wujud yang mutlak.
 Penjelasan Muhyuddin Ibn ‘Arabi dalam konteks ini amat relevan dengan menyatakan :

من شهد الخلق لا فعل لهم فقد فاز ، ومن شهد هم لا حياة لهم فقد حاز ، ومن شهدهم عين العدم فقد وصل

Maksudnya :
Sesiapa memandang makhluk tidak memiliki kekuasaan dalam perbuatan mereka maka dia telah menang, dan sesiapa yang  memandang makhluk ini pada hakikatnya tidak hidup nescaya telah meningkat mertabatnya,dan sesiapa memandang makhluk ini sesuatu yang tiada maka sesungguhnya dia telah sampai kepada ma’rifatuLlah.

Tiada ulasan: