Catatan Popular

Ahad, 21 Oktober 2012

TOKOH SUFI ABDULLAH AL MUBARAK 14: ABDULLAH AL MUBARAK DENGAN KEBUN TUANNYA

Umumnya, Abdullah bin al-Mubarak (118H-181H) sangat dikenali oleh para penuntut ilmu dalam bidang pengajian al-Hadith, dek kata-katanya yang masyhur :

 ”.الإسناد من الدين، ولو لا الإسناد لقال من شاء ما شاء

Tetapi mungkin ramai yang masih tidak mengenali siapakah tokoh ini, dan kisah asal-usul keluarganya.
Ayahandanya Mubarak, orang Turki. Ibunya orang Khurasan. Semasa muda, Mubarak adalah seorang pekerja bawahan, seorang hamba yang bekerja menjaga kebun buah-buahan milik majikannya, seorang usahawan muslim yang kaya raya.
Pada suatu hari, seorang tetamu telah datang ke kebun tuannya  (pemilik kebun tempat Al-Mubarak bekerja).   Dia memanggil Mubarak, pekerjanya itu. “Wahai Mubarak, ambilkan saya sebiji buah delima manis.”
Mubarak berlalu dan pergi mengambilnya di pohon. Dia membawakan sebiji buah delima. Tuan kebun pun membelah dan menjamahnya. Masam!
 Majikannya kecewa. “Saya minta delima manis, tetapi kamu bawa delima masam. Ambilkan yang manis!”

Mubarak berlalu pergi sekali lagi. Kali ini dia memetik dari pohon yang lain pula. Apabila dibelah dan dijamah oleh majikannya, ternyata delima yang satu lagi itupun masam juga.
Begitulah berulang, sampai tiga kali.
Majikannya pun dengan penuh hairan bertanya kepada Mubarak, “Kamu tidak tahu yang mana delima manis, dan yang mana delima masam?, sedangkan kamu bukannya baru bekerja di sini, kamu telah menjaga dan mengawasi kebun ini bertahun-tahun lamanya, kamulah yang melaksanakan segala-galanya untuk kebun ini”
“Tidak, saya tidak dapat mengenalpasti buah yang manakah manis dan buah yang manakah masam.” jawab Abdullah
 ”Bagaimana mungkin perkara ini boleh berlaku?”
“Sebab selama saya berkerja dengan tuan menguruskan kebun  ini,  saya tidak pernah  merasa walau sebiji pun buah Delima di Kebun ini, bagaimana mungkin saya hendak tahu yang mana manis dan yang mana masam”
“Mengapa pula kamu tidak makan?”
“Sebab Selama saya berkerja di sini, tuan hanya beri izin untuk saya menguruskan kebun ini, dan tidak pernah saya diberi izin dari tuan untuk makan walau sebiji buah pun dari kebun ini.”
Kagum tuan kebun mendengarnya. Apabila tersingkap kejujuran hambanya itu, dia bertambah hormat kepada Mubarak.
 Tuan kebun mempunyai seorang anak gadis, yang sudah beberapa kali dilamar orang. Dia bertanya kepada Mubarak, “Wahai Mubarak, pada pandangan kamu, siapa yang patut mengahwini anak perempuan saya?”
Jawab Mubarak, “Orang jahiliyah berkahwin berdasarkan keturunan, orang Yahudi berdasarkan harta, orang Nasrani berdasarkan paras rupa, manakala umat Islam memilih berdasarkan agama.”
Tuan kebun kagum dengan kebijaksanaan Mubarak. Apabila pulang, dia menceritakan hal itu kepada isterinya, dan berkata, “Saya tidak nampak orang lain lagi yang patut menjadi suami anakanda kita, melainkan Mubarak.” 
Demikian bermula kisah ibu dan ayah kepada Abdullah bin al-Mubarak, seorang yang alim, ahli hadith,  ahli fiqh, kaya-raya, zuhud, halus budi pekertinya, dermawan dan seorang pejuang fi sabilillah.

Tiada ulasan: