Catatan Popular

Selasa, 16 Oktober 2012

NERAKA WAIL BAGI YANG SEMBAHYANG….MASHA ALLAH


Tuhan ada berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud:

 “Neraka Wail bagi orang yang sembahyang iaitu mereka yang lalai dalam sembahyangnya.” (Ayat Al Maun: 4 & 5)

Terdapat banyak tafsiran dan kupasan tentang maksud “lalai” dalam ayat ini. Maksud pertamanya ialah cuai bersembahyang hingga habis waktunya. Sembahyang itu sama ada diqadha ataupun ditinggalkan terus.
Maksud “lalai” yang kedua ialah tidak khusyuk dalam sembahyang. Iaitu tidak hadir hati dalam sembahyang. Dalam sembahyang teringat perkara-perkara diluar sembahyang yang tidak ada kena mengena dengan sembahyang. Malahan, bukan sahaja tidak hadir hati dalam sembahyang, maksud perbuatan dan lafaz dalam sembahyang pun tidak diketahui atau difahami. Jauh sekali untuk dihayati atau dijiwai.
Ketiga ialah tidak melaksanakan segala ikrar dan janji yang dibuat di dalam sembahyang. Dalam sembahyang berbagai-bagai ikrar dan janji dibuat. Diantaranya kita berikrar bahawa segala sembahyang, ibadah, hidup dan mati kita hanyalah kerana Allah. Tetapi selesai sahaja sembahyang , janji itu dilupakan. Buat kerja seolah-olah Tuhan itu tidak wujud atau tidak relevan.
Walau bagaimana pun , kalau kita kaji betul-betul ketiga-tiga tafsiran di atas, kita akan dapati puncanya berbalik juga kepada ketiadaan khusyuk dalam sembahyang. Tidak khusyuk dalam sembahyang adalah kerana tidak khusyuk di luar sembahyang. Sekiranya seseorang itu khusyuk diluar sembahyang, khusyuk itu sudah pasti berterusan dan akan dibawa ke dalam sembahyang. Ertinya, orang yang khusyuk dalam hidupnya diluar sembahyang akan merasa khusyuk dalam sembahyang. Hanya apabila di dalam sembahyang, rasa khusyuknya lebih subur dan lebih tajam kerana sembahyang itu ada rukun dan disiplinnya.
Bagi orang yang khusyuk, tidak timbul masalah cuai bersembahyang hingga habis waktu kerana orang yang khusyuk itu selalu menanti-nanti dan menunggu-nunggu waktu untuk bersembahyang. Menunggu sembahyang itu baginya seperti menunggu untuk bertemu kekasih.Tidak juga timbul hati tidak hadir dalam sembahyang atau teringat perkara-perkara lain diluar sembahyang kerana orang yang khusyuk itu hatinya sentiasa bergelora dengan Tuhan.
Tidak menunaikan ikrar dan janji yang dibuat di dalam sembahyang adalah berpunca dari ketiadaan khusyuk. Apabila tidak khusyuk, segala janji yang dibuat hanyalah di lidah semata-mata. Paling tinggi, akal mungkin turut serta dalam membuat ikrar dan janji tersebut. Tetapi hati tidak ada peranan kerana tiada khusyuk. Khusyuk itu perkara hati. Oleh itu ikrar dan janji berkenaan dibuat tanpa komitmen dan kesungguhan kerana hati tidak dilibatkan dan tidak dibawa bersama. Ertinya ikrar dan janji itu tidak dibuat dari hati. Janji yang bukan dari hati bukan janjilah namanya. Tidak hairanlah kenapa janji hanya tinggal janji.
Khusyuk yang dituntut dari manusia bukan hanya ketika dalam sembahyang. Tuhan bukan wujud dalam sembahyang sahaja. Tuhan wujud setiap masa dan ketika. Oleh itu kita perlu khusyuk sepanjang masa. Orang yang khusyuk sembahyang itu ialah orang mukmin yang berjiwa Tauhid. Orang yang rasa cinta dan takutnya dengan Tuhan sentiasa mencengkam jiwa dan hati nuraninya. Rasa-rasa ini dibawanya ke mana-mana sahaja dia pergi. Lebih-lebih lagilah dalam sembahyangnya.
Lalai dalam sembahyang pula ada beberapa peringkat seperti berikut:
1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.
2. Dalam sembahyang, ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.
3.Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai. Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.
4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.
5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang. Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.
6.Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-rubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan,bermula dari takbiratulihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.
Sesuailah pembahagian peringkat-peringkat lalai ini dengan erti sebenar khusyuk dalam sembahyang. Khusyuk bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi ialah dapat menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan. Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahayng seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan dan lain-lain, maka itu tanda tak khusyuk.
Lalai berpunca dari pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati,amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang. Sebab itu kalau pun ada rasa di dalam sembahyang, hanyalah ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok tadi baru berjumpa kawan atau rasa takut tengah-tengah sembahyang polis saman kereta kita salah parking atau tengah sembahyang, bimbang takut tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya. Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk.
Kalau kita berjalan-jalan dalam hutan dan keindahan hutan itu sangat mempengaruhi hati kita hingga apabila terserempak dengan harimau pun kita tak sedar dan tidak merasa takut, maka kita sebenarnya tidak kenal harimau. Kalau kenal, sudah tentu secara spontan kita rasa gerun dan takut. Begitu juga, kalau kita seronok dengan nikmat dunia ini hingga terbawa-bawa ke dalam sembahyang sampai kehadiran Tuhan sewaktu kita bersembahyang pun kita tak sedar, itu tanda kita tidak kenal Tuhan dan tidak terkesan atau terpengaruh dengan kehadiran Tuhan.
Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja , kita tidak akan dapat rasa khusyuk. Paling tinggi ketauhidan kita hanya diperingkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.
Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah Tuhan kita kenal, barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan dihati kita kerana kenal itu perkara hati. Barulah kita akan dapat rasa berTuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa berTuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.

Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah”

Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk. Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamal dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin. Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.

Tiada ulasan: