Catatan Popular

Sabtu, 20 Oktober 2012

TEROKA IMAN DAN TAUHID SIRI 1 : (BAH 2) TAUHID ULUHIYYAH DAN PENGERTIANNYA

 Tauhid Uluhiyyah dan Pengertiannya

Persaksian terhadap rububiyyah Allah menuntut manusia untuk beriman kepada tauhid uluhiyyah melalui 'ibadah. 'Ibadah dalam ertinya yang sebenar, iaitu setiap perbuatan lahir dan batin yang dilakukan semata­mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Oleh itu maksud tauhid uluhiyyah ialah seseorang itu mentauhidkan Allah di segi pengabdian. 
Beriman kepada uluhiyyah Allah bererti beri'tiqad bahawa hanya Allah berhak di sembah, dicintai, dipatuhi dan ditumpui untuk meminta pertolongan. Ini bererti meletakkan seluruh percakapan, perbuatan dan tingkah laku seluruhnya di atas petunjuk dan perintah Allah semata-mata. Tauhid uluhiyyah juga menuntut seseorang meyakini kemutlakan kekuasaan Allah atas segala sesuatu di dalam 'alam semesta ini. Keyakinan ini menetapkan bahawa hanya Allah berhak untuk membuat hukum dan peraturan bagi seluruh makhluq yang dicipta-Nya. 
Beriman kepada tauhid uluhiyyah bermaksud menolak segala selain Allah dan mengakui serta menghayati sepenuhnya kalimah la ilaha illallah. Kerana tauhid uluhiyyah inilah, maka Allah telah mengutuskan rasul-rasul­Nya.
Firman Allah yang mafhumnya:

"Dan tiada Kami mengutus seorang rasul sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tidak ada ilah melainkan Aku, maka sembahlah olehmu akan Aku.” (Al-Anbiya': 25) 

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus para rasul pada tiap­ tiap urnat (untuk menyerukan) sembahlah Allah dan jauhilah taghut.” (An-Nahl: 36)

Sesungguhnya kebanyakan manusia sejak dahulu hingga sekarang mengakui tauhid rububiyyah dengan mempercayai qudrat Allah, tadbir­Nya dan rezeki-Nya. Tetapi mereka mengingkari dalam i'tiqad, perkataan dan perbuatan terhadap uluhiyyah Allah seperti beribadat kepada selain daripada Allah, mengakui hukum dan undang-undang yang lain daripada syari'at Allah dengan lidah atau hati. 
Keselarasan di antara tauhid rububiyyah dengan tauhid uluhiyyah amatlah penting demi memastikan keimanan yang jati terhadap Allah. Ini adalah kerana tauhid rububiyyah adalah merupakan keyakinan yang bulat dalam bentuk pengakuan bahawa Allah adalah sumber cipta. Sedangkan tauhid uluhiyyah pula adalah satu pengakuan bahawa yang wajid disembah hanyalah Allah, tidak ada sesuatu yang lain yang berhak disembah dan dipatuhi selain dari-Nya. 

Tiada ulasan: