Catatan Popular

Ahad, 16 Januari 2022

Bab Yang Keempat: Peringkat-Peringkat Perjalanan Suluk Orang Sufi (Hasil Orang Menjalani Suluk) (10)

 Karangan Al FaQirul Makhlus Sheikh Mustapha Mohamed Al-Jiasi (Al-Ahmadi) Murid utama To’ Guru Daud Bukit Abal, Kelantan


Perbezaan Faktor-faktor Bagaimana Tercapai Ketinggian Islam

Ketinggian syi'ar agama Islam dahulu dan sekarang sangat-sangat berbeza. Dunia sekarang mengambil kebendaan sebagai faktor buat meninggikan syi'ar agama Islam. Tetapi dunia zaman Nabi dan sahabatsahabatnya mengambil keruhanian sufiah dan keimanan sebagai faktor buat meninggikan syi'ar-syi'ar agama Islam. Inilah sebab-sebab yang penulis fikir bahawa Islam tidak akan naik dan negara Islam tidak muncul di dunia selagi sikap masyarakat tidak diubah. Jadi, mungkinkah negara iman akan bangkit kembali kalau setiap anggota masyarakat masih berpeluk tubuh atau berdiam diri tak mahu berikhtiar dan berusaha mencari faktor-faktor yang boleh memupuk dan menyuburkan sifat-sifat keruhanian sufiah untuk masa hadapan.


Perhatian - Kaedah-kaedah Penting Tasauf

 

· Pengetahuan yang hasil daripada syuhud itu dinamakan "makrifat".

· Dzauq yang hasil daripada syuhud itu dinamakan "hakikat".

· Kehadiran pengetahuan dan zauq ke dalam hati dinamakan "syuhud".

 

· Tajalli: Ialah Tuhan buka suatu rasa salah satu daripada sifatNya atau asma’Nya atau afa'alNya dalam hati orang arif, atau dengan ibarat lain ialah timbul warid salah satu dari perkara tersebut dalam hati orang arif.

* Syuhud: Ialah dapat tangkap suatu rasa salah satu daripada sifat-sifat Tuhan atau asma'Nya atau afa'alNya di hati orang arif atau dengan ibarat lain ialah kehadiran ialah kehadiran salah satu dari perkara tersebut di hati orang arif.

*Tarikat: Apa yang dimaksudnya dengan tarikat dalam buku ini ialah semata-mata wirid yang mengandungi; zikir, selawat dan istighfar yang ditalqin (diajar) oleh guru kepada muridmuridnya. Setelah itu ia tercapai pula warid yang dapat rasa di hati, misalnya dahulu kita berhati bakhil tetapi setelah tiba warid datang perasaan berhati murah atau sebagainya.

Adapun tarikat yang segera difaham oleh orang sekarang ialah segala bentuk-bentuk adat gaya berzikir seperti berdiri menghayunkan punggung, menghiling-hiling kepala atau pun bermacam-macam lagi gerak-geri tubuh-badan yang diadakan dengan cara tertentu. Dan dengan sebab itulah barangkali orang sekarang menuduh tasauf khurafat dan bida'ah ...... maka upacara yang umpama itu memang benar suatu rekaan syeikh yang baru atau pun perkara umpama itu sengaja dimasukkan ke dalam tarikat oleh syeikh kerana ada suatu tujuan rahsia yang tak dapat dibentang dalam buku kecil ini.

Kemajuan jati kemajuan ruhani

Bukan benda menjadi ukuran.

Mulia jati mulia ruhani

Mulia pakaian bukan saluran.

Kemajuan benda syarat jasmani

Tetapi ruhani rukun dikanuni.

Kalau bercerai dari dikanuni

Tentu akibat buruk dialami.

Awas jasmani tanpa ruhani

Merupa falsafah tahi duniawi.




Bab Yang Keempat: Peringkat-Peringkat Perjalanan Suluk Orang Sufi (Hasil Orang Menjalani Suluk) (9)

Karangan Al FaQirul Makhlus Sheikh Mustapha Mohamed Al-Jiasi (Al-Ahmadi) Murid utama To’ Guru Daud Bukit Abal, Kelantan


Keterangan Maqam-maqam Secara Ringkas

 

Maqam-maqam itu terbahagi kepada dua bahagian besar:

 

1. Maqam fana - maqam tinggi.

 

2. Maqam baqa - maqam teristimewa. Dan tiap-tiap daripada maqam fana dan baqa itu masing- masing pula mempunyai empat darjah iaitu:

 

1. Tauhid al-afa'al - rendah.

2. Tauhid al-asma' - tinggi

3. Tauhid al-sifat - tertinggi

4. Tauhid al-zat - teristimewa.

Perbezaan:

1. Maqam fana tiada sedarkan diri bila terdapat syuhud dan hanya yang sedar ialah kepada Allah jua tetapi apabila ia sembuh atau siuman dari tidak menyedari diri maka hatinya tiada kekal dengan Allah.

2. Maqam baqa ialah maqam menyedari diri umpama orang-orang biasa, sedang ia dalam keadaan syuhud serta keadaan hatinya sentiasa kekal dengan Allah sekalipun ia bergaul dengan orang ramai, berkira bicara dan bercakap dengan orang ramai atau pun berfikir pada suatu benda. Pendek kata maqam baqa ialah maqam orang yang kekal dalam kesedaran dua alam; alam lahir dan alam batin.

 

Persoalan Penting

Bagaimana boleh berhimpun hati yang satu berharap kepada dua perkara alam yang dimasyghul, pertama: Kepada Allah, dan yang kedua kepada perkara-perkara yang lain daripada Allah? Jawabnya: Fahamlah bandingan di bawah ini: Iaitu seorang dalam keadaan maqam baqa itu bolehlah diumpamakan seperti orang yang sedang lapar nasi walaubagaimana sekalipun ia sibuk dengan kerja-kerja besar maka hatinya tetaplah kekal rasa lapar dan ingatkan kepada nasi. Demikianlah bandingan maqam baqa itu.

 

Peringatan

Terdapatnya maqam baqa itu ialah apabila sudah datang maqam fana lebih dahulu dan biasanya tak mungkin berlaku jika sebaliknya. Dan jika mengikut segi pandangan maka maqam baqa terbahagi kepada dua bahagian pula:

1. Tarki (pandang dari bawah ke atas).

2. Tadli (pandang dari atas ke bawah).

(Tarki) ialah " " ertinya pandang (syuhud) dari yang banyak pada yang satu (Allah). Ibarat pandang kepada pokok kayu dengan segala banyak cabang ranting dan daun-daunnya adalah semuanya itu hasil dari sebutir biji benih yang satu sahaja. Maksudnya tersyuhud di hatinya bahawa semua alam makhluk ini adalah dari Allah yang Esa jua. (Tadli) ialah " " ertinya pandang (syuhud) yang satu pada yang banyak. Ibarat pandang kepada sebutir biji benih yang satu itu dapat mengeluarkan sepohon kayu yang rendang dengan banyak segala cabang ranting dan daun-daunnya. Maksudnya tersyuhud di hatinya bahawa semuanya alam makhluk ini dari Allah yang esa jua.

 

Mengapa Kemajuan Ruhani Tiada Membangun?

 

Zaman moden sekarang sangatlah berbeza sekali dari zaman-zaman Nabi, sahabat dan tabi'in tentang segi kemajuan-kemajuan keruhanian bahkan terdapat jauh sekali dari setaraf dengan kemajuankemajuan yang tercapai di zaman Nabi atau di zaman-zaman tersebut - mengapa demikian? Mengapa sifat-sifat keruhanian atau budi susila yang terbaik dan mulia bagaimana yang terdapat pada nabi-nabi dan wali-wali seperti taqwa, tawakkal, zahid, redha, khauf, syukur dengan erti yang sebenar tidak lahir dan tidak tercetus dalam sanubari kita dan manusia zaman sekarang? Mengapa dia tidak pernah mengunjungi kita? Kalau kita menanya diri sendiri, mana lebih takut hantu dengan Tuhan maka mulutnya terkunci hendak menjawab, kalau dikatakan kepada Tuhan lebih takut maka hatinya membohongi diri sendiri kerana kerapkali kita naik bulu roma dirasanya lebih takut kepada hantu dari Tuhan yakni perasaan takut yang sebenar kepada Tuhan tidak terdapat pada hati kita - mengapa demikian? Jawabnya, al-maklumlah kerana hati zaman moden ini lebih banyak menerima karat maksiat yang diimport dari dunia Barat daripada menerima keruhanian agama, tambahan pula pelajaran pelajaran keruhanian yang dibentang oleh kitab-kitab. tua agama yang muktabar (tasauf) tidak mendapat sambutan oleh majoriti umat Islam sendiri bahkan jika terdapat perkara-perkara (pelajaran tasauf) yang tidak berlaga dengan nafsu atau tidak secucuk dengan nafsu, langsung dikatakan pelajaran itu khurafat bida'ah... dan ia tiada datang dari Nabi dan tiada dalam Quran.

Malah dunia hari ini sudah terbalik. Perkara yang haram mestilah dicari jalan supaya dihalal kerana agama kononnya sesuai dengan zaman, oleh itu mestilah mengikut zaman dan mengikut kemahuan nafsu zaman. Agama tetap agama! Agama menganjur kita supaya jadikan akhirat sebagai tujuan. Agama menganjur kita supaya bermujahadah. Agama menganjur kita beribadat malam. Dan agama juga menganjur kita supaya mencari kehidupan dunia sebagai alat untuk mencapai cita-cita tersebut. Sudahkah kita berbuat demikian?

 

Firman Allah Taala:

Ertinya: "Tuntutlah kampung akhirat dengan kurniaan Allah (harta) yang diberi kepada kamu dan janganlah kamu lupa habuan kamu di dunia". Perkataan akhirat disebutnya dahulu daripada perkataan dunia. Ini mengisyaratkan bahawa Allah Taala mengutama akhirat dari dunia. Tetapi apabila kita berjuang dan bertungkus-lumus mencari kehidupan dunia, kita lupakan akhirat bahkan dia dipandang sebagai inting (kecil) sahaja dan masalah yang besar ialah masalah sekarang (dunia). Itulah bererti nafsu sudah menakluki ruhani kita, bukan ruhani menakluki nafsu kita. Oleh itu tidaklah hairan maka segala kehendak hati kita dan segala perjuangan kita adalah semata-mata untuk memuja nafsu, untuk memupuk dan memelihara sarang nafsu sehingga apabila berjuak dengan ibadat dikatakan atau dirasanya tidak ada masa senang untuk beribadat. Firman Allah:

Ertinya: "Adakah engkau perhatikan orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi tuhan dan dia disesatkan Allah, kerana Allah mengetahui (tentang kejahatan hatinya), lalu ditutup Allah pendengarannya dan mata hatinya dan dijadikan pula tutupan di atas pemandangannya".

Kalau demikian maka sifat-sifat budi agama tadi sudikah akan mengunjungi kita? Jawabnya: Mustahil dia datang mengunjongi kita atau pun kita dapat memburu dia jika kita masih beku berdiam diri dari mengikuti prinsip-prinsip jalan sufiah. Malah jauh sekali dapat menakluki jika kita dari golongan orang mengingkari tasauf. Maka bagaimana pula sifat-sifat budi utama itu akan melutut di hadapan kita! Dan dengan sebab-sebab itu, orang-orang sufi telah membuat suatu kaedah khas iaitu maqam baqa dan maqam fanalah yang menjadi soal pokok utama dalam perjuangan mereka. Dan ia mustahil tercapai jika tidak tercapai kesucian hati mutlak. Apabila kesucian hati tercipta maka datanglah sifat-sifat budi utama tadi secara otomatik.

 

Firman Allah:
Ertinya: "Orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami nescaya Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami". Lihat dan perhatilah pula, beberapa banyak kaum fuqaha atau ahli al-zawahir, mereka beribadat kuatkuat tanpa kaedah-kaedah sufiah yakni semata-mata bertujuan mencari pahala akhirat jua maka tidak akan datang kepada mereka apa-apa warid sedikit pun, malah yang dapat kepada mereka ialah rajin dan kemanisan dalam ibadat jua, bahkan sifat-sifat utama seperti taqwa, tawakkal, zahid, khauf dan sebagainya tidak datang menghidu di hati mereka mengapa? Jawabnya: Kerana amalan-amalan mereka tiada persambungan wayar dengan tarikat sufiah. Itulah sebab-sebab pokok yang tidak dapat difaham oleh kebanyakan orang intelek kita sekarang. Tetapi dipercayai, barangkali bukan kerana mereka tak mahukan keruhanian, bahkan mereka mau, kerana di sana bukan sedikit orang yang berasa pelik pada diri sendiri lalu ia mengatakan: "Mengapa hatiku tidak begitu merasa takut kepada Tuhan? Malah lebih takut kepada hantu dari Tuhan? Mengapa demikian?" Tetapi mereka tidak tahu bagaimana cara mendapat sifat-sifat itu. Di sana terdapat setengah orang awam yang merasa dirinya sudah menguasai sifat "taqwa" maka itulah sebenarnya tanda kelemahan taqwa. Kalau jadi demikian ukurkanlah diri sendiri, benarkah kita sudah kawalkan diri kita dengan perintah-perintah agama?

Sekarang insaflah jika mau insaf! Buku ini di antara lain tujuan ialah untuk memberi gambaran supaya dapat menyuluh perbandingan diri sendiri, mudah-mudahan dapat menentukan sejauh mana mundur atau sejauh mana majunya sifat-sifat keruhanian kita sendiri berbanding dengan orang-orang sufi zaman dahulu. Atau sekadar mana kemajuan-kemajuan ruhani yang sudah kita capainya, kalau belum, mengapa pula sampai berani kita mencela dan mengecil-ngecilkan tasauf? Dengan mengecil-ngecil dan mencela tasauf itu adalah satu dari faktor-faktor yang menyebabkan zaman moden hari ini tertinggal hanyut dan mundur dalam kemajuan ruhani dan agama.

Cubalah banding kemajuan-kemajuan ruhani yang tinggal sekadar yang ada hari ini dengan kemajuan-kemajuan ruhani yang tercapai di zaman Nabi dan sahabat-sahabatnya, tentulah jauh berbeza laksana langit dengan bumi. Dapatkah kemajuan-kemajuan ruhani yang ada di zaman Nabi itu ditegapkan kembali dengan pembelian wang ringgit? Atau dapatkah kemajuan ruhani di zaman itu direbut kembali dengan semata-mata diasaskan kepada kejayaan kemajuan benda? Atau akan tercapaikah kembali kemajuan-kemajuan ruhani umpama itu dengan terbangunnya kemajuan projek-projek raksaksa kebendaan itu. Jawablah ahli fikir dan pakar-pakar bijak pandai zaman sekarang! Tetapi ada di antara kita telah banyak terpedaya dalam menganalisakan soal mundur majunya agama dan sifat-sifat keruhanian itu adalah semata-mata berdasar kepada memupuk di atas kekayaan benda.

 

Pada hal beberapa banyak pula orangorang kaya benda, tetapi sifat-sifat kemajuan ruhani tidak sedikit pun menghidu mereka malah sifat-sifat
keruhanian yang ada pada mereka telah bertukar menjadi sifat syaitan dan nafsu buas dengan sebab kekayaan itu. Pada hal kemajuan sebenar yang tercapai di zaman Rasulullah dan sahabat-sahabatnya ialah kemajuan ruhani sebagai pokok matlamat dan inilah yang diperjuangkan oleh mereka, sedangkan masalah-masalah kemajuan benda adalah ranting lahir jua dan ia juga merupakan masalah kejadian alam, semuanya orang tahu kekayaan, dan berlumba-lumba merebutnya, tetapi keruhanian dan agama bukan nature sebagai rebutan, sebab itulah diutusnya rasul-rasul.

Pendek kata, kebanyakan orang kita telah terpedaya dalam mentafsirkan kemajuan agama itu hanya dengan tercapainya kemajuan-kemajuan kebendaan jua, pada hal kemajuan agama yang sebenar ialah kemajuan taqwa, kemajuan ruhani dan kemajuan ihsan antara kita dengan Allah sebagai teras, sedangkan kemajuan-kemajuan kebendaan merupakan sebagai suatu syarat hidup yang memang sudah menjadi nature alam.

Firman Allah:

Ertinya: "Sesungguhnya orang yang semulia-mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwa".

Oleh itu adalah suatu kesilapan besar umat Islam hari ini tentang tidak menyedari apakah takrif yang sebenar keruhanian itu dan betapa perlunya kemajuan-kemajuan ruhani lebih dahulu dipusatkan sambil membangun dan bagaimana jalannya. Kerajaan yang besar-besar di zaman cemerlang gemilang dahulu terjatuh sejatuh-jatuhnya adalah berpunca dari kejatuhan keruhanian lebih dahulu dari masalah-masalah lain, bahkan terjatuhnya kerajaan Islam yang besar-besar di zaman dahulu adalah berpunca dari kerana rendahnya keruhanian iaitu membiarkan hawa-nafsu menguasai alam insan.

Bab Yang Keempat: Peringkat-Peringkat Perjalanan Suluk Orang Sufi (Hasil Orang Menjalani Suluk) (8)

 Karangan Al FaQirul Makhlus Sheikh Mustapha Mohamed Al-Jiasi (Al-Ahmadi) Murid utama To’ Guru Daud Bukit Abal, Kelantan

 

Perjalanan Nafsu AI-Kamil (7)


Seperti keterangan-keterangan yang sudah lepas kita telah faham kedudukan peringkat-peringkat nafsu itu. Dan nafsu mardhiah ini kelihatan menonjol seolah-olah terbaik sekali dari yang lain-lain, tetapi di sana ada lagi yang terbaik dari itu iaitu nafsu al-kamil. Dan nafsu al-kamil adalah teristimewa sekali iaitu sebagai tambahan di atas huraian nafsu mardhiah. Dan apabila seorang tercapai nafsu al-kamil ini maka berertilah ia sudah menakluki seluruh maqam-maqam nafsu suci yang lain bagaimana kita telah hurai dengan panjang lebar dahulu.

Perjalanan nafsu ini adalah Allah semata-mata iaitu bahawa dirasa dalam kenyataan hati orang sufi dzauq-dzauq hakikat dengan kudrat, iradat dan dengan kuat haula Allah semata-mata. Maqam ini dinamakan maqam baqa billah. Ilmu pengetahuan mereka martabat ini (maqam baqa) adalah semata-mata diambil dari:

atau (2) Maksud " " itu ialah bahawa ternyata dalam dzauq hati mereka dan syuhud mereka bahawa Tuhan yang Esa itulah yang memerintah dalam alam yang banyak ini yakni sekelian makhluk ini mempunyai tanda-tanda sifat ketuhanan yang Esa jua. Dan maksud " " itu ialah bahawa ternyata dalam dzauq mereka dan syuhud mereka bahawa sekelian alam yang banyak ini di dalam perintahan Tuhan yang Esa jua. Zikir mereka martabat ini tetap hidup terpancar-memancar sinarannya dalam rahsia "khafak" iaitu sirr yang tersembunyi dalam batin "akhfa" yakni batin terakhir sekali laksana permata mutiara yang terdapat dalam lipatan kulit tiram yang terakhir sekali. Hal atau warid (nur) mereka martabat ini ialah mereka dapat memiliki atau menguasai seluruh pangkatpangkat nafsu suci yang baik bagaimana diterangkan pangkat-pangkatnya dahulu.

Kepada mereka yang dapat menguasai maqam ini akan lahirlah sifat-sifat budi yang tinggi dan teristimewa iaitu segala sifat-sifat budi susila yang terpuji yang terdapat dalam semua pangkat-pangkat nafsu yang baik-baik dahulu. Dan jadilah perangai mereka semacam perangai nabi-nabi dan rasul-rasul. Mereka yang mencapai martabat ini digelarkan "wali Allah yang kamil lagi mukammal" dan yang khawas dan dalam khawas al-khawas dan itulah dia manusia agung di sisi Allah (al-insan al-kamil).

 

Hijab Hati dan Tenaga Zikir Tarikat

 

Bagaimanakah tenaga zikir tarikat boleh menembusi hati batin yang berlapis-lapis terhijab? Hati batin manusia mempunyai tujuh lapis yang berbeza-beza namanya bagaimana permata mutiara tiada terdapat melainkan dalam kulit tiram yang berlapis-lapis dan yang terakhir sekali. Dan dari selapis ke selapis (misalnya dari kalbu ke ruh) itu terdapat pula sepuluh ribu hijab (dinding) daripada nur dan zalimah (gelap). Maka bagaimanakah seorang itu boleh sampai kepada Allah? Barangkali sangatlah mustahil bagi manusia pengecut umpama kita ini untuk menembuskan lapisan-lapisan itu. Apakah jalannya jika ada? Maka tidak ada suatu alat pemboreng yang handal, yang boleh timbuskan hijab-hijab sebanyak sepuluh ribu di tiap-tiap selapis itu melainkan hanya dengan alat tenaga zikir tarikat dan mujahadah jua yang boleh jadi sebagai tukang boreng yang berkesan. Sudahkah tuan-tuan timbuskannya? Maka demikian juga pada tiap-tiap darjah nafsu (misalnya dari ammarah ke lawwamah dan seterusnya) terdapat sepuluh ribu hijab.

 

Contoh zikir yang boleh tembusi hati-hati batin yang berlainan nama itu adalah seperti berikut:

1. Hati orang nafsu ammarah terletak pada lapisan pertama dan ia mempunyai sepuluh ribu hijab maka zikirnya adalah sekadar berlari atau menari di atas pentas (lidah) namanya sahaja. Ertinya hati batin lalai dan tidak jelira ke mana-mana. Lapisan ini mustahaklah kuat berzikir terusmenerus hingga apabila datang (nur) sesudah berzikir, maka itulah tandanya mereka ada harapan untuk tembusi lapisan pertama dan pergi pula ke lapisan kedua.

2. Hati orang nafsu lawwamah terletak pada lapisan kedua dan ia mempunyai sepuluh ribu hijab pula maka zikirnya sudah berbunyi dan jelira dalam (kalbu) namanya. Ertinya zikir lidah tadi sudah berpindah masuk dan jelira ke dalam kalbu lapisan yang kedua. Dan di dalam lapisan ini mustahaklah ia kuat berzikir terus-menerus hingga apabila datang warid yang kuat maka berertilah ia sudah ada harapan untuk tembusi lapisan yang kedua itu dan akan pergi pula ke lapisan yang ketiga.

3. Hati orang nafsu mulhamah terletak pada lapisan ketiga dan ia mempunyai sepuluh ribu hijab pula maka zikirnya hidup bersembunyi dan jelira sedap di dalam (ruh) namanya, ertinya zikir kalbu tadi sudah berpindah masuk dan jelira sedap ke dalam ruh. Dan di lapisan ini pula perlu ia kuat berzikir terus-menerus lagi sehingga datang warid baru pula maka berertilah ia akan ada harapan untuk tembusi lapisan ketiga sehingga pergi atau masuk pula ke lapisan yang keempat.

4. Hati orang nafsu mutmainnah terletak pada lapisan keempat dan ia mempunyai sepuluh ribu hijab baru pula maka zikirnya tetap hidup dalam rahsia dan jelira maiiis dalam (sirr) namanya, ertinya zikir ruh tadi dapat berpindah masuk dan jelira manis ke dalam sirr. Setelah ia berjaya duduk dalam lapisan ini maka perlu lagi ia berzikir kuat dengan bersungguh-sungguh supaya datang lagi warid baru dan apabila terdapat demikian maka itulah tandanya ia ada harapan untuk tembusi lapisan ini dan pergi pula ke lapisan yang kelima.

5. Hati orang nafsu radhiah terletak pada lapisan kelima dan ia mempunyai sepuluh ribu hijab lagi maka zikirnya tetap hidup dalam persembunyian rahsia serta ada jelira manis dan seronok dalam (sirrussirri) namanya. Ertinya zikir sirr , tadi dapat berpindah lagi iaitu masuk jelira serta seronok ke dalam sirrussirri. Apabila seorang berada dalam lapisan ini maka hendaklah ia berzikir lagi hingga apabila datang warid (nur) baru yang lain maka berertilah ia ada harapan pula untuk tembusi lapisan kelima ini dan akan terus pergi pula ke lapisan keenam.

 

6. Hati orang nafsu mardhiyyah terletak pada lapisan yang keenam dan ia mempunyai sepuluh ribu hijab yang lain pula maka zikirnya tetap hidup dalam persemadian rahsia serta jelira seronok dan lazat yang agung dalam (akhfa) namanya. Ertinya zikir sirrussirri tadi sudah berpindah pula masuk ke dalam akhfa dengan lazat yang agung dan maha mdah dalam keagungan. Apabila sampai di lapisan yang keenam ini perlu lagi ia teruskan lagi zikirnya hingga dapat warid baru dalam lapisan ini maka itulah tandanya ia ada harapan untuk tembusi lapisan keenam dan masuk pula ke lapisan yang ketujuh.

7. Hati orang nafsu al-kamil adalah sama sahaja zahir dengan batin - luar dengan dalam, bahkan kedua-duanya serupa dan tiada berbeza-beza iaitu maqam baqa billah atau al-insan al-kamil. Zikir mereka martabat ini tetap hidup memancar sinaran cahayanya dalam rahsia (khufa) namanya iaitu sirr yang tersembunyi dalam batin (ikhfi) tadi yakni batin yang terakhir sekali laksana permata mutiara terdapat dalam lipatan kulit tiram yang terakhir sekali.

Dan hatinya di rasa sentiasa dalam jelira seronok dan lazat yang agung dan maha kagum dalam keindahan. Demikianlah contoh-contoh yang diterang itu adalah laksana anak-anak tangga yang mesti dirempuhi, dinaiki dan ditembusi oleh orang-orang sufi dalam perjuangan mereka berjalan mencari makrifat kepada Allah s.w.t. Pernah kita turuti jalan mereka? Kalau tak pernah, maka tak usahlah kita bergaduh mengingkari jalan mereka? Kalau tuan-tuan pernah pergi bertahlil tempat kenduri orang mati maka ujilah zikir tuan-tuan itu dengan soalan-soalan yang berikut: Sudahkah zikir tuan-tuan memenuhi rasa lazat, manis dan seronok? Kalau belum maka zikir tuan berada di peringkat mana sekarang? Cubalah ukur diri sendiri, kemudian berilah jawapan sendiri, kemudian banding pula dengan kedapatan zikir orang-orang sufi, betulkah pengakuan tuan; saya benar berzikir? - Ada kemanisankah tidak? - Atau pun berzikir tanpa jelira di kalbu, tetapi hati perutnya musafir dan melancung ke Singapura atau ke anu... anu.


Bab Yang Keempat: Peringkat-Peringkat Perjalanan Suluk Orang Sufi (Hasil Orang Menjalani Suluk) (7)

Karangan Al FaQirul Makhlus Sheikh Mustapha Mohamed Al-Jiasi (Al-Ahmadi) Murid utama To’ Guru Daud Bukit Abal, kelantan

 

Perjalanan Nafsu Mardhiah (6)

Dalam perjalanan nafsu mardhiah ini hati orang sufi seolah-olah dapat terasa dalam keadaan "dengan Allah semata-mata". Maka segala ilmu mereka terus menerus di ambil daripada Allah Taala jua. Mereka martabat ini setelah melalui martabat fana, akan kembali pula ke maqam baqa. Di waktu itu dapatlah mereka menceburkan diri dalam kehidupan sosial orang ramai, dapat berkira-bicara dan memberi tunjuk ajar kepada orang ramai ke jalan syariat agama Allah yang benar. Alam mereka martabat ini adalah kembali balik kepada alam syahadah kerana ia telah berjaya mencapai maqam baqa. Zikir mereka martabat ini tetap hidup dalam persemadian rahsia "akhfa" iaitu batin bagi "sirrussirri". Hal atau warid mereka martabat ini ialah hairan dan tercengang-cengang kerana hati mereka terasa jelira seronok dan lazat yang agung, maha agung dan maha indah.

Mereka dalam martabat ini akan lahirlah kepada mereka perangai-perangai atau tabiat-tabiat susila dan budi-budi yang tinggi seperti zahid dalam segala perkara selain daripada Allah, lemah-lembut dalam pergaulan sosial, menunjuk jalan yang benar, memberi pandangan muslihat kepada orang ramai, memaaf kesalahan orang, cinta kasih kepada orang ramai dan menarik atau mengajak manusia ramai kepada jalan yang benar. Inilah dia sebenar-benar pemimpin yang berhak mendapat gelaran:

Mereka dalam martabat peringkat ini akan timbul rasa syuhud dalam hati bahawa tiada yang maujud dalam alam ini melainkan Allah semata-mata. Maqam ini dinamakan "tauhid al-zat" iaitu ibarat daripada timbul dan nyata dalam perasaan hati bahawa tiada yang maujud melainkan Allah Taala jua yakni nyata dalam syuhud mereka bahawa yang wujud selain daripada Allah itu adalah fana di bawah wujud Allah Taala bahkan wujud sekelian alam ini sebagai mazhar wujud Allah Taala jua. Inilah maqam yang keempat yang tertinggi sekali daripada maqam orang ariffin.

Bab Yang Keempat: Peringkat-Peringkat Perjalanan Suluk Orang Sufi (Hasil Orang Menjalani Suluk) (6)

Karangan Al FaQirul Makhlus Sheikh Mustapha Mohamed Al-Jiasi (Al-Ahmadi) Murid utama To’ Guru Daud Bukit Abal, kelantan

 

Perjalanan Nafsu Radhiah (5)

Dalam perjalanan nafsu radiah ini dapat dirasa hati orang sufi seolah-olah ia berada di dalam Allah. Zikir mereka martabat ini tetap hidup dalam persembunyian rahsia "sirrussirri " iaitu ibarat dapat menyelami alam zat serta asma' tetapi tiada afa'al. Penulis tak bercadang hendak melarat panjang kerana takut terkeluar daripada tajuk asli. 62


Hal atau warid bagi orang peringkat nafsu ini ialah fana diri serta sifat-sifat basriahnya kerana sematamata mendapat syuhud zat Allah Taala yang tiada serupa dengan yang baharu. Mereka yang tercapai maqam ini akan lahirlah kepada mereka perangai-perangai mulia atau sifat-sifat budi berharga umpama zahid, ikhlas, warak, tiada lupa kepada Allah, redha pada Allah, karam dalam syuhud jamal Allah dan lain lagi daripada sifat-sifat budi yang tinggi-tinggi. Kepada mereka yang mencapai maqam ini sayugialah membanyakkan zikir lagi supaya terlepas daripada fana tadi naik ke martabat "baqa billah" yang bersifat dengan:

Dengan tercapai martabat ini berertilah ia tercapai maqam "tauhid al-sifat" - iaitu ibarat daripada terasa dzauq hati orang sufi mendapat syuhud bahawa tiada yang berkuasa melainkan Allah Taala jua kerana nyata (timbul warid) dalam hati mereka bahawa segala hakikat seperti sifat berkuasa, beriradat, hidup, berilmu dan lain-lain lagi semuanya terbit daripada Allah Taala dan fanalah mereka dalam hakikat ini. Jika terdapat baqa dalam tauhid al-sifat ini maka itulah tandanya ia sudah tercapai apa yang dicita-cita. Dan maqam inilah matlamat perjuangan wali-wali besar, dan ia juga maqam nabi-nabi dan rasul-rasul. Dan tiada yang mencapai akan maqam "tauhid al-zat" melainkan Nabi kita Muhammad s.a.w. jua mengikut kata setengah sufiah, dan inilah maqam ketiga daripada maqam orang-orang arifin.

 

Bab Yang Keempat: Peringkat-Peringkat Perjalanan Suluk Orang Sufi (Hasil Orang Menjalani Suluk) (5)

Karangan Al FaQirul Makhlus Sheikh Mustapha Mohamed Al-Jiasi (Al-Ahmadi) Murid utama To’ Guru Daud Bukit Abal, Kelantan

 

Perjalanan Nafsu Mutmainnah (4)

 

Dalam perjalanan nafsu mutmainnah ini sentiasa dirasa hatinya seolah-olah berada "bersama-sama Allah" atau "
".

Zikir mereka ini tetap hidup dalam rahsia "sirr" iaitu batin bagi ruh.

Alam mereka martabat ini ialah "hakikat Muhammadiah" iaitu ibarat mereka dapat menyelami alam sifat afa'al Allah. Penulis tak dapat hendak meleret panjang perbicaraan tentang hakikat Muhammadiah ini kerana takut terkeluar dari tajuk asli. Hal atau warid murid martabat ini ialah sampai kepada Allah atau dapat rasa di hati mereka senang dan teguh bersama Allah.

Mereka dalam martabat ini akan lahir kepada mereka budi-budi yang indah atau perangai-perangai mulia dalam pergaulan dengan orang ramai, umpamanya: Sifat-sifat pemurah hati, tawakkal, tiada lekas marah, bertabiat syukur dan redha kepada Allah, sabar terhadap bala, pendek kata perangai mereka semacamlah perangai nabi-nabi sama ada pada pertuturan atau kelakuan.

 

Maqam ini ialah maqam orang yang mendapat tempat "ainul-yaqin" dan iman yang sempurna. Dengan tercapainya perjalanan nafsu martabat ini berertilah seorang sufi itu sudah masuk kepada maqam "tauhid al-Isma"' iaitu ibarat daripada ternyata dalam perasaan dzauq hati mereka bahawa segala yang bernama meliputi alam maujud ini adalah sebagai mazhar (cermin) asma' Allah s.w.t. jua kerana menjadi segala asma' ini tentu ada pemberi nama (Allah). Apabila mereka tersyuhud pada asma' Allah kejeliraan asma' itu pada hati mereka.

 

Contoh Tauhid Al-Asma'

 

Contoh pada umpama tauhid al-asma' itu bolehlah dibuat begini iaitu bahawa apabila engkau lihat mana-mana yang bernama ini seperti "hijau" misalnya maka ketika itu tersyuhudlah engkau bahawa yang menghijau itu ialah Allah Taala dan hanya sanya mana-mana yang hijau yang ada pada bendabenda alam ini adalah muzahir bagi asma' Allah Taala jua. Apabila engkau terlihat seorang yang sabar dari kesakitan maka ketika itu tersyuhudlah engkau bahawa yang sabar itu adalah daripada Allah Taala jua dan yang ada pada hambaNya itu hanya mazhar asma' Allah yang bernama "sabur". Sayugia diingat apabila seorang ini mencapai peringkat umpama ini hendaklah ia mengekal wirid zikir supaya bertambah sebati dengan gerakan nadi. Mudah-mudahan akan sampai pula kepada peringkat maqam "tauhid al-sifat" iaitu nafsu radiah. Maqam tauhid al-asma' ini ialah maqam yang kedua daripada maqam orang arifin.