Catatan Popular

Ahad, 16 Januari 2022

Bab Yang Keempat: Peringkat-Peringkat Perjalanan Suluk Orang Sufi (Hasil Orang Menjalani Suluk) (7)

Karangan Al FaQirul Makhlus Sheikh Mustapha Mohamed Al-Jiasi (Al-Ahmadi) Murid utama To’ Guru Daud Bukit Abal, kelantan

 

Perjalanan Nafsu Mardhiah (6)

Dalam perjalanan nafsu mardhiah ini hati orang sufi seolah-olah dapat terasa dalam keadaan "dengan Allah semata-mata". Maka segala ilmu mereka terus menerus di ambil daripada Allah Taala jua. Mereka martabat ini setelah melalui martabat fana, akan kembali pula ke maqam baqa. Di waktu itu dapatlah mereka menceburkan diri dalam kehidupan sosial orang ramai, dapat berkira-bicara dan memberi tunjuk ajar kepada orang ramai ke jalan syariat agama Allah yang benar. Alam mereka martabat ini adalah kembali balik kepada alam syahadah kerana ia telah berjaya mencapai maqam baqa. Zikir mereka martabat ini tetap hidup dalam persemadian rahsia "akhfa" iaitu batin bagi "sirrussirri". Hal atau warid mereka martabat ini ialah hairan dan tercengang-cengang kerana hati mereka terasa jelira seronok dan lazat yang agung, maha agung dan maha indah.

Mereka dalam martabat ini akan lahirlah kepada mereka perangai-perangai atau tabiat-tabiat susila dan budi-budi yang tinggi seperti zahid dalam segala perkara selain daripada Allah, lemah-lembut dalam pergaulan sosial, menunjuk jalan yang benar, memberi pandangan muslihat kepada orang ramai, memaaf kesalahan orang, cinta kasih kepada orang ramai dan menarik atau mengajak manusia ramai kepada jalan yang benar. Inilah dia sebenar-benar pemimpin yang berhak mendapat gelaran:

Mereka dalam martabat peringkat ini akan timbul rasa syuhud dalam hati bahawa tiada yang maujud dalam alam ini melainkan Allah semata-mata. Maqam ini dinamakan "tauhid al-zat" iaitu ibarat daripada timbul dan nyata dalam perasaan hati bahawa tiada yang maujud melainkan Allah Taala jua yakni nyata dalam syuhud mereka bahawa yang wujud selain daripada Allah itu adalah fana di bawah wujud Allah Taala bahkan wujud sekelian alam ini sebagai mazhar wujud Allah Taala jua. Inilah maqam yang keempat yang tertinggi sekali daripada maqam orang ariffin.

Tiada ulasan: