Catatan Popular

Rabu, 23 September 2015

KITAB TUAN TABAL @ TO’ TAKBAI: JALA’UL QULUB BI ZIKRILLAH (SIRI 9)



oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal @ To’ Takbai (Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)


 
Fashal (فصل) pada menyatakan tawakkal atas Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan ‘baitullah’ itu daripada cemar-cemar berpegang atas makhluq kerana tiap-tiap seorang daripada makhluq ini baginya hajat jikalau raja sekalipun, padahal tiada kuasa ia menyempurnakan dia [hajat tersebut] maka betapa hal kuasa ia tolong menyempurnakan hajat orang yang lain(1). Dan hiasi olehmu dengan i’timad [berjabat atau berpegang] atas Allah. Dan jangan engkau takut daripada seorang sekali-kali kerana tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah.

Dan jangan engkau wahamkan dengan was-was bahwasanya makhluq ini memberi manfaat atau mudharat(2). Tiada jatuh suatu melainkan dengan kehendak Allah bahwasanya Tuhanmu terlebih hampir kepada engkau daripada tiap-tiap suatu maka janganlah engkau harapkan kepada segala itbaa’ (اتباع ) dan segala anak dan raja dan orang yang besar-besar dan segala harta dan kepandaian dan percarian. Sekeliannya itu dibawah perintah Allah, maka hendaklah engkau i’timad pada sekalian ahwal kepada Allah kerana [D]ialah yang hadhir tiada jauh daripada engkau lagi yang menolongkan dikau. Maka jika bergerak batu daripada puncak bukit kepada pihak engkau maka jangan kamu lari daripadanya, i’timad olehmu atas Allah dan pada tiap-tiap tempat kamu sebutkan Allah dan berselindung olehmu di dalam kota Allah (yakni لااله إلا الله) hingga jadi daripada zumrah [golongan] ahlullah dan sucikan olehmu daripada segala waham yang mengikutkan ruh kamu dan daripada segala khayal yang membimbangkan hati kamu daripada zikrullah.

Dan masuk olehmu di dalam maqam tawakkal atas Allah dan buang olehmu akan segala yang keruh-keruh di dalam hatimu, nescaya kamu dapat di dalam ka’batullah itu bagi berjumpa dengan Allah.

Selasa, 22 September 2015

KITAB TUAN TABAL @ TO’ TAKBAI: JALA’UL QULUB BI ZIKRILLAH (SIRI 8)



oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal @ To’ Takbai (Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)



 
Fashal (فصل) ini pada menyatakan mengesakan af’al Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan hatimu daripada syirik khafi(1) dengan Allah dan hiasi olehmu akan dia dengan mengesakan af’al Allah supaya lepas engkau di dalam dua negeri daripada azab Allah. Janganlah engkau sangkakan segala perbuatan itu daripada makhluk Allah kerana sekalian perbuatan itu daripada Allah [pada haqiqatnya]. Maka janganlah engkau mengit’tirodkan af’al Allah supaya jangan terbakar engkau dengan api i’tirod kepada Allah kerana Ia yang menggerakkan sekalian alam ini dan mendirikan dia dan [D]ialah yang mentadbirkan bagi sekalian alam, dan yang melakukan sekalian kelakuan alam ini dan sekalian makhluq ini seperti alat بيدي Allah. Maka pada tiap-tiap ketika engkau sebutkan Allah dan bangsakan olehmu akan sekalian perbuatan itu bagi Allah supaya adalah engkau daripada ahlillah. Maka tiada kuasa engkau hendak menyakiti makhluq Allah kerana malu engkau daripada Allah. Dan tiada sakit hatimu daripada perbuatan seseorang kerana sakit hati engkau serta Allah. Kerana [D]ialah yang berbuat segala perbuatan [se]seorang dan takutlah engkau daripada memecahkan hati orang mu’min kerana jadi engkau meruntuhkan ka’bah Allah. Maka lari olehmu daripada makhluq kepada khaliq dan engkau jauhkan daripada bercampur pada segala pekerjaan makhluq dan lepaslah [buanglah] engkau daripada keinginan dan pemarah dan jadi engkau hamba yang suci bagi Allah dan tiada kamu kasih dan benci melainkan kerana Allah dan sampailah engkau kepada khalwat(2) serta Allah.

________________________________________

Notakaki:-

(1) Syirik khafi seperti menurut Syaikh Muhammad Nafis didalam kitabnya Duraratun Nafisah syarah bagi kitab ad-Durrun Nafis: Adapun segala yang menegahkan sampai ia orang yang salik itu berjalan kepada Allah Ta’ala itupun amat banyak juga dan setengah daripadanya itu SYIRIK KHAFI. Artinya syirik yang tersembunyi didalam hati iaiitu membangsakan ia segala perbuatan yang terbit ia daripada makhluq Allah itu kepada makhluq itu juga tiada kepada Allah Ta’ala. Karena pada haqiqatnya yakni yang sebenarnya, segala perbuatan ini sekaliannya terbit ia daripada Allah Ta’ala itu juga. Dan adalah segala makhluq ini seolah-olah alat perkakas perbuatan Allah itu juga. Umpamanya itu dengan tiada disertakan seperti umpama qalam pada tangan orang yang menyurat sebarang kehendak tangan orang yang menyurat itu ……

(2) Menurut ahli tasawwuf, khalwat terbahagi kepada 2 jenis, iaitu yang umum dan yang khusus. Khalwat yang umum iaitu bila seseorang mukmin itu melapangkan masa untuk berzikir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Khalwat yang khusus iaitu bertujuan untuk sampai ke darjat ehsan (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebutkan ان تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك Ehsan itu engkau ubudiyyah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya seandainya engkau tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat engkau).

Khalwat yang khusus terbahagi kepada 2 tahap. Pertama bagi salik, khalwat dilakukan dengan tubuh badan dan hati sekali. Kedua bagi golongan ariffin, khalwat dilakukan dengan hati sahaja walaupun tubuh badan mereka bercampur gaul dengan orang ramai namun hati mereka semata-mata dengan Allah sahaja. Khalwat jenis ini yang dimaksudkan dengan istilah “al-Khalwat fil Jawlah”. Khalwat inilah yang dimaksudkan oleh Shaikh al-Jurjani (w 816H) bila beliau mendefinasikan khalwat sebagai “bisikan sirr beserta Allah semata-mata” (at-Ta’rifaat, hlm. 136).

Asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad bin Abdullah al-Khani, seorang khalifah kepada Syaikh Khalid al-Baghdadi رضي الله عنهم menyebut didalam kitabnya al-Bahjatus Saniah, halaman 83-84 (cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiah) maksudnya: “kalimah ketujuh : Khilwah dar Anjuman -` Khalwat itu dalam istilah Sufiyyah dikenali sebagai suatu tempat di mana ahli suluk berasingan untuk beribadat dan "anjuman" bermakna "perkumpulan manusia".

Maka makna yang dikehendaki dengannya di sisi mereka adalah bahwa hendaklah hal keadaan hati salik itu hadir berserta dengan al-Haq, dengan hadhir yang "ghaib" dari makhluq sedangkan keadaannnya bergaulan dengan manusia maka pada makna ini jadilah makna kalimah "khalwat dar anjuman" ini dengan makna muraqobah.

(Kemudian ketahuilah) bahwa khalwat itu dua bahagian:

(Yang pertama) - Khalwat dzohir iaitu salik bersunyian dalam sebuah rumah (tempat) yang sunyi dari manusia. Dan dia duduk dalamnya supaya hasil baginya menilik-nilik ke alam malakut dan syuhud pada 'alam jabarut, kerana sesungguhnya pancaindera dzohir itu apabila terhalang maka terbuka pancaindera bathin untuk memerhatikan tanda-tanda alam malakut dan mukasyafah rahsia-rahsia alam jabarut.

(Yang kedua) - Khalwat secara bathin di mana bathinnya sentiasa musyahdah rahsia-rahsia al-Haq dan dzhohirnya (jasadnya) berada di lingkungan manusia dan bergaul dengan mereka sekira-sekira tidak menyibukkan pergaulan dzohir itu dari musyahadahnya yang bathin, maka jadilah ketika itu bathinnya terpisah dari pergaulan dzohirnya. Dan inilah khalwat yang haqiqi sebagaimana yang disebut oleh Allah Ta'ala yang mafhumnya: "Lelaki yang jual beli dan perniagaannya tidak melalaikannya dari dzikrullah".

Dan khalwat inilah yang khusus bagi thoriqah Naqsyabandiyyah kerana pemuka-pemukanya tidak berkhalwat dengan khalwat dzohir dan sesungguhnya khalwat mereka khalwat bathin di sisi perhimpunan manusia sebagaimana kata-kata Khawajah Bahauddin Naqshbandi قدس الله سره; "Thoriqah kami adalah al-suhbah dan kebaikan itu adalah dalam berhimpun".

Sesungguhnya mereka memilih khalwat cara ini kerna mengikuti sunnah Nabi صلى الله عليه وسلمkerna Nabi صلى الله عليه وسلمmemilih berhimpun daripada khalwat dan baginda صلى الله عليه وسلم bersabda : "Seorang mukmin yang mencampuri manusia dan sabar atas kesakitan dari mereka adalah terlebih baik dari mukmin yang tiada mencampuri manusia".

Dan berkata Syeikh Abu Sa'id al-Kharraz قدس الله سره :"Bukanlah orang kamil itu seorang yang timbul darinya beberapa karamah, sesungguhnya orang kamil itu ialah orang yang duduk berserta makhluq, menjual dan membeli dengan mereka, berkahwin dan bercampur manusia sedangkan mereka tiada lalai dari Allah walaupun sedetik". (tammat petikan)

KITAB TUAN TABAL @ TO’ TAKBAI: JALA’UL QULUB BI ZIKRILLAH (SIRI 7)



oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal @ To’ Takbai (Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

  
(Siri - 7)

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan yang sebenar. Sekian.)

Maka gemar olehmu hai saudaraku akan lazat minuman ini dengan banyak tawajuh kepada Allah dan berpaling dengan hatimu daripada barang yang lain daripada Allah. (Dan barangsiapa) ada himmahnya(2) itu ma-siwallah lemahlah lidah daripada memperikan(3) ruginya. Maka angkat olehmu akan himmahmu dari dua negeri [dunia dan akhirat] dan daripada hawa nafsumu kepada Allah, kerana himmah ahli dunia dan himmah ahli akhirat dan doa mereka itu menutupkan bahagian nafsu mereka itu daripada Allah. Maka ialah membimbangkan mereka itu daripada zikrullah, tiada merati [memperhati] mereka akan berseteru mereka itu. Dan tiada menutup mereka itu akan Allah, hanya menutup akan isteri dan anak didalam dunia, dan anak bidadari dan mahligai di dalam akhirat. Maka buatlah ibadat mereka itu kerana nafsu mereka itu. Dan ahli dunia kasih mereka itu akan nafsu dan menjadi hamba nafsu serta berkhidmatkan dia dengan menyakitikan makhluk Allah dan membinasakan hati mereka itu iaitu baitullah. Dan tiada malu daripada Allah pada hal [D]ia serta mereka itu dan sangat menyesal mereka itu kemudian daripada mati dengan sebab tiada beradab dengan Allah kerana membinasakan baitullah itu terlebih besar daripada segala dosa pada Allah. Seperti adalah membaikkan baitullah itu terlebih kasih daripada segala ibadat kepada Allah. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
ان اعداءعدوك نفسك التي بين جنبيك
Artinya: Bahwasanya sejahat-jahat seteru engkau itu nafsumu engkau antara dua lambung engkau(1)

Menjadikan dia [nafsu] oleh Allah Ta’ala seteru kamu sekira-kira jikalau engkau ikut dia tiga puluh (30) tahun dengan berbuat kejahatan kemudian apabila engkau hendak meninggal kejahatan dan hendak berkhidmat kepada Allah Ta’ala nescaya menegah ia akan dikau dan menyeru ia akan adat [kebiasaan] dia [nafsu] dahulu. (Adapun) seteru yang lain daripadanya jika engkau ikut dia tiga (3) kali nescaya berbalik jadi shahabat dan menolong ia atas kebajikan engkau. Maka apabila engkau ketahui bahawasanya nafsu engkau itu terlebih jahat daripada segala seteru kamu, maka berikan dia hak seteru kamu dengan menyalahi dia dan jangan engkau berikan kehendaknya meninggalkan taat [kepada] Allah, dan jaga-jaga kamu akan tipu-dayanya dan kamu periksakan dakwanya dan tipu-dayanya. Dan berlazat-lazat olehmu dengan tawajuh kepada Allah dan pada tiap-tiap saat engkau sebutkan Allah dan engkau merendahkan diri engkau kepada Allah supaya engkau daripada ahlullah. Dan kamu tawajjuh dengan hatimu kepada Allah supaya dapat lazat engkau berjinak-jinak dengan Allah di dalam hatimu.
________________________________________

Notakaki:-
(1) Hadits riwayat ad-Dailami dengan lafaz yang sedikit berbeza. Al-Baihaqi meriwayatkan hadits seumpamanya dengan isnad yang dhaif di dalam kitab az-Zuhd daripada Ibn Abbas` dengan lafaz berikut:
أعدى عدوّك نفسك التي بين جنبيك
(2) Maksud himmah dengan bahasa yang mudah adalah kekuatan dorongan hati, tekad dan keazaman yang kuat untuk mendapatkan sesuatu dan tumpuan hati kepada perkara yang hendak diperolehi itu.

(3) Memperikan atau memerikan bermaksud menceritakan atau mengisahkan atau menggambarkan sesuatu hal.

KITAB TUAN TABAL @ TO’ TAKBAI: JALA’UL QULUB BI ZIKRILLAH (SIRI 6)



oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal @ To’ Takbai (Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)
 

(Siri - 6)

Fashal (فصل) pada menyatakan tawajuh kepada Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan baitullah(1) daripada yang cemar-cemar iaitu berhadap kepada lain daripada Allah, istimewa pula berhadap kepada dunia bangkai yang sangat busuk seperti sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
الدنيا جيفة وطالبهاكلاب الدنيا حلالها حساب

“Bermula dunia itu bangkai yang busuk dan yang menuntut dia anjing(2). Bermula halalnya kena hisab dan haramnya kena siksa(3)

Maka hiasi olehmu akan baitullah(1) dengan tawajuh kepada Allah. Janganlah kamu jauhkan dia daripada hatimu kerana ia babullah (باب الله) (pintu untuk mengenal Allah) maka Ia hadir serta engkau dan menilik Ia kepada hatimu maka janganlah lalai engkau daripada Tuhanmu yang menjadikan kamu yang terlebih hampir kepadamu dari dirimu. Maka suka olehmu dengan Allah dan jangan engkau carikan Dia diluarmu kerana hatimu itu baitullah, disanalah kamu cari nescaya dapatlah engkau akan Allah dengan dia.

Maka tatkala adalah dunia dan akhirat itu haram keduanya atas ahlullah maka beri olehmu keduanya kepada ahli keduanya dan (masuk olehmu) - tinggal dua negeri itu - (kedalam baitullah) nescaya memadai akan kamu oleh Allah. Barangsiapa ada himmahnya hendak berjinak-jinak dengan Allah lemahlah lidah daripada memperikan [memperkatakan] labanya [untungnya] seperti sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
لي وقت مع الله يسعني فيه ملك مقرب ولا نبي مرسل

Artinya: Bagiku itu waktu serta Allah tiada luas padanya malaikat yang hampir dan tiada nabi yang mursal.(4)

Demikianlah segala warisnya (ulama’) maka yang demikian itu tatkala berhadap mereka itu bagi tajalli dzat kerana ketika itu lemahlah segala ‘ibarat dan hilanglah segala isyarat dan kelulah lidah dan hairanlah hati. Maka inilah pekerjaan yang tiada boleh mengetahui akan dia melainkan orang yang merasai akan dzauq ini seperti kata ‘arifin:
من ذاق طعم شراب القوم يدريه ومن دراه غدا بالروح يشريه

Barangsiapa merasaikan rasa minuman qaum shufi nescaya tahulah ia akan dia dan barangsiapa mengetahuikan dia (minuman qaum shufi) nescaya jadilah ia dengan ruh pun membeli kan dia.


____________________________________

Notakaki:-

(1) Maksudnya hati. Dimana hati yang bershifat lathifah rabbaniyyah itulah tempat tajalliNya

(2) Lafaz ini sebagaimana yang terdapat didalam kitab Kashful Khafa, hadits yang ke-1311
الدنيا جيفة وطلابها كلاب

Menurut as-Shaghani hadits ini maudhu’. Kata Shaikh Ismail al-‘Ajuluni, maknanya shahih tetapi ianya bukan hadits. Imam as-Sayuthi menyebut didalam tafsirnya dengan lafaz:
الدنيا جيفة والناس كلابها

Walaubagaimana pun kami [pent] dapati terdapat hadits yang menunjukkan bahwasanya dunia ini diumpamakan bangkai, sebagaimana sebuah hadits riwayat Imam Muslim didalam Kitabuz Zuhd: “Jabir bin Abdullah رضي الله عنهmeriwayatkan bahwa Rasulullah صلى الله عليه وسلم berjalan melewati pasar sementara orang-orang berjalan di kanan kiri baginda. Baginda melewati seekor anak kambing yang telinganya kecil dan sudah menjadi bangkai. Baginda lalu mengangkatnya dan memegang telinganya, seraya bersabda: “Siapa diantara kalian yang mahu membeli ini dengan satu dirham (saja)?”. Mereka menjawab, “Kami tidak mahu membelinya dengan apapun. Apa yang kami boleh perbuat dengannya?” Kemudian beliau صلى الله عليه وسلم bertanya, “Apakah kamu suka ia menjadi milikmu?”. Mereka menjawab, “Demi Allah, seandainya ia hidup, ia adalah aib (cacat), ia bertelinga kecil, apalagi setelah ia menjadi bangkai?”. Maka baginda صلى الله عليه وسلم bersabda, “Demi Allah, dunia ini lebih hina bagi Allah daripada bangkai ini dalam pandangan kalian.”

(3) Matannya:
الدنيا حلالها حساب وحرامها عقاب
Ianya disebut didalam kitab Ihya. Dan diriwayatkan oleh Ibn Abi Dunya dan al-Baihaqi daripada Sayyidina ‘Ali رضي الله عنه .secara mauquf dengan lafaz وحرامها النار dan sanadnya munqati’.Dan berkata an-Najm, dikeluarkan oleh Abdullah bin Ahmad didalam Zawaid al-Zuhd daripada Malik
قال قالوا لعلي بن أبي طالب يا أبا الحسن صف لنا الدنيا، قال أطيل أو أقصر‏؟‏ قالوا أقصر، قال حلالها حساب وحرامها النار

(4) Hadits ini disebut didalam Kashful Khafa oleh Ismail al-‘Ajuluni; Cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut-Lubnan, tahun 2001; Jilid 2, halaman 156 hadits no 2157.