Catatan Popular

Khamis, 21 November 2013

ASAS BERTAREKAT 1: WASILAH POKOK DALAM TAREKAT



Bila di sebut Tariqat maka Mursyid adalah perkara yang amat mustahak. Tariqat ialah perjalanan menuju Allah Ta'ala manakala mursyid lah yang memimpinnya ke arah tujuannya itu. Kalau Tariqat di ibaratkan sebagai sampan manakala Mursyid pula di ibaratkan sebagai nakhodanya yang memimpin haluan sampan tersebut. Kedudukan Mursyid di dalam sesebuah jemaah tariqat tidak keterlaluan katakan adalah ibarat nyawa bagi sebuah jasad. Tidak hairanlah ada ahli sufi yang berpendapat : "Rahsianya(intipati perjalanan tariqat) itu adalah pada masya'ih bukannya pada zikir". Dan berkata Syeikh Tajaldin Naqsyabandi dan perkataan ulama-ulama sufi yang lain juga ada menyatakan senada dengannya iaitu : "Barang siapa tiada baginya syeikh(guru mursyid) maka syaitanlah syeikhnya". Perkataan di atas merujuk kepada guru kerohanian yakni yang menjalani jalan tariqat keruhanian.

Seseorang yang ingin bertariqat mungkin kurang di dedahkan atau tak tahu menahu kepentingan peranan salasilah. Sedangkan berguru tariqat yang tidak bersambung salasilahnya dengan ulama-ulama asalnya sehingga bersambung dengan Rasulullah s.a.w. hukumnya haram kerana terputus wasilah dalam menyampaikan matlamat.Sebab itu bukan mudah untuk kita berguru dengan seseorang kecuali telah di buktikan bahawa guru yang kita anggap sebagai guru itu memiliki sanad salasilah tariqat yang mutashil(bersambung) sehingga Rasulullah s.a.w. di samping kita melihat kepada faktor-faktor lain yang selari dengan adab syariat dan adab tariqat.



Apakah yang di maksudkan dengan salasilah tariqat dan mengapa salasilah tariqat itu penting ?

Seseorang yang di anggap mursyid ialah seseorang yang telah berguru sebelumnya dengan gurunya terdahulu dan sehinggalah bersusun sampailah kepada tabi'in kepada sahabat dan akhirnya bertemu kepada Rasulullah s.a.w. dan mestilah di dokumenkan dalam bentuk bertulis dan di sahkan oleh gurunya yang terdahulu dengan ‘memberi izin' bagi menjalankan atau menyebarkan tariqat tersebut serta mahsyur sanadnya mengikut adab tariqat.


Salsilah ini penting kerana beberapa sebab iaitu :

i. bagi menentukan seseorang murid menerima keberkatan (kesan ruhaniah) atau limpahan ruhani yang bersambung dengan syeikhnya itu terus bersambung sehinggalah persambungannya itu benar-benar dari puncanya yang sebenar dan teratasnya iaitu Rasulullah s.a.w. Sekiranya salasilahnya terputus atau tiada memiliki sanad salasilah yang sah maka bagaimana seseorang itu dapat menerima limpahan keberkatan imdad bir ruhaniah dari segala masya'ih yang terdahulu sehingga Rasulullah s.a.w yang dengannya menyampaikan kita kepada jazbah fillah(tarikan kepada Allah iaini zuk fana'fillah dan baqo'billah).

ii. Bagi yang terputus wasilah ruhaniahnya maka terputuslah apa yang di panggil rabithah mursyid(pertalian mursyid).Jika tiada baginya rabithah mursyid maka tiada terpelihara perjalanannya itu daripada tercedera terhadap gangguan musuh-musuh batin seperti iblis, syaitan jin dan segala perkara yang membahayakan perjalanan ruhaninya khususnya dalam meniti perjalanan di alam malakut.Sebab itu kita dengar bahaya-bahaya penipuan di alam ruhani yang sering kita dengar seperti membesarkan diri mengakui diri sudah capai ke martabat wali,martabat sultanul auliya, sudah dapat tahap yang tinggi dan suka menggelar diri , taa'sub , sudah pandai menilik dan di katanya sudah dapat kasyaf , pandai mengubat kerana sudah disangkanya dapat maunah dan akhirnya melalutlah kepada gila dan sebagainya. Sedangkan rukun bagi seseorang mursyid atau khalifah itu ialah sangat merendahkan diri (tawadhu') bagaimana pula dia nak mengaku dirinya lebih atau macam-macam lagi.Satu perkara lagi sifat orang yang terputus sanadnya iaitu suka kondem orang lain yang nyata kondemnya itu tidak jujur dan terlalu taasub dengan amalannya saja kononnya amalannya yang sah , betul dan orang lain itu semuanya tak betul kalau betul pun tak sempurna macam dia punya. Sebenarnya 2 perkara ini selalu dilakukan bagi orang yang lalai dalam zikrullah atau memang sudah ada cacat dalam perjalanannya.

iii. Sebagai bukti atau hujjah yang sah bahawa seseorang itu mendapat izin dari syeikhnya yang terdahulu bagi menyebarkan ajaran tariqatnya itu kerana sanad salsilah yang mahsyur dan mutashil dengan Rasulullah s.a.w. itu seumpama otoriti yang sangat berwibawa tanpa dapat di pertikaikan lagi dari sudut keizinan dan kelayakannya dalam memimpin murid.Dan inilah adab yang amat penting dalam tariqat.

iv. Salsilah juga adalah suatu keesahan yang menyatakan bahawa tiada berlaku perubahan atau pindaan atau saduran dari hal penyampaian ilmu Tariqat itu sendiri dan lazimnya salasilah ini di kepilkan bersama ajaran-ajaran,adab-adab serta segala keterangan maqam-maqam zikir tariqat yang di rekod bersama dari turun temurun supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan atau di ciplak dari mana-mana ajaran yang bertentangan dengan asal .


Pesanan Ulama sufi yang muktabar dalam kepentingan mengetahui salsilah tariqat .

1. Kata Syeikh Amin Kurdi dalam kitabnya Dhiya'ul Iman :

"Ketahuilah bahawa seorang murid di jalan Allah yang mahu bertaubat dan menghilangkan sifat kelalaiannya wajiblah ia mencari seorang syeikh yang ada di zamannya. Iaitu seorang yang sempurna suluknya(perjalanannya) syariat dan haqiqat mengikut Al Qura'an dan Al Hadis juga sentiasa berpandukan para Ulama hingga sampai ke maqam ar-rijalul kamal. Syeikh itu telah sampai kepada keredhaan Allah dan suluknya juga adalah di bawah pimpinan seorang mursyid yang mempunyai persambungan salasilah hingga ke nabi s.a.w. Ia juga mestilah telah mendapat izin dari syeikhnya untuk menyampaikan ajarannya kepada orang lain. Ia juga mempunyai ilmu dan makrifah yang benar dan bukan jahil dan bukan kerana di dorong oleh keinginan nafsu dirinya.Oleh yang demikian syeikh yang arif yang mempunyai persambungan salasilah itu adalah merupakan wasilah kepada Allah bagi seseorang murid itu. Syeikh itulah juga merupakan pintu menuju kepada Allah yang akan di lalui oleh murid itu. Sesiapa yang tiada mempunyai syeikh yang memimpin dan mengasuhnya maka syeikhnya adalah syaitan".


2. Katanya lagi :

" Tidaklah boleh seseorang itu membuat bai'ah dan memimpin para murid kecuali setelah ia mendapat tarbiyah dan ke izinan mursyidnya seperti yang di tegaskan oleh para masya'ih. Orang yang berbuat kerja demikian itu padahal ia bukan ahlinya yang sebenar , akan lebih banyak merosakkan dari memberi kebaikan. Ianya akan menanggung dosa sebesar dosa seorang perompak kerana ia telah memisahkan murid dari syeikh yang arif sebenarnya".


3. Berkata Syeikh Amin Al Kurdi dalam kitab Dhiya'ul Iman fi Thariqah Ar Rahman pada membicarakan kepentingan salsilah iaitu:

"Adalah sangat wajar bagi para murid di jalan Allah itu untuk mengetahui salasilah para syeikh mereka itu hingga sampai kepada nabi Muhammad s.a.w. Bila kedudukan syeikh mereka jelas dan benar ada persambungan salasilah hingga kepada nabi s.a.w. maka jika para murid itu mahu mendapatkan pertolongan limpahan ruhaniah dari syeikh mereka itu mereka akan berhasil apa yang dimaksudkan . Orang yang salasilahnya tidak bersambung hingga kepada nabi s.a.w. maka orang itu adalah terputus dari limpahan ruhaniah tersebut. Oleh itu orang itu bukanlah menjadi waris bagi Rasulullah s.a.w. dan TIDAK boleh di ambil bai'ah dan ijazah daripadanya".



4. Kata Syeikh Abdul Wahab Asy Syaroni di dalam kitab Madarijus Salikin :

"Hai para murid ! Semoga Allah memberikan keredhaan Nya kepada kami dan kamu. Sesungguhnya orang yang tidak mengetahui bapanya dan datuknya di dalam jalan ini (ilmu Tariqat) ,maka ia adalah buta. Mungkin jua orang yang tersebut di nasabkan(di binkan) kepada orang lain yang bukan bapa sebenarnya. (jika begitu) maka bermakna ia termasuk ke dalam apa yang di sabdakan oleh nabi s.a.w. : ‘Allah melaknat orang yang dinasabkan kepada orang lain yang bukan bapanya yang sebenar".

Maksud bapa dan datuknya ialah para guru-guru yang terdahulu (para masya'ih) kerana guru mursyid kita ialah bapa ruhani manakala guru kepada guru kita adalah datuk ruhani kepada kita sehingga lah seterusnya sampai kepada Rasulullah s.a.w. iaitu sumber segala ruhani yakni benih sekelian alam dan induk rahmat Allah Ta'ala dengannya melimpah sekelian rahmat Allah atas setiap kejadian.


5. Kata Syeikh Abdul Qadir Al Jilani dalam kitabnya Sirrul Asrar :

"Syeikh Abdul Qadir Al Jilani berkata : Sahabat r.a. adalah ahli jazbah(ahli tarikan batin) kerana kekuatannya menemani nabi s.a.w. Tarikan batin tersebut menyebar kepada syeikh-syeikh tariqat dan bercabang lagi pada salasilah yang banyak sehingga semakin melemah dan terputus pada kebanyakkan umat, yang tinggal adalah orang-orang yang meniru-niru sebagai syeikh tanpa makna kedalaman dan tersebarlah kepada ahli-ahli bid'ah". Ini menunjukkan ‘karan' atau jazbah fillah akan turun kepada kita melalui susur jalur salasilah tariqat.


6. Kata Syeikh Abdul Qadir Al - Jilani lagi :

"Bagaimana cara menentukan Tasawuf yang benar ? Caranya dengan dua macam : (Pertama) lahiriahnya(Kedua) Batinnya.Lahiriahnya memegang teguh pada aturan syariat dalam perintah mahupun larangan.Batinnya mengikuti jalur suluk dengan pandangan hati yang jelas bahawa yang di ikuti adalah nabi s.a.w. dan nabi s.a.w. merupakan perantara antara dia dengan Allah.Dan antara dia dengan nabi adalah ruh ruhani Nabi Muhammad s.a.w. yang mempunyai jismani pada tempatnya dan ruhani pada tempatnya, sebab syaitan tidak akan menjelma menjadi nabi dan itu merupakan isyarat pada orang - orang salikin agar perjalanan mereka tidak dalam keadaan buta. Pada fasal ini terdapat tanda-tanda yang sangat halus untuk membezakan mana golongan yang benar dan yang salah , yang tidak dapat di temukan kecuali oleh ahlinya".


Maksud di atas ialah bagi menentukan tasawuf yang benar ialah zahirnya mengikut syariat dan batinnya mengikut jalur suluk (yakni perjalanan yang berantai salasilah sehingga berakhir kepada nabi s.a.w.) supaya hingga jelas hati murid mempertemukan kepada nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi sebagai washitah(perantara) yang menyampaikan kepada Allah iaini makrifat terhadap Allah dengan sebenarnya.Kerana jika terputus salasilah bererti terputuslah wasilah dan akibatnya akan kelirulah perjalanannya dan payahlah seseorang itu membezakan dapatan ruhaniah yang haq dengan yang batil kerana perkara ini amat lah halus lagi sukar.Jangan di kata cahaya itu lah diri dan jangan disangka bayang itulah sebenar.Jangan dikata zauk itulah muktamad kerana syaitan masih boleh memberikan rasa zauk dan segala pembukaan yang palsu ! Maka berlindunglah kita kepada Allah dari segala tipudaya makhlukNya.Maka tiada yang mengetahuinya melainkan ahlinya yang berjalan mereka itu mengikut akan mengikut orang yang mengikut akan nabi s.a.w. pada zahir (syariat)dan batinnya(rabithah ruhaniah yakni tariqat yang menyampaikan haqiqat).Bak kata perpatah : Jauhari jua yang mengenal manikam.


SIMPULAN

Justru itu hendaklah kita fahami bilamana di katakana ‘Tariqat' maka disana ada di dalamnya beberapa perkara yang tidak terpisah ibarat ‘irama dan lagunya' iaitu :

1. Mursyid berkait dengan
2. salsilah dan keizinan berkait dengan
3. rabithah ruhaniah(pertalian) berkait dengan
4. adab-adab berkait dengan
5. zikir dan maqam-maqamnya berkait dengan
6. muraqabah dan musyahadah terhadapNya

Kesemuanya ini adalah wasilah pokok dalam Tariqat dan keenam-enam inilah di panggil ‘Tariqat'. Ke enam-enam perkara di atas juga ada yang di zahirkan dan di dokumentasikan dan ada yang di batinkan yakni tidak di nyatakan atau tidak di dokumentasikan khusus yang berkait dengan dapatan atau penemuan ruhaniah yang menjadi adab supaya tidak dinyatakan. Namun perkara seperti salasilah dan ke izinan adalah perkara yang wajib di nyatakan supaya di ketahui akan nasab ruhaniahnya dan supaya tidak kita di anggap anak yang tiada bernasab seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Wahab Asy Syaroni r.h dan yang lebih di takuti kita menyeleweng dari usul dan kaedah kaum sufi secara tidak kita sedari.

Tidak ada keringanan dalam perkara salasilah ini , jangan pula ada pihak yang berkata salasilah ini tak penting yang pentingnya ialah haqiqatnya atau makrifatnya. Jika ada pihak yang berkata begitu , terus segera tinggalkan orang itu kerana orang itu telah mengajar suatu pemahaman yang tidak betul yakni menyalahi usul mengikut kaum sufi. Kerana bagaimana buah itu lahir tanpa pokok dan benihnya ? Sebab itu kata Ulama sufi : "Barangsiapa menyalahi ushul maka diharamkan dia daripada wushul(sampai kepada makrifat Allah Ta'ala dengan makrifat sebenarnya)". Iaini barang siapa menyalahi perkara-perkara yang telah di sepakati oleh kaum sufi maka terlerai dia daripada jalan mereka.Bersama kita berlindung dengan Allah Ta'ala daripada bahaya-bahaya ini dan tipudaya makhlukNya.

Selasa, 12 November 2013

ADAB-ADAB SALIK TERHADAP SYEIKH.

Adab-adab al-sālik terhadap syeikh.Menurut keterangan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam kitabnya yang berjudul Tanwir al-Qulub Fi Mu‘āmalat ‘Allām al-Ghuyub menyebutkan bahawa adab-adab yang perlu diperhatikan dan dijaga oleh seorang yang sālik terhadap syeikhnya adalah banyak , namun yang terpenting ialah seorang yang al-sālik tidak boleh sesekali menentang syeikhnya, sebaliknya ia membesarkan kedudukan syeikhnya itu lahir dan batin. Seterusnya ia tidak boleh memperkecilkan kedudukan syeikh, apalagi mencemuhnya di hadapan atau di belakangnya. Salah satu yang mesti diyakini oleh seorang yang al-sālik ialah segala maksud dalam suluknya hanya akan tercapai kerana didikan dan asuhan daripada syeikhnya. Oleh sebab itu, jika ia terpengaruh dengan pandangan guru-guru yang lain selain daripada syeikhnya menyebabkan ia akan jauh daripada syeikhnya dan akan gagal menerima limpahan cahaya daripada syeikhnya. Maka sebagai seorang yang bertaraf al-sālik sewajarnya ia memerhatikan dengan bersungguh-sungguh tentang beberapa adab terhadap syeikhnya.

 
Keadaan ini telah dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi seperti di bawah ini:

 
a) Seorang yang al-sālik hendaklah menghormati dan menyanjung tinggi syeikhnya pada yang zahir dan yang batin, dengan satu keyakinan bahawa dirinya tidak akan berjaya untuk mencapai cita-cita kerohaniannya kecuali berada di bawah asuhan dan didikan serta pimpinan daripada syeikhnya. Apabila seorang yang al-sālik itu tertarik hati kepada seorang syeikh yang lain maka terhalanglah dirinya itu daripada syeikhnya dan terhentilah limpahan nur ilāhi daripada syeikh tersebut ke atas dirinya.

 

b) Seorang yang al-sālik hendaklah sentisa menyerahkan diri sepenuhnya zahir dan batin kepada syeikhnya. Sentiasa bersifat taat dan menurut perintah di samping reda terhadap segala apa yang dibuat oleh syeikhnya. Seorang yang al-sālik hendaklah bersedia untuk berkhidmat kepada syeikhnya baik dengan harta mahupun dengan jiwa raga. Semua hal tersebut adalah disebabkan oleh kemahuan yang murni dan perasaan kasih sayang sebenar yang tidak dapat dinyatakan dengan jelas kecuali dengan cara yang tersebut. Malahan niat yang benar dan ikhlas itu tidak akan dapat dicapai kecuali dengan jalan yang demikian itu. Seorang al-sālik mestilah mempunyai keikhlasan hati di samping kerelaan jiwa demi pengorbanan kepada syeikhnya. Selepas itu barulah ia akan mendapat barakah irādah yang murni dan muhibbah. Semua ini akan dianggap sebagai penggerak dalam kehidupan seorang yang al-sālik.

 

c) Seorang yang al-sālik tidak boleh sama sekali menentang, menolak atau menghalang apa saja yang dibuat oleh syeikhnya, sekalipun perbuatan tersebut pada zahirnya bertentangan dengan hukum syarak yang membawa hukum haram. Sebagai contoh, seorang al-sālik tidak boleh berkata terhadap syeikhnya: Mengapakah tuan guru berbuat demikian? Jika seorang al-sālik berkata demikian terhadap syeikhnya maka ia tidak akan mencapai maksudnya (wusul kepada Allah S.W.T.) untuk selama-lamanya. Penentangan merupakan sikap dan akhlak yang tercela, lebih-lebih lagi apabila diperintahkan oleh syeikhnya. Dalam dispilin ilmu dan amalan tasawwuf ketaatan itu sudah dibaiahkan ketika seorang al-sālik mengambil amalan tersebut daripada syeikhnya. Dengan peraturan dan baiah yang demikian barangkali ramai orang termasuk pemerintah menaruh prasangka dan curiga di samping mengawasi ajaran tasawwuf dan tariqat di negara ini. Kadang-kadang berlaku pada seseorang syeikh itu perkara yang tercela nampak pada zahirnya, tetapi pada batinnya adalah baik, seperti yang berlaku kepada Nabi Khidir a.s ketika bersama-sama dengan Nabi Musa a.s . Kerana itulah setengah ahli tasawwuf bersya’ir seperti berikut:

Maksudnya:Engkau di hadapan syeikh seperti mayat di depan orang yang memandikannya.Sentiasa taat dibalik-balikkan mengikut sekehendak hatinya.Jangan engkau menentang perintahnya yang engkau tidak mengetahuinya.Sebab,menentang begitu bererti engkau mencabarnya.Biarkanlah segala perbuatannya yang engkau lihat.Meskipun berlainan dengan syariat.Cukuplah sebagai contoh kisah Khidir membunuh anak desa.Bagaimana Musa bersungguh-sungguh menghalangnya.Bila rahsia Khidir jelas terbongkar.Musa tidak dapat berkata lagi.Dan cuba meminta maaf daripada Khidir.Begitulah ada yang menakjubkan ilmu orang sufi.

 

d) Seorang yang al-sālik tidak boleh mempunyai sebarang keinginan untuk bergaul rapat dengan syeikhnya untuk tujuan dunia ataupun akhirat. Oleh itu pergaulan dengan syeikhnya hanyalah semat-mata untuk menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T.

 

e) Seorang yang al-sālik hendaklah menghilangkan segala ikhtiarnya kerana berasa cukup dengan ikhtiar syeikhnya, sebahagiannya atau keseluruhannya yang menyangkut soal ibadat ataupun adat kebiasaan hidup. Oleh itu antara tanda-tanda yang menunjukkan seorang yang al-sālik itu bersifat benar ialah jika syeikhnya menyuruhnya masuk ke dalam dapur api nescaya dilakukannya. Walau apapun yang berlaku seorang yang al-sālik tetap memegang teguh ikhtiar syeikhnya. Ia mesti mengakui seorang syeikh itu mempunyai kelebihan tersendiri dalam berikhtiar jika dibandingkan dengan ikhtiar seorang yang al-sālik.

 

f) Seorang yang al-sālik tidak boleh dengan sengaja mencari-cari rahsia hal keadaan syeikhnya sama sekali. Perbuatan yang sedemikian boleh menyebabkan kecelakaan dan padah pada diri seorang yang al-sālik itu sendiri. Sebagai seorang yang al-sālik seharusnya bersangka baik dengan syeikhnya dalam semua hal dan keadaan.

 

g) Sebagai seorang yang al-sālik, dia hendaklah sentiasa ingatkan kepada syeikhnya ketika ia berjauhan daripadanya (syeikh). Begitu juga jika syeikhnya itu ada bersama-samanya maka hendaklah ia sentiasa ingatkan dan membayangkan syeikhnya itu dalam hatinya ketika melakukan semua urusannya, baik ketika musafir mahupun tidak, supaya mendapat keberkatan daripada syeikhnya itu.

 

h) Sebagai seorang yang al-sālik ia hendaklah merasakan bahawa setiap keberkatan yang telah didapatinya, baik keberkatan di dunia mahupun di akhirat adalah kerana syeikhnya itu. Sebagai contoh seorang yang al-sālik telah mendapat kelebihan daripada Allah S.W.T., atau pertunjuk berupa ilhām atau keistimewaan ijābah, maka tidak boleh mengatakan atau menganggap hal itu disebabkan oleh keupayaan dan barakah daripada dirinya sendiri yang dekat dengan Allah S.W.T. Sebagai menghormati gurunya ia mestilah berkeyakinan bahawa ilhām dan anugerah daripada Allah S.W.T. itu adalah disebabkan oleh keberkatan dan kelebihan daripada syeikhnya itu.

 

i) Sebagai seorang yang al-sālik, ia tidak boleh merahsiakan atau menyembunyikan daripada syeikhnya sesuatu yang bersifat hāl, lintasan-lintasan hati, kejadian-kejadian, perkara-perkara yang dikashafkan dan kekeramatan yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. semasa di bawah pimpinan daripada syeikhnya itu. Segala sesuatu yang berkait dengan kehidupan seorang yang al-sālik tidak boleh dirahsiakan daripada syeikhnya. Ini merupakan satu adab dan peraturan yang mesti ditaati oleh seorang yang al-sālik.

 

j) Seorang yang al-sālik itu tidak boleh sengaja menunjuk-nunjuk atau mencari-cari ta‘bir berbagai-bagai kejadian, mimpi dan perkara-perkara yang dikashafkan ke atasnya. Walaupun ia mengetahui dengan jelas ta‘bir perkara-perkara yang tersebut itu, maka tidaklah boleh ia berpegang teguh terhadapnya. Apabila seorang yang al-sālik itu bertanyakan sesuatu kepada syeikhnya maka hendaklah ia bersabar menanti jawapan daripada syeikhnya itu dengan tidak mendesak agar syeikhnya memberikan jawapan yang segera. Begitu juga jika ada seseorang yang bertanyakan sesuatu kepada syeikhnya itu, maka janganlah sekali-kali al-sālik itu memberikan jawapan soalan orang yang tersebut di hadapan syeikhnya.

 

k) Seorang yang al-sālik tidak boleh menyebar dan menyiarkan rahsia-rahsia syeikhnya, walau dengan apa cara sekalipun.

 

l) Seorang yang al-sālik tidak boleh mengahwini perempuan yang sudah diketahuinya bahawa syeikhnya sendiri ada hati mahu mengahwininya. Seorang yang al-sālik juga tidak boleh mengahwini bekas isteri syeikhnya, sama ada bercerai hidup atau cerai mati.

 

m) Seorang yang al-sālik tidak boleh memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada syeikhnya, sekalipun syeikhnya meminta buah fikirannya dalam sesuatu perkara yang mahu dibuat atau ditinggalkannya. Dalam keadaan itu seorang yang al-sālik hendaklah menyerahkan masalah yang dihadapi itu kepada syeikhnya sahaja dengan penuh keyakinan bahawa syeikhnya itu lebih tahu daripada dirinya dalam masalah tersebut dan syeikhnya itu sebenarnya tidak perlu meminta buah fikirannya. Sebenarnya perbuatan syeikh meminta buah fikiran al-sālik itu hanyalah sebagai satu polisi syeikhnya supaya dapat ia menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap para al-sālikin itu sahaja. Bagaimanapun jika ada tanda-tanda bahawa syeikhnya itu memang benar-benar mahukan buah fikiran al-sālik itu maka bolehlah ia memberikan buah fikirannya kepada syeikhnya dengan penuh kesopanan dan ketertiban.

 

n) Seorang yang al-sālik hendaklah menjaga, mengambil berat terhadap keluarga syeikh sepanjang pemergiannya. Seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa berkhidmat dan berbuat baik dengan mengunjungi dan berkhidmat kepada keluarganya. Langkah seorang al-sālik ini merupakan perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi kasih sayang syeikh kepada diri al-sālik. Tegasnya dalam hal ini, kedudukan syeikh itu samalah dengan kedudukan para saudara dan kawan atau sahabat. Perlu diingat bahawa seluruh kerja yang dilakukan mesti dengan keikhlasan agar ia akan mendapat limpahan hidayat dan rahmat syeikhnya.

 

o) Seorang yang al-sālik apabila merasakan dirinya ada sifat ‘ujub dan riyā’ maka hendaklah ia segera berjumpa dan memberitahu kepada syeikhnya hal keadaan tersebut. Dengan berbuat demikian seorang syeikh akan dapat menunjukkan bagaimana cara untuk mengubati penyakit tersebut. Jika hal tersebut disembunyikan maka penyakit yang terdapat pada seorang yang al-sālik seperti al-riyā’ dan al-‘ujub itu akan bertambah subur dan sulit untuk dibuang daripada dirinya.

 

p) Sebagai seorang al-sālik, hendaklah menghargai setiap pemberian daripada syeikhnya. Setiap barang yang diberikan oleh syeikh kepada seorang yang al-sālik hendaklah dijaga dengan sebaiknya, bahkan jangan sekali-kali ia menjualkan barang pemberian tersebut kepada orang yang lain. Mungkin ada rahsia di sebalik pemberian tersebut yang berupa manfaat di dunia atau di akhirat di samping dapat menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T. di sebalik pemberian tersebut.

 

q) Seorang al-sālik hendaklah menjaga sifat benar (al-sidq) dalam kesungguhannya mentaati syeikhnya itu. Dalam konteks ini, para mashā’ikh tariqat bersepakat bahawa seorang al-sālik yang benar-benar sempurna ketaatannya kepada syeikh akan mencapai kemanisan ma‘rifatullah dalam dhawqnya, walaupun hanya berada dalam satu majlis sahaja di awal pergaulannya dengan syeikh tersebut.

 

r) Apabila seorang yang al-sālik menemui dan melihat beberapa kekurangan yang terdapat pada diri syeikh seperti banyak tidur di waktu mendekati subuh atau kurang wara‘nya dan sebagainya lagi maka sesungguhnya terkadang Allah S.W.T. sengaja menjadikan kekurangan tersebut pada diri seorang wali, iaitu ketika seorang wali itu berada dalam keadaan yang ghaflah. Bagaimanapun, selepas itu ia akan ingat dari kelalaiannya dan segera berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai dan mendapatkan apa yang sepatutnya ia capai. Hal ini ada diungkapkan oleh Ibn ‘Atāi’illah al- Iskandari dalam kata-kata hikmahnya yang antara lain menyebutkan:سبحان من ستر سر الخصوصية بظهور وصف البشرية وظهر بعظمة الربوبية في إظهار العبودية . Maksudnya: Maha suci Tuhan yang telah menutup rahsia khususiyyah dengan kelihatan sifat-sifat kemanusiaan. Dan Maha Suci Tuhan yang telah memperlihatkan (kepada hamba-hambaNya) dengan kebesaran ketuhanan dalam memperlihatkan (bekas-bekas) kehambaan manusia. Semua yang berlaku pada diri syeikh itu adalah dari kehendak dan ketentuan daripada Allah S.W.T. yang bertujuan untuk mendidik dan menunjuk ajar di samping mengasuh para al-sālikin. Dengan pengalaman tersebut, para al-sālikin akan dapat melihat dan menyaksikan kekurangan-kekurangan seperti yang berlaku kepada syeikhnya itu. Dengan demikian tentulah mereka akan dapat melepaskan diri dari kekurangan-kekurangan tersebut pada diri mereka. Kadang-kadang Allah S.W.T memberitahu seorang wali itu menerusi kekurangan-kekurangan yang berlaku pada dirinya, disebabkan kuatnya sifat benar (al-sidq) dalam maqām al-ridā terhadap qadā’ dan qadarnya, atau pun disebabkan oleh lemahnya sifat benar (al-sidq) tersebut. Dengan cara tersebut Allah S.W.T akan memberikan kefahaman kepada para waliNya tentang perubahan ahwāl sifat benar mereka atau sifat dusta mereka kepada Allah S.W.T., agar para awliyā’ itu dapat bersyukur kepadaNya ataupun meminta keampunan daripadaNya apabila mereka menyedari kesalahan tersebut. Oleh itu sebagai seorang yang al-sālik wajiblah ke atasnya menjaga kepercayaannya terhadap kewibawaan syeikhnya itu. Oleh sebab itu sering kita dengar dari kalangan ahli-ahli tasawwuf satu ungkapan tentang hal ini dengan kata mereka:زلات المقربين رفعة لمقامتهم واستدلوا على ذلك بالاكل من الشجرة Maksudnya: Kesilapan dan kegelinciran orang-orang ‘ārifin (kerana melakukan sesuatu kesalahan) itu adalah peningkatan maqam mereka. Hal ini disandarkan kepada peristiwa Adam memakan buah khuldi.Pandangan dan pendapat ini disandarkan kepada peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa dengan memakan buah larangan. Namun kesalahan tersebut telah diampunkan oleh Allah S.W.T dan disucikan keduanya dari segala dosa.

 

s) Sebagai seorang yang al-sālik janganlah membanyakkan percakapannya ketika berada di hadapan syeikhnya itu, sekalipun ia dibenarkan berbuat demikian. Sebagai seorang yang al-sālik dia seharusnya mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk dia bercakap-cakap dengan syeikhnya. Oleh itu janganlah ia bercakap dengan syeikhnya kecuali setelah mendapat keizinan daripadanya. Dengan keizinan itupun mestilah dilakukan dengan penuh beradab sopan, khusyuk dan tawādu‘’ tanpa melebih-lebihkan percakapannya tetapi cukup hanya sekadar yang diperlukan sahaja. Jika tidak beradab sopan seperti yang telah dijelaskan di atas, maka seorang yang al-sālik itu diharamkan dari mendapat kurnia dengan terbuka hijāb hatinya. Apabila seorang yang al-sālik itu telah diharamkan dengan yang demikian itu maka ia tidak akan mendapat untuk kali keduanya kecuali hanya segelintir yang memperolehinya.

 

t) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah ia meninggikan suaranya apabila berada di hadapan syeikhnya. Kerana dengan berbuat demikian, menurut anggapan ulama tasawwuf merupakan adab yang buruk. Tentu kita masih ingat satu peringatan daripada Allah S.W.T tentang hal ini seperti firmanNya:وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنكَرَ الاَْصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ . Maksudnya:Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

 

u) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah duduk dengan cara yang tidak beradab sopan di hadapan syeikhnya dan tidak duduk di atas sajadah yang diduduki oleh syeikhnya itu. Seorang yang al-sālik hendaklah ketika bersama-sama dengan syeikhnya dalam keadaan merendah dan menghinakan dirinya dan sentiasa sibuk untuk berkhidmat dengan syeikhnya itu. Setengah dari kalangan ahli tasawwuf mengatakan berkhidmat dengan syeikh itu sebagai satu amal soleh yang paling afdal.

 

v) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah bersegera melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh syeikh ke atas dirinya. Sesuatu perintah hendaklah dilaksanakan tanpa menunggu atau menangguh-nangguhkan atau mencuaikannya dengan berehat-rehat atau merasa tenteram sebelum menyelesaikan segala perintah dan arahan daripada syeikhnya.

 

w) Sebagai seorang yang al-sālik ia hendaklah berusaha untuk menjauhkan segala perkara yang tidak disukai dan digemari oleh syeikhnya. Seorang al-sālik juga tidak boleh melakukan sesuatu yang merendah dan menjatuhkan akhlaknya yang terpuji.

 

x) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah ia berdamping dengan orang yang tidak disukai oleh syeikhnya di samping mengasihi orang yang dikasihi oleh syeikhnya.

 

y) Sebagai seorang yang al-sālik hendak sentiasa bersabar apabila tidak dihiraukan oleh syeikhnya. Perlu diingat seorang al-sālik tidak boleh berkata seumpama: Mengapakah syeikh melayan si polan itu begini, sedangkan aku tidak dilayan dengan sedemikian itu?

 

z) Seorang yang al-sālik tidak boleh menyebarkan kata-kata syeikhnya kecuali setakat yang boleh difahami oleh orang ramai.

 

 

Selasa, 5 November 2013

SEJERNIH-JERNIH MAKRIFAT TOK KENALI : HIJAB ITU SENDIRI ADALAH ALLAH

NUKILAN HJ SAARI MOHD YUSOF (PEWARIS KETIGA ILMU MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN)

Tuan-tuan dan puan-puan, muslimin serta muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Sebagaimana yang kita ketahui umum, bahawa Allah itu tidak sedikit pun terhijab, terdinding, Allah tidak ada tembok pemisah, tidak ada tirai, tidak ada penghadang dari kita memandang, menilik, melihat atau menatapNya.

Allah itu bukan sesuatu, sungguhpun Allah itu bukan sesuatu, namun Allah zahir pada tiap-tiap sesuatu. Bagaimana mungkin Allah itu terhijab oleh sesuatu, sedangkan Allah itu, zahir pada tiap-tiap sesuatu. Kenapa sehingga kita tidak terlihat atau terpandang Allah pada tiap-tiap sesuatu? Tidakkah terangnya cahaya matahari itu dikala teriknya, terang lagi wajah dan rupa Allah. Tidakkah dekatnya mata putih dengan mata hitam dan dekatnya urat leher dengan nyawa, sesungguhnya dekat lagi Allah dan wajahNya. Bagaimana mungkin Allah itu tidak kelihatan? Adalah menjadi suatu perkara mustahil, bilamana Allah tidak dapat dilihat.

Allah itu halus, sungguhpun Allah itu teramat halus, tetapi Ianya adalah teramat terang dan teramat nyata. Sehalus mana pun Allah itu, ianya tetap akan dapat dilihat, dipandang dan ditilik oleh pandangan mata. Sungguhpun Allah itu teramat-amat halus, namun mata tetap akan terlihat Allah. Biarpun mata zahir tertutup, tercabut, tercungkil keluar atau sebagaimana buta sekalipun, rupa dan wajah Allah akan tetap dapat kita lihat dan dapat kita pandang.

Wajah Allah beserta rupaNya itu, akan tetap dapat dilihat, dipandang dan akan tetap dapat ditilik oleh pandangan. Allah itu terang, terangnya Allah itu sehingga tidak sedikit pun terlindung oleh pandangan mata (mahupun mata kasar). Dengan hanya melalui pandangan pancaindera mata kasarpun, Allah itu akan terlihat, tertilik, terpandang dan ternampak, apa lagi dengan mata halus (mata basyirah).

Allah itu, akan dapat ditilik, dilihat dan dipandang, sungguhun mata dipejam, apa lagi bilamana kita membuka mata. Allah sedikitpun tidak terlindung, tertutup atau terhijab oleh kelopak mata, diketika kita memejam mata, apa lagi diketika kita membuka mata.

Allah tidak ada hijab dan tidak ada dinding untuk menghalang kita dari memandangNya. Walau sekalipun orang itu dari kalangan orang-orang yang buta
sifat mata zahirnya. Allah akan terkelihatan walaupun tanpa biji mata. Senang dan mudahnya untuk melihat Allah itu, sehingga tidak memerlukan kepada adanya biji mata. Tanpa adanya biji mata sekalipun, kita akan tetap dapat melihat Allah. Melihat dan memandang Allah itu, adalah pekara mudah dan perkara senang. Sekalipun mata dipejam, Allah akan tetap ternyata pada sekalian pandangan.

Allah tidak ada hijab (dinding). Sebab apa Allah itu tidak ada hijab? Allah itu tidak ada hijab, sebabnya adalah kerana “HIJAB ITU SENDIRI, ADALAH ALLAH”. Mana mungkin Allah tidak terlihat atau tidak terpandang, sedangkan “hijab itu sendiri adalah Allah”. Begitulah terang, begitulah jelas dan begitulah dekatnya Allah, kenapa masih tidak terpandang Allah? Selagi tebal hijab, selagi itulah terangnya Allah (lagi tebal hijab, lagi terang Allah). Allah itu tidak terhijab oleh sesuatu. Tidak ada sesuatu yang boleh menghijab Allah.

Jika ada sesuatu yang boleh menutup, mendinding atau menghijab Allah, bererti sesuatu itu lebih tinggi dan lebih berkuasa dari Allah. Untuk itu, ketahuilah olehmu bahawa dengan sesungguhnya, tidak ada sesuatu makhluk yang boleh menutup, menghijab atau mendinding Allah dari terpandang, terlihat atau dari ternampak oleh pandangan kita.

Tidak ada sebab untuk dibuat alasan dan tidak ada alasan untuk dibuat sebab, kenapa Allah tidak terlihat atau tidak terpandang mata. Tidak ada kerana dengan suatu kerana untuk tidak terpandang Allah.

Dimanapun jua kamu hadapkan muka mu, di situ juga kita akan tetap tertilik Allah. Tidak ada ruang untuk tidak terpandang Allah. Lagi kita letakkan tembok batu, dinding kayu, kain tirai, kain tabir atau menghadangnya dengan kain langsir atau hijab pemisah yang paling tebal sekalipun, tidak akan sekali-kali memisahkan kita dari terlihat Allah.

Lagi kita letakkan hijab atau kita letak tembok penghadang dihadapan mata kita, lagi terang terlihat Allah. Lagi tebal hijab kita letak dihadapan mata, lagi jelas terpandang Allah dan lagi nyata tertilik Allah. Ketahuilah olehmu wahai sekalian pembaca yang budiaman sekalian, sesunggguhnya tidak ada ruang untuk kita supaya tidak terpandang, terlihat atau tertilik Allah. Hadanglah penglihatan kita itu dengan tujuh bukit bukau, gunung ganang atau jarakkanlah diri kita dengan tujuh lautan sekalipun, namun tidak sedikitpun memisahkan dari mata kita memandang wajah dan rupa Allah! KERANA HIJAB ITU SENDIRI, ADALAH ALLAH.

Kerana hijab itulah Allah!
Baik dengan mata halus, sekalipun dengan mata kasar, Allah itu tidak sedikitpun terlindung dari pandangan. Begitulah terang, jelas dan nyatanya Allah itu. Allah itu
nyata, senyata-nyatanya. Allah itu terang, seterang-terangnya dan Allah itu jelas, sejelas-jelasnya.

Diketika kita sedang melihat, tidakkah yang besifat melihat itu sendiri adalah sifat Allah? Bilamana perkara “melihat” itu sendiri adalah sifat Allah, mana mungkin Allah terhijab oleh sesuatu. Sedangkan melihat itu sendiri adalah sifat Allah, mana mungkin Allah itu akan terhijab oleh sesuatu. Tidak mungkin, tidak mungkin, tidak mungkin dan tidak mungkin Allah terhijab, tidak mungkin Allah terdinding dan tidak mungkin Allah terlindung. Kenapa kamu tidak melihat? Sila jawab pertanyaan saya. Disaat ini, dimasa ini dan diketika ini, saya mahu tuan-tuan ajukan pertanyaan itu kepada diri tuan-tuan sendiri. Sekarang ajukan petanyaan.

Apakah jawapan tuan-tuan dan puan-puan memihak kepada tidak atau belum? Jika tidak dan jika belum, kenapa, kenapa dan kenapa?

Bilamana mata bertemu penglihatan atau bilamana sifat bertemu sifat, itulah tanda orang makrifat, itulah yang dikatakan tilikan makrifat. Bilamana ditilik dengan tilikan makrifat, tidaklah yang dilihat itu, adalah juga yang melihat. Tidakkah yang ditilik itu, adalah juga yang menilik. Sudah tidak ada yang lain lagi selain Allah. Mana mungkin Allah itu tidak kelihatan, sedangkan yang bersifat melihat itu sendiri, adalah Allah. Inilah yang dikatakan wajah bertemu wajah. Bilamana wajah bertemu wajah, maka Allahlah yang tertilik oleh segenap pandangan. Itulah makanya ulamak-ulamak terdahulu meyimpulkan bahawasanya Allah itu tidak ada hijab, “kerana yang menghijab itu sendiri adalah Allah!”.

Saya teringgat pantun Tok Kenali yang diceritakan oleh ayahanda Mohd Yusof Cik Wook;

PUCUK PAKU SAYUR PUN PAKU, DIMASAK OLEH ULAMAK SEBERANG,
TENGOKLAH AKU DAN TILIKLAH AKU, AKU BERADA DITEMPAT TERANG.

Jika Allah boleh terhijab, terlindung atau terdinding hanya dengan kulit kelopak mata yang nipis itu, alangkah lemahnya Allah. Apalah sangat tebalnya kulit kelopak mata, jika dibandingkan dengan kuasa Allah. Kenapa kulit kelopak mata sahaja, boleh sampai menghijab Allah? Jika ditoreh dengan kuku pun kulitnya boleh terkoyak, belum lagi ditoreh dengan pisau, masakan Allah Yang Maha Besar itu, boleh terlindung hanya dengan kulit kelopak mata yang berupa daging yang nipis? Cuba tuan-tuan jawab?

Sesunggguhnya yang menghijabkan kita dengan Allah itu, adalah kebodohan sifat diri kita sendiri!. Diri yang “booooooooooooodoh” sahaja yang tidak nampak Allah.

Bagi mereka-mereka yang makrifatulah (mengenal Allah), sebenar dan sesungguuhnya Allah itu, tidak ada hijab. Lagi kita adakan hijab, lagi ternampak Allah, lagi kita adakan dinding, lagi terpandang Allah dan lagi kita adakan penghadang, sesunggguhnya lagi tertilik Allah. Tidak ada alasan, tidak ada ruang, tidak ada sebab dan tidak ada penyebab untuk tidak tertilik Allah. Kerana alasan itu Allah, ruang itulah Allah, sebab itulah Allah dan penyebab itulah Allah. Lebih tepat lagi, bolehlah disimpulkan bahawa “Allah itu adalah segala-galanya dan segala-galanya itu, adalah Allah”.

Allah itu, adalah Allah. Maka tidak ada ruang lain lagi untuk mengisi ruang, melainkan Allah. Allah menempatkan diriNya Allah, sehingga tidak ada ruang lagi
untuk sifat-sifat lain memasuki dicelah-celah antara keduanya. Sudah tidak ada ruang lagi untuk diisi oleh selain Allah. Wujud, ujud dan maujudnya diri Allah itu, sehingga tidak ada tempat dan tidak ada ruang lain lagi untuk yang lain selain Allah. Melainkan engkaulah engkau, ya Allah. Tidak ada yang lain selain diri mu ya Allah.

Segala dan segenap ruang penglihatan ku ya Allah, hanya engkaulah yang ku pandang, hanya engkaulah yang ku lihat dan hanya engkaulah yang ku tilik ya Allah.

Seumpama terbukanya mata kita diketika mula-mula bangkit dari tidur. Yang mula-mula kita nampak ialah dinding atau tembok simen. Bagaimanakah caranya untuk kita merlihat Allah dikala tertilik tembok simen? Dan bagaimana caranya untuk memandang hijab itu adalah Allah?

Tunggu jawapannya di dalam kitab keluaran ketiga yang tidak berapa minggu lagi… Amin.

 

SEJERNIH-JERNIH MAKRIFAT TOK KENALI : MANA YANG DIKATAKAN SEBENAR-BENAR MUHAMAD? (Adam Abu Basar dan Muhamad Abu Arwah)

NUKILAN HJ SAARI MOHD YUSOF (PEWARIS KETIGA ILMU MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN)

Mari kita belajar mengenal mana yang dikatakan sebenar-benar Muhamad, Ahmad dan Ahad.

Tuan-tuan, puan-puan, muslimin dan muslimah yang dirahmati Allah sekalian. Di pagi jumaat (penghulu sekalian hari) tanggal 12hb. Oktober jam menunjukkan 5:27 pagi. Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan sekalian mengenal Muhamad. Siapakah yanng dikatakan sebenar-benar Muhamad. Sepatutnya saya menyambung penulisan tentang tajuk “zuk”, (iaitu zuk yang dibuat-buat dan zuk yang sebenar-benar zuk), tetapi terlintas dihati untuk mengarang dulu bab Muhamad.

Sebelum saya menceritakan bab Muhamad, saya bermohon dari Allah yang Maha Suci, agar melindungi saya dari “FITNAH”. Bab ini adalah bab yang paling sensitif dan yang paling sulit untuk diterjemahkan. Namun jika tidak saya terjemahkan melalui kalam penulisan ini, siapakah lagi yang akan berani menterjemahkan kebenaran ini?

Pertaruhan dalam memperjuangkan agama Allah itu, adalah nyawa. Untuk itu, saya perjudikan nasib hidup saya untuk menterjemah ilmu Allah dalam bahasa makrifat, biarpun ianya tersangat pahit. Bahasa makrifat itu, teramat pahit untuk dimengerti bagi yang tidak pernah menikmatinya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun ku gagahi juga untuk memertabat dan menggenengahkan ilmu makrifat ke persada dunia. Sudah terlalu lama ilmu makrifat telah terkubur tanpa nisan. Sampailah masanya ilmu makrifat itu kembali berputik dan mekar di persada alam. Ayuh saudara-saudara seagamaku, kita gali, kita korek dan kita timba ilmu makrifat. Makrifat itu, adalah juga cabang ilmu yang fardhu (yang wajib), sebagaimana wajibnya sembahyang dan wajibnya bersyahadah bagi yang beragama Islam.

Semalam sekitar jam 2 pagi hingga 4 pagi, saya didatangi mimpi. Mimpi itu menceritakan saya diberi tugas memandu lori yang teramat dan terlalu panjang. Isi muatan lori itu teramat berat yang tak termampu ditanggung oleh tayar yang banyak. Sehingga di dalam mimpi itu, saya mengambil pendapat untuk menganti tayar yang kurang angin dan tayar yang tidak ada bunga.

Mimpi itu menceritakan yang saya tidak pernah memandu lori yang seberat dan sepanjang itu, tetapi saya memberanikan diri untuk memandu. Maklumlah ekor lori itu panjang. Saya tidak pernah membawa lori, apa lagi lori yang saya bawa dalam mimpi itu teramat panjang dan berat sekali. Dalam mimpi itu, saya dapati boleh memandu dengan baik. Makanya bilamana terjaga dari tidur jam lima pagi, biarpun tubuh saya terasa demam dan tidak sihat, saya gagahkan juga mengarang tajuk ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Sebelum tangan dan jari-jari saya yang daif lagi fakir menekan butang-butang komputer ini, terlebih dahulu saya memohon ampun dan maaf sekiranya apa yang saya tulis ini, tidak tertanggung oleh akal tuan-tuan atau sekiranya ilmu ini, membicarakan sesuatu yang di luar skop ilmu pengajian yang selama ini tuan-tuan tuntut. Saya menyusun jari sepuluh, janganlah hendaknya dengan kejahilan ilmu pelajaran tuan-tuan selama ini, tuan-tuan menfitnah ilmu ini. Bilamana ilmu ini tidak tertanggung oleh akal tuan-tuan, jangan pula hendaknya saya difitnah dan ditohmah. Kiranya tuan-tuan tidak diberi kefahaman, jangan mengambil keputusan untuk membuat tuduhan. Sila panggil saya untuk mendapat penjelasan dari mulut kemulut atau dibuat pertemuan secara empat mata.

Ilmu yang akan saya nukilkan ini, bukanya dapat dipelajari disekolah-sekolah atau dipondok-pondok. Melainkan ilmu makrifat itu, adalah suatu anugerah Allah, kepada sesiapa yang dikehendaki Nya. Ilmu makrifat itu, hanya dapat ditimba melalui “Qalbu mukmin” para guru-guru terdahulu. Sebelum itu, saya ingin mengajak tuan-tuan perhatikan betul-betul fakta-fakta yang saya kemukakan dengan mata hati.

Siapakah Muhamad?

Fakta 1)
Firman: Surah Al-Ambia : 21;107
“Dan tidaklah kami utus kamu melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam”.
Dari Firman di atas, sudah dapat kita mengerti bahawa, erti atau makna Muhamad diutus atau dijadikan Allah Taala itu, adalah bagi membawa maksud “Rahmat“. Cuba tuan-tuan perhatikan sekali lagi perkataan “menjadi rahmat“. Bermaknanya di sini bahawa erti atau makna Muhamad itu, adalah bagi mengambarkan perkara “rahmat”. Muhamad itu, adalah rahmat bagi sekalian alam.

Manakala maksud atau makna Rahmat pula, adalah merujuk kepada Nur Muhamad. Nur muhamad itulah sebenarnya yang menjadi Rahmat sekalilan alam. Dikeranakan Nur Muhamad itulah, maka terjadinya sekalian alam. Mula-mula Allah (Nur Allah) bersendirian di alam La Takyin atau di alam Ahdah, wahdah dan alam wahdiah. Inginlah diriNya dikenal oleh sekalian makhluk Nya, maka diciptanya Nur Muhamad.

Setelah ciptaan Nur Muhamad, dari Nur Muhamad itulah makanya terjadi dan terciptanya sekalian alam. Dari Nur Muhamadlah terjadinya syurga, neraka, langit, bumi, malaikat, Quraan, sekallian Rasul, sekalian Nabi dan termasuk Nabi kita Nabi Muhamad saw. Nur Muhamad itulah yang menjadi rahmat sekalian alam, yang menjadikan alam sekaliannya termasuk menjadikan Nabi kita Muhamad saw.

Nur Muhamadlah Kekasih Allah awal dan akhir, zahir dan batin, dari dahulu dan sampailah sekarang. Nur Muhamadlah kekasih yang tidak terpisah, bercerai dan tidak tertanggal dari Allah Taala. Itulah makanya banyak karangan guru-guru terdahulu menceritakan perkara ini, tetapi sayangnya tidak ramai yang mengerti. Ramai di kalangan kita mengenali Muhamad bin Abdullah dan cucu kepada Abdul Mutalib. Suami kepada Siti Khadijah dan anak kepada Aminah. Tidak ramai yang mahu tahu akan Muhamad “Nur”. Sedangkan kerana Nur Muhamad (Muhamad Nur) itulah rahmat sekalian alam, yang menjadikan kita Nabi kita Muhamad saw. Jika tidak kerana Nur Muhamad, maka tidak terjadinya Nabi kita Muhamad saw. Kerana rahmat Nur Muhamad itulah, maka terjadinya junjungan kita Muhamad saw.

Kerana “Rahmat” Nur Muhamadlah kita boleh berNabikan Baginda Nabi Muhamad saw. Kerana rahmat Nur Muhamadlah, makanya kita berada di atas muka bumi. Kerana rahmat Nur Muhamad itu jugalah, makanya bumi kita ini, berputar mengikut paksinya. Kerana Nur Muhamad itu jugalah, makanya kita akan dapat merasai adanya kita di dalam syurga atau neraka. Kerana rahmat Nur Muhamad itulah, kita sekarang ini, menikmati rahmat “sunnah” Baginda Nabi Muhamad saw. Kerana rahmat Nur Muhamadlah melahirkan Nabi Besar junjungan kita Muhamad saw.

Sayangnya tidak ramai yang mengenali Muhamad “Nur” (Nur Muhamad). Untuk itu, mari ikut saya sama-sama kita berenang di lautan hairan dan sama-sama kita mengembara ke alam malakut. Di mana alam yang tidak ramai orang yang berjaya sampai kesana.

Dalam kitab Al-Dur al-Nazim fi Maulid al-Nabi al-Karim karangan Ibn Thughrubak, ada menyebut bahawa pertama-tama Nabi Allah Adam mengangkat kepala dan membuka matanya, Nabi Allah Adam terlihat Muhamad Rasulullah (Nur Muhamad) di sekalian Arasy (penguasaan Allah).

Sambungnya lagi, Nur Muhamad itu, bilamana berada dilangit, namanya dipanggil Ahmad dan bilamana berada di bumi dipanggil Muhamad. (Dilangit bernama Ahmad dan dibumi bernama Muhamad).

Fakta ke 2)
Firman Allah; “Tidak ku cipta langit dan bumi, melainkan kerana mu Muhamad”. Penciptaan langit dan bumi itu, adalah suatu penciptaan atau suatu penganugerahan kepada Muhamad. Sedangkan Baginda Nabi Besar junjungan kita Muhamad saw diketika itu, belum lagi lahir kedunia. Siapakah sebenarnya Muhamad?

Fakta ke 3;
Muhamad itu, adalah kekasih Allah awal dan akhir. Muhamad itu, adalah kekasih Allah yang tidak pernah bercerai atau berpisah apa lagi untuk berenggang. Allah dan Muhamad itu, tidak pernah bercerai atau berpisah seumpama isi dengan kuku dan seumpama cahaya dengan matahari. Apakah semasa Baginda Nabi Muhamad saw berada di Kota Mekkah, Allah juga turut berada di Kota Mekkah dan bilamana baginda Nabi berpindah ke Kota Madinah, Allahpun juga turut berpindah ke Kota Madinah?

Allah dan Muhamad itu, adalah kekasih yang tidak pernah berpisah walaupun sekadar sesaat atau sedetik. Bilamana wafatnya Baginda Nabi, apakah Allah juga turut berada di kuburan Baginda Nabi?

Sedangkan Nabi Besar junjungan kita Muhamad Rasulullah pula, lahir terkemudian dari kejadian langit dan bumi dan terkemudian dari Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang lain. Yang lahirnya sekitar 1400 tahun yang lalu. Sedangkan alam ini tercipta berbilion-bilion tahun yang lalu. Siapakah sebenarnya Muhamad?

Maksud Muhamad (kekasih Allah awal dan akhir) yang tidak boleh berpisah sebagai itu, adalah merujuk kepada pengertian “rahmat“. Maksud Muhamad itu, adalah merujuk kepada Muhamad (rahmat) dan bukannya Muhamad (tubuh badan). Muhamad rahmat itu, sudah sedia tercipta dan sudah sedia terjadi sebelum lahir batang tubuh (jasad) Baginda Nabi Muhamad saw.

Batang tubuh Baginda Nabi junjungan kita Muhamad saw itu, binasa sebagaimana batang tubuh kita. Yang tidak mati dan yang bersifat kekal selamanya itu, adalah sifat rahmat Allah (batang tubuh rahmat). Selama ini kita hanya mengenali batang tubuh Baginda Muhamad bin Abdullah cucu kepada Abdul Mutalib. Sayangnya kita tidak pernah mahu mengenali Muhamad sebenar. Sebenar-benar Muhamad itu, adalah “rahmat”. Penghulu yang tidak wafat dan tidak mati itu, adalah rahmat Allah, sebagaimana Firman;
Firman: Surah Al-Ambia : 21;107
“Dan tidaklah kami utus kamu melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam”.

Mari kita sama-sama lihat, mana yang dikatakan sebenar-benar Muhamad. Pada kebiasaannya kita hanya disarankan supaya mengenali dan mengingati sifat batang tubuhnya Baginda Nabi Muhamad saw. Kita hanya disaran mengingati Baginda Nabi Muhamad dari segi cara Baginda Nabi makan, cara Baginda berpakaian, bersugi, bercelak, naik kuda, berkahwin (sampai empat orang) dan sebagainya.

Seumpama bilamana Baginda Nabi dahulu tidak naik kenderaan (kereta), tidak semestinya kita juga dilarang guna kereta. Bilamana Baginda Nabi guna anak panah dan naik kuda, tidak semestinya kita dilarang menggunakan senjata moden dan buang kereta kebal atau jet pejuang. Bilamana Baginda Nabi dahulunya menggunakan kayu sugi, kita sekarang juga turut bersugi, sedangkan sekarang ada ubat gigi. Ada sesetengahnya membawa kayu sugi yang sudah beberapa kali diguna yang agak berbau busuk, selepas diguna disimpan kembali kedalam poket baju bahagian depan bagi menunjukkan alim. Sedangkan ajaran Baginda Nabi yang harus kita ikut itu, adalah konsep kebersihan bukan konsep kayu sugi yang dipamer dihadapan poket baju. Yang bilamana berjumpa orang, lalu dikeluarkan kayu sugi lalu digosok-gosok di hadapan orang, bagi menunjukkan sunnah Baginda Nabi. Sedangkan sunnah Nabi itu, adalah merujuk kepada kebersihan bukan menunjukkan kepada kayu sugi.

Inilah yang orang sekarang nampak. Mereka nampak batang tubuhnya Baginda Nabi, sedangkan yang hendak kita ikut dan amal itu adalah sifat rahmat yang dibawa nabi, iaitu sifat sidik, amanah, tabliq dan fatonah Nabi. Bilamana kita mengamalkan kaedah berfatonah Nabi, berus gigi itu, hendaklah bilamana masa di bilik air, bukan berus gigi bilamana sambil bercakap dengan orang, itu tidak fatonah namanya. Orang sekarang ikut cara Nabi, barang yang dikira boleh mendapat pujian orang bukan dibuat untuk Allah dan Rasul.

Rasul Allah itu, bukan meninggalkan batang tubuh atau jasad untuk diingat. Yang hendak diingat dan yang hendak diikuti itu, adalah sunnahnya. Rasul Allah itu, meninggalkan kepada kita empat perkara sunnah, iaitu
1) Sidiq
2) Amanah
3) Tabliq
4) Fatonah

Sifat yang empat inilah yang tidak mati dan sifat yang empat inilah yang tidak binasa. Yang membawa dan yang menjadi sebenar-benar Muhamad dan inilah yang sebenar-benar menjadi “rahmat” pada sekalian alam ini. Rahmat inilah yang bermulanya dari zaman sebelum Nabi Allah Adam a.s sehingga kehari penghabisan alam. Muhamad inilah yang awal dan Muhamad inilah yang dikatakan akhir. Iaitu “Muhamad Rahmatul Fil Alamin” iaitu (Muhamad itu, adalah rahmat bagi sekalian alam).

Saranan sebenar yang kekal selamanya, yang harus kita ikut itu, bukannya kepada jasad atau tubuh badan Baginda Rasulullah. Yang dimaksudkan diikuti dan ditaati itu, adalah sifat rahmat sidiq, rahmat amanah, rahmat tabliq dan rahmat fatonah. Sifat inilah sifat yang tidak akan pernah mati, tidak akan pernah wafat dan sifat yang tidak sekali-kali akan meninggalkan kita. Sidiq, amanah, tabliq dan fatonah inilah yang “rahmat” (rahmat sekalian alam). Rahmat inilah ciptaan Allah Taala sebelum terciptanya tubuh badan (jasad) Baginda Nabi Besar junjungan kita Muhamad Rasulullah. Sabda diriwayatkan oleh Abu Ya’la. “ Sesiapa yang cinta kepadaku, maka hendaklah dia beramal dengan sunnah ku”. Mengambarkan kepada kita bahawa, sesiapa yang cinta dan sayangkan kepada Baginda Rasulullah saw, hendaklah mengikuti dan taat kepada sunnahnya, bukan taat kepada batang tubuhnya.

Baginda Rasulullah pernah bersabda kepada sahabat-sahabatnya; “Jangan kamu melampau dalam menyanjungku seperti Nasrani telah melampau dalam menyanjungi Al-Masih Ibn Mariam. Tetapi hendaklah kamu berkata bahawa aku hanya “hamba Allah dan RasulNya” Riwayat Al-Bukhari

Rasulullah adalah makhluk seperti kita, yang pernah patah gigi semasa berperang, pernah jatuh sakit, miskin, lapar dan tidak ubah jasadnya seperti kita. Kita tidak boleh mengekal atau membawa tubuh badan (jasad) Baginda Nabi junjungan kita Muhamad Rasulullah, namun kita boleh membawa tubuh sidiq, amanah, tabliq dan fatonah. Tubuh itu, adalah tubuh yang tidak akan pernah mati atau reput. Tubuh rahmat (tabliq, amanah, sidiq dan fatonah) itulah tubuh ciptaan Allah yang tercipta sebelum batang tubuh Muhamad Baginda Rasulullah Nabi tercipta. Kita sambung lagi di lain kesempatan, jam sudah menunjukkan pukul 8:40 pagi, saya dikehendaki menghantar kitab ke R&R Maran, Pahang.

Fakta ke 4;
Berfirman Allah Taala kepada Nabi Allah Adam; ”Tidaklah tercipta Adam itu, melainkan kerana Muhamad”. Di sini mengambarkan yang mencipta Nabi Allah Adam itu, adalah Muhamad. Sedangkan Nabi junjungan besar kita Muhamad saw, belum lagi lahir. Siapakah sebenarnya Muhamad? Muhamad itu, telah tercipta sebelum terciptanya Lauh, Qalam, Syurga, Malaikat, Langit, Bumi atau Neraka. “riwayat Ibn.Jabir bin Abdullah“.

Fakta ke 5;
Semasa saat akhir hayat Baginda, baginda berpesan kepada sahabat-sahabatnya supaya menunggu dan mencari penghulu syurga, seorang yang bernama Uwis Karni, yang datangnya dari Negeri Yaman. Wataknya memakai bulu kambing, kurang bercakap dan selalu meyendiri dan berjalan selalu menundukkan kepala. Setelah tahun berganti tahun, di setiap musim haji, mereka menunggu kedatang orang yang dikhabarkan oleh baginda Rasul.

Setelah sekian lama menunggu, ternyata orang yang dimaksudkan oleh baginda Rasul itu, muncul. Datanglah para sahabat menemui Uwis Karni. Bertanya sahabat, bahawa kedatangan mereka itu adalah diatas perintah baginda Muhamad. Lalu Uwis Karni mengatakan apakah buktinya yang engkau para sahabat itu dari utusan Muhamad. Kata Uwis lagi yang bahawasanya mereka itu, tidak mengenalli Muhamad “katanya Uwis “kamu belum mengenal Muhamad“. Lalu menjawab para sahabat bahawa kami ini adalah sahabat-sahabat Muhamad dan Aku pula adalah menantu Muhamad. Kami telah mengenal Muhamad sedari dulu dan kami pernah pergi berperang dan berjihad bersama Nabi. Uwis tetap menafikan yang mereka itu sahabat Muhamad.

Bahasa Uwis itu dimengerti dan difahami oleh Qalbu Saidina Ali. Lalu Saidina Ali pun berkata, “Ya, memang betul katamu wahai Uwis Karni, aku pun selaku menantu Baginda Nabi, hanya sekali melihat Muhamad. Lalu Uwis mohon penjelasan, apakah bukti engkau mengenali Muhamad. Semasa Baginda Rasulullah hendak membersih Kaabah, Baginda berdiri di atas bahu Bilal bin Rabbah, dikeranakan Bilal bin Rabbah itu pendek, Rasullullah tidak sampai untuk mencuci bahagian atas Kaabah. Lalu Baginda minta berdiri di atas bahu Saidina Ali. Semasa Baginda Nabi berpijak di atas bahu atau berada di atas belakang Saidina Ali untuk mencuci Kaabah, Saidina Ali mendongakkan kepalanya ke arah Baginda Nabi yang sedang berada diatas belakangnya (atas bahunya).

Semasa Ali mendongak kepalanya keatas untuk melihat Baginda Nabi, terlihat, terpandang dan ternampak olehnya, bukannya Baginda Nabi Muhamad saw. Ternyata yang terlihat dan terpandang olehnya pandangnan mata Saidina Ali itu, adalah rahmat “Nur Muhamad“. Terlihat olehnya rahmat cahaya Nur Muhamad yang menerangi sekelian alam. Saidina Ali tidak terlihat Baginda Nabi, yang terlihat oleh Saidina Ali, adalah wajah Nur Muhamad di atas bahu dan di atas kepalanya.

Setelah cerita Saidina Ali itu, barulah dibenarkan oleh Uwis Karni, bahawa benarlah kalian ini dari utusan Baginda Nabi. Selepas cerita itulah baru Uwis Karni percaya yang mereka itu, adalah dari kalangan sahabat Baginda Nabi. Yang menjadi persoalannya di sini, bagaimana Uwis boleh membenarkan cerita Saidina Ali, sedangkan Uwis tidak pernah menemui dan melihat wajah Baginda Nabi. Tidak pernah Uwis terpandang wajah Baginda Nabi, bagaimana beliau boleh membenarkan kata-kata Saidina Ali? Seolah-olah Uwis Karni itu, lebih mengenali Baginda Nabi berbanding Saidina Ali, selaku menantu Baginda.

Inilah bagi mengambarkan kepada kita bahawa maksud Muhamad itu, bukan merujuk kepada batang tubuh Baginda Nabi, ianya adalah merujuk kepada Nur Muhamad. Sebenar-benar Muhamad itu, adalah Nur Muhamad. Nabi besar junjungan kita Muhamad saw itu, adalah penghulu kita, Nabi kita dan Rasul kita. Apa yang kita perbincangkan di sini, bukanlah bertujuan untuk menduakan Nabi. Kita tidak ada Nabi lain selain Nabi Muhamad saw. Adapun tujuan ulamak terdahulu mengkhabarkan kepada kita ilmu ini, adalah bertujuan supaya syahadah kita itu, benar sebagaimana benarnya syahadah Baginda Nabi.

Tuan-tuan jangan sekali-kali tersalah tafsir atau tersalah faham bab ini. Dalam mengarang tajuk ini hati saya rasa tidak selesa, kebimbangan disalah erti oleh golongan feqah yang berilmu syariat. Di sini kita tidak berhajat untuk membicarakan soal Nabi Muhamad saw. Di sini kita berbicara tentang Muhamad Nur atau tentang Nur Muhamad, bukannya Muhamad Baginda Nabi saw. Bukannya bertujuan membicarakan soal Nabi besar junjungan kita Muhamad saw. Jangan pula tersalah faham mengatakan kita ini ada dua Nabi pulak. Nabi kita hanya satu iaitu Nabi Muhamad saw. Apa yang kita perbincangkan di sini adalah merujuk kepada Muhamad Nur atau Nur Muhamad. Siapakah sebenarnya Muhamad? Sebenarnya Muhamad yang kita perbincangkan di sini, adalah merujuk kepada muhamad Nur (Nur Muhamad).

Fakta ke 6;
Mari kita sambung lagi pencarian siapakah sebenarnya Muhamad? Sebelun itu saya mahu tuan-tuan cari fakta atau cari dalil, kenapa Baginda Nabi junjungan kita Muhamad saw “tidak” pernah berkalimah syahadah dengan menyebut perkataan “Ana Rasulullah” (Aku Rasulullah). La ila haillalah muhamadul rasulullah. Kenapa Rasulullah tidak menyebuat “Ana Rasulullah (aku Rasulullah). Sedangkan Baginda adalah selaku Muhamad. Kenapa tidak berkata perkataan “aku Rasulullah”. Kenapa Baginda Nabi sendiri mengatakan dan menyebut perkataan Muhamad Rasulullah tidak menyebut “aku Rasulullah”?

Sedangkan Baginda Nabi sendiri menyebut kalimah syahadah dengan perkataan Muhamad Rasulullah bukannya aku (ana) Rasulullah. Kenapa Baginda Nabi tidak menyebut Ana (aku Rasulullah)? Inilah bagi menunjukkan kepada kita bahawa Muhamad itu,adalah merujuk kepada Muhamad sebagaimana Muhamad Nabi Allah Adam, Muhamad Nabi Allah Ibrahim, Ismail, Isa, Nuh, Musa, Daud, Sulaiman dan Nabi-Nabi terdahulu.

Inilah yang dikatakan konsep awal Muhamad dan akhir Muhamad. Mengambarkan kepada kita bahawa bilamana sedari mula dan sedari awal Muhamad bersifat dengan sifat Muhamad dan akhirpun adalah juga bersifat dengan sifat Muhamad, Muhamad yang sama (Muhamad dulu dan Muhamad sekarang itu, adalah Muhamad yang sama). Muhamad itu satu, tidak ada dua atau tiga. Iaitu Nur Muhamad.

Nur Muhamad itu, adalah penghulu kepada sekalian Nabi dan penghulu kepada sekalian Rasul. Termasuklah penghulu kepada Baginda Nabi besar junjungan kita Muhamad saw. Penghulu kepada Baginda Nabi besar junjungan kita Muhamad itu, bukanlah MUHAMMAD BIN ABDULLAH BIN ABDIL MUTALLIB BIN HASYIR BIN ABD MANAF BIN KHUSAIR BIN KHILLAF BIN MURRAH BIN KA’AB BIN LUAAID BIN QHALIB BIN FIHIR BIN MALIK BIN AI’ITHOB BIN KHINANAH BIN KHUZAIRD BIN MUDRASHAH BIN ILIAS BIN ADNAN. Adapun penghulu bagi sekalian Para Nabi dan Para rasul itu, adalah “Muhamad (Nur)".

Itulah makanya celik sahaja mata Nabi Allah Adam, Baginda melihat Muhamad Rasulullah. Kenyataan atau kalimah Muhamad Rasulullah itu, sedia terpahat, tertulis dan tertera di setiap pintu syurga, pintu neraka, di padang mahsyar, di dedaun pepohon syurga, di langit dan di mana-mana. Nama Muhamad sudah tertulis, tercatat dan tertera sedari mula kejadian makhluk dan sebelum Nabi Allah Adam tercipta lagi. Semasa Baginda Nabi besar junjungan kita Muhamad saw, belum lahir kedunia. Muhamad itu, sudah siap terpahat. Muhamad yang mana?

Ketika Nabi Allah Adam tercipta, Allah mengkhabarkan kepada Nabi Allah Adam, bahawa beliau bernama Abu Basyar dan Muhamad itu bernama Abu Arwah . (Adam Abu Basyar (jasad) dan Muhamad Abu Arwah (roh)). Ertinya di sini, Adam itu merujuk kepada jasad manakala Muhamad itu pula, adalah merujuk kepada Roh.

Bermaknanya di sini, Maksud Muhamad itu adalah Nur Muhamad. Maksud Nur Muhamad itu pula, adalah Ruhul Qudus (Ruhul Akzim) atau roh yang paling suci. Berertinya di sini bahawa, Muhamad itu adalah Roh. Bermaknanya di sini, Rohlah penghulu sekalian penghulu. Setelah dijadikan (ditiup) roh kedalam jasad Nabi Allah Adam, maka Allah perintahkan sekallian Jin dan Malaikat sembah sujud kepada Nabi Allah Adam. Sebabnya di dalam jasad Adam itu, adanya roh. Allah perintahkan sujud sekalian Malaikat dan Jin itu, bukan kepada lembaga Adam, tetapi diperintahkan sujud itu adalah kepada Roh yang di dalam Adam.

Begitulah besar, mulia dan tingginya darjat Roh (Nur Muhamad), di sisi Allah Taala. Nur Muhamadlah kekasih Allah yang awal dan akhir, yang tidak pernah bercerai atau berpisah, sedari mula kejadian sehinggakan keakhir zaman. Muhamad inilah yang tidak bercerai dengan Allah.

Fakta ke 7;
Tuan-tuan dan puan puan yang dirahmati Allah sekalian. Kita sibuk dengan tunjuk perasaan bilamana Nabi besar Junjungan kita diwajahkan di dalam filem barat. Kita sanggup melangar norma-norma kehidupan, membelakangi kadaulatan undang-undang dan ada yang sanggup bunuh membunuh demi menjaga kesucian Nabi Muhamad saw.

Namun tuan-tuan lupa dan mungkin tuan-tuan terlepas pandang, yang Baginda Nabi telah wafat dan telahpun kembali kerahmatullah (kembali kepangkuan Allah Taala). Tidak terusik dan tidak tersentuh dan tidak berubah wajah dan jasad Baginda Nabi, sekiranya diburuk-burukan oleh orang barat. Baginda Nabi kita tetap suci dan tetap aman di sisi Allah. Tidak terusik jasad Nabi besar junjungan kita sekiranya mereka mengapa-apakan Baginda Rasul.

Cuba tuan-tuan tanya diri sendiri, adakah kita mengadakan bantahan dengan membuat demostrasi jalanan, atau tunjuk perasaan, bilamama orang Islam itu sendiri yang menolak Islam secara terang terangan. Seumpama orang Islam yang tidak menunaikan perintah sembahyang, yang jelas dan dengan secara terang terangan menolak Baginda Nabi, menolak sunnah Nabi? Kenapa tidak buat tunjuk perasaan.

Menolak sunnah Nabi, bererti menolak Nabi. Tak ikut Sunnah Nabi bererti tidak ikut Nabi. Bukan setakat menghina dari segi membuat watak Nabi, ini adalah jelas jelas menentang dan melanggar perintah Sunnah Nabi. Kenapa tidak kita perangi Kutuk Baginda Nabi, kita semua berang, marah dan panas hati, tetapi bagi yang secara terangn-terangan tidak sembahyang, tidak puasa dan melanggar sunnah Baginda Nabi di depan mata kita sekarang dan yang berleluasa di sana sini, kepada kita diam?

Baginda Nabi tidak meninggalkan jasadnya supaya kita pelihara, jaga atau ikuti. Yang Baginda tinggal itu:
1) Sidik
2) Amanah
3) Tablik dan
4) Fatonah.

Ini yang Baginda Nabi tinggal. Kenapa bilamana orangn bercakap dusta, tidak kita adakan tunjuk perasaan jalanan. Ada orang yang mengelapkan wang baitulmal dan wang zakat, tidak kita buat tunjuk perasaan? Orang sentuh soal tubuh badan Nabi, kita melenting marah, tetapi orang yang secara langnsung melanggar hukum Baginda Nabi dan menolak ajaran Nabi, tidak pula kita ambil kisah.

Inilah kita zaman sekarang, suka sangat memerhatikan kuman di seberang lautan sedang gajah di depan mata, tidak pernah nak ambil kisah. Mari kita sama-sama mendidik anak-anak dengan kebenaran yang “hak” bukannnya dengan istilah. Kebanyakkan dari kita sekarang ini, banyak menggunakan istilah bukannya fakta. Sembahyang yang kita buat tunduk bangun itu istilah, syahadah yang kita sebut itu istilah, bahasa istilah itu, budak kecil pun boleh kerjakan dan boleh melakukan. Tetapi mana faktanya, mana hakikat isi nya?, dan mana natijah jatuh duduknya perkara solat dan syahadah. Seumpama mana sebenar-benar nak ingatkan Allah sebelum solat? Sekadar sebut nama Allah, budak 2 tahun pun boleh sebut. Persoalannya di sini bagaimana nak ingatkan Allah di dalam solat dan di dalam berkalimah syahadah?

Bagaimana nak ingatkan Allah, ingatkan Allah itulah perkara asas, perkara pokok dan perkara tunjang yang hendak kita faktakan melalui kenyataan, yang bukan lagi melalui istilah bahasa sebutan bibir. Bagaimana nak ingatkan Allah, sedangkan Allah itu tidak boleh kita gambar-gambarkan, tidak boleh kita wajah-wajahkan, tidak boleh kita kenang-kenangkan, tidak boleh kita bayang-bayangkan.

Selagi boleh dibayang, diwajah, dikenang atau dirupa-rupakan, itu bukan Allah. Itu angan-angan atau syok sendiri kata orang sekarang. Allah bersifat “laisa kamislihi syaion” (Allah itu sifatnya bersalahan dari yang baharu). Jadi bagaimana nak ingatkan Allah? Cuba tuan-tuan jawab pertanyaan saya ini. Selaku orang yang sudah tua dan sudah beramal ibadah sembahyang selama lima atau enam puluh tahun, cuba perkhabarkan kepada kami sekalian sidang pembaca blog ini, bagaimana tuan ingat kepada Allah?

Jika tuan-tuan sendiri tidak boleh nak ingatkan Allah, bagaimana nak bersembahyang (solat). Sedangkan tujuan solat kita, adalah bertujuan untuk ingat kepada Allah Taala. Kiranya kita tidak boleh ingat kepada Allah, kepada siapa lagi yang hendak kita ingat di dalam solat? Ingat kepada Allah itu, bukan bermaksud untuk ingat kepada namaNya. Kita bukan disuruh ingat nama, kita disuruh ingat kepada tuan yang empunya nama. Mana tuan yang empunya nama? Tuan yang ampunya nama itu, adalah tuan yang tidak berhuruf dan tidak bersuara. Tidak berjisim atau tidak berjirim.

Bagaimana nak ingat kepada yang tidak berjirim atau berjisim dan bagaimana nak ingat kepada perkara yang tidak boleh disuarakan oleh bibir mulut atau kepada yang tidak boleh dihuruf-huruf kan dengan tulisan? Selagi ada bunyi, itu bukan Allah, selagi boleh dieja dengan huruf, itu bukan Allah, selagi boleh disebut dengan suara mulut, itu bukan Allah. Habis itu, mana Allah yang hendak kita ingat di ketika solat? Mana dan bagaimana?.

Jam menunjjukkan pukul 12:20 pagi tanggal 16hb Oktober saya gantung permasalahan ini, untuk sama-sama kita fikir. Saya buka permasalahan ini, untuk tuan-tuan perbincangkan dan terpulanglah kepada tuan-tuan untuk menjawabnya. Mari kita sama-sama memberi jawapan melalui blog ini, supaya ramai yang mendapat manafaat. Mari kita sama-sama kita lihat pandangan orang-orang di luar mengenai permasalahan ini dan mari kita sama-sama lihat komen mereka melalui laman web ini.