Catatan Popular

Sabtu, 7 April 2012

KU HIDUPKAN KITAB KASHF AL MAHJUB (AL HUJWIRI) : BAB 3 MENGENAI TASSAWUF


OLEH IMAM Al-HUJWIRI

BAB 3 MENGENAI TASAWUF : PEMULA PEMBICARAAN

Dalam membicarakan tentang konsep tasawuf pada dasarnya tidak banyak perbezaan pembicaraan dengan yang lain  yang dibawa oleh Al-Hujwiri di dalam Kashfu al-Mahjub.
Pendekatannya bermula dengan;
1)      Rujukan kepada ayat Al-Qur`an yang berkait dengan tasawuf
2)      Perbandingan tentang Rasulullah  dari segi kerohanian
3)      Model sahabat
4)      Asal usul istilah tasawuf
5)      Perbedaan antara sufi, mutasawwif dan mustaswif
6)      Tasawuf pada pandangan sufi
7)      Realiti praktikal tasawuf.
Al-Hujwiri bertolak membicarakan tentang tasawuf dari ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
`` Dan hamba-hamba Allah (Al-Rahman) ialah mereka yang berjalan dibumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan `selamat` dari perkara yang diingini.``
Ayat mencerminkan  bahawa orang-orang berkelakuan baik – termasuk sufi, ialah orang-orang beradab, dia di dalam tenteram dan mententeramkan yang lain.
Berhubung dengan Rasul Baginda adalah model kesempurnaan insan dari segi lahiri dan maknawi. Baginda adalah yang dicahayakan oleh Allah akan hatinya dengan iman. Baginda dibarat sebagai cahaya matahari dan bulan yang mencahayakan alam dan hati rohani.
Dari segi model sahabat, Al-Hujwiri mengambil pendekatan yang biasa diambil oleh pembicara-pembicara tasawuf yang meletakkan  Abu Bakar sebagai sahabat dan Khalifah pertama. Tapi Al-Hujwiri  meletakkan Abu Bakar yang nama lengkapnya Abdullah bin Abi Quhafah adalah Pemimpin Imam  bagi segenap orang yang menuruti jalan kerohanian.
Ketika kewafatan Rasulullah dan orang ramai sedang kebingungan dan Umar Ibn al-Khattab mengancam siapa yang mengatakan Nabi Muhammad telah wafat, tetapi Abu Bakar sebagai sahabat Rasulullah dengan hati yang bersih dan tenang melihat secara jelas dari mata rohani mengatakan, bahawa siapa yang memuja Muhammad sesungguguh Muhammad telah mati dan siapa yang memuja Allah sesungguhnya Allah hidup tidak mati, lantas beliau membaca ayat bermaksud;
``Dan tidak Muhammad melainkan seorang Rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya  rasul-rasul, jika demikian jika ia mati atau terbunuh, patutkah kamu berbalik (atau berpaling tadah menjadi kafir ?) Dan ingatlah siapa yang berbalik (berpaling tadah menjadi kafir), maka ia tidak mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. (Ali `Imran: 144).
Watak Abu Bakar mencerminkan kematangan dan hakikat kebenaran. Ia selayaknya menjadi sahabat utama Rasulullah yang digelar al-Siqqiq dan Imam dari segi kerohanian.
Contoh kematangannya, dalam menyampaikan derma untuk peperangan, beliau yang dikatakan memakai baju bulu pada masa itu menyerahkan semua hartanya dan apabila ditanya, apakah yang ditinggalkan  ? Dia menjawab, Allah dan RasulNya ! Ini mencerminkan keimanan dan ketinggigian jiwa seorang sahabat Rasulullah yang sejati.
Al-Hujwiri lebih  menekankan tasawuf dari segi istilah bererti bersih, tidak keruh  di samping menyentuh kaitannya bereti bulu, saf pertama, sifat dan sebagainya.
Al-Hujwiri membincangkan perbezaan antara sufi,  mutasawwif dan mustaswif
Sufi adalah mereka yang bersih jiwa -  zahir dan batin yang boleh meningkat kepada tahap wali.
Mutasawwif ialah yang dalam peringkat pencarian kepada tasawuf dan lebih rendah dari sufi,
Manakala mustaswif  ialah sufi palsu yang berpura-pura sufi bagi mencari kesempatan untuk mendapat pulangan dari segi harta, kekayaan dan kedudukan. Orang yang sedemikian hendaklah dicurigai.
Sebagaimana kitab-kitab tasawuf yang lain Al-Hujwiri juga membicarakan pendapat-pendapat sufi – sekadar beberapa pendapat tokoh dan tidak menyeluruh kerana terlampau banyak. Antaranya,
Dhu al-Nun al-Misri yang berkata:
`Orang sufi apabila bercakap ternyata kebenaran di dalam percakapannya.
Al-Junayd, Sufi mempunyai sifat-sifat bermutu tinggi mendekati Ilahi.
Ibn al-Jala, tasawuf pada hakikatnya tanpa bentuk.
Abu `Amrin al-Dimashqi,  Sufi melihat kejadian alam dengan mata kekurangan.
Al-Shibli, tasawuf dari  satu segi `shirk`, kerana sering  menjaga hati orang lain. Bagi sufi yang lain dari Ilahi tidak ada erti.
Muhammad bin `Ali bin al-Hasan bin `Ali bin Abi Talib: ``Tasawuf adalah kebaikan budi pekerti.``
Abu `Ali al-Murta`ish, ``Fikiran sufi selari dengan langkah kakinya.,``
Dan beberapa yang lain seperti al-Hushri, `Ali bin Bundar dan al-Muqri.
Pada penghujung pembicaraan Al-Hujwiri turun kepada realiti dan praktikal tasawuf secara muamalat, bahawa sebagaimana kata Abu Hafs* al-Haddad, Tasawuf keseluruhannya adalah adab.. Juga pendapat Abu al-Hasan al-Nuri, Tasawuf tidak bererti tanpa moral,
sebagaimana kata al-Murta`ish  ``Tasawuf adalah keelokan akhlak``.
Demikian pembicaraan Al-Hujwiri secara ringkas tentang tasawuf bagi memulakan pembicaraan tasawuf yang dikira memada untuk kefahaman. Kalau mau dibicarakan secara lengkap tentulah panjang. Pembicaraan adalah memada sebagai muqaddimah pembicaraan.


Tiada ulasan: