Catatan Popular

Isnin, 7 Januari 2013

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (12)


SOALAN:

Bagaimanakah pengajaran tasawuf oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani?

 JAWAPAN:

Dr. Abdullah Muhammad Zin berkata: Pengajaran tasawuf al-Jilani direkodkan di dalam beberapa buah bukunya seperti Futuh al-Ghayb, al-Ghunyah li Talibi Tariq al-Haqq dan al-Fath al-Rabbani. Maklumat tentang tasawuf beliau juga boleh didapati dalam buku al-Fuyudat al-Rabbaniyah fi al-Maathir wa al-Awrad al-Qadiriyyah susunan al-Hajj Ismail Ibn al-Sayyid Muhammad Sayid al-Qadiri, Bahjah al-Asrar karangan al-Shattanawfi dan dalam kitab-kitab manaqib yang lain.

Pengajaran tasawuf al-Jilani secara umumnya menepati dengan ajaran Islam, doktrinnya tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. Jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh sufi yang lain, beliau sangat strict berpegang dengan syariah. Al-Jilani berpendapat bahawa matlamat tasawuf adalah begitu mudah  iaitu mematuhi syariah dan menjadi hamba yang beriman dengan Allah s.w.t. Tidak ada hal yang lebih tinggi dari Ma’rifah al-Tauhid (al-Jilani t.th 36). Beliau dikenali sebagai sufi yang bermazhab Hanbali. Pendapat dan amalan beliau dalam tasawuf pada umumnya tidak berbeza atau bercanggah dengan ulama-ulama mazhab Hanbali yang lain. Sebagai contoh, konflik telah berlaku di zaman fuqaha (jurists) dengan para sufi pada zaman al-Jilani seperti yang disebut oleh Ibn al-Jawzi dalam kitabnya Tablis Iblis, (Ibn al-Jawzi t.th) tetapi al-Jilani tidak terlibat.

Al-Jilani berpendapat bahawa tasawuf hendaklah menyerahkan sepenuhnya kepada risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Beliau menolak dakwaan bahawa ilham boleh merubah hakikat-hakikat yang ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Beliau juga berpendapat amalan zuhud adalah digalakkan, tetapi dibolehkan dengan syarat ianya tidak mengabaikan tanggungjawab atau perintah-perintah syariah yang lain. Walau bagaimana tinggi kedudukan yang didapati oleh seseorang sufi, sama ada pangkat ‘badal’ atau ‘watad’ atau ‘qutub’ atau ‘ghawth’, dia tidak boleh sampai kepada pangkat Nabi dan tidak boleh mengubah apa yang dibawa oleh Nabi.

Pendapat-pendapat di atas boleh kita dapati dalam buku beliau al-Ghunyah li Talibi tariq al-Haqq. Di dalam buku ini al-Jilani menerangkan secara ringkas semua perkara yang penting dan asasi dalam syariah. Di bahagian akhir buku ini, beliau menulis satu bab yang menerangkan pendapatnya tentang tasawuf. Tasawuf kepada al-Jilani adalah merupakan dimensi dalaman (inner dimension) bagi agama Islam, ianya tidak dapat dipisahkan daripada syariah. Seorang sufi sekali gus yang pakar dalam bidang Feqah (Islamic jurisprudence) seperti yang disebut oleh al-Sha’rani (al-Sya’rani 1973:163).

Untuk mendapat satu gambaran yang lebih jelas tentang pengajaran tasawuf al-Jilani, di bawah ini diterjemahkan secara ringkas sebuah nasihat yang disampaikan oleh beliau kepada anaknya, Abd al-Razzaq.

 Isi kandungan nasihat itu adalah seperti berikut:

“Wahai anakku, aku menasihati kamu supaya bertakwa kepada Allah, mentaatiNya, melaksanakan syariah dan menjaga hudud Allah. (Menjaga hudud Allah bererti bahawa menjauhi semua larangan-larangan Allah, walaupun kecil) sebagaimana kamu mengetahui wahai anakku, bahawa tarikat kita (tarikat Qadariyyah) ini didirikan berasaskan al-Quran dan al-Sunnah, kesejahteraan jiwa, murah hati (generosity), terbuka (openhandedness), menahan dari kekerasan, menanggung kesulitan dan kemaafan (forgiveness).

Aku menasihatimu supaya mengamalkan faqr, iaitu menjaga kehormatan guru-guru. Menjaga hubungan baik dengan saudara-saudara (seagama), memberi nasihat kepada kanak-kanak dan orang-orang dewasa, menjauhi dari menimbulkan pergaduhan kecuali dalam perkara agama. Bahawa kamu tidak berhajat kepada orang yang sepertimu dan hakikat ghina (maknanya dari segi bahasa kaya) bahawa kamu bebas daripada orang-orang yang seperti kamu dan tasawuf itu mempunyai satu keadaan bukan untuk orang-orang yang mengamalkan il wa qal, apabila kamu melihat orang-orang kafir, maka janganlah kamu memulai dengan ilmu dan hendaklah menggunakan cara lembut kerana ilmu boleh meliarkannya dan cara lembut boleh menjinakkannya.

Kamu juga mengetahu wahai anakku bahawa tasawuf itu didirikan di atas lapan sifat (quality) iaitu: pertama, pemurah (sakha/generosity); kedua, redha (cheerful submission); ketiga, sabar (patience); keempat, isyarat; kelima, berjauhan (ghurbah/solitude); keenam, memakai pakaian dari bulu (lubs al-sufi); ketujuh, mengembara (siyahah/taravelling); kelapan faqr. Pemurah adalah sifat Nabi Ibrahim A.S, redha adalah sifat Nabi Ishak a.s, sabar adalah sifat Nabi Ayyub a.s, isyarat adalah sifat Nabi Zakaria a.s, perjauhan adalah sifat Nabi Yusuf a.s, memakai pakaian dari buku adalah sifat Nabi Yahya a.s, mengembara adalah sifat Nabi Isa a.s dan faqr adalah sifat Nabi Muhammad s.a.w.

Wahai anakku, hendaklah engkau mencampuri orang-orang kaya dengan secara terhormat dan mencampuri orang-orang miskin secara merendah diri. Kamu hendaklah mengamalkan sifat ikhlas iaitu kamu melupai makhluk dengan menumpukan sepenuhnya kepada Allah. Janganlah kamu menuduh Allah s.w.t dalam keadaan-keadaan tertentu, bertenanglah kepada Nya dalam semua perkara. Janganlah kamu berserah (bertawakal) kepada orang lain disebabkan adanya kekerabatan, jalinan kasih sayang dan persahabatan.

Menjadi kewajipan ke atas kamu juga supaya berkhidmat kepada orang-orang miskin dengan tiga perkara: pertama, rendah diri (tawaduk); kedua, berakhlak luhur; ketiga, kejerniham jiwa. Engkau juga dikehendaki membunuh nafsu kamu yang rendah supaya ianya dapat hidup. Makhluk yang hampir kepada Allah ialah orang yang paling sempurna akhlaknya. Dan amalan yang paling baik ialah menjaga sir supaya tidak berpaling kepada selain daripada Allah.

Menjadi kewajipan juga ke atas kamu, apabila kamu berada bersama orang-orang miskin ingat mengingati supaya bersabar dan hak. Adalah cukup untuk kamu di dunia ini melakukan dua perkara, iaitu berkawan dengan orang-orang miskin dan menghormati wali.

Sebagaimana yang engkau ketahui wahai anakku, bahawa orang fakir itu tidak memerlukan sesuatu apa pun melainkan Allah s.w.t. Dan seperti engkau ketahui juga bahawa bertindak ke atas orang-orang yang berkedudukkan rendah adalah suatu kelemahan dan bertindak ke atas orang yang mempunyai kedudukkan tinggi  adalah satu kemegahan. Faqr da tasawwuf adalah dua perkara yang serius, oleh itu, ianya tidak boleh dicampuri dengan perkara yang hina.

Ini adalah nasihat yang aku sampaikan kepada kamu dan orang-orang lain yang mendengarnya dari kalangan murid-murid. Didoakan semoga Allah s.w.t memberi taufik kepada kamu dan kita semua kerana telah menerangkannya. Diharapkan semoga Allah s.w.t menjadikan kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mengikut jejak langkah al-Salaf al-Saleh……”

Tiada ulasan: