Catatan Popular

Isnin, 7 Januari 2013

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (2)


SOALAN  

Apakah yang dimaksudkan dengan tasawuf dari segi bahasa? 

JAWAPAN           

Ulama berselisih pendapat dalam mentakrifkan tasawwuf sehingga melebihi 2000 takrif. Tetapi yang masyhur hanya beberapa takrif. Antaranya: 
Pakaian yang diambil dari bulu binatang صُوْفُ yang menjadi pakaian kebanyakan ahli tasawwuf. Inilah pendapat yang masyhur di kalangan ulama. 

Sempena nama seorang abid, iaitu Sufah bin Murrah, seorang penjaga Kaabah pada zaman jahiliah yang terkenal dengan kuat beribadat. 

Berasal daripada kalimah الصَّفُّ yang bermaksud saf sembahyang kerana ahli tasawwuf berada di saf hadapan ketika solat. 
Berasal daripada kalimah الصَفَاءُ yang melambangkan kesucian hati dan bersih daripada sifat-sifat mazmumah. Inilah pendapat Syeikh Sya’rawi dengan melihat kepada asal kata terbitan sufi ini. Syeikh Abd al-Qadir al-Jailani dalam kitabnya al-Ghunyah menyatakan bahawa perkataan sufi itu daripada kalimah bersih dan suci. 

Berasal daripada kalimah الصُّفَّةُ, iaitu tempat di utara masjid Nabi s.a.w yang menjadi tempat bermalam bagi orang asing seperti Muhajirin di kalangan sahabat yang zuhud lagi fakir. Mengikut riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah katanya: Aku pernah melihat 70 orang daripada kalangan ahli suffah yang tinggal di tempat tersebut. 
Berasal daripada kalimah سُوْفِيَا atau سُوْفُ iaitu bahasa Yunan yang bermaksud hikmah sebagaimana kenyataan al-Bairuni. Justeru, kalimah Failasuf daripada Fila Sufia yang bermaksud cintakan hikmah. 

Setelah melihat kepada pendapat ulama dan penghujahan mereka, kami dapati maksud tasawwuf itu daripada kain bulu lebih kuat berdasarkan kepada kaedah bahasa Arab. Tetapi dari segi hakikat dan matlamat kalimah tasawwuf lebih kepada makna (الصفاء) kerana kitab-kitab dan ajaran mereka sarat dengan saranan, nasihat dan panduan ke arah menyucikan hati. Justeru, inilah yang lebih sesuai berdasarkan kepada perubahan zaman, masa dan tempat yang amat nadir mereka memakai pakaian bulu mutaakhir ini. Sebaliknya majlis mereka, sama ada pengajaran, zikir dan lain-lain lagi menjurus kepada matlamat pembersihan jiwa dan hati.

Tiada ulasan: