Catatan Popular

Isnin, 18 September 2017

KITAB IMAM AL QURTHUBI : FASAL KEMATIAN BAB 3 : LARANGAN MENGHARAPKAN KEMATIAN.

Kitab Al Taskirat bi Awali al Mauta wal Umur al Akhirat"

Oleh Imam al Qurthubi Andalusia (Mahaguru Tafsir)

Telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Anas ra telah berkata " Rasulullah bersabda, Janganlah salah seorang dari kamu mengharapkan kematian kerana kesusahan yang sedang menimpa mu. Jika ia mengharuskan kamu berbuat demikian, hendaklah kamu berdoa - Ya Allah, peliharalah hidupku jika itu yang terbaik buatku dan matikanlah aku jika itu yang terbaik bagi ku ". Allahlah yang maha berkuasa atas tiap-tiap yang hidup dan yang dimatikannya, maka sewajarnya dipohon pertolongan dariNya bukan memprotes apa yang telah ditentukanNya. Dialah yang berkuasa keatas setiap jiwa dan memberi ujianNya pada kadar yang Dia sendiri ketahui dan sebagai makhluk ciptaanNya haruslah taat, tunduk dan patuh. Didalam hadis riwayat Muslim dan Ahmad, Anas ra menyatakan bahawa Rasulullah bersabda "Janganlah salah seorang dari kamu mengharap-harapkan kematian dan janganlah berdoa memintanya sebelum kematian datang kepadanya, sebab apabila salah seorang dari kamu mati, maka terputuslah amalannya. Sesorang yang beriman itu harus mampu membuat perisian amal dan kebajikan didalam umurnya yang masih tinggal itu ".

Diriwayatkan lagi oleh Bukhari dari Saad bin Ubaid, anak Abdul Rahman bin Azhar bahawa Rasulullah bersabda "Janganlah salah seorang dari kamu mengharapkan kematian, jika ia orang yang baik pastinya dapat menambah amalnya dan jika ia orang yang tidak baik, mudah-mudahan ia boleh bertaubat terlebih dahulu sebelum mati ". Kemudian diriwayatkan oleh al Bazari dari Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah bersabda " Janganlah kamu mengharap-harap kematian kerana huruhara (sakaratulmaut) itu sangat dahsyat. Adalah termasuk dari satu kebahagiaan jika kamu dipanjangkan umur dan ditambah dengan keinsafan dari Allah ".

Menurut para Ulama, kematian itu bukan sahaja merupakan kehilangan mutlaq atau kemusnahan malahan ia juga adalah peristiwa terputusnya hubungan antara Roh dan Jasad, terpisahnya antara jiwa dan raga, menganti keadaan dan permindahan dari satu alam ke alam yang lain. Ia merupakan malapetaka atau musibah yang sangat besar, malah Allah telah berfirman didalam surah al Maa'idah ayat 106 yang mafhumnya "...Lalu kamu ditimpa musibah kematian." Sememangnya kematian itu merupakan malapetaka dan musibah yang sangat besar tetapi jika menurut para Ulama ASWJ pula, musibah dan malapetaka yang sangat besar itu ialah "lupa akan kematian" atau tidak mahu mengingati akan kematian malahan sesetengah manusia beranggapan ia adalah pekara yang membawa "malang" jika bercerita berkenaannya. Mereka lupa untuk beramal soleh untuk menghadapinya. Sesungguhnya didalam kematian itu terdapat pengajaran bagi mereka yang berfikir dan mengambil iktibar daripadanya. Tersebut didalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Baihaqi dari Abdullah bin Salamah bin Aslam (perawi yang dianggap dhaif oleh Daruquthni) bahawa Nabi telah bersabda "Seandainya binatang itu mengatahui akan kematian seperti yang telah kamu ketahui, nescaya kamu tidak akan dapat memakan binatang yang gemuk daripadanya". Lihatlah betapa binatang juga akan amat bersusah hati jika ia mengatahui hakikat kematian hingga tiada lagi selera untuk ia makan. Begitulah kehebatan gongcangnya jiwa yang digambarkan didalam hadis diatas itu.

Telah diceritakan bahawa ada seorang dusun yang sedang berjalan menunggang seekor unta. Tiba-tiba untanya jatuh dan tidak bernyawa lagi. Ia lalu turun dan berpusing mengelilingi mayat untanya itu sambil berfikir apa yang telah terjadi. Ia kemudian bertanya kepada untanya " Wahai unta, kenapakah kamu tidak mahu berdiri lagi ?...lihat, seluruh tubuhmu masih kuat dan tiada kesan luka, apa terjadi kepada kamu ?.. apa yang menyebabkan kamu jadi begini ?... Apa yang menyebabkan kamu tidak boleh lagi bergerak langsung ?.. Apa yang boleh membuatkan kamu bangun semula ?..." Setelah sekian lama termenung lalu ia pun berlalu meninggalkan saja unta itu sambil terus memikirkan apa yang telah terjadi. Sebenarnya pemuda dusun itu tidak mengerti apa itu "Kematian". Seperti juga kisah Nabi Adam dan Isterinya Hawa yang diceritakan didalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh at Tarmidzi al Hakim @ Abu Abdullah didalam kitabnya 'Nawadir al Ushul'...Aku mendengar dari Qutaibah bin Saad dan Khathib bin Salim, dari Abdul Aziz al Majisun dari Muhammad ibnu Munkadir ia berkata "Putra Adam as telah meninggal dunia kemudian diberitahunya hal itu kepada isterinya Hawa as 'Anak mu mati' Hawa as bertanya 'Apa itu mati ?' Adam as menjawab ' Orang mati itu tidak boleh makan, tidak boleh minum, tidak boleh berdiri dan tidak boleh duduk '. Mendengar penjelasan itu Hawa as pun meraung dan menangis, Adam as berkata ' Sebagai ibu, kamu dan anak perampuan mu wajar menangis seperti itu tetapi tidak bagi aku dan anak lelaki ku".

Bagi menjelaskan akan maksud kalimat "Ia masih boleh bertaubat terlebih dahulu" yang telah dinyatakan didalam hadis diatas tadi iaitu dalam mencari redha Allah, satu-satunya cara ialah dengan bertaubat dan berazam tidak mengulangi dosa itu lagi. Demikianlah yang dijelaskan oleh para cerdekpandai dan Jauhari Islam silam. Didalam al Quran Allah telah menegur sikap orang-orang kafir dengan firmannya didalam surah Fuhshilat ayat 24 yang mafhumnya ;

"Jika mereka mengemukakan alasan-alasan, maka tidaklah mereka termasuk golongan yang diterima alasan-alasannya".

Berkata Sahal bin Abdullah at Tastari " Salah seorang diantara kamu tidak akan mengharap-harap kematian kecuali 3 jenis manusia sahaja, iaitu pertama orang yang tidak mengetahui apa yang akan terjadi sesudah mati, kedua orang yang sengaja lari dari takdir Allah swt dan ketiga ialah orang yang sangat rindu untuk bertemu dengan Allah Azza wa Jalla ". Maka diceritakan pula oleh Abu Nu'aim dalam kitabnya "al Hilyat (iv/278), Bahawa suatu ketika telah hadir Malaikat Izraail as kepada Nabi Ibrahim as kekasih Allah yang maha pemurah, untuk dicabut nyawanya. Nabi Ibrahim as pun berkata "Hai malaikat maut, pernahkah engkau melihat ada kekasih mencabut nyawa kekasihnya sendiri ?" Malaikat Izraail as pun naik kelangit untuk bertemu dengan Tuhannya bertanyakan soalan itu, Maka Allah swt berfirman menyuruh Izraail bertanya kepada Nabi Ibrahim as "Apakah kamu pernah melihat seorang kekasih yang tidak suka bertemu dengan kekasihnya ?". Izraail as pun turun semula bertemu dengan Nabi Ibrahim as untuk menyampaikan firman Allah itu, Nabi Ibrahim as lalu berkata "Cabutlah nyawa ku sekarang juga ?". Malaikat Izraail as pun menjalankan tugasnya dengan penuh rasa hormat sekali kerana menyedari ketinggian "Mertabat Kekasih Allah" itu.

Abu Darda' berkata " Setiap orang mukmin lebih baik memilih kematian. Sesiapa yang tidak percaya kepada ku... sesungguhnya Allah telah berfirman";

"Janganlah sekali-kali orang kafir menyangka bahawa pemberian tangguh (kematian) Kami kepada mereka adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambah dosa mereka". (surah Ali Imran ayat 187)

Seorang abadi bernama Hayyan al Aswad' berkata " Kematian itu adalah jembatan yang menghubungkan pertemuan dua kekasih "

Huraian Penulis :

Daripada beberapa keterangan diatas tadi dapatlah kita fahamkan bahawa kematian itu merupakan keadaan yang sangat hurahara dan dasyat sekali kepada orang-orang yang tidak beramal soleh dan selalu berbuat dosa. Terutama mereka-mereka yang tidak beriman langsung kepada Allah dan RasulNya. Tetapi ia tidak menakutkan langsung kepada mereka yang dekat dan menjadi Kekasih Allah kerana mereka itu taat dan redha atas ketentuan yang telah ditetapkan keatas diri mereka. Kekuatan kepercayaan kepada Khada dan Khadar Allah amat kuat didalam hati dan sanubari mereka yang perlu dicontohi oleh seluruh umat Islam. Keutamaan kepada menghargai waktu yang masih tinggal pada kita haruslah dititik beratkan dengan mengerjakan amalan soleh untuk menghadapi kematian dan Alam Akhirat yang kekal. Saban waktu kita dipesan untuk mengumpulkan bekalan amalan takwa untuk alam yang kekal abadi itu, tetapi adakah kita benar-benar faham akan pesanan mereka dan berusha seperti yang telah mereka sarankan itu ? Maka kita seharusnya sentiasa mengambil iktibar dari keterangan ini dan berusha seperti yang Allah mahukan iaitu "Untuk apa kamu diciptakan ? " ...

Tiada ulasan: