Catatan Popular

Khamis, 15 Ogos 2024

Kisah Biawak Pasir yang beriman

Rasulullah SAW sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi daripada Bani Sulaim kepada Rasulullah SAW dan bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya dan bercadang untuk membakar haiwan tersebut untuk dimakan.

Kelihatan sekumpulan manusia mengelilingi seorang lelaki dan pada waktu itu, dia tidak mengetahui bahawa lelaki tersebut adalah Rasulullah SAW. Setelah itu, Arab Badwi tersebut mendatangi sekumpulan manusia itu dan mengungkapkan kata-kata yang kesat kepada Rasulullah SAW apabila mengetahui bahawa lelaki tersebut adalah Rasulullah SAW yang menyebabkan saidina Umar bin al-Khattab marah. Kemudian Rasulullah SAW menenangkan umar, lalu Nabi SAW bertanya kepada Arab Badwi tersebut mengapa engkau berkata sedemikian. Arab Badwi itu menjawab bahawa dia tidak akan beriman sehingga biawak yang ada bersamanya turut beriman.

Apabila Nabi SAW mendengar kata-kata Arab Badwi tersebut, maka Rasulullah SAW memanggil memanggil biawak itu dan kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir. Biawak itu berkata bahawa Allah adalah Tuhan bagi sekalian alam dan Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.

Setelah mendengar kata-kata biawak itu, Arab Badwi itu lantas berkata:

“Demi Allah! Aku datang kepada engkau dan tidak ada di atas dunia ini orang yang paling aku benci melainkan engkau, tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku”.

Kemudian dia mengucapkan kalimah syahadah di hadapan para sahabat yang berada di situ.

Tiada ulasan: