Mungkin saudara ingin benar hendak tahu berkenaan wajah yang mana cahaya Allah itu dikaitkan dengan langit dan bumi, atau pun wajah yang mana Dia itu sendiri cahaya langit dan bumi. Inilah yang hendak kita bincangkan sekarang.
Sekarang saudara telah tahu bahawa Allah itu cahaya, dan yang lain dari Dia tidak ada cahaya. Setiap cahaya adalah Dia, dan juga cahaya keseluruhan adalah Dia juga. - Oleh kerana cahaya itu bermaksud sesuatu yang menzhohirkan atau yang menampakkan yang lain; atau
- lebih tinggi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya dan untuknya yang lain dizhohirkan
- bahkan lebih tinggi dari itu lagi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya untuk dirinya dan dirinya yang lain terzhohir.
Sekarang saudara tahu juga bahawa apa sahaja digelar cahaya yang sebenarnya ialah sesuatu yang dengannya, untuknya, dan diri yang lain itu terzhohir atau ternampak. Cahaya ialah yang bercahaya dengan sendirinya. Cahaya itu timbul dalam dirinya, dari dirinya dan untuk dirinya. Cahaya tidak datang dari sumber yang lain. Cahaya yang sedemikian itu tidak lain tidak bukan hanya Allah sahaja. Saudara juga telah mengetahui bahawa langit dengan bumi ini dipenuhi dengan cahaya, yang bersangkutan dua peringkat cahaya, iaitu pandangan mata dan pandangan akal.
Cahaya yang pertama itu ialah apa yang kita lihat di langit seperti matahari, bulan dan bintang; dan apa yang kita lihat di bumi, seperti sinaran cahaya yang melimpahi seluruh muka bumi, yang menampakkan semua warna, bentuk, binatang, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda lain dalam semua keadaan; dan jika tiada cahaya ini, maka tidaklah kita nampak warna, atau tidaklah ada warna. Tiap-tiap bentuk dan saiz (besar atau kecil) yang terlihat oleh kita adalah diketahui oleh warna, dan tidak mungkin melihatnya tanpa warna.
Berkenaan cahaya Akal, maka Alam Tinggi itu dipenuhi oleh cahaya itu, iaitu seperti kejadian malaikat; dan Alam Rendah ini pun dipenuhi oleh cahaya itu iaitu seperti hidup (nyawa) binatang dan hidup manusia. Susunan atau keadaan Alam Rendah ini dizhohirkan dengan cahaya malaikat. Inilah susunan atau keadaan yang disebut oleh Allah;
- "Dialah yang membentuk kamu dari tanah, dan menampakkan kamu di permukaan bumi, agar Dia menjadikan kamu sebagai khalifah di atas muka bumi" dan
- "menjadikan kamu khalifah di muka bumi', dan
- "Sesungguhnya aku adalah khalifah di muka bumi". (Al-Quran)
Oleh yang demikian, saudara lihat bahawa seluruh alam ini dipenuhi oleh cahaya pandangan zhohir dan cahaya Aqal Batin, dan juga cahaya-cahaya tingkat rendah ini dipancarkan atau dikeluarkan kepada satu dari yang lain. Umpama cahaya yang keluar dan terbit dari sebuah lampu; sementara lampu itu sendiri ialah Cahaya Kenabian yang tinggi. Ruh-ruh Kenabian itu dinyalakan dari ruh-ruh yang tinggi, seperti lampu dinyalakan api, dan ruh-ruh yang tinggi ini dinyalakan kepada satu dari yang lain.
Susunan ini adalah berperingkat-peringkat ke atas. Semua ini naik naik ke atas sampai ke cahaya bagi segala cahaya. Sumber dan punca segala cahaya iaitu Allah. Semua cahaya-cahaya lain adalah pinjaman dari Allah dan Dialah sahaja cahaya sebenarnya. Segalanya datang dari cahayaNya, bahkan Dialah segala-galanya. Dialah yang sebenarnya ada. Tiada cahaya kecuali Dia. Cahaya yang lain hanya cahaya wajah yang menyertaiNya, bukan terbit dari diri mereka sendiri.. Oleh yang demikian, wajah dan muka segala sesuatu menghadap kepada Dia dan menghala kepadaNya. Firman Allah;
"Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka, di situ ada Wajah Allah". (Al-Quran).
Tiada Tuhan selain Dia, kerana perkataan "TUHAN" itu menunjukkan sesuatu yang kepadaNya semua muka menghadap dalam ibadat dan dalam penyaksian Dialah Tuhan. Saya (Imam Ghazali) maksudkan iaitu muka atau wajah manusia iaitu hati manusia, kerana hati itulah cahaya dan ruh. Bahkan sebagaimana;
"TIADA YANG DISEMBAH MELAINKAN DIA",
maka begitulah juga ;
"TIADA YANG MENYEMBAH SELAIN DIA",
kerana perkataan "DIA" itu membawa maksud sesuatu yang boleh ditunjukki. Tetapi dalam tiap-tiap perkara dan sebarang keadaan dan hal, kita boleh menunjuk sahaja. Setiap kali saudara menunjuk sesuatu, tunjukkan itu pada hakikatnya adalah kepada Dia, meskipun saudara tidak sedar oleh kerana kejahilan saudara tentang hakikat bagi segala hakikat, yang mana telah kita bincangkan dulu.
Seseorang itu tidak mungkin menunjuk cahaya matahari, tetapi boleh menunjuk matahari. Maka begitu jugalah halnya dengan perhubungan segala sesuatu (makhluk) dengan Allah. Perumpamaan perhubungan makhluk dengan Allah adalah seperti perhubungan cahaya matahari dengan matahari.
Oleh itu, ucapan "TIADA TUHAN SELAIN ALLAH" adalah ucapan tauhid kebanyakan orang.
Tetapi ucapan tauhid sedikit orang(yang mempunyai makrifat) ialah "TIDAK ADA DIA MELAINKAN DIA".
Yang pertama untuk orang awam, dan yang kedua itu untuk "orang khusus". Yang kedua itu lebih benar, lebih tepat dan lebih sesuai. sudah sewajarnyalah orang yang mengucap demikian itu memasuki Alam Keesaan (Uluhiyah) dan Ketunggalan yang Maha suci dan Mutlak; Kerajaan Yang Maha Esa dan Maha Tunggal, dan inilah peringkat atau kedudukan terkahir kenaikkan manusia. Tidak ada tingkatan yang lebih tinggi dari itu lagi; kerana "NAIK" itu melibatkan berbilang-bilang (banyak) seperti melibatkan dua tingkatan naik "DARI" dan naik "KE". Apabila berbilang-bilang telah lenyap, maka terdirilah Keesaan. Perbandingan tidak ada, semua isyarat atau pengucapan dari "SINI" ke "SANA" pun tidak ada. Tidak ada lagi "TINGGI" atau "DALAM". Tidak ada "ATAS" atau "BAWAH".
Dalam tingkatan tersebut, naik ke atas lagi bagi ruh, tidak mungkin, kerana tidak ada lebih tinggi daripada yang paling tinggi. Tidak ada berbilang-bilang (banyak) di samping Esa dan Tunggal. Di sini berbilang-berbilang telah habis. Tidak ada kenaikkan (Mikraj) lagi bagi jiwa dan ruh. Jika ada pun, ia adalah "pertukaran di sini".
Maka pertukaran itu ialah "Turun ke langit yang paling rendah"; sinaran dari atas ke bawah, kerana yang paling tinggi itu, meskipun tidak ada lebih tinggi lagi dari takat itu, tetapi ada yang rendah. Inilah matlamat (tempat paling tinggi) dari segala matlamat. Tempat paling tinggi ialah matlamat terakhir yang dicari oleh ruh, yang diketahui oleh mereka yang tahu dan kenal, tetapi dinafikan oleh mereka yang jahil. Ini termasuk dalm bidang Ilmu Tersembunyi yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali orang yang mempunyai makrifat. Sekiranya mereka memperkatakan ilmu ini, ia akan dinafikan oleh orang-orang yang Jahil tentang Allah.
Tidak ada salahnya orang-orang yang mempunyai makrifat ini menyebut; "Turun ke langit yang paling rendah" iaitu turunnya seorang malaikat; meskipun seorang daripada mereka itu telah disangkakan membuat penerangan yag kurang wajar. Dia tenggelam dalam Keesaan Allah, dan berkata, bahawa Allah telah "turun ke langit paling rendah" bahawa penurunan ini adalah penurunannya, diibaratkan kepada cara-cara keadaan Alam zhohir, maka digunakan perumpamaan tersebut. Dia (orang yang tenggelam dalm Keesaan Allah itu) itulah yang dimaksudkan oleh sabda Nabi Muhammad SAW.;
"Aku menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar; matanya yang dengannya dia melihat; lidahnya yang dengannya dia bercakap".
Jika Nabi itu menjadi telinga, mata dan lidah Allah, maka Allah sahajalah yang mendengar, melihat, bercakap. Dialah juga yang dimaksudkan dengan dengan firmanNya kepada Nabi Musa;
"Aku sakit, tetapi engkau tidak mengunjungi Aku".
Menurut ini, pergerakan badan orang-orang yang betul-betul beriman dengan Kesaan Allah itu adalah dari langit yang paling rendah itu, dan Aqalnya dari langit yang lebih tinggi dari langit yang kedua itu. Dari langit Aqal itu dia naik ke atas ke sempadan di mana makhluk tidak boleh naik lagi, iaitu Kerajaan Ketuhanan Yang Maha Esa, tujuh lapis dan selepas itu "Dia duduk di atas singgahsana" tauhid dan situ "Memerintah" seluruh lapisan-lapisan langit itu.
Orang telah tamat pengembaraan sedemikian rupa, maka ayat ini boleh dipakai kepada dia;
"Allah menjadikan Adam menurut bayanganNya"
Apabila ayat ini direnungi dan difikirkan secara mendalam, maka diketahulah bahawa maksudnya adalah serupa dengan kata-kata;
"Akulah Yang Haq(Tuhan)".
"Maha suci Aku"
atau sabda Nabi SAW. bahawa Allah berfirman;
"Aku sakit, tetapi engkau tidak mengunjungi Aku" dan
"Akulah telinganya, matanya dan lidahnya".
Eloklah sekarang kita hentikan perkara ini kerana saya(Imam Ghazali) fikir saudara belum ada mendengar lebih dari apa yang sampaikan ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan