Catatan Popular

Ahad, 21 Julai 2019

SIRRUL ASRAR : BAB 19 PUASA SYARIAT DAN PUASA KEROHANIAN


Puasa syariat adalah menahan diri daripada makan, minum
dan bersetubuh daripada terbit fajar hinggalah terbenam
matahari .

Puasa kerohanian selain yang demikian ditambah lagi
memelihara pancaindera dan fikiran daripada perkara-
perkara yang keji. Ia adalah melepaskan segala yang tidak
sesuai, zahir dan batin. Rosak sedikit sahaja niat mengenainya
rosaklah puasa rohani.

Puasa syariat terikat dengan masa sementara puasa rohani pula
berkekalan di dalam kehidupan sementara ini dan kehidupan
abadi di akhirat. Inilah puasa yang sebenar.

Nabi s.a.w bersabda,            

“Ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa
daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga”.

Puasa syariat ada waktu berbuka tetapi puasa rohani berjalan
terus walaupun matahari sudah terbenam, walaupun mulut sudah
merasakan makanan. Mereka adalah yang menjaga pancaindera
dan pemikiran bebas daripada kejahatan dan yang menyakitkan
orang lain. Untuk itu Allah telah berjanji,

“Puasa adalah amalan untuk-Ku dan Aku yang
membalasnya” .

Mengenai dua jenis puasa itu Nabi s.a.w bersabda,

“Orang yang berpuasa mendapat dua kesukaan. Pertama
bila dia berbuka dan kedua bila dia melihat” .

Orang yang mengenali zahir agama mengatakan kesukaan yang
pertama itu ialah kesukaan ketika berbuka puasa dan ‘kesukaan
apabila mereka melihat’ itu ialah melihat anak bulan Syawal
menandakan hari raya. Orang yang mengetahui makna batin

bagi puasa mengatakan kesukaan berbuka puasa ialah apabila
seseorang yang beriman itu masuk syurga dan menikmati
balasan di dalamnya, dan kesukaan yang lebih lagi ialah ‘apabila
melihat’, yang bermaksud apabila orang yang beriman melihat
Allah dengan mata rahsia bagi hati.

Lebih berharga daripada dua jenis puasa itu ialah puasa yang
sebenarnya ( puasa hakikat ),

iaitu mengelakkan hati daripada menyembah sesuatu yang
lain dari Zat Allah .

Ia dilakukan dengan mata hati buta terhadap semua kewujudan,
walaupun di dalam alam rahsia di luar daripada alam dunia ini,
melainkan kecintaan kepada Allah, kerana walaupun Allah
menjadikan segala-galanya untuk manusia, Dia jadikan manusia
untuk-Nya, dan Dia berfirman:

“Insan adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya” .

Rahsia itu ialah cahaya daripada cahaya Allah Yang Maha
Suci. Ia adalah pusat atau jantung hati, dijadikan daripada
sejenis jisim yang amat seni. Ia adalah roh yang mengetahui
segala rahsia-rahsia yang hak. Ia adalah hubungan rahsia di
antara yang dicipta dengan Pencipta. Rahsia itu tidak cenderung
dan tidak mencintai sesuatu yang lain daripada Allah.

Tidak ada yang berharga untuk diingini, tiada yang dikasihi di
dalam dunia ini dan di akhirat, melainkan Allah. Jika satu zarah
sahaja daripada sesuatu memasuki hati selain kecintaan kepada
Allah, maka batallah puasa hakikat. Seseorang perlu
memperbaharuinya, menghadapkan segala kehendak dan niat
kembali kepada kecintaan-Nya, di sini dan di akhirat. Firman
Allah,

“Puasa adalah untuk-Ku dan hanya Aku yang
membalasnya”.

Tiada ulasan: