Mungkin saudara susah hendak faham dengan penerangan yang tersebut dahulu itu. Maka saudara rasa payah hendak faham. Maka di sini saya akan memberikan penerangan yang lebih mudah, agar saudara dapat memahaminya.
Maksud "Allah itu cahaya langit dan bumi " boleh difahami jika dikiaskan kepada cahaya biasa yang nampak itu. Apabila saudara melihat warna tumbuhan-tumbuhan disiang hari- katalah warna hijau - saudara tentu menyangka yang saudara melihat warna, dan mungkin saudara mengatakan saudara hanya melihat warna, tidak ada yang lain lagi. Seolah-olah saudara mengatakan "Saya tidak nampak yang lain kecuali warna hijau ". Memang banyak orang berdegil mengatakan demikian. Kata mereka perkataan " cahaya " itu tidak ada ertinya, hanya kosong, kata mereka apa yang nampak hanyalah warna. Dengan demikian, mereka menafikan adanya cahaya meskipun cahaya itulah yang paling terang dan nyata sekali terzohir daripada benda-benda lain. Kenapa tidak? Kerana dengan adanya cahaya itulah benda-benda itu terzohir atau ternampak. Kerana cahaya itu sendiri boleh kelihatan dan membuat benda-benda lain kelihatan, sebagaimana yang kita bincangkan dulu. Tetapi apabila matahari terbenam dan lampu langit lenyap dari pandangan, dan bayangan atau gelap malam datang, maka barulah orang-orang ini sedar adanya perbezaan antara bayangan atau gelap dengan cahaya. Maka barulah mereka meyakini bahawa cahaya itu memang ada disebalik semua warna dan dilihat bersama warna. Bolehlah dikatakan bahawa oleh kerana paduan persatuan cahaya dengan warna itu, hinggakan cahaya itu tidak disedari ada di situ, mungkin kerana terlampau terang dan nyata inilah menyebabkan cahaya kelihatan. Mungkin kerana terlampau tarang dan nyata inilah menyebabkan cahaya tidak kelihatan, kerana sesuatu yang melampaui dari sempadan hadnya akan masuk ke wilayah yang berlawanan dengannya.
Jika penerangan ini telah jelas kepada saudara, maka saudara hendaklah tahu selanjutnya iaitu mereka yang dikurnai dengan pandangan sedemikian ini akan melihat Allah di samping sesuatu benda itu. Mungkin ada yang berkata;
" Tidak saya lihat sesuatu pun melainkan saya lihat Allah dahulu ".
Kerana ada di antara mereka yang melihat benda-benda melalui Allah dan dalam Allah. Ada pula yang melihat sesuatu benda itu dulu dan kemudian nampak Allah, dalam dan melalui benda-benda itu.
Kepada kelas ( golongan ) yang pertama itu, Al-Quran ada menerangkan;
" Tidakkah cukup bahawa Tuhanmu melihat semuanya?".
Kepada kelas yang kedua ini dengan ayat;
"Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda kami dalam seluruh alam dan diri mereka sendiri ".
Bagi kelas ( golongan ) pertama, mereka melihat Allah terus; dan yang kedua melihat Allah melalui perbuatan-perbuatan atau kerja-kerjaNya(Allah). Yang pertama itu golongan Aulia Allah; dan yang kedua itu golongan orang-orang Arif " yang telah yakin dalam ilmunya." Selain dari dua golongan tersebut, tidak lain hanya orang-orang yang lalai; di muka mereka ada hijab (tabir).
Oleh yang demikian saudara mengetahui sekarang bahawa dengan adanya cahaya itu membolehkan mata kasar melihat dan nampak dan Allah itu membolehkan mata batin manusia melihat dan nampak kerana Allah itu ada bersama segala sesuatu setiap ketika dan Dialah yang menampakkan segalanya itu. Meskipun ada persamaan antara kedua itu, namun perbezaannya ada juga. Cahaya biasa itu boleh hilang apabila matahari terbenam, dan datanglah gelap yang menjadi hijab. Tetapi Cahaya Ketuhanan itu tidak boleh hilang. Cahaya itu mesti ada untuk membolehkan penglihatan. Mataharinya tidak pernah terbenam. Ia kekal selamanya dengan semua perkara.
Oleh itu cara membezakan (sebagai cara untuk membezakan wujudnya Allah dengan perbuatanNya) tidaklah berupaya kita. Jika rupa Allah itu boleh dilihat, maka akan hancurlah langit dan bumi ini; dan oleh itu, melalui pembezaan, akan menerbitkan kesan dalam fikiran, yang serentak memaksa pengenalan kepada sebab yang dengannya semua perkara ternampak zohir. Tetapi sebagaimana yang kita lihat, semua kejadian tetap sama dan tidak berubah-ubah pada pandangan kita kerana Ketunggalan yang menjadikan mereka itu. Kerana "segala sesuatu memuji Dia" (Al-Quran).
Ini bererti bukan setengah-setengah perkara tetapi adalah segala-galanya, dan bukan kadang-kadang tetapi adalah sentiasa. Dengan itu, pembezaan ini tidak timbul, dan jalan menuju melihat rupa Allah itu terhalang. Kerana jalan yang paling terang menuju mengenal benda-benda ialah melalui pertentangan atau lawannya. Benda-benda yang tidak ada lawan ( OPPOSITEE ) atau sebaliknya, dan keadaanya sentiasa serupa apabila kita melihatnya, akan menyebabkan besar kemungkinan pandangan kita disilapkannya. Dalam hal ini, gelap atau tidak terang itu adalah akibat dari terlalu terang dan nyatanya, dan dikelirukan atau disilapkan oleh sinarannya yang terang itu. Maha Suci dan Agunglah Allah yang melindungkan dirinya dari makhlukNya dengan kerana terangNya itu, dan terhijab dari pandangan makhluk melalui SinarNya sendirinya yang terang benderang itu.
Mungkin juga keterangan ini tidak difahami oleh setengah-setengah orang yang kurang pintar, dan mereka yang membaca keterangan saya berkenaan " Allah bersama dengan segala sesuatu", kerana cahaya ini ada bersama segala sesuatu. Mungkin mereka memahami bahawa Allah itu ada setiap " tempat ". Maha Suci dan Maha Tinggi Allah itu dikaitkan dengan " tempat ". Tidak usahlah kita menyangka yang tidak terjangkau oleh akal. Saya tegaskan bahawa Allah itu terawal atau terdahulu dari segala-galanya, dan diluar had sempadan jangkauan pemikiran makhluk. Dia menzohirkan segala-segalanya. Bahawa "Yang menzohirkan " itu tidak boleh dipisahkan diri "Yang menzohirkan", menurut segi pandangan si pemikir. Inilah apa yang kita maksudkan bahawa Allah bersama dengan segala sesuatu.
Saudara juga tentu tahu selanjutnya bahawa "Yang menzohirkan" itu adalah terdahulu dan terlampau tinggi dari jangkauan "Yang menzohirkan", meskipun dia "bersama" nya. Dia "bersama" nya dari satu aspek (wajah) dan "terlampau jangkauan" nya dari aspek yang lainnya.
Janganlah dianggap di sini ada pertentangan atau perlawanan (CONTRADICTION). Atau, fikiranlah bagaimana dalam Alam deria (yang mana tempat yang paling tinggi ilmu kita boleh maju ke atas) gerak tangan "bersama " dengan gerak banyangnya; namun begitu gerak tangan itu terdahulu dari banyangnya itu juga.
Barangsiapa yang tidak cukup pintar untuk menyikirkan ini, maka hendaklah ia meninggalkan penyelidikan tentang perkara ini, kerana:-
"Bagi setiap ilmu ada ahlinya; dan setiap orang dimudahkan untuk mendapat apa yang diuntukkan baginya. "
1 ulasan:
assalamu'alaikum
sebelumnya saya (muhammad lailu ramadhona) ingin mengucapkan terimakasih banyak udah membuat blog ini dan saya minta izin untuk mngutip isi blog saudara.
wassalamu'alaikum.
Catat Ulasan