Catatan Popular

Rabu, 24 Mac 2021

KITAB NAJMUL HUDA Fasal 1 Kalimah Syahadat

Syeikh Muhammad Yusuf bin Abdul Karim Hindi

“Pelbagai pujian itu hanya untuk Allah Taala sahaja yang memberi petunjuk kepada kami jalan Agama ini dan kami tidak akan mendapat petunjuk jika tidak ditunjukkan kepada kami oleh Allah. Selawat dan salam itu ke atas Saiyyidina Muhammad SAW, keluarganya, para sahabat. nya dan orang-orang yang mengikutnya”.

Sebagai pembuka tirai Risalah ini, kami memulakannya dengan perbicaraan dua kalimah syahadah, iaitu:

“Aku naik saksi (pada awal permulaan wujud) bahawa tiada yang lain disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah (itu Tuhan yang mengadakan sekalian alam)”

“Dan aku naik saksi (pada awal permulaan sifat) bahawa Nabi Muhammad SAW sebenar-benar hambaNya dan pesuruhNya (Sayyid al-‘Arab wal ‘Ajam | Penghulu segala Arab dan Ajam) . “

Setiap kejadian daripada alam ini sama ada jamadat (benda keras yang tidak bernyawa), nabatat (tumbuh-tumbuhan) dan hayawanat (binatang) kesemuanya itu pada awal permulaan dijadikan adalah dengan mengucap dua kalimah syahadat sehingga hari kiamat tanpa Ma’rifat sesuatu apa pun.

Demikian juga apabila dijadikan empat anasir pun mengucap pada awal permulaan kalam tatkala beriman kepada Tuhan dan kepada Rasul sehingga sampai sekarang ini. Sebab itulah datang perintah (amar) daripada Tuhan seru sekalian alam, diarahkan supaya mengucap dua kalimah syahadat pada rukun Islam yang pertama agar memperoleh haluan Islam serta tetap teguh kemudi di dalam hati mereka.

Ini bukan bererti menyempurnakan tanpa menghiraukan pengambilan Mafhum kepada kalimah itu hanya semata-mata untuk menyempurnakan rukun sahaja. Jika demikian jadinya,sudah tentu mereka akan hanyut (tergelincir) daripada haluan dan arah tuju Islam sampai patah kemudi di hati mereka sehingga kalimah itu menjadi permainan kepada kebanyakan orang-orang Islam pada zaman ini.

Ketahuilah bahawa kalimah syahadat yang pertama itu mengandungi Iman, Islam, Tauhid dan Ma’rifat.

Sedang kalimah syahadat yang kedua itu mengandungi enam rukun Iman.

Oleh itu, hendaklah dihimpunkan kedua-dua kalimah tersebut sebagai mana yang terkandung dalam kedua-dua kalimah itu dengan pengertian dan pemahaman yang sempurna, luar dan dalamnya.

Ketahuilah bahawa pengertian Iman itu ialah ia mengenal di dalam hati sama seperti yang disembah dengan sebenar-benarnya. Jika tidak ada pengetahuan sedemikian, maka dia akan menjadi orang yang dusta dan pembohong kerana mengatakan naik saksi pada awal permulaan wujud itu.

Sebab itu bagi ucapan seperti ini, jika percaya kepada yang disembah dengan sebenar-benarnya tanpa ada pengetahuan Tauhid padanya, maka itu dinama kan dusta bohong juga, atau dinamakan Munafik, Jika terpakai di sisi Allah Taala hanya dengan mengucapkan Dua Kalimah Syahadat itu sahaja tanpa Ma’rifat dan Tauhid, sudah tentu tidak wajib ke atas kita menuntut ilmu Usuluddin.

Sabda Nabi SAW ;

“Iman itu ialah simpulan tali (mengenal) dengan hati, berikrar dengan lidah dan beramal dengan anggota”.

Jadi, ini menunjukkan jika iman pada kalimah yang pertama itu tidak sama seperti di dalam hadith ini, maka samalah seperti air yang dicincang tidak memberi apa-apa kesan, begitulah ibaratnya.

Mengenai Islam itu pula, apa yang dikehendaki tentang Islam itu sendiri ialah yang asal, bukannya Islam itu sendiri yang merujuk kepadanya, seperti empat anasir itu adalah asal mereka bukannya lslam.

Tetapi apa yang dikehendaki dengan Islam itu ialah pada Syahadat yang pertama, iaitu sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-A’raf ayat 172:

“Dan ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada belakang (tulang salbi) mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu Mereka semua menjawab:” Benar Engkaulah Tuhan kami), kami sendiri men- jadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak, “Sesungguhnya kami adalah orang yang lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat Tauhid) ini”.

Itulah Islam yang sejati. Islam seperti inilah yang dikehendaki pada Syahadat.

Tiada ulasan: