Catatan Popular

Rabu, 24 Mac 2021

KITAB NAJMUL HUDA Fasal 3 Ma’rifat

Syeikh Muhammad Yusuf bin Abdul Karim Hindi

Ini bererti Ma’rifat itu ialah Esa pada penglihatan atau mengenali yang benar dan salah atau yang haq dan yang batil. Tetapi yang muktamad daripada Ma’rifat itu ialah mengenal tsabit nyata (tetap tampak nyata), maka Marifat seperti inilah yang dikehendaki pada kalimah Syahadat itu, bukan nya Ma’rifat seperti orang awam dan orang khas.

Malahan, Ma’rifat yang dikehendaki pada Syahadat itu ialah seperti Ma’rifat orang Khas al-Khas atau orang akhas al-Khawas. Ini kerana Ma’rifat orang awam itu adalah mereka yang percaya kepada Allah lalu ia mengatakan ada Allah, itu saja kepercayaannya tanpa mengetahui rukun Ma’rifat.

Jadi, ma rifat seperti ini jauh sekali daripada Allah. Ini kerana ma’rifat sedemikian, iaitu dengan mengatakan ada Allah yang didengarnya daripada perkhabaran orang lain, lalu dipercayai begitu sahaja, maka orang seperti ini dinamakan “Taglid” dan tidak sekali-kali diterima pada Syahadat itu.

Orang Khas yang mempunyai ma’rifat itu adalah orang yang mengatakan ada Allah serta percaya dengan ma’rifat mereka, tetapi mereka sentiasa berbeza / bercanggah mengenai benar dan salah. Maka ma’rifat seperti ini sama seperti ma’rifat kebanyakan orang soleh.

Sementara orang khas al-khas itu ialah orang yang mempunyai Ma’rifat dan mereka inilah yang mengenal tsabit nyata (tampak nyata dalam pandangan batin mereka / mata Bashirah mereka). mereka inilah yang mengatakan:

“Pandang yang banyak di dalam yang satu.”

“Pandang yang satu di dalam yang banyak”

Jadi, Ma’rifat mereka ini adalah Ma’rifat yang sebenar-benarnya kepada Tuhan dan sebenar-benarnya kepada diri. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

“Lebih mengenal kamu dengan KetuhananNya, lebih mengenal kamu dengan diri-Nya”

Maka Marifat seperti ini adalah seperti Ma’rifat orang-orang Siddiqin dan para Nabi alaihimussalam ..

Marifat orang akhas al-Khas ialah orang yang tidak terlindung pandangan mereka kepada Tuhan mereka walau sezarah jua pun.

Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Saba ‘ayat: 3

“(Dia) mengetahui perkara ghaib yang tidak tersembunyi (terlindung) daripada pengetahuan-Nya seberat zarah sekalipun di langit dan di bumi dan tiada ada yang lebih kecil daripada itu dan tidak pula yang lebih besar melainkan sudah tertulis di dalam kitab yang terang nyata (diketahui Tuhan)”

Mereka itulah para wali Allah dan para Syuhada yang mempunyai Ma’rifat kepada Tuhan yang hanya tertentu kepada-Nya saja. Sebagaimana firman-Nya di dalam hadith Qudsi:

“Aku adalah perbendaharaan (harta / aset) yang tersembunyi maka Aku suka bahawa Aku dikenali orang, maka Aku menjadikan makhluk supaya dia mengenali Aku”

Mereka inilah yang tidak ada hijab dan tidak ada suatu apapun yang dapat melindungi pandangan mereka dari Masyrik (Timur) hingga ke Maghrib (Barat).

Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat: 115

“Allah jualah yang mempunyai Timur dan Barat. Maka kemana sahaja kamu menghadap diri, maka di situlah kiblat (Zat) yang disukai Allah.”

Tampak kelihatan Ma’rifat mereka ini seumpama matahari, iaitu apabila mereka berdiri ke arah Masyrik, maka akan tampak kelihatan matahari itu ke arah Maghrib seperti matahari itu terbenam Demikian juga apabila mereka berdiri ke arah Maghrib, maka akan tampak kelihatan matahari itu ke arah Masyrik seperti terbit matahari.

Sebaliknya, apabila mereka berpaling daripada Masyrik dan Maghrib, maka akan tampak kelihatan matahari itu sentiasa tegak, iaitu tiada terbit dan tiada masuk. Ini menyebabkan mereka tidak berdiri lagi ke arah Masyrik dan Maghrib sehinggalah mereka sendiri diliputi oleh Masyrik dan Maghrib itu.

Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-Nisa ‘ayat: 126

“Dan Allah meliputi (pengetahuan dan kekuasan-Nya) akan setiap sesuatu.”

Jadi, Marifat seperti inilah yang dikehendaki pada Syahadat itu.

Tiada ulasan: