Catatan Popular

Isnin, 3 Oktober 2011

KITAB KIMIA KEBAHAGIAAN 10 : TANDA-TANDA CINTA KEPADA ALLAH (IMAM AL GHAZALI)

(IMAM AL GHAZALI HUJJATUL ISLAM)

Ramai orang berkata ia Cinta kepada Allah Subhanahuwa Taala.  Katanya itu hendaklah diuji sama ada tulen atau hanya palsu.
Ujian pertama ialah;  Dia hendaklah tidak benci kepada mati kerana tidak ada orang yang enggan bertemu dengan sahabatnya.  Nabi Muhammad saw bersabda;
"Siapa yang ingin melihat Allah,  Allah ingin melihat dia."
Memang benar ada juga orang yang ikhlas cintanya kepada Allah berasa gentar apabila mengingat kedatangan mati sebelum ia siap membuat persediaan untuk pulang ke akhirat,  tetapi jika betul-betul ikhlas adia akan bertambah rajin berusaha lagi untuk membuat persediaan itu.
Ujian kedua ialah ia mestilah bersedia mengorbankan kehendaknya untuk menurut kehendak Allah dan sedaya upaya menghampirkan diri kepada Allah dan benci kepada apa sahaja yang menjauhkan dirinya dengan Allah.  Dosa yang dilakukan oleh seseorang itu bukanlah bukti ia tidak cinta kepada Allah langsung tetapi itu membuktikan yang ia tidak menyintai Allah sepenuh jiwa raganya.  Fudhoil bin Iyadh seorang wali Allah berkata kepada seorang lelaki;
"Jika sesiapa bertanya kepada mu samada kamu cinta kepada Allah,  hendaklah kamu diam kerana jika kamu kata:  "Saya tidak cinta kepadaNya",  maka kamu kafir dan jika kamu berkata,  "Saya cinta",  maka perbuatan kamu berlawanan dengan katamu."
Ujian yang ketiga ialah ingat kepada Allah itu mestilah sentiasa ada dalam hati manusia itu tanpa ditekan atau diusahakan benar,  kerana apa yang kita cinta itu mestilah sentiasa kita ingat.  Sekiranya cinta itu sempurna,  ia tidak akan lupa yang dicintainya itu.  Ada juga kemungkinan bahawa sementara cinta kepada Allah itu tidak mengambil tempat yang utama dalam hati seseorang itu,  maka cinta kepada menyintai Allah itu mungkin mengambil tempat jua,  kerana cinta itu satu perkara dan cinta kepada cinta itu adalah seperkara lain pula.
Ujian keempat kemudian menunjukkan adanya cinta kepada Allah ialah bahawa seseorang itu cinta kepada Al-Quran,  iaitu Kalam Allah,  dan cinta kepada Muhammad iaitu Rasul Allah.  Jika cintanya benar-benar kuat,  ia akan cinta kepada semua orang kerana semua manusia itu adalah hamba Allah.  Bahkan cintanya meliputi semua makhluk,  kerana orang yang kasih atau cinta kepada seseorang itu tentulah kasih pula kepada kerja-kerja yang dibuat oleh kekasihnya itu dan cintanya juga kepada tulisan atau karangannya.
Ujian kelima ialah ia suka duduk bersendirian untuk maksud beribadat dan ia suka malam itu lekas datang agar dapat berbicara dengan rakan atau sahabatnya tanpa ada yang menggangu.  Jika ia suka berbual-bual di siang hari dan tidur di malam hari maka itu menunjukkan cintanya tidak sempurna.  Allah berfirman kepada Nabi Daud,
"Janganlah terlampau karib dengan manusia,  kerana ada dua jenis manusia tersingkir dari MajlisKu:  iaitu mereka yang bertungkus mencari ganjaran dan menjadi pemalas apabila mereka mendapat ganjaran itu;  dan mereka yang mementingkan diri mereka sendiri lalu melampaui aku.  Tanda tidak redhanya aku ialah aku biarkan mereka begitu sahaja."
Pada hakikatnya,  jika cinta kepada Allah itu benar-benar mengambil tempat seluruhnya didalam hati seseorang itu,  maka cintanya kepada yang  lain itu tidak akan dapat mengambil tempat langsung ke dalam hati itu.  Seorang dari Bani Israel telah menjadi kebiasaan sembahyang di malam hari.
Tetapi apabila melihat burung bernyanyian di sepohon pokok dengan merdu sekali,  dia pun sembahyang di bawah pokok itu supaya dapat menikmati nyanyian burung itu. 
Allah menyuruh Nabi Daud pergi berjumpa dia dan berkata,
"Engkau telah mencampurkan cinta kepada nyanyian burung dengan cinta kepadaKu,  Martabat engkau di kalangan Auliya' Allah telah diturunkan,"
Sebaliknya ada pula orang yang terlalu cinta kepada Allah, suatu hari sedang ia melakukan ibadatnya kepada Allah rumahnya telah terbakar,  tetapi ia tidak nampak dan sedar rumahnya terbakar.
Yang keenam ialah ibadatnya menjadi senang sekali.  Seorang Wali Allah ada berkata,
"Dalam tiga puluh tahun  yang pertama saya melakukan sembahyang malam dengan susah payah sekali,  tetapi tiga puluh yang kedua sembahyang itu menjadi seronok dan lazat pula kepada saya."  Apabila cinta kepada Allah itu sempuna,  maka tidak ada kesoronokan yang setandimg dngan keseronokan ibadat.
Yang ketujuh ialah orang yang cinta kepada Allah itu akan cinta kepada mereka yang taat kepada Allah dan mereka benci kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang derhaka kepada Allah.  Al-Quran mnyatakan "mereka itu bersikap kasar kepada orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka sendiri."  Suatu masa,  Nabi bertanya kepada Allah,  "Wahai Tuhan,  siapakah kekasihmu?"  Terdengarlah jawapan,
"Siapa yang berpegang teguh kepadaKu seperti bayi dengan ibunya,  mengmbil perlindungan dengan MengingatiKu seperti burung mencari perlindungan disarangnya,  dan yang marah melihat dosa seperti singa yang marah yang tidak takut kepada apa dan siapa pun."

Tiada ulasan: