Catatan Popular

Isnin, 3 Oktober 2011

KITAB KIMIA KEBAHAGIAAN 7 : MEMERIKSA DIRI SENDIRI DAN MENGINGAT ALLAH (IMAM AL GHAZALI)

(IMAM AL GHAZALI HUJJATUL ISLAM)

Ketahuilah wahai saudaraku,  dalam Al-Qur'an Allah berfirman,  lebih kurang maksudnya,
"Kami akan adakan pertimbangan yang adil pada hari berbangkit,  dan tidak ada jiwa yang dizalimi sedikit pun.   Barangsiapa yang berbuat sebesar zarah kejahatan atau kebaikan,  akan melihatnya".
Termaktub juga dalam Al-Qur'an firman yang berbunyi lebih kurang maksudnya;
"Biarlah tiap-tiap jiwa melihat apa yang dibawanya kehari perhitungan".
Khalifah Umar ada berkata,  "perhitunglah dirimu sebelum engkau diperhitungkan".
Allah berfirman lebih kurang maksudnya,
"Wahai orang-orang yang beriman,  sabarlah dan lawanlah hawa nafsumu,  dan teruskanlah perjuangan itu dengan gagah".
Wali-wali Allah sentiasa mengetahui bahawa mereka datang ke dunia ini untuk menjalankan pengembaraan keruhanian,  yang akibatnya ialah rugi atau untung yang merupai neraka atau syurga.  Sentiasalah mereka itu berwaspada terhadap kehendak-kehendak jasamaniah (badan) yang diibaratkan sebagai rakan perkongsian dalam perniagaan yang bersifat jahat dan bila-bila masa ia boleh mendatangkan kerugian kepada perniagaan itu.  Sebenarnya bijaklah orang itu iaitu orang yang mahu merenung sebentar selepas sembahyang subuh memikirkan hal dirinya dan berkata kepada jiwanya;
"Wahai jiwaku,  engkau hanya hidup sekali.  Tiap-tiap saat yang berlalu tidak akan datang lagi dan tidak akan dapat diambil kembali kerana di Hadirat Allah Subhanahuwa Taala,   bilangan nafas turun naik yang dikurniakan kepada engkau itu telah ditetapkan dan tidak boleh ditambah lagi.  Inilah perjalanan hidup dalam dunia hanya sekali,  tidak ada kali yang kedua dan seterusnya.  Oleh itu,  apa yang engkau hendak buat,  buatlah sekarang.  Anggaplah seolah-olah hidupmu telah berakhir,  dan hari ini adalah hari tambahan yang diberi kepada engkau dengan kurnia Allah Subhanahuwa Taala jua.  Alangkah ruginya membiarkan hari ini berlalu dengan sia-sia.  Tidak ada yang lebih rugi dari itu lagi."
Di hari berbangkit di akhirat kelak,  seseorang itu akan melihat semua waktu hidupnya di dunia ini tersusun seperti susunan peti harta dalam satu barisan yang panjang.
  • Pintu sebuah daripada peti itu terbuka dan kelihatanlah penuh dengan cahaya:  Ini menunjukkan waktu yang dipenuhinya dengan membuat amalan yang sholeh.  Hatinya akan berasa seronok dan bahagia sekali,  bahkan sedikit sahaja rasa bahagia itu pun sudah cukup membuat penghuni neraka lupakan api neraka yang bernyala itu.
  • Kemudian peti yang kedua terbuka,  maka terlihatlah gelap gelita di dalamnya.  Dari situ keluarlah bau busuk yang amat sangat hingga orang terpaksa menutup hidungnya:  Ini menunjukkan waktu yang dipenuhinya dengan amal maksiat dan dosa.  Maka akan dirasainya azab yang tidak terhingga bahkan sedikit saja pun dari azab itu sudah cukup menggusarkan ahli syurga.
  • Selepas itu terbuka pintu peti yang ketiga,  dan kelihatanlah kosong saja,  tidak ada gelap dan tidak ada cahaya di dalamnya:  Inilah melambangkan waktu yang dihabiskannya dengan tidak membuat amalan sholeh dan tidak juga membuat amalan maksiat dan dosa.  Ia akan merasa sesal dan tidak tentu arah seperti orang yang ada mempunyai harta yang banyak membiarkan hartanya terbuang dan lepas begitu saja dengan sia-sia.
Demikianlah seluruh waktu yang dijalannya itu akan dipamerkan kepadanya satu lepas satu.  Oleh yang demikian,  seseorang itu hendaklah berkata kepada jiwanya tiap-tiap pagi;
"Allah telah mengurniakan engkau dua puluh empat jam peti harta.  Berhati-hatilah mengawasinya supaya jangan kehilangan,  kerana engkau tidak akan boleh menanggung rasa kesal yang amat sangat jika engkau kehilangan harta itu".
Aulia Allah ada berkata,
"Walaupun sekiranya Allah mengampuni kamu,  setelah hidup disia-siakan,  kamu tidak akan mencapai pangkat orang-orang yang Sholeh dan pasti kamu akan ratapi dan tangisi kerugianmu itu.  Oleh itu jagalah lidahmu,  matamu dan tiap-tiap anggota mu yang tujuh itu kerana semua itu mungkin menjadi pintu untuk menuju ke Neraka".
Katakanlah kepada badanmu;  "Jika kamu memberontak,  sesungguhnya kamu akan kuhukum";  kerana meskipun badan itu degil,  ia boleh menerima arahan dan boleh dijinakkan dengan zuhud".  Demikianlah tujuan memeriksa atau memperhitung diri sendiri.   Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda;
"Berbahgialah orang yang beramal sekarang apa yang menguntungkannya di akhirat kelak".
Maka sekarang kita masuk pula kepada bahagian berkenaan dengan ZikiruLlah(mengenang atau mengingati Allah).  Ini ialah seseorang itu hendaklah ingat bahawa Allah Melihat dan Memerhatikam semua lakuan dan fikirannya.  Manusia hanya melihat yang zhohir sahaja,  tetapi Allah Melihat zhohir dan batinnya seseorang itu.  Orang yang percaya dengan ini sebenarnya dapatlah ia menguasai dan mendisiplinkan zhohir dan bathinnya.  Jika ia tidak percaya ini,  maka KAFIRLAH ia.  Jika ia percaya tetapi ia bertindak berlawanan dengan kepercayaan itu,  maka salah besarlah ia.
Suatu hari,  seorang Negro menemui Nabi SAW. dan berkata;  "Wahai Rasulullah!  Saya telah melakukan banyak dosa.  Adakah taubatku diterima atau tidak?".  Nabi SAW.  menjawab; "Ya".  Kemudian Negro itu berkata lagi;  "Wahai Rasulullah!  Setiap kali aku membuat dosa adakah Allah Melihatnya?".  Nabi SAW.  menjawab lagi;  "Ya"
Negro itu pun menjerit lalu mati.  Sehingga seseorang itu benar-benar percaya bahawa ia sentiasa dalam pemerhatian Allah,  maka tidaklah mungkin baginya membuat amalan yang baik-baik.
Seorang Sheikh ada seorang murid yang lebih disayanginya daripada murid-murid yang lain.  Dengan itu murid-murid yang lain itu pun berasa dengki kepada murid yang seorang itu.  Suatu hati Sheikh itu memberi tiap-tiap seorang murid itu seekor ayam dan menyuruh mereka menyembelih ayam itu di tempat yang tidak ada seseorang pun melihat ia menyembelih itu.  Maka pergilah mereka tiap-tiap seorang membawa seekor ayam ke tempat yang sunyi dan menyembelih ayam di situ.  Kemudian membawanya kembali kepada Sheikh mereka.  Semuanya membawa ayam yang telah disembelih kepada Sheikh mereka kecuali seorang iaitu murid yang  lebih disayangi oleh Sheikh itu.  Murid yang seorang ini tidak menyembelih ayam itu.  Ia berkata;  "Saya tidak menjumpai tempat yang dimaksudkan itu kerana Allah di mana-manapun Melihat".  Sheikh itu pun berkata kepada murid-murid yang lain;  "Sekarang sekelian telah lihat sendiri peringkat pemuda ini.  Dia telah mencapai ke taraf ingat sentiasa kepada Allah".
Apabila Zulaiha cuba menggoda Nabi Yusof,  ia menutup dengan kain muka sebuah berhala yang selalu disimpannya.  Nabi Yusof berkata kepadanya;
 "Wahai Zulaiha,  adakah kamu malu dengan batu?  sedangkan dengan batu engkau malu,  betapa aku tidak malu dengan Allah yang menjadikan tujuh petala langit dan bumi".
Ada seorang datang berjumpa dengan Juanid dan berkata;  "Saya tidak dapat menghindarkan mataku daripada melihat perkara-perkara yang membawa dosa.  Bagaimanakah saya hendak mengawalnya?".  Junaid menjawab; "Dengan cara ingat iaitu Allah Melihat kamu lebih jelas dan terang lagi daripada kamu melihat orang lain".
Dalam hadis ada diterangkan bahawa Allah ada berfirman seperti demikian;
"Syurga itu ialah bagi mereka yang bercadang hendak membuat sesuatu dosa,  dan kemudian mereka ingat bahawa Aku sentiasa Memandang mereka,  lalu mereka pun menahan diri mereka".
Abdullah Ibnu Dinar meriwayatkan;
"Satu ketika saya berjalan dengan Khalifah Omar berhampiran kota Mekah.  Kami bertemu dengan seorang gembala yang sedang membawa gembalaannya.  Omar berkata kepada gembala itu;  "Jualkan pada saya seekor kambing itu".  Gembala itu menjawab;  "Kambing itu bukan saya punya,  tuan saya yang mempunyainya."  Kemudian untuk mencubanya,  Omar berkata;  "Baiklah,  kamu katakanlah kepada tuanmu bahawa yang seeekor itu telah dibaham oleh serigala".  Budak gembala itu menjawab; "Tidak,  sesungguhnya tuan saya tidak tahu tetapi Allah Mengetahuinya".  Mendengar jawapan budak gembala itu,  bertitisanlah air mata Omar.  Beliau pun pergi berjumpa dengan tuan budak gembala kambing itu lalu membelinya dan membebaskannya.  Beliau berkata budak itu;  "Kerana kata-katamu itu,  engkau bebas dalam dunia dan akan bebas juga di akhirat kelak".
Ada dua darjat berkenaan Zikir Allah(mengenang Allah) ini.  Darjat pertama ialah darjat Aulia Allah.  Mereka  bertafakur dan tenggelam dalam tafakur mereka dalam mengenang Keagungan dan Kemuliaan Allah. dan tidak ada tempat langsung dalam hati mereka untuk 'gairuLlah"(selain dari Allah).  Ini adalah darjat zikir Allah yang bawah,  kerana apabila hati seseorang itu telah tetap dan anggotanya dikontrol penuh oleh hatinya hingga mereka dapat mengalwal mereka dari perkara-perkara yang halal pun,  maka tidak perlulah lagi ia sebarang alat atau penahan untuk menghalang dosa.  Maka kepada zikir Allah seperti inilah Nabi Muhammad (S.W.T) maksudkan apabila ia berkata,
"Orang yang bangun pagi-pagi dengan hanya Allah dalam hatinya,  Allah akan memeliharanya didunia dan diakhirat."
Setengah daripada mereka golongan ini sangat asyik dan tenggelam dalam mengenang dalam mengingati Allah hinggakan kalau ada orang bercakap kepada mereka tidaklah mereka dengar,  kalau orang berjalan dihadapan mereka tidaklah mereka nampak.  Mereka seolah-olah diam seperti dinding.  Seseorang Wali Allah ada berkata demikian:  "Suatu hari saya melintasi tempat ahli-ahli pemanah sedang bertanding memanah.  Tidak berapa jauh dari situ ada seoarang duduk seseorang diri.  Saya pergi kepadanya dan cuba hendak berbual dengannya.
  • Tetapi ia menjawab,  "Mengenang Allah itu labih baik dari berbual".
  • Saya bertanya,  "tidakkah kamu merasa keseorangan?"
  • "Tidak"  jawabnya, "Allah dan dua orang malaikat ada bersamaku".
  • Saya bertanya kepada beliau sambil menunjukkan kepada pemanah-pemanah itu, "Antara mereka itu,  yang manakah akan menang?"
  • Beliau menjawab,  "Yang itu,  Allah telah beri kemenangan  kepadanya."
  • Kemudian saya bertanya, "dari manakah datangnya jalan ini?"
  • Mendengar itu,  ia merenung ke langit lalu berdiri dan pergi sambil berkata,  "Oh Tuhan!  Banyak hamba-hambamu mengganggu seseorang itu dalam mengingatimu!"
Seorang wali Allah bernama Syubli satu hari pergi berjumpa seorang sufi bernama Thauri.  Beliau lihat Thauri duduk dengan berdiam diri dalam tafakkur hingga sehelai bulu romanya pun tidak bergerak.  Syubili bertanya kepada Thauri,  "Daripada siapa anda berlajar latihan bertafakkur dengan diam diri seperti itu?"  Suri menjawab,  "Daripada seekur kucing yang saya lihat menunggu di lubang tikus.  Kucing itu lebih tetap dan diam lagi daripada ini."
Ibn  Hanif meriwayatkan:
"Saya diberitahu bahawa di Bandar Thur ada seorang Syeikh dan muridnya sentiasa duduk dan tenggelam dalam zikir Allah.  Saya pergi ke situ dan saya dapati kedua orang itu duduk dengan muka mereka menghadap ke kiblat.  Saya memberi salam kepada mereka tiga kali.  Tetapi mereka tidak menjawab.  Saya berkata,  "Dengan nama Allah saya minta tuan-tuan menjawab salamku".  Pemuda itu mengangkat kepalanya dan menjawab,
"Wahai Ibn Hanif! dunia ini untuk sebentar waktu sahaja,  dan yang sebentar itupun tinggal lagi sedikit sahaja.  Anda mengganggu kami kerana meminta kami menjawab salammu itu".
Kemudian dia menundukkan kepalanya semula dan terus mendiamkan diri.  Saya rasa lapar dan dahaga pada masa itu,  tetapi dengan memandang mereka itu saya lupa pada diri saya.  Saya terus bersama mereka dan sembahyang Zohor dan Asar bersama mereka.  Saya minta mereka memberi nasihat kepada saya berkenaan kerohanian ini.  Pemuda itu menjawab,  "Wahai Ibni Hanif,  kami merasa susah;  kami tidak ada lidah yang memberi nasihat itu."  Saya terus berdiri di siti tiga hari tiga malam.  Kami tidak bercakap antara satu sama lain,  dan tidak tidur.  Kemudian saya berkata kepada diri saya sendiri,  saya akan pohon kepada Allah supaya mereka menasihati saya."  Pemuda itu mengangkat kepalanya dan berkata,
"Pergilah cari orang seperti itu,  ia akan dapat membawa Allah kepada ingatan anda dan melengkapkan rasa takut kepada hatimu,  dan ia akan memberi anda nasihat yang disampaikan secara diam tanpa sebarang cakap."
Demikianlah zikir Allah para Aulia iaitu melenyap dan menenggelamkan fikiran dan khayalan dalam Mengenang Allah.  Zikir Mengenang Allah (zikir Allah) yang kedua ialah zikirnya "golongan kanan" iaitu yang disebut dalam Quran sebagai Ashabul  Yamin.  Mereka ini tahu dan kenal bahawa Allah sangat mengetahui terhadap mereka dan mereka merasa tunduk dan tawaduk di Hadirat Allah SWT tetapi tidaklah sampai mereka melenyap dan menenggelamkan fikiran dan khayalan mereka dalam mengenang Allah sahaja sehingga tidak peduli keadaan keliling mereka.  Mereka sedar diri mereka dan sedar terhadap alam ini.  Keadaan mereka adalah seperti seorang yang terkejut kerana didapati berkeadaan bertelanjang dan cepat-cepat menutup aurat mereka.
Golongan yang lagi satu dulu adalah seperti orang yang tiba-tiba mendapati diri mereka di majlis raja yang besar lalu ia merasa tidak tentu arah dan merasa takjub.
Golongan yang mula-mula itu memeriksa terlebih dahulu apa yang memasuki hati mereka dengan rapi sekali,  kerana di hari kiamat kelak tiga soalan akan ditanya terhadap tiap-tiap lakuan.  Dan tindakan yang telah dilakukan.
  • Yang pertama:  "Kenapa kamu buat ini?"
  • Kedua:  "Dengan cara apa kamu membuat ini?";  dan
  • Ketiga:  "Untuk tujuan apa kamu melakukan ini?".
    • Yang pertama itu disoal kerana seseorang itu hendaklah bertindak dari niat dan dorongan Kutahanan dan bukan dorongan Syaitan dan hawa nafsu.
    • Jika soalan itu dijawab dengan memuaskan hati,  maka diadakan ujian kedua iaitu soalan secara mana tindakan itu dilakukan dengan bijak,  dengan cuai,  atau dengan cara tidak peduli apa.
    • Yang ketiga,  sama ada lakuan dan tindakan itu kerana Allah semata-mata atau kerana hendakkan sanjungan manusia.
Jika seseorang itu memahami makna soalan-soalan ini,  maka ia tentu berhati-hati sekali terhadap keadaan hatinya dan bagaimana ia melawan fikiran yang mungkin menimbulkan tindakannya.  Sebenarnya memilih dan menapis fikiran dan khayalan itu sangatlah susah dan rumit.  Barangsiapa yang tidak sanggup membuatnya hendaklah pergi berguru dengan orang-orang  keruhanian.  Mengaji dan berguru dengan mereka itu dapat mendatangkan cahaya ke dalam hati.  Dia hendaklah menjauhkan diri dari orang-orang alim kedunian kerena mereka ini adalah alat atau ujian syaitan.
Allah berfirman kepada Nabi Daud a.s.;
"Wahai Daud,  janganlah bertanya kepada orang Alim yang mabuk dalam cintanya kepada dunia,  keran mereka akan merampas dari kamu perasaan Cinta terhadapKu".
Nabi Muhammad SAW.  pernah bersabda;
"Allah kasih kepada orang yang tajam matanya terhadap perkara-perkara yang menimbulkan syak-wasangka dan tidak membiarkan akalnya diganggui oleh serangan hawa nafsu".
Akal dan pilihan sangat berkait rapat,  dan orang yang akalnya tidak menguasai hawa nafsu tidak akan dapat memilih yang baik dari yang jahat.
Di samping membuat pilihan dan berhati-hati sebelum bertindak,  maka seseorang itu hendaklah menghitung dan menyedari apa yang telah dilakukannya dahulu.  Tiap-tiap malam periksalah hati itu dan lihatlah apa yang telah dilakukan dan sama ada telah untung atau rugi dalam perniagaan keruhaniaan ini.  Ini adalah penting kerana hati itu ibarat rakan perniagaan yang jahat yang sentiasa hendak menipu dan mengilat.  Kadang-kadang ia menunjukkan diri jahatnya itu.  Sebaliknya topeng taat kepada Allah,  agar manusia menganggap ia telah beruntung tetapi sebenarnya ia telah rugi.
Seorang Wali Allah bernama Amiya yang berumur 60 tahun telah mengira berapa hari umurnya.  Maka didapti umurnya ialah selama 21, 600 hari semua sekali.  Beliau berakata kepada dirinya sendiri;
"Aduhai!  jika saya telah melakukan satu dosa sehari,  bagaimana saya hendak lari dari beban 21, 600 dosa?".
Beliau menjerit dan terus rebah.  Apabila orang datang hendak mengangkatkannya,  mereka telah dapati beliau telah meninggal dunia.  Tetapi malang,  kebanyakan orang telah lupa.  Mereka tidak memperhitung diri mereka sendiri.  Jika tiap-tiap satu dosa itu diibaratkan sebiji batu,  maka penuhlah sebuah rumah dengan batu itu.  Jika malaikat Kiraman Kaatibin meminta gaji kerana menulis dosa yang seseorang itu telah lakukan,  maka tentulah habis wangnya bahkan tidak cukup untuk membayar gaji mereka itu.  Orang berpuas hati membilang biji tasbih sambil berzikir nama Allah,  tetapi mereka tidak ada biji tasbih untuk mengira berapa banyak percakapan sia-sia yang telah diucapkannya.  Oleh kerana itulah, Khalifah Omar berkata;
"Timbanglah perkataan dan perbuatanmu sekarang sebelum ia dipertimbangkan di akhirat kelak".
Beliau sendiri sebelum pergi tidur malam hari memukul kakinya dengan comtar sambil berkata;  "Apa yang telah engaku buat hari ini?".
Suatu hari Thalhah sedang sembahyang di bawah pohon-pohon kurma dan terpandang olehnya seekor burung yang jinak berterbangan di situ.  Kerana memandang burung itu beliau terlupa berapa kalikah beliau sujud.  Untuk menghukum dirinya kerana kelalaian itu,  beliau pun memberi pohon-pohon khurma itu kepada orang lain.
Aulia Allah mengetahui hawa nafsu mereka itu selalu membawa kepada kesesatan.  Oleh itu mereka berhati-hati benar dan menghukum diri mereka setiap kali mereka telah terlanggar batas.
Jika seseorang itu mendapati diri mereka telah terjauh dan menyeleweng dari sifat zuhud dan disiplin diri,  maka sepatutnya beliau belajar dan meminta nasihat dari orang yang pakar dalam latihan keruhanian,  supaya hati lebih bersemangat kepada sifat zuhud,  disiplin diri dan akhlak yang suci itu.
Seorang Wali Allah pernah berkata,
"Apabila saya berasa merosot dalam disiplin diri,  saya akan melihat Muhammad bin Abu Wasi,  dan melihat beliau itu bersemagatlah hatiku sekurang-kurangnya seminggu".
Jika seseorang itu tidak dapat seseorang yang zuhud di sekitarnya,  maka eloklah mengkaji riwayat Aulia Allah.  Elok juga ia menasihat jiwanya seperti demikian;
"Wahai jiwaku!  engkau fikir diri kau cerdik pandai dan engkau marah jika disebut bodoh.  apakah engkau ini?  Engkau sediakan kain baju untuk melindungi sejuk tetapi tidak bersedia untuk kembali ke akhirat.
 Keadaanmu adalah seperti orang dalam musim sejuk berkata;
"Aku tidak pakai pakaian panas,  cukuplah aku bertawakkal kepada Allah untuk melindungi aku dari sejuk".
Dia telah lupa bahawa Allah di samping menjadikan sejuk itu ada juga memberi petunjuk kepada manusia bagaimana membuat pakaian untuk mengelakkan dari sejuk dan dingin;  dan disediakan alat dan bahan-bahan untuk membuat pakaian itu.  Ingatlah jiwa!  hukuman kepadamu di akhirat kelak bukanlah kerana Allah murka kerana tidak patuhmu;  dan janganlah berkata;
"Bagaimana pula dosaku boleh menyakiti Allah?
Adakah hawa nafsumu sendiri yang menyalakan api neraka di dalam dirimu sendiri;  seperti orang yang memakan makanan yang membawa penyakit.  adalah penyakit itu tejadi dalam badan  manusia,  dan bukan kerana doktor marah kepadanya kerana tidak mematuhi perintahnya.
"Tidak malukah kamu wahai jiwa!  kerana kamu sangat cenderung kepada dunia!!!.  Jika kamu tidak percaya dengan Syurga dan Neraka,  maka sekurang-kurangnya percayalah kepada mati yang akan merampas dari kamu semua keseronokkan kedunian dan membuat kamu merasa kepayahan berpisah dari dunia ini.  Semakin kuat perkaitanmu kepada dunia,  maka semakin pedihlah yang kamu rasai.
Apakah dunia ini bagimu?  Jika seluruh dunia ini dari Timur ke Barat kepunyaanmu dan menyembahmu,  namun itu tidaklah lama.  Akan semuanya hancur jadi abu bersama dirimu sendiri dan namamu makin lama makin dilupakan;  seperti Raja-raja yang dahulu sebelum kamu.  Setelah kamu  melihat bagaimana kecil dan kerdilnya kamu di dunia ini,  maka kenapa kamu beriya-ya benar dan bergila-gila benar menjual keseronokan dan kebahagiaan yang abadi dan memilih kebahagian yang sementara seperti menjual intan berlian yang mahal untuk mendapatkan kaca yang tidak berharga,  dan menjadikan kamu bahan ketawa orang lain?"

Tiada ulasan: