Catatan Popular

Selasa, 29 Mac 2016

KITAB PENAWAR BAGI HATI FASAL YANG KETIGA : PADA MENYATAKAN [TENTANG NIKMATNYA] LIDAH



OLEH : ASY SYEIKH ABDUL QODIR BIN ABDUL MUTTOLIB  AL INDONISI AL MANDILI (ULAMA DAN GURU MASJIDIL HARAM MEKAH)


KEGUNAAN LIDAH

Ketahui[lah] oleh mu [wahai saudara-saudara ku sekelian] bahawasanya Allah Taala [yang telah] menjadikan Ia akan lidah [engkau itu adalah] bagi [kegunaan] engkau [sehari-hari] supaya [dapat] membaca engkau dengan dia akan [kitab suci Al] Quran dan [Al] Hadith Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam.

Dan [dapat engkau membaca dengan lidah engkau itu akan] segala zikir.

Dan [dapat engkau mencari dan menyampaikan ilmu] pengetahuan yang memberi[kan] manfaat [kepada diri engkau sendiri dan juga orang lain].

Dan supaya [dapat] mengajar[kan] engkau dengan dia akan ilmu yang memberi manfaat [kepada masyarakat umumnya].

Dan [dapat] menyuruh engkau dengan[nya akan] kebajikan dan [dapat] melarang [engkau akan masyarakat] daripada [melakukan] kejahatan.

Dan [dapat] memberi[kan] nasihat engkau akan orang Islam dan [dapat] menunaikan engkau akan hajat mereka itu dan [dapat] mendamaikan engkau akan mereka [yang berkelahi] itu.

Dan barang sebagainya [juga] daripada segala faedah [yang dibangsakan kepada] akhirat yang [dapat] dikerjakan [oleh engkau] dengan lidah [engkau itu maka] seperti [itu jugalah] menjadikan [oleh] Allah Taala akan lidah engkau itu kerana [untuk] maslahah dunia seperti [dapat engkau] mencari harta dengan segala akad seperti akad jual beli dan akad sewa.


BERSYUKUR DENGAN NIKMAT LIDAH

Dan hendaklah [ber]syukur engkau [di] atas nikmat lidah ini dengan memeliharanya daripada barang yang tiada dijadikan [lidah itu] kerananya [seperti engkau menjauhkan lidah engkau itu] daripada [segala tabiat kemahuan] berkata-kata dengan [apa] yang dilarang [oleh agama] seperti berdusta yang [mampu] menyakiti akan [hati] orang yang lain [dengan lidah engkau itu] maka [hukumnya] itu [adalah ber]dosa besar.

Bersalahan [pula jika sekiranya] berdusta [itu] yang tiada menyakiti [hati orang lain] maka [hukumnya] iaitu dosa kecil.

Kecuali kerana [keinginan kepada sesuatu] hajat maka tiada ada ia [mendapat] dosa seperti [tiada berdosanya orang yang] berdusta kerana mendamaikan antara [sesama] manusia [yang berbalah] kerana [berdalilkan satu riwayat dari Ummu Kalthum bahawa]

Hadith 4. [ber]sabda Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam,ertinya, tiada mereka yang mendamaikan antara manusia itu [dikira sebagai seorang yang] berdusta”.

Bahkan terkadang wajib [pula seseorang itu] berdusta [dan tidak dihukumkannya berdosa] seperti [jika sekiranya] melihat ia akan orang yang haram dibunuh[nya kerana tiada disabitkan akan dia oleh apa-apa kesalahan] yang bersembunyi ia [yang tidak bersalah itu] daripada orang yang zalim yang [mana orang yang zalim itu] mengkehendaki [jika menjumpainya akan] membunuhnya maka [kita yang melihatnya] wajib berdusta kerana melepaskannya daripada dibunuh [oleh] orang yang zalim itu.

Dan [hendaklah engkau memelihara lidah engkau itu daripada berkata-kata akan perkara-perkara yang dilarang] seperti [engkau] mengumpat iaitu menyebut engkau akan saudara engkau dengan perkataan yang benci ia akan dia jika didengar[i]nya [akan perkataan itu] maka iaitu haram [hukumnya] dengan ijmak ulamak.

Bahkan berkata kebanyakan mereka itu bahawa mengumpat itu [hukumnya adalah ber]dosa besar kerana barang yang datang daripada[ dalil-dalil]nya daripada beberapa janji seksa yang bersangatan [sakitnya].

Seperti firman Allah Taala : ertinya, [wa]hai sekalian mereka yang beriman, jauhkan[lah] oleh kamu akan banyak daripada sangka iaitu sangka yang jahat kerana bahawasanya setengah daripada sangka itu dosa dan jangan kamu mencari dan memeriksa aib manusia, dan jangan mengumpat setengah kamu akan setengah [yang lain], adakah kamu suka [salah] seorang [daripada] kamu bahawa makan ia [akan] daging saudaranya [sendiri] pada ketika [saudaranya itu telah] mati, maka benci kamu akan dia dan takut oleh kamu akan Allah Taala, [dan ingatlah] bahawasanya Allah Taala itu sangat menerima taubat lagi sangat kasih sayang”.[Surah Al Hujurat Ayat 12]

Hadith 5. Dan telah menceritakan oleh Al Baihaqi dan At Tobrani dan Abu Asy Syeikh [Al Asfahani] dan Ibnu Abi Ad Dunya daripada Jabir dan Abu Said radhiyallahu anhuma berkata keduanya, [telah] bersabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, ertinya, “jauhkan[lah] oleh kamu akan diri kamu dan jauhkan[lah] oleh kamu akan mengumpat kerana bahawasanya mengumpat itu lebih bersangatan daripada berzina, dikatakan bagi Nabi sallallahu alaihi wasallam, betapa[kah] ada [dikira] mengumpat itu lebih bersangatan daripada berzina? Bersabda ia, bahawasanya seorang laki-laki terkadang berzina ia dan bertaubat ia maka menerima Allah Taala akan taubatnya dan bahawasanya [orang] yang mengumpat itu tiada diampuni baginya [akan dosanya] hingga[lah] mengampuni bagi[ dosa mengumpat]nya [itu] oleh orang yang diumpatnya”.

Dan [hendaklah engkau memelihara lidah engkau itu daripada berkata-kata akan perkara-perkara yang dilarang] seperti menyalahi janji yang adalah ia salah satu daripada segala alamat munafik.

Hadith 6. [Dari Abu Hurairah bahawa ber]sabda Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam,(Rawahu Asy Syaikhani ‘an Abi Hurairah radhiyallahu anhu) ertinya, “tanda munafik itu tiga, apabila bercerita ia nescaya berdusta ia, dan apabila menjanji ia akan kebaikan nescaya menyalahi ia akan janjinya dan apabila dipercayai akan dia nescaya khianat ia, ertinya tiada menunaikan ia akan barang yang dipercayai ia padanya itu”.

Dan [hendaklah engkau memelihara lidah engkau itu daripada berkata-kata akan perkara-perkara yang dilarang] seperti [suka] berbantah-bantah dan berkata-kata pada barang yang tiada memberi[kan] faedah.

Hadith 7. [Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu bahawa ber]sabda Nabi [Muhammad] sallallahu alaihi wasallam,
ertinya, setengah daripada keelokkan Islam seseorang itu [ialah] meninggalkan ia akan barang yang tiada memberi[kan] manfaat akan dia pada [kehidupannya di] dunia atau [pada kehidupannya di] akhirat”.

Dan [hendaklah engkau memelihara lidah engkau itu daripada berkata-kata akan perkara-perkara yang dilarang] seperti mengadu-ngadu.

Hadith 8. [Dari Huzaifah radhiyallahu anhu bahawa ber]sabda Nabi [Muhammad] sallallahu alaihi wasallam, ertinya, “tiada masuk ke dalam syurga orang yang [suka] mengadu-ngadu”.

Dan sesungguhnya telah ittifak ulamak [dan telah bersepakat mereka itu] atas bahawasanya mengadu-ngadu itu dosa besar.

Iaitu memindahkan perkataan [daripada] setengah manusia kepada setengah[nya yang lain] kerana [ber]tujuan [hendak] membinasakan antara [kedua] mereka itu dan menjadikan [kedua] mereka [itu] berkelahi.

Adapun memindahkan perkataan kerana [bertujuan hendak memberikan] nasihat bagi mereka yang dipindahkan perkataan kepadanya [itu] maka wajib ia [berbuat demikian dan kelakuan seperti ini] tiada [ter]masuk ia di dalam [hukum] mengadu-ngadu yang dilarang[kan oleh agama Islam].

Dan ketahui[lah] oleh mu bahawasanya lidah itu [dikira sebagai] sebanyak-banyak anggota dan sebesar-besarnya daripada [pengiraan kebolehannya melakukan] kejahatan maka lazimkan[lah] oleh mu akan memeliharanya.

Dan tiada [apa-apa yang dapat] menolong akan dikau atas [selamat] sejahtera [engkau] daripada kebinasaannya melainkan [jikalau engkau betul-betul] mengasingkan diri [engkau] daripada manusia dan mengekalkan diam [engkau ketika bersama-sama dengan mereka] melainkan [engkau berkata-kata] pada ketika berhajat[nya keadaan engkau] kepada berkata-kata seperti [engkau] belajar [akan ilmu yang berguna] dan mengajar[kannya kepada manusia] dan memberi[kan] nasihat [kepada mereka supaya berbuat baik atau meninggalkan yang tidak baik].

Hadith 9. [Telah] bersembah oleh Mu’az Bin Jabal radhiyallahu anhu, hai Rasulullah berpesan[lah] oleh mu akan daku [supaya aku mendapat peringatan daripada pesanan mu itu], maka [pada ketika itu] mengeluarkan[lah oleh] Rasulullah sallallahu alaihi wasallam akan lidahnya yang maha mulia dan bersabda ia, tahan oleh mu akan dia daripada berkata-kata dengan perkataan yang dilarang”.

Dan adalah Saidina Abu Bakar As Siddiq radhiyallahu anhu memegang akan lidahnya dan berkata ia [kepada dirinya sendiri], “inilah yang [telah] mendatangkan [dan yang telah menempatkan] akan daku [kepada] segala tempat kebinasaan”.

Berkata oleh syair (penyair),
luka dengan sebab lembing sembuh dengan mudah *** tetapi tiada sembuh yang dilukakan dengan lidah

Dan hendaklah engkau ingat akan bahawasanya perkataan yang baik itu [akan] mendatangkan petunjuk bagi segala anggota [di tubuh badannya], dan perkataan yang jahat itu [pula] mensebabkan akan [berlakunya perkara yang] jahat [kepada] segala anggota [di tubuh badannya].

Telah menceritakan oleh Abu Said Al Khudri radhiyallahu anhu bahawasanya manusia itu apabila berpagi-pagi [ia maka] bersegera[lah] oleh segala anggota [tubuh badan] semuanya [tertumpu] kepada lidah, dan berkata semuanya bagi[ mengambil perhatian]nya, “[wahai lidah,] menuntut oleh kami akan dikau dengan nama Allah [Taala yang maha suci] bahawa engkau [hendaklah] betul[-betul berada di] atas [jalan] petunjuk [agama Islam bermula pada pagi ini hingga ke seterusnya] kerana bahawasanya engkau [wahai lidah], jika engkau lurus [perjalanan hidup mu pada pagi ini hingga ke seterusnya maka] nescaya kami [juga akan] lurus [perjalanan hidup kami di atas jalan petunjuk agama Islam] dan jika [perjalanan] engkau bengkok [wahai lidah pada pagi ini dan ke seterusnya maka] nescaya kami [juga akan menjadi] bengkok [perjalanan kami pada pagi ini dan seterusnya]”.

Dan berkata[lah] oleh Malik Bin Dinar rahimahu Allahu Taala, “apabila melihat engkau akan [berlaku sifat] keras pada hati engkau dan [berlaku sifat] lemah pada badan engkau dan tertegah [engkau dari]pada rezeki engkau maka ketahui[lah] oleh mu bahawasanya engkau telah berkata-kata pada barang yang tiada memberi manfaat akan dikau”.

Dan ketahui[lah] oleh mu bahawasanya perkataan engkau itu adakalanya [ia bersifat] taat atau[adakalanya ia bersifat] maksiat atau [adakala ianya adalah perkataan] yang harus [lagi] yang sia-sia.

Maka jika ada[lah] ia [sesuatu perkataan yang berbentuk ke]taat[an] seperti menyuruh [seseorang] dengan mengerjakan kebajikan dan melarang [seseorang] daripada [mengerjakan] kejahatan maka pada[ perkataan suruhan dan larangan]nya [itu akan mendapat] pahala yang besar-besar.

Dan jika ada[lah] ia [sesuatu yang berbentuk ke]maksiat[an] maka pada[ perkataan]nya [itu akan mendapat ke]seksa[an daripada Allah Taala]  yang tiada [dapat] engkau [ber]kuasa menanggung[ sakit pedih]nya.

Hadith 10. [Dari Mu’az radhiyallahu anhu bahawa ber]sabda Nabi [Muhammad] sallallahu alaihi wasallam,erti, dan tiada [sesuatu yang] mensembamkan akan manusia atas muka mereka itu atau atas hidung mereka itu melainkan barang yang berkata-kata mereka dengan dia”.

Dan jika perkataan itu yang [berbentuk] harus [iaitu] yang tiada berfaedah [jika mengeluarkan perkataan itu atau tidak mengeluarkannya] maka pada[ mengeluarkan]nya [dikira dia telah] membuat[kan] pekerjaan [yang sia-sia] bagi malaikat “kiraman katibin” dengan barang yang tiada kebajikan pada[ menulis]nya.

Dan mengirim surat [oleh “kiraman katibin”] kepada Allah Taala yang tertulis di dalamnya perkataan[-perkataan] yang sia-sia [sahaja] dan membacanya di hadapan Allah Taala pada hari kiamat [nanti dengan bacaan yang sia-sia juga iaitu] pada [hari] ketika [berlakunya] huru hara yang sangat besar lagi pada ketika [itu terasa bersangatan] lapar dan dahaga dan bertelanjang [tidak berpakaian yang sangat memerlukan sesuatu kebajikan yang berguna pada ketika itu].

Tiada ulasan: