Catatan Popular

Sabtu, 16 April 2016

KITAB PENAWAR BAGI HATI FASAL KESEBELAS : PADA MENYATAKAN [TENTANG BAHAYANYA] DENGKI



OLEH : ASY SYEIKH ABDUL QODIR BIN ABDUL MUTTOLIB  AL INDONISI AL MANDILI (ULAMA DAN GURU MASJIDIL HARAM MEKAH)

MAKNA DENGKI

Bermula dengki itu iaitu [engkau] mencita-cita[kan] akan hilang[nya sesuatu] nikmat daripada orang lain samada nikmat [itu ialah nikmat] dunia atau nikmat [itu ialah nikmat] agama.

Atau [engkau] mencita-cita[kan] akan turun[nya] bala [bencana] [ke] atasnya.

Dan [ketahuilah lagi] iaitu [hukumnya adalah] haram lagi [ber]dosa besar.

Bahkan adalah ia [salah] satu penyakit [hati] yang [paling] besar [sekali] daripada segala penyakit[-penyakit] hati.

Hadith 54. Sabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam,ertinya, “dengki itu [dapat] memakan ia akan segala kebajikan [yang dikerjakan oleh manusia] seperti [mana] memakan oleh api akan kayu api”.

Dikehendaki dengan memakan di sini [ialah dengki itu dapat] membinasakan [amal kebajikan yang dilakukan].

Hadith 55. Dan sabda ia [sollallahu alaihi wasallam lagi],ertinya, “jangan[lah] dengki setengah kamu akan setengah[nya yang lain] dan jangan[lah] memutuskan [silatur] rahim setengah kamu akan setengah[nya yang lain] dan jangan[alh] marah setengah kamu akan setengah[nya yang lain] dan jangan[lah] membelakangkan setengah kamu akan setengah[nya yang lain] pada ketika [kamu] berjumpa [dengannya] dan hendaklah [meng]ada[kan oleh] kamu bersaudara [sesama kamu] hai sekelian hamba Allah Taala”.

Hadith 56. Dan bersabda ia [ sollallahu alaihi wasallam lagi], ertinya, “berjalan kepada [kalangan] kamu [oleh] penyakit segala umat yang [ter]dahulu daripada kamu [iaitu [penyakit] dengki dan [penyakit ber]sangat[an] benci”.

Dikehendaki dengan [makna] berjalan di sini [ialah] melarat[nya penyakit itu] dan berjangkit[nya penyakit itu].


PUNCA TIMBULNYA PENYAKIT DENGKI

Dan bermula [salah satu] sebab bagi [timbulnya penyakit] dengki itu ada kalanya [berpunca daripada sifat] takabbur.

Dan ada kalanya [penyakit dengki ini berpunca daripada sifat suka] berseteru [dan berkelahi].

Dan ada kalanya [penyakit dengki ini berpunca daripada melayan] keji nafsu [yang mana semuanya itu] kerana kikir [dan kedekut] ia dengan [kurniaan pemberian] nikmat Allah Taala [ke] atas hamba[-hamba] Nya dengan ketiadaan tujuan [yang sebenar dan matlamat] yang baik.


GHIBTOH

Dan [penyakit dengki yang pada pandangan zahirnya sahaja yang] tiada haram ialah ghibtoh.


MAKNA GHIBTOH

Dan [makna ghibtoh itu] iaitu bahawa engkau mencita-cita[kan untuk mendapat] akan nikmat yang [sama] seperti nikmat [yang didapati oleh] orang lain [dan dalam masa yang sama] dengan ketiadaan [niat atau harapan] hilang[nya] nikmat itu daripadanya.

Dan harus [hukumnya] bahawa [sekiranya] engkau kasih [jikalau] hilang[nya] nikmat [seperti hilangnya nikmat harta dan nikmat pangkat] daripada mereka yang meminta tolong ia [dengan nikmat itu] atas mengerjakan maksiat dengan [dia menggunakan] nikmat itu [untuk mengerjakan maksiat itu] kerana bahawasanya engkau [sebenarnya] bukan kasih akan hilang[nya] nikmat [itu daripadanya] bahkan [sebenarnya] engkau kasih akan hilang[nya] maksiat [itu daripadanya].


ALAMAT GHIBTOH

Bermula alamatnya [ghibtoh itu] bahawasanya jika meninggalkan ia akan maksiat [itu] nescaya tiada kasih engkau akan hilang nikmat daripadanya [seperti hilangnya nikmat harta dan nikmat pangkat bahkan engkau kasih dan memohon biarlah nikmat itu berkekalan padanya].

Dan ketahui[lah] oleh mu bahawasanya penyakit hati seperti dengki [itu] tiada ada ubat[ bagi]nya melainkan dengan dicampur[kan] ilmu dengan amal [perbuatan] seperti [tercampurnya berbagai ubatan dalam sebiji] ma’jun.


UBAT ILMU UNTUK MEMBUANG SIFAT DENGKI

Maka adapun [campuran] ilmu [untuk mengubati penyakit dengki itu] maka bahawa mengetahui ia akan bahawasanya dengkinya itu [boleh] memberi[kan] mudharat akan dirinya sendiri [dan] tiada memberi[kan] mudharat ia akan mereka yang [ber]dengki ia akan dia.

Bahkan [berdengki itu boleh] memberi[kan] manfaat ia akan dia [yang dia dengkikan itu dan bukannya manfaat kepada dirinya].


MUDHARAT DENGKI PADA AGAMANYA

Adapun bahawasanya [makna ber]dengki itu [boleh] memberi[kan] mudharat akan orang yang [ber]dengki [ia akan dia] maka kerana [berdengki itu boleh] membatalkan ia akan pahala kebajikannya seperti [mana] yang tersebut pada hadith yang pertama [no ??? di atas].

Tambahan lagi [boleh] mensebabkan oleh [ber]dengki itu akan murka Allah Taala akan orang yang [ber]dengki itu kerana [telah] murka [dan tidak berpuas hati] ia akan qadha Allah Taala [ke atas hamba-hamba NYA].

Dan kikir [serta kedekut] ia dengan nikmat [pemberian daripada] Allah Taala yang meluaskan IA akan dia daripada perbendaharaan Nya atas hamba [pilihan] Nya.

[Perkara] ini [dikira] mudharat pada agamanya.


MUDHARAT DENGKI PADA DUNIANYA

Adapun mudharat dengan [ber]dengki itu pada dunianya maka bahawasanya orang yang [ber]dengki itu sentiasa ia di dalam dukacita yang berpanjangan [hingga matinya]. kerana bahawasanya seterunya [itu] tiada sunyi [ia] daripada [sentiasa mendapat] nikmat [daripada Allah].

Dan adapun bahawasanya [ber]dengki itu memberi[kan] manfaat ia akan seterunya yang [ber]dengki ia akan dia dan tiada memberi[kan] mudharat ia akan dia [yang dia dengkkan itu].

Maka kerana bahawasanya nikmatnya [itu] tiada hilang ia dengan dengki[nya] itu bahkan digandakan [lagi oleh Allah Taala kepada orang yang dia dengkikan itu] akan kebajikannya.

Kerana dipindahkan pahala kebajikan orang yang [ber]dengki itu kepada orang yang [dia] dengki[kan] itu.

Pendeknya orang yang [ber]dengki itu seperti [mana] mereka yang melemparkan [akan] seteru[nya] dengan batu maka tiada kena seterunya [itu] dan [tiba-tiba] kembali [semula] batu itu kepada matanya maka membutakan ia akan dia.


UBAT AMAL UNTUK MEMBUANG SIFAT DENGKI

Adapun [campuran] ubat yang [di]bangsa[kan dan dikaitkan kepada] amal [itu] maka iaitu bahawa mengetahui ia akan [apakah] hukum[nya] [orang-orang yang suka ber]dengki.

Dan akan perkataan dan perbuatan yang [boleh] mensebabkan akan keduanya oleh [sifat ber]dengki[nya] itu.

Maka menyalahi ia akan keduanya dan mengerjakan ia akan lawan bagi keduanya.

Maka memuji ia akan mereka yang dengki ia akan dia dan menzahirkan ia akan sukacita dengan nikmatnya dan merendah diri ia baginya.

Dan dengan demikian itu jadi oleh mereka yang dengki ia akan dia kawan baginya dan hilang daripadanya oleh dengki itu dan lepas ia daripada dosanya dan seksanya.

Telah berfirman Allah Taala,ertinya, “tolak oleh mu dengan perkara yang lebih elok maka tiba-tiba orang yang antara engkau dan antaranya perseteruan seolah-olah[nya bertukar menjadi] kawan yang hampir”.[Surah Fussilat Ayat 34]

Dan ketahui[lah] oleh mu bahawasanya tabiat manusia [itu biasanya] kasih ia [supaya] akan mendapat nikmat [kepada] kawannya [tetapi] tiada kasih ia [supaya] akan mendapat nikmat [kepada] seterunya.

Dan benci ia akan [perkara-perkara] yang [akan] menyusahkan kawannya [tetapi] tiada benci ia akan [perkara-perkara] yang [akan] menyusahkan seterunya.

Maka jika tiada [ber]kuasa engkau [untuk] menyamakan antara kawan engkau dan seteru engkau pada kasih [engkau] dan benci [engkau] itu maka hendaklah melepaskan engkau akan diri engkau daripada dosa [ber]dengki itu dengan dua perkara,

1. Yang pertama, bahawa tiada engkau [men]zahirkan akan dengki [engkau] itu dengan lidah engkau dan dengan anggota engkau dan [dengan] segala pekerjaan engkau yang [di]bangsa[kan kepada] ikhtiar.

Bahkan [hendaklah] menyalahi engkau dengan lidah dan anggota engkau akan yang tersebut daripadanya seperti yang telah terdahulu.

Hadith 55. Inilah makna sabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam,ertinya, “bermula tiga perkara [yang] tiada sejahtera daripadanya ini umat, pertama, dengki, kedua, jahat sangka, ketiga, bercending, adakah [kamu] tiada [mahu kalau] aku khabarkan akan kamu dengan tempat keluar daripadanya? Bersembah sahabat, khabarkan oleh mu hai Rasulullah, bersabda ia, apabila engkau menyangka engkau akan sangka yang jahat maka jangan engkau tahqiqkan

Ertinya, jangan engkau kerjakan akan yang dituntut bagi sangka itu bahkan hendaklah engkau berhenti daripada memutuskan dengan sangka engkau itu dan daripada mengerjakan akan yang dituntutnya.“dan apabila engkau [ber]dengki maka jangan[lah engkau] melampaui [batas]”.

Ertinya, jika mendapat engkau di dalam hati engkau akan sesuatu daripada [sifat-sifat] dengki [yang dibincangkan di atas sana] maka jangan[lah sekali-kali] engkau kerjakan dengan dia. “dan apabila bercending engkau [pada pekerjaan engkau] maka lalu [lah] oleh mu [akan pekerjaan itu dan teruskanlah] kepada tujuan [dan niat] engkau [itu] dan jangan[lah] engkau kembali [ke tempat asal kamu tadi] seperti [mana yang] memperbuat[kan] akan dia oleh ahli jahiliyyah [pada zaman dahulu]”.

Menceritakan ini hadith oleh Al Hafiz Abdur Rahman Ibnu Umar Al Asfahani daripada Al Hasan Basri.

Hadith ini dinamakan hadith mursal ertinya mengangkatkan akan dia oleh tabi’in kepada Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam.

Dan kedua bahawa benci engkau daripada diri engkau akan kasihnya hilang nikmat Allah Taala daripada sekelian hamba Nya.

Maka apabila menyertai oleh benci engkau yang mensebabkan dia oleh agama dengan suka engkau akan hilang nikmat yang mensebabkan dia oleh tabiat nescaya tertolak daripada engkau oleh dosa suka engkau itu.

Dan tiada diwajibkan atas engkau mengubah akan tabiat kerana tiada kuasa engkau atasnya pada kebanyakan kelakuan.

Kerana bahawasanya tabiat itu tiada dapat mengerasi akan dia melainkan mereka yang putus penilikannya daripada makhluk.

Bahkan mengetahui ia dengan yakin akan bahawasanya yang empunya nikmat itu tiada sunyi daripada bahawa ada ia isi api neraka atau ada ia isi syurga.

Maka jika ada ia isi api neraka maka tiada memberi manfaat akan dia oleh nikmat itu.

Dan jika ada ia isi syurga maka tiada ada nisbah antara nikmatnya itu dengan nikmat syurga bahkan melihat ia akan sekelian makhluk itu hamba bagi Allah Taala [jua].

Dan Allah Taala itu kekasihnya maka kasih Ia akan mereka itu kerana mereka itu hamba bagi kekasihnya dan kasih ia bahawa nyata bekas nikmat kekasih Nya atas sekelian hamba Nya.


Tiada ulasan: