Pada suatu malam, Harun
ar-Rasyid memanggil Fazl Barmesid, salah seorang di antara pengawal
kesayangannya. Harun ar-Rasyid berkata kepada Fazl: “Malam ini bawalah aku
kepada yang boleh menunjukkan kapadaku siapakah aku ini sebenarnya. Aku telah
jemu dengan segala kebesaran dan kebanggaan.”
Fazl membawa Harun
ar-Rasyid ke rumah Sufyan al-Uyaina. Mereka mengetuk pintu dan dari dalam
Sufyan menyahut: “Siapakah itu?”
“Pemimpin kaum Muslimin,”
jawab Fazl.
Sufyan berkata: “Mengapa
sultan mahu menyusahkan diri. Mengapa tidak diberitahu sahaja padaku sehingga
aku datang sendiri menemuinya?”
Mendengar ucapan tersebut
Harun ar-Rasyid berkata: “Ia bukan orang
yang kucari. Ia pun mengagungkanku seperti orang lain.”
“Jika demikian, Fudzail
bin ‘Iyaz adalah orang yang engkau cari. Pergilah kepadanya.” Kemudian Sufyan
membacakan ayat: “Apakah orang-orang yang perbuat aniaya menyangka bahawa Kami
akan menyamakan mereka dengan orang-orang yang beriman serti melakukan
perbuatan-perbuatan yang soleh?”
Harun ar-Rasyid
mengatakan: “Seandainya aku menginginkan nasihat-nasihat yang baik nescaya ayat
itu telah mencukupi.”
Kemudian mereka mengetuk
pintu rumah Fuzail. Dari dalam Fuzail bertanya: “Siapakah itu?”
“Pemimpin kaum Muslimin,”
jawab Fazl.
“Apakah urusannya dengan
aku dan apakah urusanku dengan dia?” tanya Fudzail.
“Bukankah suatu kewajipan
untuk mematuhi orang yang memegang kuasa?” sela Fazl.
“Jangan kamu
menggangguku,” seru Fudzail.
“Perlukah aku menolak
pintu dengan kekuasaanku sendiri atau dengan perintah sultan?” tanya Fazl.
“Tidak ada sesuatu hal yang disebut kekuasaan,” jawab Fuzail.
“Jika engkau secara paksa menceroboh masuk, engkau tahu apa yang engkau
lakukan.”
Harun ar-Rasyid melangkah
masuk, Begitu Harun menghampirinya, Fudzail meniup lampu sehingga padam agar ia
tidak dapat melihat wajah sultan. Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya dan
disambut oleh tangan Fuzail yang kemudian berkata: “Betapa lembut dan halus
tangan ini! Semoga tangan ini terhindar dari api neraka!”
Setelah berkata demikian
Fudzail berdiri dan berdoa. Harun ar-Rasyid meresa hatinya sangat tersentuh dan
tidak dapat menahan tangisannya.
“Katakanlah sesuatu
kepadaku,” Harun bermohon kepada Fuzail.
Fudzail mengucapkan salam
kepadanya dan berkata: “Sebelum ini, bapa saudara Nabi Muhammad, pernah meminta
kepada beliau: “Jadikanlah aku pemimpin bagi sebahagian umat manusia.” Nabi
menjawab: “Pak cik, untuk sesaat aku pernah mengangkatmu menjadi pemimpim
dirimu sendiri.” Dengan jawapan ini yang
dimaksudkan Nabi adalah: Sesaat mematuhi Allah adalah lebih baik daripada
seribu tahun dipatuhi oleh manusia. Kemudian Nabi menambah lagi: “Kepimpinan
akan menjadi penyesalan pada hari kebangkitan nanti.”
“Ceritakanlah,” Harun
ar-Rasyid meminta.
“Ketika diangkat menjadi
khalifah, Umar bin Abdul Aziz memanggil Salim bin Abdullah, Raja’ bin Hayat,
dan Muhammad bin Kaab. Umar berkata kepada mereka: “Hatiku sangat gelisah
kerana ujian ini. Apakah yang harus kulakukan? Aku tahu bahawa kedudukan yang
tinggi ini adalah satu ujian walaupun orang-orang lain menganggapnya sebagai
satu kurnia. Salah seorang di antara ketiga sahabat Umar itu berkata: “Jika
engkau ingin terlepas dari hukuman Allah di akhirat nanti, pandanglah setiap
Muslim yang lanjut usia sebagai ayahmu sendiri, setiap Muslim yang masih
kanak-kanak sebagai anakmu sendiri, dan perlakukanlah mereka sebagaimana
seharusnya seorang memperlakukan ayahnya, saudaranya dan anak-anaknya.”
“Ceritalah lagi,” Harun
ar-Rasyid meminta.
“Anggaplah negeri Islam
sebagai rumahmu sendiri dan penduduknya sebagai keluargamu sendiri. Ziarahilah
ayahmu, hormatilah saudaramu dan bersikap baiklah kepada anakmu. Aku sayangkan
jika wajahmu yang tampan ini akan terbakar hangus di dalam neraka. Takutilah
Allah dan taatilah perintah-perintah-Nya. Berhati-hatilah dan bersikaplah
secara bijaksana, kerana pada hari Akhirat nanti Allah akan meminta apa yang
dipertanggungjawabkan olehmu sehubungan dengan setiap Muslim dan Dia akan
memeriksa apakah engkau telah berlaku adil kepada setiap orang. Apabila ada
seorang wanita uzur yang tertidur dalam keadaan lapar, di hari Akhirat nanti ia
akan menarik pakaianmu dan akan memberikan kesaksian yang akan memberatkan
dirimu.”
Harun ar-Rasyid menangis
dengan sangat kuatnya sehingga nampak ia akan jatuh pengsan. Melihat hal ini
wazir Fazl menyentak Fudzail: “Cukup! Engkau telah membunuh pemimpin kaum
Muslimin.”
“Diamlah Hamam! Engkau dan
orang-orang yang engkau inilah yang telah menjerumuskan dirinya, kemudian
engkau katakan aku yang membunuhnya. Apakah yang kulakukan ini suatu
pembunuhan?”
Mendengar kata-kata Fudzail
ini tangisan Harun ar-Rasyid semakin menjadi-jadi. “Ia menyebutmu Hamam,” kata
Harun ar-Rasyid memandang Fazl. “Kerana ia menyamakan diriku dengan Firaun.”
Kemudian Harun bertanya
kepada Fudzail: “Apakah engkau mempunyai hutang yang belum dijelaskan?”
“Ya,” jawab Fudzail.
“hutang kepatuhan kepada Allah. Seandainya Dia memaksaku untuk menjelaskan
hutang ini celakalah aku!”
“Yang kumaksudkan adalah
hutang kepada manusia, Fudzail,” Harun menegaskan.
“Aku bersyukur kepada
Allah yang telah mengurniakan kepadaku sedemikian banyaknya rezeki sehingga
tidak ada keluh-kedah yang harus kusampaikan kepada hamba-hamba-Nya.”
Kemudian Harun ar-Rasyid
menaruh sebuah bekas yang berisi seribu dinar di hadapan Fudzail sambil
berkata: “Ini adalah wang halal yang diwariskan oleh ibuku.”
Tetapi Fudzail
mengutuknya: “Wahai pemimpim kaum Muslimin, nasihat-nasihat yang kusampaikan
kepadamu ternyata tidak ada faedahnya. Bahkan engkau telah memulakan lagi
perbuatan salah dan mengulangi kezaliman.”
“Apakah perbuatan yang
salah telah kulakukan?” tanya Harun ar-Rasyid.
“Aku menyerumu ke jalan
keselamatan tetapi engkau menjerumuskan aku ke dalam godaan. Bukankah hal itu
suatu kesalahan? Telah kukatakan kepadamu, kembalikanlah segala sesuatu yang
ada padamu kepada pemiliknya yang berhak. Tetapi engkau memberikannya kepada
yang tidak patut menerimanya. Aku memberi nasihat kepadamu tanpa mengenakan
sedirham pun.”
Setelah berkata demikian,
Fudzail berdiri dan melemparkan wang-wang emas itu keluar.
“Benar-benar seorang
manusia yang hebat!” Harun ar-Rasyid berkata ketika ia meninggalkan rumah Fudzail.
“Sesungguhnya Fuzail adalah seorang raja bagi umat manusia. Ia sangat alim dan
dunia ini terlalu kecil pada pandangannya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan