Catatan Popular

Selasa, 22 Mei 2012

TAREKAT AHMADIYYAH @ IDRISIYYAH : SALASILAHNYA DI NEGERI SEMBILAN

PENGASAS: HAJI MUHAMMAD SAID BIN HAJI MUHAMMAD JAMALUDDIN
Nama lengkap Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syaikh Muhammad Said al-Linggi al-Jawi.
Datuknya, Haji Idris adalah anak kepada Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin ‘Amaluddin bin Awaluddin @ Dato’ Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang salih lagi keramat. Hampir separuh dari usianya dihabiskan di kota ilmu Makkah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini adalah kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau. Manakala Dato’ Awaluddin pula disebut-sebut sebagai peneroka daerah Linggi(1783) di Negeri Sembilan.
Satu sumber lain mengatakan nasab sebalah datuk bapanya sampai ke Saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan demikian kerana suami Hajjah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu’min Linggi bin Syeikh Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah berasal dari Hadramaut.
Bapanya sendiri, Haji Jamaluddin (1835-1888) adalah seorang tokoh ulama’ Melayu Negeri Sembilan yang pernah diberi kepercayaan mengajar di Masjid al-Haram semasa bermukim di kota Makkah. Dia terkenal zahid, berpendirian memada ( qana'ah ) dan dikurniakan pelbagai karamah. Diceritakan pada hari kematiannya, dia tidak meninggalkan sebarang wang walau sesen pun!
Ibunya, Hajjah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani adalah seorang Qurra’ yang terkenal elok bacaanya lagi penyantun. Pernah menjadi guru Qira’at al-Quran baik semasa tinggal di Makkah mahupun ketika berada di Patani. Murid-muridnya tidak terbilang kerana terlalu ramai.
Manakala datuk sebelah ibunya, Haji Muhammad Saleh al-Fatani yang masyhur keramat itu adalah seorang guru pondok yang terulung pada zamannya. Murid-muridnya tidak kurang 500 orang pada satu-satu masa. Haji Muhammad Saleh berkahwin dengan Hajjah Mariam, juga terkenal dengan kesalihannya. Bapa Hajjah Mariam, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani pula adalah seorang tokoh ulama’ yang termasyhur pada zamannya, dianugerahi Allah dengan beberapa banyak keistemewaan yang tersendiri.
Ringkasnya, Muahmmad Said lahir di tengah-tengah rumpun keluarga alim ulama’ yang terkemuka dan alim turun-temurun.

Kelahirannya:
Muhammad Said dilahirkan di perkampungan Syi’b Ali Makkah pada hari Sabtu yang keempat atau yang ketiga daripada bulan Sya’ban tahun 1292 yang bersamaan dengan 25 atau 18 September 1875.
Dipelihara ibu dan neneknya(Hajjah Mariam) . Ketika itu bapanya sedang berkhidmat di Tanah Jawi.

Zaman Remajanya:
Pada tahun 1882, ketika berusia 7 tahun, Muhammad Said dibawa pulang ke Patani, tanah tumpah darah ibunya. Beliau dibesarkan disana sehinggalah umurnya meningkat 12 tahun.
Muhammad Said sungguh bertuah kerana ibunya seorang yang fasih dalam bidang qiraat al-quran. Ibu yang salihah inilah yang mendidik dan membentuk peribadinya.Lantaran itu tidak hairanlah jika beliau tergolong sebagai seorang kanak-kanak yang sangat elok akhlaknya lagi cerdas pula akalnya.

Guru-guru Awalnya:
Pada tahun 1887, barulah beliau dihantar mengaji di luar rumah. Empat orang guru awalnya ialah Syaikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani(Tuan Minal), Haji Awang (Tuan Semela atau Dato’ Semela), Dato’ Nahu dan Syaikh Muhammad Nuh yang berasal dari Negeri Kedah. Beliau mempelajari ilmu-ilmu Fiqh, Usuluddin, Tasawwuf, Nahu dan macam-macam ilmu lagi. Dikecualikan Tuan Minal, ketiga-tiga orang guru yang akhir itu adalah bekas murid datuknya, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani.
Muhammad Said adalah seorang pelajar yang bercita-cita tinggi, tekun belajar, malah pernah tidak tidur malam sampai terbit fajar kerana tidak menyedari matahari telah naik, bahkan ada ketika-ketika mengalir kedua matanya akan darah daripada terlampau banyak menilik kepada kitab-kitab.
Setahun kemudian(1888), bapanya meninggal dunia semasa berusia 54 tahun(Hijri). dan dikebumikan di tanah perkuburan Linggi, Negeri Sembilan.

Ke Makkah:
Pada tahun 1892, ketika berumur 17 tahun, Muhammad Said belayar ke kota ilmu Makkah bertujuan mendalami pengajiannya. Antara puluhan gurunya tersenarailah nama-nama seperti berikut:-
  1. Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
  2. Syaikh Muhammad Nawawi al-Batani
  3. Syaikh Abi Bakr Syata
  4. Syaikh Ahmad al-Manshawi
  5. Syaikh Umar al-Shami
  6. Syaikh Muhammad Said bin Muhammad Babasil (Mufti Shafi’i)
  7. Syaikh Abdul karim al-Daghastani
  8. Syaikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat
  9. Syaikh Umar bin Abi Bakr Bajunid
  10. Syaikh Muhammad Said bin Muhammad al-Yamani
  11. Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau
  12. Syaikh Zainuddin Sumbawa
  13. Syaikh Wan Muhammad Ali Kutan
  14. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani

Ke Madinah:
Muhammad Said termasuk di kalangan penuntut yang gigih dan bersemangat waja. Pernah bermusafir secara berjalan kaki ke Madinah kerana menziarahi makam Rasulullah(sesudah bermimpi menemui baginda). Semasa berada di Madinah beliau berpeluang berguru dengan Sayyid Ja’far al-Barzanji, Mufti Shafi’i.

Ke Mesir:
Kemudian meneruskan perjalanan ke Bait al-Maqdis dan akhirnya ke negara Mesir melanjutkan ilmu tentang selok-belok ilmu fiqh empat mazhab. Disana beliau mendalami ilmu-ilmu syara’, naql dan aqal. Antara lainnya berguru dengan Syaikh al-Jami’ al-Azhar iaitu Syaikh Shamsuddin al-Anbani dan dengan Syaikh Ahmad al-Rifa’I al-Malikki, iaitu sebesar-besar ulama’ Mazhab Malaiki di dalam Azhar zaman itu(1896).

Pulang Ke Makkah:
Selanjutnya beliau pulang semula ke Makkah. Belajar ilmu tarikat dengan Syaikh Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi(meninggal dunia di Madinah pada 19 Februari 1909). Akhir sekali Muhammad Said diberi ijazah tariqat Ahmadiyah, iaitu pada hujung tahun 1318 Hijrah(bersamaan pertengahan April 1901).
Alhasilnya, guru Muhammad Said berjumlah 50 orang lebih. Beliau diketahui alim dalam ilmu-ilmu alat, Usuluddin, Fiqh empat mazhab; juga ilmu ruhani, Hikmat, Falsafah, al-Quran dan sebagainya.

Sahabat-sahabatnya:
Antara sahabat-sahabat seperguruan termasuk Tuan Mukhtar Bogor, Tuan Husain Kedah, Pak Wan Sulaiman Kedah, Haji Abdullah Pak Him Seberang Perai, Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak (meninggal 29 Julai 1921), Sidi Muhammad al-Azhari Makkah dan ramai lagi.

Pulang Ke Tanahair:
Sekitar tahun 1320 H/1902 M, beliau pulang ke Negeri Sembilan lalu menetap di Ampangan, Seremban. Mengajar ilmu-ilmu agama, juga zikir tarikat Ahmadiyah kerana tokoh sufi ini telah dilantik menjadi khalifah atau wakil peribadi Syaikh Muhammad al-Dandarawi di Kepulauan Melayu.
Di samping itu, beliau begitu berani cuba mengikiskan perbuatan bid’ah, pegangan khurafat dan amalan yang didapati bertentangan dengan syariat yang banyak bersarang dalam masyarakat. Pada peringkat awalnya tindakan Haji Muhammad Said itu ditentang hebat oleh orang-orang Islam sendiri. Namun berkat kesabarannya pemimpin tarikat ini akhirnya dapat mengumpul ramai pengikut setia.
Selain bergiat di Negeri Sembilan, beliau juga banyak merantau sambil menyebarkan ilmu-ilmu keislaman, khususnya ilmu sufi dan kerohanian. Antaranya ke negeri Kedah, Pahang, Johor, Singapura, Indo China(Saigon), Siam (Ayuthia) dan Kelantan.

Di Kelantan:
Ketika Sheikh Muhammad Said tiba di Kota Bharu pada tahun 1905, beliau dapati Sidi Muhammad al-Azhari, rakan seperguruannya telah pun mengembang ajaran tarikat di sekitar Kota Bharu, termasuk di Pulau Kerbau, Kampung Laut dan di Langgar.
Walaupun seguru, pemahaman dan pendekatan mereka berdua banyak berbeza. Sheikh Muhammad Said menurunkan ilmunya kepada semua lapisan murid tanpa mengira peringkat umur, baik golongan atasan mahupun bawahan, lelaki dan perempuan, orang kebanyakan atau terpelajar. Seiring dengan itu beliau juga mengedarkan karya terjemahannya, Risalat al-Fawa’id sebagai teks panduan. Perselisihan mereka jelas ketara bilamana banyak kalimat dan pengertian ayat di dalan risalat al-Fawa’id telah dipinda atau dipadam terus kemudiannya oleh Sidi Muhammad al-Azhari.
Berlainan dengan cara penyampaian Sidi Muhammad al-Azhari, kaedah pengajaran Sheikh Muhammad Said terlalu cepat sehingga menimbulkan rasa majdhub(semacam mabuk) di kalangan pengikut-pengikutnya. Sebab itu ia ditentang keras oleh sebahagian besar ulama’ Kelantan pada zaman itu, kecuali Tok Wali Haji Ismail Lundang Paku, anak-anak Tuan Tabal dan segelintir ulama’ yang lain. Kemuncaknya dibawa ke pengetahuan Sultan yang kemudiannya mengemukakan masalah ini kepada Syaikh Wan Ahmad al-Fatani sebagaimana yang telah disebut pada awal tulisan ini.
Dan seperti yang diharap-harapkan oleh Raja Kelantan, Syaikh Wan Ahmad memberi jawapan yang panjang lebar bertarikh 5 Safar 1324 (Bersamaan 30 Mac 1906).
Selama berada di Kota Bharu, beliau tinggal di rumah Haji Awang Alim, bapa mertuanya. Sheikh Haji Muhammad Said telah berkahwin dengan Hajjah Safiah binti Haji Awang semasa masih berada di Tanah suci lagi. Ketika itu Hajjah Safiah sudah pun janda, berikutan kematian suami pertamanya di Makkah, iaitu Haji Yusuf bin Haji Puteh.

Anak-anaknya:
Sepanjang hayatnya Sheikh Haji Muhammad Said disebut-sebut berkahwin sembilan kali dan dikurniakan 32 orang anak. Salah seorang isterinya ialah Siti Zubaidah binti Haji Said Rembau.
Berikut disenaraikan anak-anaknya yang agak terkenal:
  1. Sheikh Haji Abdullah(1905-1956), Kampung Gedung Lalang, Ampangan, Seremban. Anak sulung yang mengambil alih tugas khalifah Tarikat Ahmadiyah selepas kematiannya.
  2. Sheikh Haji Ahmad(6 Apri 1910-7 Januari 1964). Khalifah yang kedua selepas Sheikh Haji Abdullah. Pengasas Pondok Rasah(1935) dan Mufti Negeri Sembilan yang pertama (1950).
  3. Sheikh Haji Abdul Rashid, Teluk Kurau, Singapura. Khalifah yang ketiga selepas Sheikh Haji Abdullah dan Sheikh Haji Ahmad. Sangat dihormati dan disegani orang-orang Melayu Singapura.
  4. Sheikh Haji Mansor,Ampangan,Seremban(meniggal 1981)
  5. Sheikh Haji Muhammad Nor(meninggal 1981)
  6. Sheikh Haji Muhammad Hamid
  7. Sheikh Haji Ibrahim(dengan isterinya Hajjah Wan Safiah Kota Bharu)
  8. Haji Mahadi(1914-20 Februari 1983), Taman Maluri,Kampung Pandan.Kuala Lumpur.

Peribadinya:
Sheikh Haji Muhammad Said adalah seorang tokoh ulama’ yang berperibadi sederhana. Tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup. Bersifat zahid, qana’ah, pemaaf, sabar, taqwa, tawadhu’, pemalu, pemurah, wara’, kuat beramal dan berkhalwat. Dianggap sebagai seorang wali Allah dan doanya makbul.
Beliau suka menolong orang yang dalam kesusahan. Memandang makhluk-makhluk lain dengan penuh timbang rasa dan kasih-sayang. Semenjak menuntut ilmu di Makkah dan di Mesir lagi telah terzahir kelebihan-kelebihan wara’, salih serta keramatnya.
Sebagai seorang ulama’ yang amat dihormati dan dikenali di Negeri Sembilan, beliau sangat dikasihi Tuanku Muhammad,Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (mangkat 1 ogos 1933) dan amat disayangi Dato’ Kelana Ma’mur(1889-1945).

Karya Tulisannya:
Walaupun Sheikh Haji Muhammad Said ada menghasilkan beberapa banyak karangan sendiri juga terjemahan, kebanyakannya belum dicetak dan sukar diperolehi. Antara yang sudah dapat dikesan adalah seperti berikut:
1. Syarh Kunuz al-Jawahir al-Nuaniyyat fi Qawa’id al-Tarikat al-Shadhilliyah. Disebut juga Risalat al-Fawa’id atau Rasai’l Jawiyyah. Selesai terjemah pada akhir Rabiulawal 1323 (3 Jun 1905). Membicarakan keistemewaan Sidi Ahmad bin Idris dan cerita-cerita yang bersangkutan dengan ajarannya, termasuk cara beramal dan pelbagai faedah lainnya. Tercap di tepi al-Ahzab al-Irfaniyyah.
2. al-Ahzab al-Irfaniyyat wa al-Awrad al-Nuraniyyah. Siap ditulis di Bandar Singapura pada 15 Rabiulawal 1323(18 Jun 1905). Berukuran 18 ½ x14 sentimeter dan tebalnya 200 muka. Mengandungi himpunan doa dan hizb.
3.Kashf al-Ghiba an Haqiqat al-Riba.
4.Sullam al-Ta’rif ila ‘Ilm al-Tasrif(ilmu sarf)
5.Risalah Fath(juga mengenai ilmu Sarf).
6.al-Kashf wa al-Tanfis an Ashab Sidi Ahmad bin Idris.
7. Makalah Kaifiat mengerjakan Tarawih 10 rakaat.
8.Perjalanan mendirikan Jumaat.
9.Wazifah-wazifah bagi orang yang salik pada permulaan suluknya.
10.Manuskrip syair arab tanpa tajuk, sepanjang 142 baris yang ditulisnya di Tanah Melayu. Mengupas tentang kesesatan Kaum Wahabi dan kekarutan mereka.

Meninggal Dunia:
Ajalnya tiba pada malam Ahad, 12 Rabiulawal 1345 bersamaan 18/19 September 1926 ketika berusia 53 tahun (Hijriyah). Lebih 5000 orang mengiringi jenazahnya, termasuk Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negari Sembilan.Dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ampangan, iaitu sebuah kawasan berbukit di Bandar Seremban.
Sebagai mengenang jasa baktinya maka Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan(ditubuh 1959) yang mulai 1977 diambil alih pentadbirannya oleh Kementerian Pendidikan dinamakan sempena namanya: SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban (SHAMS ).




Sheikh Haji Ahmad Haji Muhamad Said ( 1912 – 1964 )


Sheikh Haji Ahmad adalah adik kepada Sheikh Haji Abdullah. Beliau dilahirkan di Kampung Bukit Ampangan Seremban pada 26 Rabiulawal 1328 bersamaan 1912 dan meninggal dunia pada 7 Januari 1964. tetapi dalam buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu kelantan bertajuk " Tokoh – Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1) – 2001 halaman 236, tarikh lahir ulama ini ialah 6 April 1910. Haji Ahmad menjadi Khalifah Tarekat Kedua selepas Haji Abdullah.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Ampangan hingga tamat. Sebagaimana abangnya, beliau kemudiannya mendapat didikan langsung dari bapanya. Beliau menunaikan haji sewaktu berusia 15 tahun selepas kematian bapanya dan melanjutkan pengajian agama di Mekah selama 7 tahun. Kalau mengikut tempoh ke Mekah itu, memberi gambaran bahawa beliau lebih dahulu menunaikan haji dan melanjutkan pengajianya berbanding Haji Abdullah.

Di Mekah, Haji Ahmad berguru dengan beberapa ulama terkenal seperti Sheikh Ali Al Maliki, Sheikh Abd Sattar Al Kutubi, Sheikh Said Al Yamani dan Sheikh Abdul Hai Al Kattani. Beliau seorang penuntut yang sangat tekun belajar dan dikasihi guru-gurunya. Sebagai tanda kecemerlangan beliau, guru-gurunya telah memberi Akuan ( Ijazah) kepada Haji Ahmad ini. Sekembalinya ke tanahair tahun 1934 beliau mendirikan madrasah yang dinamakan As Saidiah di Rasah. Ramai ulama negeri ini yang mendapat asuhan agama dari beliau. Antaranya ialah Tuan Guru Haji Ali Silau dan Dato' Tan Haji Ahmad Muhamad Zain. Sheikh Ahmad ini sepertimana Allahyarham bapanya turut menguasai ilmu agama dalam bidang-bidang seperti Usulludin, syariah, tasawuf, nahu-saraf, falak dan pemegang khalifah tarekat Ahmadiah.

Lantikan Sebagai Mufti

Apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan ditubuhkan, beliau telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan yang pertama dan selalu diutamakan dalam majlis-majlis rasmi negara yang diadakan di Istana Negara Negara Kuala Lumpur, ini mungkin kerana Yang Dipertuan Agong Pertama ketika itu ialah dari Negeri Sembilan. Tambahan pula Tuanku Abdul Rahman amat rapat dengan keluarga Sheikh ini.

Atas khidmat cemerlangnya, Negara telah mengurniakan bintang Ahli Mangku Negara dan negeri pula mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian kepada Allahyarham.

Hasil Karangan

Difahamkan Sheikh Haji Ahmad banyak mengarang buku-buku dan risalah keagamaan. Antaranya ialah kitab Tuhfatul Autan, Safinatul Salamah, Kaifiat Sholat Tarawih, Al Kaulul Wafi, Firaidul Maksir, Kanzul Muiz, wirid-wirid tarekat Ahmadiah dan teks khutbah untuk masjid-masjid negeri ini.

Meninggal Dunia

Pada 7 Januari 1964 ( 21 Shaaban 1383) jam dua petang ( Selasa), Haji Ahmad ini menghembuskan nafas terakhirnya ketika masih menjawat jawatan Mufti. Beliau dikebumikan di samping makam bapanya dalam usia 52 tahun. Beliau telah meninggalkan beberapa anak turut berjasa kepada agama seperti Mufti Dato' Mufti Negeri Sembilan, Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad pemegang Khalifah Tarekat Ahmadiah sekarang dan Sheikh Faiz adiknya yang ke empat yang banyak membantunya dalam hal ehwal tarekat.




Sheikh Haji Abdullah Haji Muhamad Said ( 1905 – 1956 )


Beliau adalah anak yang pertama Sheikh Haji Muhamad Said dan menjadi khalifah Tarekat Ahmadiah dan alim selepas bapanya. Dilahirkan pada tanggal 1905 di rumah kaum kerabatnya di Jalan Melayu, Kuala Lumpur ( mungkin di kawasan perniagaan terkenal sekitar Masjid India sekarang). Ibunya orang Rembau bernama Siti Zubaidah Haji Said. Masa kecilnya beliau tinggal di Bukit Tembok, Seremban dan bersekolah di Sekolah Melayu Temiang dan meneruskan pendidikan agama dengan asuhan bapanya sendiri selama 12 tahun. Sheikh ini telah menerima Khalifah Tarekat dari bapanya.

Allahyarham menunaikan haji dalam tahun 1930. Beliau sempat berguru dengan Sidi Abu Abbas bin Sidi Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi yang terkenal itu. Apabila balik ke tanahair, beliau mula mengajar agama dengan membuka pondok. Anak-anak muridnya yang tinggal di pondok dalam satu masa dianggarkan 70 orang, mereka datang dari serata negeri ini dan juga dari Selangor. Di samping itu, beliau turut aktif mengajar di masjid-masjid dan suraunya di Ampangan. Tuan Haji Muhamad Mustaffa yang turut disentuh dalam senarai ulama negeri ini adalah sahabat karib Sheikh ini.

Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Agong Pertama itu turut berguru dengan Sheikh Haji Abdullah. Jesteru itu kita melihat dalam era pemerintahan baginda, kecenderungan untuk menghayati agama begitu menonjol misalnya baginda perkenan menjadikan Balai Istana Seri Menanti dijadikan tempat perbahasan agama di antara Maulana Lebai Maadah bin Layang dengan Tuan Haji Muhamad Mustaffa ( kedua tokoh ini turut dirakamkan dalam koleksi ini) dan majlis itu dipengerusikan oleh Tengku Burhanuddin kerabat Diraja ketika itu. Baginda juga dilaporkan turut membiayai penubuhan Madrasah Aliah Islamiah Kuala Pilah yang ditubuhkan oleh Lebai Maadah.



Sheikh Haji Muhamad Said Jamaluddin ( 1875 – 1926 )


Nama penuhnya Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin. Beliau adalah anak Tuan Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda ulama silam di atas. Ibunya Hajah Safiah Haji Muhamad Saleh Al Fatani berasal dari Patani, seorang pembaca Al Quran yang terkenal dan pernah menjadi guru qiraati semasa di Mekah. Datuknya Haji Muhamad Saleh juga seorang ulama terkenal dan berkahwin dengan Mariam, anak kepada ulama Sheikh Abdul Rashid Al Fatani.

Tempat Lahir

Allahyarham ini dilahirkan di Kota Mekah di Kampung Shaab Ali atau disebut juga Syi'b Ali pada hari Sabtu 4 Syaaban 1292H bersamaan 25 atau 18 September 1871( kiraan penyusun) tetapi catatan Nawawi Haji Indek dalam tahun 1873 dan Ismail Che Daud pada 1875. kemudiannya beliau dibawa balik ke Patani dalam tahun 1882 ketika berusia 7 tahun.
Di sana Muhamad Said dipelihara oleh ibu dan neneknya ( Mariam).

Pendidikan

Tokoh yang kita bicarakan ini memang bertuah kerana dilahirkan dalam rumah tangga orang-orang alim. Ibunya adalah pendidik awal kepada Muhamad Said hingga berjaya membentuk jiwanya berkeperibadian luhur dan mulia. Selepas itu dia mula berguru dengan beberapa ulama di Patani seperti Sheikh Zainal Abidin Muhamad ( Tuan Minal), Haji Awang @ Dato' Semela, Dato' Nahu dan Sheikh Muhamad Nuh dari Kedah. Kecerdasan dan ketekunannya dalam menuntut ilmu begitu terserlah.

Belayar Ke Mekah

Diriwayatkan apabila usianya menjangkau 17 tahun, beliau pun belayarlah ke Mekah Al Mukarramah tempat ianya dilahirkan. Di Mekah, Muhamad Said menuntut ilmu agama kepada lebih 50 orang guru. Antara guru-gurunya ialah Sheikh Muhamad Sulaiman, Hasbullah al Maliki, Muhamad Nawawi al Batani dan ramai lagi.
Beliau juga sempat berguru dengan Sheikh Jafar al Barzanji di Madinah. Ketika di Al Azhar pula, beliau mengaji dengan Sheikhul Azhar ketika itu Sheikh Al Ambabei dan Sheikh Ahmad Al Rifa'i Al Maliki dalam tahun 1896.

Sekembalinya beliau ke Mekah, dia telah belajar tarekat dengan Sheikh Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi dan mendapat ijazah Tarekat Ahmadiah pada tahun 1318 Hijrah ( 1901). Beliau dikatakan alim dalam ilmu alat, usulludin, fiqh 4 mazhab, ilmu rohani, hikmat, falsafah dan lain-lain lagi.

Balik Ke Tanahair

Terdapat perbezaan tarikh jangkaan beliau balik ke tanahair. Dalam catatan Ismail Che Daud dinyatakan beliau kembali sekitar tahun 1902/ 1320 H. Bagi Nawawi Hj Indek pula pada tahun 1900 sewaktu ia berusia 27 tahun.
Beliau telah menetap di Ampangan, Seremban dan mula mengajar agama serta menyibarkan tarekat Ahmadiah. Sheikh Haji Muhamad Said adalah khalifah atau wakil peribadi Sheikh Muhamad Al Dandarawi bagi kepulauan Melayu atau tanah Jawi. Pondoknya dibina di Ampangan, Seremban. Pondok ini dikatakan yang pertama diwujudkan di negeri ini dan ramai murid-murid dari serata tempat dalam Negeri Sembilan dan luar datang memondok di sana. Selain dari itu beliau juga keluar memberi kuliah di masjid dan surau.

Dalam menjalankan kerja dakwah dan mengajar agama kepada anak bangsanya, beliau terpaksa menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai daie. Apatah lagi ketika suasana negeri masih terjajah dan serba mundur yang menyebabkan peluang mendapatkan pendidikan khasnya ilmu agama amat terbatas. Kedudukan kawasan penempatan yang sukar dihubungi, jauh dan tiada tokoh-tokoh agama memimpin boleh menyebabkan budaya khurafat, bidaah dan adat-adat menyalahi syariat berleluasa. Kita amat bersyukur apabila ada ulama yang tampil membawa suluh memimpin ummah dari dahulu hingga sekarang. Ramai kalangan orang-orang alim waktu itu membuka kelas pengajian agama atau membina pondok untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu agama.

Muhamad Said turut mengikuti jejak langkah bapanya Sheikh Jamaluddin Haji Idris dengan membuka pondok pengajian. Beliau juga merantau banyak tempat seperti di Indo China, Siam, Kedah, Pahang, Singapura dan Kelantan dalam kegiatan dakwah disamping menyibarkan tarekat Ahmadiahnya. Difahamkan ada sebuah masjid yang diasaskan oleh Sheikh Muhamad Said di Bangkok dan beliau turut mengislamkan seorang Raja Siam. Kisah menarik raja menganut Islam ini bermula apabila raja tersebut bermimpi bertemu seorang yang mulia yang mukanya berseri-seri. Baginda telah memanggil seorang sami besar untuk mentafsirkan mimpinya. Sami tersebut menyarankan supaya baginda bertanya kepada seorang alim Islam yang menurut pandangannya akan datang ke negeri itu. Sheikh Muhamad Said dalam perjalanan dakwahnya ke Siam telah dijemput ke istana dan dipendekkan cerita, beliau telah mentafsirkan lelaki mulia dalam mimpi raja itu ialah Rasulullah SAW. Selepas itulah raja itu diislamkan oleh Sheikh Muhamad Said. (Kisah ini tidak disebarluaskan)

Gempar

Pernah berlaku di Kelantan dalam tahun 1905, berlaku kegemparan kalangan rakyat negeri lantaran pembawaan Tarekat Ahmadiah cara Sheikh Muhamad Said. Kaedah zikir tarekatnya boleh menimbulkan keasyikan atau seakan mabuk. Ramai ulama tempatan menentang gaya ini. Ekoran dari kegemparan ini Sultan Kelantan ketika itu telah menulis surat bertarikh 12 November 1905 kepada tokoh ulama Kelantan yang bermukim di Mekah iaitu Wan Ahmad Haji Wan Din ( Wan Muhamad Zainal Abidin) untuk mendapat penjelasan atas kegemparan tersebut.

Sheikh ini juga dianggap pembenteng aliran kaum tua kerana beliau tidak memberi tempat kepada pengaruh kaum muda atau lebih dikenali Wahabi itu meluaskan pengaruhnya di negeri ini. Malah dalam manakib Sheikh Muhamad Said Al Linggi ada menyatakan pandangan dan bidasan beliau yang keras terhadap aliran ini. Walau bagaimanapun, penyusun tidak berhasrat untuk menyentuh perbezaan pendapat aliran-aliran tersebut di ruangan ini kerana beberapa tokoh dalam bibliografi ini ada juga kalangan ulama aliran kaum muda yang mempunyai peranan besar dalam meninggikan syiar Islam di negeri ini. Kita berdoa agar ulama yang berjasa besar tersebut mendapat limpahan rahmah dari Allah SWT jua.

Perkahwinan

Sheikh Muhamad Said ketika di Kelantan menetap di rumah mertuanya Haji Awang Alim di Kota Bharu. Beliau berkahwin dengan Hajah Safiah Haji Awang semasa di Mekah lagi. Menurut riwayatnya, Sheikh Muhamad Said pernah berkahwin sebanyak 9 kali dan mempunyai anak seramai 32 orang. Zuriatnya ramai menjadi tokoh-tokoh agama yang disegani sehingga sekarang.

Kewarakan

Umum telah mengetahui bahawa tokoh ini amat warak dan dianggap sebagai wali Allah lantaran beberapa kelebihan semasa hidupnya.
Orangnya berkeperibadian sederhana, zuhud, kuat beribadah dan suka menolong orang susah. Dikatakan Almarhum Tuanku Muhamad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ( 1888 – 1933 ) dan Dato' Kelana Ma'mur ( 1889 – 1945 ) sangat menghormati dan mengasihi Sheikh ini. Malah pernah ditawarkan jawatan kadhi tetapi beliau menolaknya. Semasa hayatnya, ulama terbilang ini kerap menjadi rujukan dalam permasalahan agama. Beliau juga banyak meninggalkan hasil tangan berupa kitab-kitab seperti berikut:

1. Syarh Kunuz al Jawahir al Nuraniyat Fi Qawaid al Tariqat al Shadhiliyah ( 1905).

2. Al Ahzab al 'Irfaniyyat Wa al Awrad al Nuraniyah ( 1905).

3. Kashf al Ghiba an Haqiqat al iba.

4. Risalah Fath.

5. Sullam al Ta'rif ila 'llm al Tasrif.

6. Manuskrip Syair Arab, berkaitan kupasan tentang permasalahan golongan Wahabi.

Meninggal Dunia

Pada 12 R'awal 1345 bersamaan 20 September 1926, Ulama terbilang ini menghembuskan nafas terakhirnya. Jasadnya dihantar ke tanah perkuburan berhampiran Kebun Bunga Seremban oleh ribuan anak muridnya termasuk Almarhum Tuanku Muhamad sendiri. Kunjungi juga web blog



Tuanku Abdul Rahman telah memberi tauliah mengajar agama dan membawa Tarekat Ahmadiah kepadanya. Miskipun begitu, beliau telah menolak sebarang jawatan agama yang ditawarkan kepadanya. Allahyarham sangat dihormati oleh masyarakat dan sebagai pemimpin tarekat yang sholeh dan berbudi luhor. Beliau suka berterus terang dalam menyampaikan dakwah dan ikhlas menolong orang-orang yang susah. Dikatakan bila ada orang-orang yang suka melakukan perkara-perkara yang mungkar, beliau akan memberi nasihat dan teguran supaya mereka bertaubat.

Allahyarham Sheikh Haji Abdullah meninggal ketika usianya 51 tahun dalam tahun 1956. kehilangannya begitu dirasai oleh penduduk negeri ini kerana dikatakan ia dianggap pakar rujuk dan doa-doanya kerap kali pula diperkenan oleh Allah SWT.


Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris ( 1814– 1887 )


Dalam tahun hijrah 1231 bersamaan tahun masihi 1814 , lahirlah seorang anak lelaki yang kemudiannya terkenal dengan nama Tuan Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda. Sesetengah orang memanggilnya Sheikh Indin, nasab keturunan sebelah bapanya sampai kepada Daeng Kemboja anak Raja Bugis yang bermukim di Linggi ( sebelum itu dikenali Kuala Penagim). Dijangkakan Daeng Kemboja berada di Linggi antara tahun 1753 – 1759 kerana menempatkan angkatan tenteranya untuk menyerang penjajah Belanda di Melaka.

Bapanya Haji Idris anak kepada Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin Amaludin bin Awaludin @ Dato' Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang hampir separuh umurnya berada di tanah suci Mekah Al Mukarramah kerana menuntut ilmu. Haji Idris dikatakan keturunan Minangkabau- Bugis – Linggi. Isteri Khatib bernama Zalikha anak kepada pembesar Kampung Semabuk, Minangkabau. Awaludin pula dikatakan sebagai peneroka Daerah Linggi ( 1783) Negeri Sembilan. Suami Hajah Rahimah iaitu Haji Abdul Mu'min Linggi bin Sheikh Muhamad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah berasal dari Hadramaut, bertali nasab pula sampai kepada Saidina Abdullah bin Abas, sepupu Rasulullah s.a.w.

Sheikh Jamaludin dibawa bapanya ke Mekah dan mengaji di sana. Beliau diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjidil Haram. Di tanah suci itu beliau berkahwin dengan Hajah Safiah binti Haji Mohd Saleh. Isterinya dikatakan seorang pembaca al Quran yang baik bacaannya dan pernah menjadi guru Qira'at al Quran di Mekah. Sheikh Jamaludin balik ke tanahair dalam masa pemerintahan Dato' Luak Kelana Sendeng dalam tahun 1850 – 1872. Dalam zaman Dato' Kelana Syed Abdul Rahman dalam tahun 1872 – 1881 berbagai peristiwa berlaku dalam politik negeri dan permasalahan agama. Dalam tahun 1880 Lukut telah diserahkan semula oleh Selangor. Kepercayaan khurafat dan tahyul juga begitu menebal di kalangan masyarakat setempat.

Sheikh Jamaludin berpegang teguh dalam hukum agama dan berani menyampaikan dakwahnya walaupun kadangkala bertentangan dengan Dato' Kelana. Satu tindakan bijaknya ialah membenteras buta huruf dalam masyarakat. Melalui tindakan ini ramailah penduduk yang boleh membaca dan menulis jawi serta memudahkan pengajian agama disampaikan. Pendidikan agama yang dititik beratkan terlebih dahulu ialah pelajaran fardhu ain.

Antara murid-murid yang alim hasil dari tarbiah secara langsung dari tokoh ini ialah anaknya sendiri Sheikh Haji Muhamad Said, anak saudaranya Lebai Abbas Zakaria dan Haji Mustaffa Haji Ahmad.
Orang alim ini kembali ke Rahmatullah dalam tahun 1304 Hijrah kira-kira tahun 1887 Masihi ketika berusia 73 tahun. Beliau dimakamkan di Linggi.

1 ulasan:

yuri kanagiri berkata...

tlg tunjukin aku di mana aku boleh menuntut ilmu makrifat dan di mana aku boleh mencari guru mursyid untuk bimbing aku mengenal allah