Catatan Popular

Sabtu, 24 Januari 2015

MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN : HUKUM QALBI YANG PERTAMA ADALAH QOSAD



NUKILAN HJ SAARI MOHD YUSOF (PEWARIS KETIGA ILMU MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN)

Apakah maksud, erti atau makna perkara Qosad?
Jawapan:

Qosad itu adalah bererti, bermaksud dan bermakna “menyatakan niat”.
Qosad itu ertinya menyatakan niat. Persoalannya di sini, manakah yang dikatakan niat? Niat itu adalah sesuatu yang tidak berhuruf dan tidak bersuara, sedangkan niat yang kita ucapkan atau yang kita lafazkan selama ini, adalah berupa huruf dan berupa suara yang keluar dari kedua bibir mulut. Suara yang keluar dari kedua bibir mulut itu, bukan niat, itu adalah merujuk kepada lafaz niat dan bukannya niat. Sebenar-benar niat itu adalah perkara yang tidak berhuruf dan tidak bersuara (biarpun lintasan hati), itu bukan niat dan lintasan hatipun bukan dikatakan niat.
“Innamal akmal bil niat” yang bermaksud “Bermulanya amal ibadah itu, adalah dengan niat”. Bermulanya setiap ibadah itu, hendaklah dengan niat, persoalannya di sini, di manakah niat? Sebutan atau lafazan yang kita ucap melalui kedua bibir mulut itu, bukan niat. Lafaz yang keluar dari sebutan kedua bibir mulut itu, adalah lafaz niat. Lafaz niat itu, tidak sama dan berbeza dengan niat. Persoalannya, di manakah yang dikatakan niat?
Perkara niat itu, adalah suatu perkara yang berkait rapat dengan firman berikut, “La tatahrroku zarratun illa biiznillah” yang bermaksud “Tidak bergerak sebesar zarah, melainkan dengan izin Allah”. Barang siapa yang faham akan firman ini dengan sebenar-benar faham, maka faham, tahu dan mengertilah dia, apakah itu maksud niat.
Ayat di atas mengatakan bahawa tidak bergerak biar sebesar zarah atau walau sekecil zarah sekalipun, jika tidak dengan izin Allah. Bermakna di sini setiap amal itu, hendaklah bermula dengan gerak Allah, jika segala amal kita itu bermula dengan gerak Allah, bagaimana pula dengan setiap amal bermula dengan niat? Persoalannya di sini, apakah niat dan apakah gerak Allah? Apakah gerak atau niat itu suatu perkara yang berbeza? Jika berbeza dan jika bersamaan, apakah beza dan apakah persamaannya?
Persoalannya di sini, mana lebih dahulu, mana yang lebih besar, mana yang lebih utama dan mana yang lebih afdal antara perkara niat dengan perkara gerak Allah? Apakah gerak Allah dahulu atau niat dahulu? Persoalannya di sini, manakah yang lebih dahulu antara gerak Allah dengan niat?
Hadis bersabda, setiap amal itu, bermula dengan niat manakala firman pula berkata tidak bergerak dan tidak bermula sesuatu gerak biar sekecil zarah jika tidak dengan izin atau gerak Allah. Persoalannya di sini, mana satukah yang terlebih dahulu dan manakah yang dikatakan sebenar-benar niat?
Jika kita masih di dalam keadaan keliru, was-was, syak, waham atau tidak pasti dan tidak tetap pendirian, maka haram hukumnya mengerjakan ibadah. Barang yang hendak disembah, belum kita pasti dan belum kita yakin, mana mungkin boleh disembah. Mana mungkin tuan-tuan boleh menyembah barang yang belum tentu dan belum pasti. Allah, adalah Allah yang hendak disembah bilamana pasti dan nyata.
Jika sekiranya niatpun belum kita pasti, mana mungkin Allah boleh dipastikan. Haram hukumnya menyembah barang yang selain Allah (yang belum pasti). Kita mengerjakan solat dengan menggunakan gerak tubuh, gerak badan dan gerak jasad, sedangkan kita tidak mengenal tuan yang empunya gerak, apakah layak kita menggunakannya? Kita guna gerak kepunyaan orang, sedangkan orang yang empunya gerak tidak kita kenali, apakah patut atau apakah layak? Cuba tuan-tuan tanya diri tuan-tuan sendiri, apakah layak kita guna gerak orang yang kita tidak kenali tuannya?
Misalannya, tuan terlihat adanya kenderaan (kereta) di tepi jalan, bolehkah tuan-tuan guna kenderaan tersebut, tanpa kebenaran, tanpa mengenali atau tanpa pengetahuan tuan yang empunya? Gerak atau niatpun kita tidak tahu, apakah sah solat kita? Cuba jawab.
Niat itu, adalah perkara yang tidak berhuruf dan tidak bersuara. Sebenar-benar qosad dan sebenar-benar niat itu, adalah perkara yang tidak terlafaz melalui mulut dan tidak ternyata melalui tasdek hati (membenarkan dengan hati). Sebenar-benar niat itu adalah perkara yang tidak berhuruf dan tidak bersuara (bukan dari bibir mulut dan bukan dari hati).
Adapun niat yang dinyatakan melalui ucapan kedua bibir mulut itu, menurut pandangan melalui sudut ilmu makrifat, ianya tidak dikatakan niat. Suara yang terbit (yang keluar) dari kedua bibir mulut, yang dikatakan niat itu, adalah dikatakan lafaz niat dan bukannya niat. Yang keluar dari kedua bibir mulut itu, adalah lafaz niat dan bukannya niat.
Ilmu fekah menyatakan bahawa suara yang keluar dari kedua bibir mulut dan yang membenarkan dengan hati itu, adalah niat. Adapun menurut pandangan dari sudut ilmu makrifat, suara atau tasdek (membenarkan) dengan hati itu, masih belum dikatakan niat. Suara yang keluar dari kedua bibir mulut dan dibenarkan dengan hati itu, masih belum dikatakan niat.
Sekadar melafazkan niat untuk memberi tahu Allah yang kita hendak sembahyang seumpama, “Sahaja aku sembahyang maghrib tiga rakaat kerana Allah Taala”, menurut sudut pandangan ilmu makrifat, itu belum dikatakan niat, itu adalah dikatakan “lafaz niat”. Jika kita melafazkan niat dengan berkata, “Sahaja aku sembahyang maghrib tiga rakaat kerana Allah Taala” itu, lafaz yang keluar dari kedua bibir mulut itu, sekadar untuk memberi tahu kepada Allah yang kita hendak sembahyang maghrib tiga rakaat, jika niat itu adalah bertujuan untuk memberi tahu Allah atau bertujuan untuk memperkhabarkan kepada Allah yang kita hendak sembahyang maghrib tiga rakaat, adapun sebelum kita berdiri solat itu, sesungguhnya Allah sudah tahu yang kita itu hendak sembahyang maghrib.
Tanpa diberi tahu atau tanpa diperkhabarkan kepada Allahpun, Allah sudah tahu yang kita hendak sembahyang maghrib tiga rakaat. Malahan sebelum kita buka pintu rumah atau sebelum kita turun dari tangga rumahpun, Allah sudah tahu dan Allah sudah sedia maklum yang kita itu hendak sembahyang maghrib. Bilamana kita melafazkan niat dengan bibir mulut itu, seolah-olah kita hendak memberi tahu Allah. Persoalannya di sini, apakah Allah itu tidak tahu yang kita hendak sembahyang maghrib, sehingga kena lapor, kena bagi tahu dan kena diperingati? Jika kita tidak bagi tahu, apakah Allah tidak tahu? Malahan sebelum kita lahir ke dunia ini, sesungguhnya Allah itu sudah tahu dan sudah sedia maklum yang kita itu hendak bersembahyang maghrib pada sekian hari, sekian masa dan sekian rakaat, sebelum kita lahir ke dunia lagi.
Allah telah berfirman, “Wallahu kholakokum wama takmalun” yang bermaksud “Allah buat kamu dan apa-apa kamu perbuat”. Sebelum kita lahir ke dunia lagi, Allah sudah tahu apa yang akan kita buat setiap saat, setip detik, setiap jam dan setiap hari. Tidak perlu kita memperingatkan Allah pada setiap kali kita hendak bersolat. Sebelum kita berniat untuk berkahwin, sebelumnya Allah sudah tahu sebelumnya. Kita masih kanak-kanak seusia 10 tahun, yang belum ada cita-cita untuk berkahwin, sesungguhnya Allah sudah tahu, kita hendak kahwin dengan siapa dan bila tarikh kita kahwin, hari kahwin, saat kahwin dan berkahwin dengan siapa, Allah sudah tahu dan Allah sudah sedia maklum, biarpun kita semasa itu masih belum melafazkan niat. Begitu juga dengan perkara bersolat, Allah sudah tahu yang kita itu, akan bersolat apa, di mana dan berapa rakaat, itu semua dalam ilmu Allah yang tidak payah diperingati, seolah-olah Allah tidak tahu sembahyang apa yang hendak kita kerjakan. Oleh itu, apakah dan di manakah yang dikatakan sebenar-benar niat?
Ingat, ingat dan ingat pesanku bahawa, “niat dengan lafaz niat” itu adalah suatu perkara yang berbeza. Lafaz niat itu, adalah yang keluar dari kedua bibir mulut dan yang membenarkan dengan hati. Adapun yang dikatakan sebenar-benar niat itu adalah sesuatu perkara yang tidak berhuruf dan sesuatu yang tidak bersuara (tidak ada bunyi dan tidak ada terlafaz dengan suara, mahupun dengan hati).
Saya tinggalkan terlebih dahulu bab yang membicarakan soal niat. Soal niat itu, akan saya cerita dan akan saya perkhabarkan pada bahagian akhir nanti, pada bahagian pengulungan nanti. Di peringkat ini, jika sekalipun saya cerita apa itu erti niat, tuan-tuan tidak akan faham dan tidak akan mengerti sebelum saya menceritakan keenam-enam hukum qalbi. Oleh itu, sebelum kita membicarakan soal niat (qosad), mari kita bicara terlebih dahulu perkara hukum qalbi yang enam. Hukum qalbi yang kedua selepas Qosad itu, adalah “takrukh”.

Tiada ulasan: