NUKILAN HJ SAARI
MOHD YUSOF (PEWARIS KETIGA ILMU MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN)
6) Munajat
Soalan:
Apakah maksud, makna atau erti munajat?
Jawapan:
Maksud, makna atau erti munajat itu, adalah
berpandang-pandangan, tilik-menilik atau pandang-memandang. Persoalannya di
sini, apakah yang dipandang dan apakah yang memandang?
Untuk mengerjakan hukum qalbi dalam bidang
munajat itu, setelah menyerah diri zahir (di peringkat ihram) dan
terlihat diri yang batin (di peringkat mikraj), maka tibalah masanya
diri batin memandang dirinya sendiri (batin melihat batin).
Lebur sudah istilah diri zahir dan karam sudah
istilah diri yang batin, maka hanya tinggal batin memandang batin, batin
melihat batin dan batin sahaja yang menilik batin, maka jadilah ia istilah
pandang-memandang, tilik-menilik dan lihat-melihat (munajat). Inilah
yang dikatakan peringkat sembahyang (solat) dalam berkeadaan peringkat
munajat. Sudah tidak timbul lagi zahir atau batin. Di sinilah yang dikatakan
wajah bertentang wajah (mata bertentang mata). Tidak ada lain lagi
yang tertilik melainkan yang tertilik itu, adalah diriNya sendiri (batin
sahaja yang mengenal batin).
Solat (sembahyang) melalui hukum qalbi (munajat)
itu, adalah solat orang yang sudah tidak lagi terpandang kaki yang berdiri, tidak lagi terpandang tangan yang
bertakbir dan tidak lagi terpandang mulut yang membaca, melainkan yang berdiri,
yang bertakbir dan yang membaca ayat-ayat suci itu, adalah kerana adanya roh (hidup
atau hayat).
Mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan sebagainya
itu, adalah anggota yang menumpang di atas sifat roh. Jika tidak ada roh,
semuanya tidak boleh bergerak. Bergeraknya semua anggota itu, adalah kerana
adanya roh (semua anggota menumpang roh).
Roh itulah sebenar-benarnya yang menggerakkan
anggota, tanpa roh siapalah jasad. Oleh itu, bermula dari hari ini, saat ini dan di ketika ini, marilah kita
bersembahyang dengan hukum qalbi (munajat), kerana dalam peringkat
ini, solat kita, tidak lagi bergantung harap kepada anggota zahir, melainkan
bergeraknya anggota zahir itu, adalah di atas dasar bergeraknya roh. Maka,
rohlah yang mengerjakan anggota jasad dan rohlah yang sebenar-benar bersolat.
Anggota zahir itu, adalah semata-mata pak turut.
Jika kita katakan anggota jasad yang
bersembahyang atau bersolat, cuba kita tanya
kepada diri kita sendiri, bilakah anggota jasad mengenal Allah? Anggota jasad
tidak pernah bertemu atau berjumpa Allah. Sedangkan yang pernah berjumpa atau
bertemu Allah itu, adalah roh. Makanya rohlah yang layak mengenal Allah dan
dialah yang layak menyembah Allah, bukannya jasad tubuh badan. Peringkat ini
adalah peringkat:
“Faainama tuwallu fasamma wajuhullah”,
yang bermaksud “Mana dihadapkan mukamu, di situlah Allah”.
“La maujud Illallah”, yang bermaksud “Tidak
ada yang wujud itu, selain Allah”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan