NUKILAN HJ SAARI
MOHD YUSOF (PEWARIS KETIGA ILMU MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN)
Pengertian Di Sebalik Waktu
Manakah masa dan manakah waktu solat?
Soalan:
Apakah maksud, erti atau makna takyin?
Jawapan:
Maksud, erti atau makna takyin itu adalah menentukan
waktu. Persoalannya di sini, manakah yang dikatakan sebenar-benar waktu solat?
Manakah yang dikatakan sebenar-benar waktu? Waktu solat itu bukan letaknya pada
jam dinding, bukan bertempatnya pada jam tangan dan bukan letaknya pada ukuran
bayang matahari. Ukuran jam dinding atau jam tangan itu, bukan menunjukkan
waktu tetapi adalah bagi mentukan masa.
Soalan:
Apakah perbezaan antara masa dan waktu?
Jawapan:
Pada pandangan kita orang awam, masa dan waktu itu,
sememangnya tidak ada perbezaannya. Namun bagi orang mengenal Allah
(makrifatullah), ianya suatu perbezaan yang ketara.
Waktu solat itu, bukannya pada jam atau bukan juga
pada bayang matahari. Waktu solat itu, sesungguhnya ada atas diri kita
masing-masing. Semasa saya kecil, saya teringat kepada seorang cikgu sekolah
(ustaz), beliau ada bertanya kepada murid, “Di antara kamu semua, adakah yang
tidak sembahyang subuh?”, katanya meneruskan cerita, jika kita tidak sembahyang
subuh, di akhirat esok nanti kita tidak ada “kepala”. Jika tidak sembahyang
zuhur, di akhirat esok nanti kita tidak ada “dada”, tidak sembahyang asar nanti
di akhirat esok, kita tidak ada “tangan”, kiranya tidak sembahyang maghrib,
esok nanti di akhirat, kita tidak ada “punggung” dan jika kita tidak sembahyang
isyak, nanti di akhirat esok, kita tidak ada “kaki”.
Dalam hati kecil semasa itu tertanya-tanya, apakah
sebabnya ustaz berpesan atau bercerita begitu? Apa kena-mengena waktu solat
dengan tubuh jasad kita? Semasa itu, kita tidak mengerti akan kiasan cerita
itu. Setelah dewasa dan setelah diberi pengajaran oleh ayahanda Hj. Mohd Yusof
Che wook, baru saya faham dan mengerti bahawa sesungguhnya waktu solat itu,
sebenar dan sesungguhnya ada bertempat dan ada terletak pada diri dan ada atas
diri kita sendiri.
Jika difikir-fikirkan dengan akal yang lemah ini, ada
juga benarnya. Kiranya ukuran waktu solat itu, letak atau duduknya pada jam
dinding atau letaknya pada bayang matahari, bagaimana dengan ulama, wali-wali,
para guru-guru makrifat dan bagaimana ahli pertapaan (semedi) zaman-zaman
dahulu, yang bertapa di dalam gua, untuk mengira waktu solat. Jika sekiranya
ukuran solat itu letak atau duduknya pada ukuran jam atau ukuran bayang
matahari, apa akan terjadi bagi orang zaman dahulu yang bertapa (semedi) yang
duduk dalam gua, di mana tidak ada jam tangan, tidak ada jam dinding dan tidak
ada bayang matahari? Bagaimana untuk mereka mengerjakan solat? Ukuran bayang
matahari itu, boleh diukur kiranya pada waktu siang, bagaimana kiranya waktu
tidak ada matahari, seumpama hari malam atau seumpama hari mendung atau sewaktu
kita berada di dalam gua gelap (bertapa)?
Masa boleh diukur melalui jam tangan atau masa boleh
diukur melalui jam dinding (kiranya ada), sedangkan solat itu bukan mengikut
masa. Adapun solat itu, adalah mengikut “waktu”, bukan mengikut masa.
Persoalannya di sini, di manakah waktu? (waktu solat).
Di setiap kejadian Allah S.W.T itu, semestinya ada
rahsia dan mesej di sebaliknya. Hanya kita sahaja yang tidak pandai untuk
menterjemahkannya. Bagi yang berhati basirah dan yang berpandangan jauh
(tasawuf), hatinya akan mendapat petunjuk untuk memahaminya. Dalam penetapan
rakaat sembahyang, ianya bergantung kepada waktu. Kenapa waktu Zuhur 4 rakaat,
Asar 4 rakaat, Maghrib 3 rakaat, Isyak 4 rakaat dan Subuh 2 rakaat? Rakaat
sembahyang itu, sebenarnya tersembunyi suatu rahsia. Bukannya sahaja-sahaja
Allah S.W.T menjadikan ianya 2, 3 dan 4 rakaat, melainkan ada tersembunyi
pengertian di sebalik itu.
Zuhur adalah waktu pertama bermulanya perintah
sembahyang. Kenapa perlunya waktu Zuhur itu, dijadikan perintah sembahyang yang
pertama dan disusuli dengan Asar dan seterusnya sehingga ke waktu Subuh. Kenapa
tidak Subuh dahulu atau Isyak dahulu dan kenapa didahulukan Zuhur mengatasi waktu-waktu
lain?
Kenapa sembahyang itu diperintahkan mengikut masa jam
(mengikut jam matahari)? Kenapa jika lewat atau terawal satu minit, ianya
dikira tidak masuk waktu? Adakah sembahyang itu memerlukan perhitungan minit
waktu (jam waktu). Jika diawalkan seminit atau dilewatkan seminit, telah dikira
tidak sah sembahyang? Jika kita fikir-fikir melalui akal yang lemah ini, apakah
Allah hanya ada mengikut masa jam? Sekiranya tidak ada masa jam, apakah kita
tidak boleh menghadap Allah? Ukuran solat itu, apakah mengikut masa atau
mengikut waktu? Persoalannya manakah waktu?
Sebagaimana tersembunyinya rahsia di sebalik kiasan
maksud puasa, sebegitulah tersembunyinya rahsia di sebalik rakaat sembahyang.
Allah S.W.T Yang Maha Bijaksakna, tidak membuat sesuatu itu dengan sia-sia,
melainkan dipenuhi dengan kias dan ibarat yang dalam dan tinggi. Bagi mereka
yang berpandangan dan yang bermata basirah, akan terpandanglah ketinggian
maksud yang tersembunyi itu, manakala bagi yang buta mata hatinya, apa yang
mereka nampak hanyalah perkhabaran barisan catatan tulisan dalam ayat-ayat yang
kaku.
Apakah rahsia yang tersembunyi di sebalik rakaat waktu
sembahyang? Oleh itu, marilah kita hayati satu-persatu maksud itu. Mula-mula
sekali, mari kita lihat rahsia yang tersembunyi di sebalik kiasan rakaat pada
waktu Subuh. Kenapa waktu Subuh rakaatnya hanya dua rakaat? Kenapa tidak tiga,
tidak empat dan kenapa sembahyang Subuh mesti dua rakaat? Kenapakah dua rakaat
itu dikeranakan waktu pagi (sekitar jam 6 hingga 7 pagi)? Jika tidak tersembunyinya
sesuatu kiasan, masakan Allah S.W.T menetapkan waktu Subuh itu hanya dua
rakaat? Apakah maksud dua rakaat itu? Di manakah kiasan Allah S.W.T atas
ketetapan dua rakaat itu?
Bagi memahami rahsia kejadian Allah S.W.T atas segala
sesuatu, hendaklah kita kiaskan atau bawanya kepada diri sendiri. Jika tidak
dibawa kepada diri, tidaklah kita temui akan rahsia di sebalik kejadian. Apa
juga bacaan atau apa juga cerita, ianya hendaklah dirujuk kepada diri kita
sendiri, barulah berjumpa dengan rahsia di sebalik sesuatu. Baik dalam perkara
membaca Al-Quran, menyelami cerita kisah-kisah nabi dan hadis, hendaklah kita
rujuk kepada diri sendiri, barulah kita akan jumpa rahsia di sebaliknya.
Persoalannya manakah yang dikatakan waktu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan