Catatan Popular

Rabu, 28 Mac 2012

KU HIDUPKAN KITAB KASHF AL MAHJUB (AL HUJWIRI): BAB 2 FAQR ATAU KEMISKINAN

BAB 2 FAQR ATAU KEMISKINAN

OLEH IMAM Al-HUJWIRI

Selepas membicarakan tentang pentingnya ilmu, khususnya persediaan bagi mempelajari ilmu tasawuf, Al-Hujwiri membicarakan tentang faqr, atau kefakiran sebagai pembukaan pembicarana bagi memahami tasawuf. Ia adalah pendekatan biasa sebagai pendekatan bagi kitab-kitab tasawuf yang lain, jika pun tidak terus membicarakan tentang kefakiran, maka terlebih dahulu dibicarakan tentang zuhud sebagai topik utama. Aspek kefaqiran diberi tumpuan yang lebih oleh Al-Hujwiri, kerana ia diikuti dua topik lagi berhubung dengan kefaqiran.
Apakah faqr atau kefaqian itu? Faqir sudah menjadi istilah umum dan istilah khusus. Istilah umum ialah memaksudkan orang kurang pendapatan lebih bawah dari garis  kemiskinan. Ertinya merujuk dari segi ekonomi dan kerana pendapatan berada di bawah dari garis kemiskinan, maka dia dikira termasuk di bawah kategori asnaf (Al-Taubah: 60).
Adapun istilah dari segi kerohanian dia merujuk kepada diri sufi yang faqir mungkin dari segi keperluan zahir (makan, minum dan sebagainya), tetapi lebih dari itu dia orang yang amat brhajat dan memfokuskan dirinya kepada Allah yang tidak semestinya faqir dari segi benda.
Berhubung denga kefaqiran ini dirujuk oleh  Al-Hujwiri akan ayat Al-Qur`an, antaranya bermaksud:
``(Pemberian sadaqah itu) ialah bagi orang-orang faqir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan mejalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya), mereka itu disangka kaya oleh orang-orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau (kenal) mereka dengan  melihat sifat-sifat dan keadaan masing-masing. Mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah) apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.`` ( Al-Baqarah:  273).
Kefaqiran adalah  sesuatu yang wujud di dalam masyarakat. Di alam ayat di atas Allah memuji orang sabar dan menyembunyikan kefaqirannya dan tidak meminta-minta dari masyarakat.
Ayat Al-Qur`an juga menyebut  bermaksud:
``Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pun dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu (dalam keadaan susah), dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat, dan ingatlah sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi dirinya oleh tabiat bakhil, maka merekal;ah orang-orang yang berjaya.`` (Al-Hashr: 9).
Ayat Al-Qur`an di atas (Al-Baqarah: 273) memuji mereka yang faqir, tapi menyembunyikan kefaqiran mereka dan tidak meminta-minta, bahkan disangka mereka sebagai orang yang biasa (kecukupan). Dan dalam ayat di atas (Al-Hashr: 9) Allah memuji mereka yang dalam keadaan ketidakcukupan dan sebenarnya amat memerlukan sanggup berkeorban kepentingan dengan menolong saudara-saudara sesama Islam (Muhajirin).
Sesungguhnya kefaqiran sedemikian aalah terpuji,bahkan mengkagumkan dari segi kemuliaan jiwa mereka. Jiwa yang sedemikian yang mau diterapkan ke dalam jiwa kalangan sufi. Sesungguhnya hidup dalam ketidakcukupan banyak menanamkan keinsafan dan kesedaran dan terbit dari jiwa berbagai-bagai sifat kepujian. Dengan keadaan demikian mereka lebih mendekati Tuhan.
Walaupun kefaqiran menjadi ciri ketasawufan, Al-Hujwiri menimbulkan persoalan dan perbahasan,  manakah lebih baik antara yang faqir dengan yang kaya-berada jika dengan keberadaannya digunakan untuk menolong orang termasuk yang faqir ?
Dengan menerima memanglah pendapat umum bahawa kefaqiran menjadi imej dan identiti ketasawufan, tetapi ada segolongan berpendapat kekayaan lebih tinggi kedudukannya dari kefaqiran, jika digunakan kekayaan pada jalan-jalan kebajikan. Pendapat ini diutarakan oleh Yahya bin Mu`adz al-Razi dan diikuti antaranya oleh Ahmad bin Abi al-Hawari, Harith  al-Muhasibi, Abu al-`Abbas bin `At*a` dan Ruym. Antara mereka seperti Shaykh Fadhlullah al-Mayhani dan Abu `Uthman al-Jalal berpendapat, bahawa  pada hakikatnya manusia tidak kaya dan berhajat (faqr) kepada Allah, hanya Allah sahaja yang kaya. Jika ada kelebihan rezeki yang dinisbahkan kaya kepada manusia, tetapi digunakan bagi menolong dan membela orang-orang yang susah dan faqir  adalah lebih baik dari orang-orang faqir.
Dalam perbahasan yang lain ditekankan bahawa, maksud faqir dan kaya, bukan  terhad kepada pemilikan harta, tetapi adalah faqir dan kaya dari segi  jiwa. Ini dapat dicontohi dari sifat orang-orang Suffah yang berlindung di Masjid Madinah pada permulaan Hijrah. Mereka ini memang pada permulaan dalam keadaan faqir, tetapi jiwa mereka sebagaimana penduduk Madinah (Ansar) kaya, walaupun mereka dalam keperluan, tetapi kaya jiwa.
Dari kekayaan jiwa kedua belah pihak, mereka  tidak mau kefaqiran dan kemiskinan membelenggu mereka. Orang-orang Ansar yang kaya jiwa, yang mereka juga miskin harta, membantu kaum Muhajirin. Dan akhirnya ratusan ahli suffah dapat memperbaiki diri. Mereka merupakan kalangan sahabat yang terkenal, antaranya yang kaya raya dengan harta,mereka adalah pejuang-pejuang yang menegakkan Islam  - menjadi sahabat-sahabat terkenal dan tidak berimej orang faqir. Mereka berstatus sama dengan orang-orang Ansar. Siapakah yang mau menafikan bahawa – para sahabat terkenal ini tidak lebih baik dari kalangan yang disifatkan fuqara` di dalam tasawuf ?
Ini bermaksud, bahawa sedang kalangan sufi mempertahankan kefaqiran adalah ciri, imej dan identiti kesufian, tetapi ada yang beroendapat bahawa kesufian tidak bererti kefaqiran dari segi harta, dan yang dianggap kaya sebenarnya tidak kaya, mereka tetap faqir kepada Tuhan, maka jika faqir dianggap mulia dan lebih mendekati Tuhan, tapi yang `kaya` tetapi sama faqir dan berhajat kepada Allah dan menggunakan kelawasan yang ada pada mereka bagi menolong yang benar-benar faqir, maka mereka ini dianggap oleh setengah pendapat lebih baik dari faqir yang sebenarnya.
Dalam kata lain bahawa faqir tidak bereti tidak berharta, tetapi faqir ialah yang berhajat kepada Allah. Dia mungkin  kaya dari segi  harta, tetapi  sama faqir kepada Allah.  
Faqir  kata Al-Junayd, mengosongkan hati dan meminimumkan keperluan materi, tapi memaksimumkan faqr kepada Ilahi dengan bakti dan budi.

Tiada ulasan: