Catatan Popular

Ahad, 7 September 2014

ISLAM DAN TAUHID Bab 10: Beriman Kepada Qada' dan Qadar



Qada’ menurut bahasa Arab ialah menghukum, menjadikan dan menjelaskan. Dari segi istilah pula ialah perbuatan Allah menjadikan alam semesta dan mentadbirnya mengikut ketetapan yang telah ditetapkan-Nya.
Qadar pula menurut bahasa ialah ketentuan atau peraturan. Dari segi istilah pula ialah Allah S.W.T telah menetapkan satu ketentuan bagi sesuatu perkara semenjak daripada azali.
Beriman kepada Qada’ dan Qadar merupakan  rukun keenam dari rukun-rukun iman di mana tidak sempurna keimanan seorang hamba sehingga ia beriman kepadanya. Beriman kepada qada’ dan qadar bermaksud mempercayai bahawa Allah S.W.T. adalah zat yang Maha Kuasa di seluruh alam ini untuk menentukan dan mengatur sesuatu yang ada di alam ini dengan kebijaksanaan dan kehendak-Nya sendiri tanpa diganggui oleh sesuatu kuasa asing.
Selain itu, menyakini bahawa apa yang dikehendaki Allah pastilah terjadi dan apa yang tidak dikehendaki Allah nescaya tidak akan terjadi, tiada sesuatu pun dapat wujud melainkan dengan kehendak dan kekuasaan Allah. Allah yang berkuasa ke atas segala sesuatu dan tidaklah Allah berkehendak atas sesuatu kecuali Allah Maha Kuasa atasnya.
Dengan erti kata lain, sesuatu perkara yang telah berlaku, atau yang sedang berlaku, atau yang akan berlaku, kesemuanya adalah tertakluk di bawah Qada’ dan Qadar (takdir) Allah untuk menentukan dan menetapkan kedudukan sebenar sesuatu perkara tadi. Justeru itu, apa sahaja yang terjadi di alam semesta ini, semuanya berjalan sesuai dengan ilmu dan iradat Allah yang telah direncanakan oleh Allah sejak mula lagi mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah.
Beriman dengan takdir Allah merangkumi empat peringkat iaitu :
Pertama : Beriman dengan ilmu Allah S.W.T. yang qadim dan beriman bahawa Allah mengetahui semua amalan hamba-hamba-Nya sebelum mereka melakukannya.
Kedua : Beriman dengan penulisan yang diketahui Allah yakni di luh mahfuz.
Ketiga : Beriman dengan kehendak Allah yang terlaksana dan kekuasaan-Nya yang tidak terbatas.
Keempat : Beriman dengan perbuatan Allah mengadakan semua makhluk dan Allah adalah khaliq (Pencipta) sementara selain daripada-Nya ialah makhluk.

Tiada ulasan: