Catatan Popular

Ahad, 7 September 2014

ISLAM DAN TAUHID Bab 8: Beriman Kepada Rasul



BERIMAN KEPADA RASUL 

Beriman kepada rasul-rasul adalah suatu tuntutan syarak dan menjadi salah satu daripada rukun-rukun iman yang enam. Beriman dengan para nabi dan rasul membawa maksud beriman dengan Rasul yang Allah sebutkan nama mereka dalam Al-Quran. Selain itu, golongan mukallaf juga wajib beriman bahawa Allah juga mengutuskan rasul-rasul lain yang tidak disebutkan namanya dalam Al-Quran dan Al-Sunnah di mana bilangan mereka tersangat ramai. Rasul ialah lelaki yang telah dipilih oleh Allah S.W.T. dari kalangan manusia untuk menjadi utusan-Nya kepada hamba-hamba-Nya dengan memberi berita gembira kepada orang yang beriman berupa balasan yang baik sebagai ganjaran atas keimanan, ketaatan dan kebaikan yang dilakukan serta memberikan berita menakutkan kepada orang yang kufur bahawa mereka akan menerima balasan azab atas kekufuran dan keingkaran mereka. Hikmah perutusan rasul ini ialah untuk Allah menyempurnakan panduan yang diperlukan oleh manusia bagi mengekalkan keturunan manusia, menyusun sistem hidup mereka dan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

BILANGAN NABI DAN RASUL 

Bilangan para nabi adalah seramai 124,000 nabi dan para rasul adalah seramai 313 rasul berdasarkan sabda Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasallam :

Maksudnya : Dari Abu Dzar r.a berkata, aku masuk ke masjid di mana beliau di sana, maka aku bertanya kepada Nabi , 'Berapakah jumlah Nabi semuanya?" Nabi menjawab, "Semuanya ada 124.000 nabi.” ”Dan berapakah jumlah Rasul?” beliau menjawab:” 313 Rasul.”
(Hadith Riwayat Hakim dan Al Baihaqi) 

Namun, bilangan sebenar nabi dan rasul tersangat ramai. Hanya Allah sahaja yang mengetahui bilangan sebenar para rasul yang diutuskan-Nya kepada setiap manusia. Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah Ghafir ayat 78 :

Maksudnya : “Demi sesungguhnya! Kami telah utuskan beberapa orang rasul sebelum kamu, di antara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka ada yang tidak Kami ceritakan kepadamu.”
(Surah Ghafir : 78)

NAMA-NAMA NABI DAN RASUL YANG WAJIB DIKETAHUI

Nama-nama nabi dan rasul yang wajib diketahui adalah seramai 25 orang kerana nama-nama tersebut disebutkan di dalam Al-Quran. Nama-nama nabi dan rasul yang wajib diketahui ialah :
1.      Nabi Adam ‘alaihissalam (a.s.)
2.      Nabi Idris a.s.
3.      Nabi Nuh a.s.
4.      Nabi Hud a.s.
5.      Nabi Saleh  a.s.
6.      Nabi Ibrahim a.s.
7.      Nabi Luth a.s.
8.      Nabi Ismail a.s.
9.      Nabi Ishak a.s.
10. Nabi Ya’qub a.s
11. Nabi Yusuf a.s.
12. Nabi Ayub a.s.
13. Nabi Syu’aib a.s.
14. Nabi Harun  a.s.
15. Nabi Musa a.s.
16. Nabi Ilyasa’ a.s.
17. Nabi Zulkifli a.s.
18. Nabi Daud a.s.
19. Nabi Sulaiman a.s.
20. Nabi Ilyas a.s.
21. Nabi Yunus a.s.
22. Nabi Zakaria a.s.
23. Nabi Yahya a.s.
24. Nabi Isa a.s.
25. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam

RASUL-RASUL ULUL AZMI

Di kalangan para rasul terdapat mereka yang digelar Ulul Azmi yang bermaksud orang yang mempunyai kesungguhan dan kuat berusaha. Para rasul yang memiliki gelaran ini adalah disebabkan kesungguhan dan usaha mereka melebihi rasul-rasul yang lain dalam menyampaikan risalah daripada Allah. Mereka seramai 5 orang iaitu :
1.      Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam
2.      Nabi Ibrahim A.S.
3.      Nabi Musa A.S.
4.      Nabi Nuh A.S.
5.      Nabi Isa A.S.

SIFAT-SIFAT YANG WAJIB BAGI RASUL

1.Siddiq/Benar
Siddiq bererti benar. Ia diambil daripada kalimah as-Sidqu iaitu mengatakan yang benar dan terang. Sifat benar ini wajib ada pada rasul. Ia menjadi sifat yang mutlak iaitu bersifat benar dalam semua perkara sama ada dalam percakapan, perbuatan dan hati. Apa yang disabdakan oleh para rasul dan para nabi adalah benar dan dibenarkan kata-katanya. Para nabi dan rasul mempunyai sifat siddiq iaitu membawa kebenaran.

2. Amanah
Perkataan amanah mempunyai pengertian khusus dan umum. Dalam pengertian khusus amanah bererti mengembalikan harta benda kepada yang mengamanahkannya. Manakala dalam pengertian khusus pula amanah memberi maksud menyembunyikan rahsia, ikhlas dalam memberi nasihat dan benar-benar menyampaikan sesuatu bila ditugaskan untuk menyampaikannya.
Sifat amanah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam seperti sifat-sifatnya yang utama adalah lengkap dan sempurna. Tidak diragukan lagi bahawa keluhuran budinya adalah penyumbang terbesar yang menyebar-luaskan risalah Allah. Baginda telah menyampaikan risalah itu kepada manusia dengan sebaik-baiknya. Bangsa Arab telah mengenal sifat amanah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sebelum baginda diutus. Mereka memberinya dengan gelaran “Al-Amin” orang yang terpercaya. Oleh kerana itu mereka menerima keputusan-keputusan baginda dalam perselisihan di antara mereka dan rela dengan ketetapan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana keputusan tentang perletakan Hajarul Aswad yang dibuat oleh Baginda.

3.Tabligh/Menyampaikan
Maksud tabligh ialah menyampaikan. Para rasul menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah, di mana menyampaikan itu menjadi sifat yang istimewa kepada mereka. Mustahil mereka menyembunyikan wahyu Allah. Mereka tetap menyampaikannya walaupun menghadapi kezaliman dan kekejaman manusia.
Semua rasul mengisytiharkan dengan berterus-terang dan bersemuka bahawa mereka menyampaikan perintah Allah dan menasihati umatnya. Begitu juga kita dapati Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan supaya menyampaikan perintah Allah kepada umat manusia. Para rasul sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan, hukum-hukum, berita gembira dan berita buruk kepada seluruh umatnya. 

4.Fatonah/Bijaksana
Fatonah bermaksud cerdik dan bijaksana. Setiap rasul yang dipilih oleh Allah wajib bersifat dengan sifat fatonah, malah secara luar biasa dalam memahami ajaran Allah. Para rasul memiliki kekuatan ingatan dan ketajaman akal yang luar biasa, sehingga tidak ada sesiapa yang mampu menandingi mereka, kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan agama Allah, menyatakan hukum-hukumnya, menghapuskan segala kekeliruan, menegakkan iman dalam hati manusia dengan hujah-hujah yang kuat serta membatalkan segala penentangan ke atas agama Allah.
Sifat fatonah adalah sifat yang saling berkait dengan sifat tabligh, kerana dalam menyampaikan ajaran Allah para pesuruh Allah mesti menghadapi perbahasan dan perbincangan yang sengit dengan musuh-musuh mereka. Dengan sifat fatonah itu wajar bagi mereka melaksanakan perintah Allah.
Jika kita mengkaji sejarah hidup Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, kita dapati baginda seorang yang bijak dan dapat memberi hujah yang kuat. Tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya, sehinggakan kata-kata baginda (hadis) menjadi hujah yang kuat hingga akhirat kelak.

SIFAT-SIFAT YANG MUSTAHIL BAGI RASUL

1.Kazib/Dusta
Mustahil rasul melakukan kazib iaitu pembohongan dan dusta kerana Allah telah menyokongnya dengan mukjizat yang menunjukkan kebenaran ajarannya. Allah tidak akan menyokong dan menolong pendusta. Sekiranya rasul itu boleh melakukan dusta, Allah tidak akan menyuruh kita mengikutnya.

2.Khianat/Curang
Mustahil rasul melakukan khianat. Sekiranya rasul itu melakukan khianat, nescaya sudah pasti dia akan mengubah syariat Allah dan merosakkan hukum-hukum yang diterimanya daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dengan itu, tujuan asas rasul itu diutuskan iaitu melakukan pengislahan dan beramal mengikut perintah Allah tidak akan tercapai. Allah tidak suka kepada orang yang melakukan kerosakan dan tidak akan membantu orang yang membuat khianat.

2.Kitman/Menyembunyikan
Mustahil rasul bersifat kitman iaitu menyembunyikan wahyu Allah. Mereka tetap menyampaikannya walaupun menghadapi kezaliman dan kekejaman manusia. Para rasul menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah, di mana menyampaikan itu menjadi sifat yang istimewa kepada mereka.

3.Baladah/Bodoh
Mustahil rasul bersifat baladah iaitu bodoh dan lebih mustahil lagi Allah memilih rasul-Nya dari kalangan orang-orang yang tidak sempurna akal dan kebijaksanaannya kerana rasul akan menyampaikan risalah-risalah kepada umat Islam.

SIFAT YANG HARUS BAGI RASUL

Sifat yang harus bagi rasul ialah sifat-sifat yang ada pada manusia biasa seperti makan, minum, berkahwin, tidur dan sakit. Namun demikian, segala sifat yang mereka miliki itu tidak menjejaskan atau menjatuhkan taraf kerasulan mereka.

Tiada ulasan: