Catatan Popular

Ahad, 7 September 2014

ISLAM DAN TAUHID Bab 7: Beriman Kepada Kitab



Beriman kepada kitab-kitab Allah adalah suatu perkara yang diwajibkan oleh Allah S.W.T kepada orang-orang yang beriman dan menjadi salah satu daripada rukun-rukun iman yang enam. Firman Allah S.W.T. di dalam surah An-Nisa’ ayat 136 :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad S.A.W.) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu.
(Surah An-Nisa’ : 136)
 
Beriman kepada kitab-kitab Allah yang dimaksudkan ialah beriman dengan “al-kutubu al-ilaahiyah” (kitab-kitab ketuhanan) yang menjadi sebahagian daripada aqidah orang-orang mukmin iaitu kalam Allah yang telah diwahyukan oleh Allah kepada para rasul-Nya yang mengandungi syariat-Nya dan ajaran agama-Nya (agama Islam) untuk disampaikan kepada umat manusia.

KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH

Allah S.W.T telah menurunkan kitab-kitab kepada beberapa orang rasul-Nya yang mengandungi suruhan dan larangan, halal dan haram, peringatan dan janji serta ancaman Allah ke atas makhluk-Nya.
Kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada beberapa orang rasul-Nya mempunyai empat buah kitab iaitu At-Taurat, Az-Zabur, Injil dan Al-Quran.

1.Kitab Taurat
Diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. dalam bahasa Qibti. Kitab ini menerangkan hukum-hukum syariat dan aqidah serta keimanan yang sebenar dan yang diredhai Allah S.W.T. Kitab ini juga menjelaskan akan dibangkitkan dan diutus seorang nabi dan rasul yang terakhir daripada keturunan Nabi Ismail putera Nabi Ibrahim a.s. yang akan membawa syariat baru dan menasakhkan syariat-syariat yang terdahulu. Selain itu, kitab ini ada menyebut mengenai syurga, neraka, ba’ath (bangkit selepas mati), hisab (perhitungan amal baik dan jahat), mahsyar, mizan dan lain-lainnya yang berkaitan dengan persoalan hari kiamat.

2.Kitab Injil
Diturunkan oleh Allah kepada Nabi Isa a.s. dalam bahasa Suryani. Di dalamnya disebutkan perintah-perintah Allah S.W.T menyuruh umat manusia mentauhidkan-Nya  dan melarang mereka itu menyukutukan-Nya dengan sesuatu benda atau dengan makhluk-makhluk yang lain. Di dalam kitab ini juga ada didapati tentang keterangan akan dibangkitkan dan diutus seorang nabi dan rasul yang dimaksudkannya ialah Nabi Muhammad S.A.W.

3.Kitab Zabur
Diturunkan oleh Allah kepada Nabi Daud a.s. dalam bahasa ‘Ibrani. Kitab ini hanya memuatkan fatwa-fatwa dan nasihat-nasihat dan juga peringatan-peringatan yang mesti dijalankan oleh umatnya. Kitab ini tidak memuatkan syariat Allah dan hukum-hukum agama kerana Nabi Allah Daud a.s. hanya diperintahkan oleh Allah S.W.T mengikut syariat yang diberikan kepada Nabi Musa a.s. yang terdahulu daripadanya. 

4.Kitab Al-Quran
Diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam bahasa Arab.  Al-Quran merupakan kitab terakhir diturunkan oleh Allah kepada penyudah segala rasul iaitu Nabi Muhammad S.A.W dan mengesahkan kitab-kitab yang terdahulu turun daripadanya. Al-Quran mengandungi saranan-saranan supaya manusia mengalihkan pandangan dan memikirkan kejadian Allah di langit dan bumi untuk mendapat bukti kewujudan dan kekuasaan Allah serta untuk mengenal segala sifat-sifat Allah. Selain itu, di dalam Al-Quran Allah telah menceritakan kepada kita berita-berita umat yang terdahulu serta pengajaran-pengajaran yang terdapat di dalamnya dan menjelaskan kepada kita tentang ulama-ulama agama yang terdahulu telah menyelewengkan kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi mereka. Al-Quran juga mengandungi hukum-hukum umum yang sesuai di sepanjang zaman dan bagi semua umat yang menjamin mendatangkan kebahagiaan dunia dan akhirat serta mengajak manusia kepada akhlak yang mulia seperti sabar, bersifat benar, amanah, adil, mengajak kepada makruf, melarang mungkar dan sebagainya. Al-Quran juga ada memberitahu tentang sumber-sumber alam dan rahsia-rahsia kejadian yang boleh diterokai oleh kajian-kajian ilmiah seperti kegunaan air dan angin.

BILANGAN SURAH AL-QURAN, SURAH MAKKIAH DAN MADANIAH

Jumlah surah dalam Al-Quran ialah 114 surah. 82 surah daripada surah-surah tersebut telah diturunkan di Mekah sebelum hijrah. Surah-surah ini dinamakan sebagai surah-surah Makkiah. 20 surah adalah diturunkan selepas hijrah di Madinah dan dinamakan sebagai Surah Madaniah dan surah tersebut ialah Surah Al-Baqarah, Ali-‘Imran, An-Nisaa’, Al-Maaidah, Al-Anfal, At-Taubah, An-Nuur, Al-Ahzab, Muhammad, Al-Fath, Al-Hujuraat, Al-Hadid, Al-Mujadilah, Al-Hasyr, Al-Mumtahanah, Al-Jumu’ah, Al-Munafiqun, At-Thalaq, At-Tahrim dan An-Nashr. Manakala 12 surah pula adalah menjadi khilaf para ulama dalam menentukan Surah Madaniah atau Surah Makkiah. Surah tersebut ialah Surah Al-Fatihah, Ar-Ra’d, Ar-Rahman, Ash-Shaaf, At-Taghaabun, Al-Muthaffifin, Al-Qadr, Al-Bayyinah, Az-Zalzalah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas.

Tiada ulasan: