Menurut Kalam Hikmah ke 36
Al-Arifbillah Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah As kandary:
“TERBUKA MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN HAMPIRNYA
ALLAH S.W.T. PENYAKSIAN MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN KETIADAAN
KAMU DI SAMPING WUJUD ALLAH S.W.T. PENYAKSIAN HAKIKI MATA HATI MEMPERLIHATKAN
KEPADA KAMU HANYA ALLAH YANG WUJUD, TIDAK TERLIHAT LAGI KETIADAAN KAMU DAN WUJUD
KAMU.”
Apabila hati sudah menjadi bersih maka hati akan menyinarkan
cahayanya. Cahaya hati ini dinamakan Nur Kalbu. Ia akan menerangi akal lalu
akal dapat memikirkan dan merenungi tentang hal-hal ketuhanan yang menguasai
alam dan juga dirinya sendiri. Renungan akal terhadap dirinya sendiri
membuatnya menyedari akan perjalanan hal-hal ketuhanan yang menguasai dirinya.
Kesedaran ini membuatnya merasakan dengan mendalam betapa hampirnya Allah s.w.t
dengannya. Lahirlah di dalam hati nuraninya perasaan bahawa Allah s.w.t
sentiasa mengawasinya. Allah s.w.t melihat segala gerak-gerinya, mendengar
pertuturannya dan mengetahui bisikan hatinya. Jadilah dia seorang Mukmin yang
cermat dan berwaspada.
Di antara sifat yang dimiliki oleh orang yang sampai kepada
martabat Mukmin ialah:
1: Cermat dalam
pelaksanaan hukum Allah s.w.t.
2: Hati tidak
cenderung kepada harta, berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak sayang
membantu orang lain dengan harta yang dimilikinya.
3: Bertaubat dengan
sebenarnya (taubat nasuha) dan tidak kembali lagi kepada kejahatan.
4: Rohaninya cukup
kuat untuk menanggung kesusahan dengan sabar dan bertawakal kepada Allah s.w.t.
5: Kehalusan
kerohaniannya membuatnya berasa malu kepada Allah s.w.t dan merendah diri
kepada-Nya.
Orang Mukmin yang taat kepada Allah s.w.t, kuat melakukan
ibadat, akan meningkatlah kekuatan rohaninya. Dia akan kuat melakukan tajrid
iaitu menyerahkan urusan kehidupannya kepada Allah s.w.t. Dia tidak lagi
khuatir terhadap sesuatu yang menimpanya, walaupun bala yang besar. Dia tidak
lagi meletakkan pergantungan kepada sesama makhluk. Hatinya telah teguh dengan
perasaan reda terhadap apa jua yang ditentukan Allah s.w.t untuknya. Bala tidak
lagi menggugat imannya dan nikmat tidak lagi menggelincirkannya. Baginya bala
dan nikmat adalah sama iaitu takdir yang Allah s.w.t tentukan untuknya. Apa
yang Allah s.w.t takdirkan itulah yang paling baik. Orang yang seperti ini
sentiasa di dalam penjagaan Allah s.w.t kerana dia telah menyerahkan dirinya
kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t kurniakan kepadanya keupayaan untuk melihat
dengan mata hati dan bertindak melalui Petunjuk Laduni, tidak lagi melalui
fikiran, kehendak diri sendiri atau angan-angan. Pandangan mata hati kepada hal
ketuhanan memberi kesan kepada hatinya (kalbu). Dia mengalami suasana yang
menyebabkan dia menafikan kewujudan dirinya dan diisbatkannya kepada Wujud
Allah s.w.t. Suasana ini timbul akibat hakikat ketuhanan yang dialami oleh
hati.. Dia berasa benar-benar akan keesaan Allah s.w.t bukan sekadar
mempercayainya. Pengalaman tentang hakikat dikatakan memandang dengan mata
hati. Mata hati melihat atau menyaksikan keesaan Allah s.w.t dan hati merasakan
akan keadaan keesaan itu. Mata hati hanya melihat kepada Wujud Allah s.w.t,
tidak lagi melihat kepada wujud dirinya. Orang yang di dalam suasana seperti
ini telah berpisah dari sifat-sifat kemanusiaan. Dalam berkeadaan demikian
dia tidak lagi mengendahkan peraturan
masyarakat. Dia hanya mementingkan soal perhubungannya dengan Allah s.w.t. Soal
duniawi seperti makan, minum, pakaian dan pergaulan tidak lagi mendapat
perhatiannya. Kelakuannya boleh menyebabkan orang ramai menyangka dia sudah
gila. Orang yang mencapai peringkat ini dikatakan mencapai makam tauhid sifat.
Hatinya jelas merasakan bahawa tidak ada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t
dan segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t.
Rohani manusia melalui beberapa peningkatan dalam proses
mengenal Tuhan. Pada tahap pertama terbuka mata hati dan Nur Kalbu memancar
menerangi akalnya. Seorang Mukmin yang
akalnya diterangi Nur Kalbu akan melihat betapa hampirnya Allah s.w.t.
Dia melihat dengan ilmunya dan mendapat keyakinan yang dinamakan ilmul yaqin.
Ilmu berhenti di situ. Pada tahap keduanya mata hati yang terbuka sudah boleh
melihat. Dia tidak lagi melihat dengan mata ilmu tetapi melihat dengan mata
hati. Keupayaan mata hati memandang itu dinamakan kasyaf. Kasyaf melahirkan
pengenalan atau makrifat. Seseorang yang berada di dalam makam makrifat dan
mendapat keyakinan melalui kasyaf dikatakan memperolehi keyakinan yang dinamakan
ainul yaqin. Pada tahap ainul yaqin makrifatnya ghaib dan dia juga ghaib dari
dirinya sendiri. Maksud ghaib di sini adalah hilang perhatian dan kesedaran
terhadap sesuatu perkara.. Beginilah hukum makrifat yang berlaku. Makrifat
lebih tinggi nilainya dari ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah pencapaian
terhadap persoalan yang terpecah-pecah bidangnya. Makrifat pula adalah hasil
pencapaian terhadap hakikat-hakikat yang menyeluruh iaitu hakikat kepada
hakikat-hakikat. Tetapi, penyaksian mata hati jauh lebih tinggi dari ilmu dan
makrifat kerana penyaksian itu adalah hasil dari kemahuan keras dan perjuangan
yang gigih disertai dengan upaya hati dan pengalaman. Penyaksian adalah
setinggi-tinggi keyakinan. Penyaksian yang paling tinggi ialah penyaksian hakiki
oleh mata hati. Ia merupakan keyakinan yang paling tinggi dan dinamakan haqqul
yaqin. Pada tahap penyaksian hakiki mata hati, mata hati tidak lagi melihat
kepada ketiadaan dirinya atau kewujudan dirinya, tetapi Allah s.w.t dilihat
dalam segala sesuatu, segala kejadian, dalam diam dan dalam tutur-kata.
Penyaksian hakiki mata hati melihat-Nya tanpa dinding penutup antara kita
dengan-Nya. Tiada lagi antara atau ruang antara kita dengan Dia. Dia berfirman:
Dan Ia (Allah) tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah
al-Hadiid)
Dia tidak terpisah dari kamu. Penyaksian yang hakiki ialah
melihat Allah s.w.t dalam segala sesuatu dan pada setiap waktu. Pandangannya
terhadap makhluk tidak menutup pandangannya terhadap Allah s.w.t. Inilah makam
keteguhan yang dipenuhi oleh ketenangan
serta kedamaian yang sejati dan tidak berubah-ubah, bernaung di bawah payung
Yang Maha Agung dan Ketetapan Yang Teguh. Pada penyaksian yang hakiki tiada
lagi ucapan, tiada bahasa, tiada ibarat, tiada ilmu, tiada makrifat, tiada
pendengaran, tiada kesedaran, tiada hijab dan semuanya sudah tiada. Tabir hijab
telah tersingkap, maka Dia dipandang tanpa ibarat, tanpa huruf, tanpa abjad.
Allah s.w.t dipandang dengan mata keyakinan bukan dengan mata zahir atau mata ilmu
atau kasyaf. Yakin, semata-mata yakin bahawa Dia yang dipandang sekalipun tidak
ada sesuatu pengetahuan untuk diceritakan dan tidak ada sesuatu pengenalan
untuk dipamerkan.
Orang yang
memperolehi haqqul yaqin berada dalam suasana hatinya kekal bersama-sama Allah
s.w.t pada setiap ketika, setiap ruang dan setiap keadaan. Dia kembali kepada
kehidupan seperti manusia biasa dengan suasana hati yang demikian, di mana mata
hatinya sentiasa menyaksikan Yang Hakiki. Allah s.w.t dilihat dalam dua perkara
yang berlawanan dengan sekali pandang. Dia melihat Allah s.w.t pada orang yang
membunuh dan orang yang kena bunuh. Dia melihat Allah s.w.t yang menghidupkan
dan mematikan, menaikkan dan menjatuhkan, menggerakkan dan mendiamkan. Tiada
lagi perkaitannya dengan kewujudan atau ketidakwujudan dirinya. Wujud Allah
Esa, Allah s.w.t meliputi segala sesuatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan