Catatan Popular

Jumaat, 22 Jun 2018

HIKAM ATHAILLAH SYARAH USTAZ BESTARI KE 36 : CAHAYA AKAL, ILMU DAN KEBENARAN KE ARAH MENGENAL ALLAH


Menurut Kalam Hikmah ke 36 Al-Arifbillah Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah As kandary:
Maksudnya :
Sinaran cahaya mata hati ( iaitu cahaya akal ) membimbing dan menunjukkan kepada anda tentang kehampiran Allah SWT dengan diri anda.Selanjutnya penglihatan yang jelas ( yang berlandaskan ilmu ) dari mata hati membawa anda memperakui peleburan diri anda di hadapan kemahawujudan Allah SWT.Akhirnya penglihatan yang berlandaskan kebenaran atau “nur al-haq” merealisasikan kewujudan Allah di sisi anda tanpa memerlukan lagi kepada ketiadaan anda atau kewujudan anda sekalipun.”

Sehubungan dengan kalam hikmah tersebut Ibn ‘Athaillah menjelaskan ( sebagaimana ulasan To` Pulau Manis ) :
“ Ketahui oleh mu bahawasanya nafsu itu terdiri dari tiga kelompok :
1.   Nafsu lawwamah yang merupakan nafsu haiwaniyah yang didorong oleh dorongan syahwat kebinatangan.

2.   Nafsu Ammarah pula adalah nafsu syaitaniyyah yang bersikap menentang peraturan Allah SWT

3.   Nafsu mutmainnah pula adalah nafsu ‘aqiliyyah yang telah suci daripada kekeruhan,maka terangkatlah segala hijab yang mendindingi seseorang itu daripada menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Bertolak dari kenyataan tersebut cahaya matahati itu merupakan nur al-‘aqli yang mendorong seseorang itu kepada keimanan yang meruntuhkan segala tabir kejahilan dan menghampirkan seseorang itu kepada Allah SWT.Dalam konteks ini Al-Quran menggambarkan hakikat nur al-‘aqli dengan firman Allah SWT di dalam Surah Qaf ayat 16 : 
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya  ! Kami ( Allah ) telah menciptakan manusia,dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya,sedang pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,…
‘Ain al-Basirah merupakan cahaya ilmu yang menginsafi pengleburan diri dan penafian diri dihadapan ketentuan Allah serta tidak lagi bergantung dengan amal lantaran semua usaha dan ikhtiar anda adalah ni’mat kurniaan serta rahmat Allah SWT belaka.Dan amalan anda tidak akan memberi bekas dan tidak berupaya mengubah takdir dan penentuan Allah Yang Maha Perkasa.
Mertabat ‘ain al-Basirah dapat dijelaskan melalaui kisah Nabi Daud a.s. yang dikisahkan oleh Syeikh Muhammad Abdullah al-San’ani: Bahawa Nabi Daud a.s. telah menerima wahyu daripada Allah yang antaranya Allah berfirman :
Maksudnya : “Wahai Daud ! Kenalilah diriKu dan kenalilah juga dirimu.”
Nabi Daud berfikir,apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan wahyuNya itu lantas dia bermunajat sebagaimana berikut :
Maksudnya : “Wahai Tuhanku ! Aku kenalimu dengan Kemahaesaan,Kekuasaan dan Keberkekalan,dan aku kenali diriku dengan kekerdilan,kelemahan dan kebinasaan”.
Berikutnya Allah berfirman kepadanya :
Maksudnya : “Wahai Daud ! Sekarang ini dikau telah mengenali diriKu dengan sebenar-benar ma’rifah.”
Haq ul-Basirah iaitu cahaya kebenaran yang membimbing ke arah hakikat yang dii’tiqadkan iaitu mengenal Allah dengan sebenar-benarnya tanpa memerlukan lagi kepada yang lain termasuk peniadaan ke atas diri atau mengakui kewujudan diri sekalipun.
Saidina Abu Bakar al-Siddiq telah ditanya :
Maksudnya :”Dengan apakah anda mengenali Tuhan ?”
Beliau pun menjawab :
Maksudnya : “Aku mengenali Tuhanku dengan Tuhanku,dan seandainya bukan kerana Tuhanku,nescaya aku tidak akan mengenali Tuhanku.”
Sipenanya bertanya lagi :
Maksudnya “Dan adakah mungkin bagi manusia mengenali Tuhannya ?”
Beliau menjawab :
Maksudnya :”Kelemahan dalam mencapai sesuatu adalah mengetahui sesuatu dalam batasnya.

Tiada ulasan: