Karangan Al FaQirul Makhlus Sheikh Mustapha Mohamed Al-Jiasi
(Al-Ahmadi) Murid utama To’ Guru Daud Bukit Abal, kelantan
Tarikat Sufiah Dan Perkembangannya
Mengikut
sejarah, perkembangan ilmu tasauf dan tarikat di zaman-zaman yang silam sangat
pesat dan telah berjasa besar dalam mengukuhkan keimanan dan melahirkan
kesusilaan budi yang lohor. Tetapi buat pandangan dunia Islam moden hari ini,
tarikat tidak lagi merupakan demikian malah dianggap suatu perkara khurafat dan
bidaah belaka kerana umat Islam telah tersilap mengambil pengertian terhadap
ilmu tasauf dan tarikat sufiah dan pula kerana umat Islam di zaman moden ini
sudah banyak kehilangan moral sifat-sifat kerohanian, tambahan pula kerosakan
dunia hari ini adalah disebab tekanan-tekanan meniru peribadi kebudayaan Barat
(maksiat) yang sangat pesat meluas di rantau cerok kerana memang ia sangat
sesuai dengan peribadi nafsu amma-rah sehingga kebudayaan umat Islam sendiri
hampir tertelan bulat-bulat oleh kebudayaan Barat.
Maka kepada
zaman-zaman yang seumpama ini bolehkah hendak diharap dapat membentuk sebuah
masyarakat Islam yang makmur dalam erti kata yang sebenar yakni dalam serba
maju baik segi kebendaan atau pun kerohanian? Pada menjawabnya mustahil,
melainkan jika ada pemimpin yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab
terhadap agama Allah dimana ada keazaman hendak menjalan polisi politik supaya
ruh islamiah dan keimanan dapat hidup berkembang kembali dalam majoriti setiap
anggota masyarakat. Kebenaran dan keikhlasan terhadap ugama Allah sukar hendak
dicari kecuali jika seorang pemimpin itu benar-benar kaya dengan sifat-sifat
kerohanian sufiah yang tetap waja. Tinjaulah pemimpin-pemimpin besar dahulu
umpama Nabi kita Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya adalah terdiri dari
manusia-manusia yang kaya dengan sifat-sifat kerohanian sufiah.
Dengan
demikian maka tak hairanlah bahawa negara-negara iman di zaman itu dapat
ditegapkan di bumi Allah yang halal ini. Dengan keterangan tadi dapatlah
ditegaskan bahawa tarikat-tarikat itu adalah sekolah-sekolah orang sufi untuk
mengeluarkan manusia-manusia wali dalam bentuk projek kerohanian (Islam) secara
praktik untuk membimbing masyarakat ke arah kemajuan yang benar dan diredhai
Allah. Ini (manusia-manusia wali) semuanya dapat dilakukan oleh pimpinan guru
mursyid lagi arif dengan teratur. Tetapi di sana, oleh kerana banyak
orang-orang atau puak-puak sufiah yang merasa dirinya layak menjadi syaikh
sebelum ia ada kelayakan yang sebenar menjadi syaikh maka timbullah pula bentuk
tarikat-tarikat yang direka baru oleh mereka. Tarikat-tarikat umpama ini tidak
diakui sah oleh syaikh-syaikh yang masyhur maka dari sinilah timbulnya
tarikat-tarikat palsu.
Perkara Bidaah (بدعة)
Berhubung
dengan masaalah bidaah, kaum sufi pun mengakui bahawa setengah-setengah bidaah
sufiah mustahak dilakukan dengan sebab ada tujuan-tujuan yang hasanah (baik).
Pendek kata segala masaalah dalam dunia ini tak boleh lari dari bidaah kalau
hendak diertikan bidaah itu dengan erti yang luas. ulama fikah, ulama usuluddin,
ulama tasauf dan ulama-ulama lain juga semuanya masing-masing sedikit sebanyak
ada sahaja mengada-ngadakan perkara bidaah, kaum fikah mensunatkan pembinaan
masjid yang cantik-cantik sedangkan diwaktu Rasulullah tidak begitu. Kaum
usuluddin mentakwil ayat-ayat mutasyabihah (متشابهة) supaya orang awam tidak tersalah faham
sedangkan di zaman Rasulullah mendiamkan sahaja dan begitu juga perkara buat
perayaan maulud dan sebagainya - semuanya itu adalah bidaah belaka.
Dan banyak
lagi perkara-perkara bidaah yang dilakukan oleh pakar-pakar ilmu lain dalam
masyarakat lain pula. Pendek kata kebanyakan jenis ilmu sedikit sebanyak tak
sunyi daripada ada sahaja perkara-perkara bidaah dan tak boleh lari lagi
daripada hukum tabii ini. Oleh itu, dapatkah pula kita berpegang kepada kaedah;
“tiap-tiap bidaah itu sesat dan tiap-tiap sesat itu dalam neraka”. Bagaimana
sabda Nabi SAW dalam hadis:
كُلُّ
بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ؟
Jawabnya,
tidaklah boleh kita berpegang kepada kaedah terlampau umum itu kerana kalau
demikian, tentulah orang membina masjid cantik, buat perarakan maulud secara
besar-sebagainya akan masuk neraka kesemuanya.
Sebenarnya
kaedah itu mengikut suatu pendapat, dikehendaki khusus pada masaalah tauhid
sahaja iaitu manakala berlaku bidaah pada masaalah-masaalah umpama iktikad yang
tersalah jua maka tentulah ia sesat dan manakala sesat tentulah masuk neraka.
Suluk (سلوك)
Suluk
ertinya segala daya-usaha ikhtiar yang sedang berjalan untuk mencapai maqam
makrifat pada Allah di bawah pimpinan guru tasauf yang arif lagi mursyid.
Orang suluk
dikatakan “salik - ” iaitu orang yang menjalani segala daya-usaha memerangi hawa-nafsu
dan syaitan dengan mengekalkan amalan wirid tarikat yang diberi oleh guru untuk
mencapai matlamat akhir iaitu makrifat pada Allah SWT.
Mencapai
makrifat pada Allah SWT bukanlah perkara senang malah tak berbau oleh orang
awam umpama kita yang pengecut kepada mujahadah dan ibadat ini kerana makrifat
itu pakaian orang-orang wall, para anbia dan rasul-rasul. Makrifat mengikut
istilah tasauf ini sangat berbeza dengan makrifat usuluddin kerana makrifat
usuluddin itu ialah membicarakan mengenal dalil tentang wujud Allah Taala atau
mengenal Allah dengan dalil adanya makhluk ini dan termasuk juga mengenal
segala sifatNya yang wajib dan yang mustahil dan yang harus baginya.
Tetapi
makrifat di sisi tasauf ialah mengenal Allah dengan jalan kehadiran suatu rasa
dzauk yang dinamakan “syuhud” dan syuhud ini dicampak oleh Allah ke dalam hati
seorang wali atau seumpamanya setelah hati itu bersih dari karat hawa-nafsu
syaitan dan keduniaan. Perasaan dzauk (syuhud) yang menghasilkan makrifat
sufiah umpama ini tidak akan tercapai melainkan oleh orang wali. Dan tidak
dikatakan makrifat melainkan orang arif billah (wali) iaitu orang yang mengenal
Allah dengan jalan hadir suatu kedapatan dzauk (syuhud) dan di waktu itu
terdapatlah kepadanya fikiran-fikiran bernas, ilmu pengetahuan yang indah-indah
dan ilham-ilahm atau rahsia-rahsia yang luar-di luar batas kekuasaan otak
manusia.
Dengan
penjelasan-penjelasan itu dapatlah kita faham erti suluk mengikut istilah
tasauf yang sebenar. Di sana terdapat pula suluk pertapaan namanya, suluk ini
sangat berbeza dengan pengertian suluk tasauf yang suci. Iaitu suluk secara
pertapaan bagaimana terdapat di gua-gua atau sebagainya. Dan amalan-amalan yang
dibuat dalam masa pertapaan itu adalah semata-mata bertujuan mencari muslihat
dunia, umpama menuntut ilmu kebal, ilmu pengasih atau sebagainya. Suluk-suluk
umpama ini banyak terdapat di negeri Jawa (Indonesia) dan juga di tanahair
kita.
Di sana
terdapat pula suluk khadam iaitu suatu upacara amalan-amalan yang dibuat dalam
masa yang tertentu kerana menuntut perjumpaan khadam. Apabila berjaya
bersahabat dengan khadam maka segala hajat tuannya dapat ditunaikan oleh khadam
bila ia kehendaki.
Suluk-suluk
umpama tersebut tidaklah termasuk dalam perbicaraan ilmu tasauf malah ia
terkeluar dari kehendak tasauf. Sayugialah diingat dan difaham supaya tidak
terkeluar atau ter-tipu suluk-suluk bertujuan dunia itu dengan suluk-suluk cara
tasauf yang sebenar.
Fatwa Penting Untuk Pembaca-Pembaca Kitab Tasauf
Adalah
mustahak difaham bahawa kitab-kitab tasauf itu mempunyai tiga peringkat:
Yang Pertama
- Tasauf dzawahir (ظواهر) iaitu segala kitab yang isi karangannya
adalah perbicaraan jenis lahir yang tidak berapa mendalam yakni boleh dibaca
dan difaham secara persendirian jika orang itu menguasai bahasa Arab,
kitab-kitab umpama itu ialah seperti:
إحياء علوم الدين للغزالي
منهاج العابدين للغزالي
dan
sebagainya tetapi jika berguru kepada yang ahli adalah lebih baik dan sempurna.
Yang Kedua -
Tasauf sederhana iaitu kitab-kitab yang isi karangan tidak lahir sangat dan
tidak pula melampau tinggi. Kitab-kitab umpama ini ialah seperti kitab-kitab:
حكم ابن عطاء الله
إيقاظ الهمم
الفتوحات الإلهية
dan
sebagainya, kitab-kitab umpama ini mustahak berguru kepada yang ahli kerana ia
tak boleh difaham dengan pembacaan sendiri, kalau dirasa faham pun mungkin
menyeleweng.
Yang Ketiga
- Tasauf bawatin (بواطن) iaitu kitab-kitab jenis karangan berat
untuk difaham kandungan isinya dan kebanyakan isinya tak boleh difaham oleh
otak fikiran tetapi dapat difaham setelah mengalami sendiri dzauk-dzauk sufiah.
Kitab-kitab umpama itu dilarang (diharam) mengajar oleh setengah syaikh-syaikh
sufiah yang arif. “الفتوحات المكية” karangan
Syaikh Ibn Arabi dan “الإنسان الكامل” karangan
Syaikh Abdul Karim bin Ibrahim al-Jaili dan juga karangan “فهو من الحكم” Ibn Arabi adalah termasuk dalam bahagian
karangan ini dan banyak lagi kitab-kitab yang seumpama itu.
Oleh yang
demikian tak sayugia bagi orang awam yang umpama kita ini cuba hendak mengupas
dan mengorek isi kandungan kitab-kitab umpama itu kerana sudah tentu kitab
jenis tasauf bawatin ini tak dapat difaham dengan otak fikiran tetapi dapat
difaham dengan atau setelah mengalami makrifat sendiri.
Oleh itu
siapa-siapa yang hendak mencuba mengupas masaalah-masaalah “wahdatul-wujud” atau
“al-ittihad” atau seumpamanya sudah tentu menyeleweng dan mengelirukan fahaman
orang ramai kecuali guru yang rasikh (alim) dan pandai takbir dalam ilmu ini.
Oleh sebab itu maka tak hairanlah setengah-setengah kitab tasauf jenis karangan
baru sekalipun ia dikeluar dari negeri-negeri umpama Timur Tengah, terdapat
banyak menyeleweng dari kehendak hakikat yang sebenar. Barangkali kerana ia
dikarang oleh orang bukan ahli. Apatah lagi sangat-sangatlah kacau-bilau dan
menyeleweng apabila terdapat kitab-kitab dari pengarang-pengarang yang engkar
kebenaran tasauf dan mungkin juga kitab-kitab terjemahan tasauf dari Arab ke
Inggeris pun termasuk dalam bahagian ini sekalipun penterjemah itu ahli
bijak-pandai kesusasteraan Arab.
Kesilapan Penulis Tasauf Zaman Moden
Kesilapan
penulis tasauf di zaman moden hari ini ialah mengemukakan ilmu tasauf dari segi
budi pekerti dan sifat-sifat aulia Allah supaya dicontohi oleh generasi baru
tanpa mengemukakan ajaran-ajaran mereka bagaimana hendak mencapaikan
sifat-sifat itu sedangkan pelajaran tasauf tidak bermaksud begitu. Tetapi yang
menjadi pokok dalam ilmu tasauf ialah menyuci nafsu atau hati lebih dahulu
dengan kaedah mujahadah dan amalan tarikat. Bila kesucian hati terlaksana maka
seluruh sifat-sifat kerohanian sufiah itu akan tercapai sendiri secara
otomatik. Bagaimanakah hendak menzahidkan diri umpamanya sedangkan hati masih
kotor dengan sifat ketamakan dunia? Mustahil bagi generasi baru dapat mengambil
sifat zahid atau seumpamanya dijadikan sebagai budi pekertinya selagi ia tidak
mengambil jalannya.
Jadi dengan
sebab itu adalah dibimbang timbul tuduhan atau salah faham bahawa ilmu tasauf
tidak sesuai lagi dengan zaman ini kerana diri perkara mustahil yang tidak
dapat dihidu bau oleh generasi baru, oleh itu maka dikatakanlah tasauf itu
sebagai khurafat dan bidaah yang tidak dapat diterima oleh akal siuman untuk
amalan di zaman moden ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan